Pages

Tuesday, July 24, 2012

Mencari keadilan hubungan raja, rakyat

Sejarah mencatatkan punca utama raja Melayu gagal memungut hasil bumi kerana pegawainya lemah. Ada pembesar istana yang tidak amanah dan mengutip cukai sambil lewa. Ada juga yang kutip cukai, tapi tak diserahkan kepada istana. Ekorannya hasil negeri berkurangan, susut dari setahun ke setahun.

   Pegawai tidak cekap berpura-pura menjayakan misi istana. Mereka sekadar budak raja yang ada masanya bertindak lebih daripada penguasa  istana.

   Ada ketika pegawai istana menggunakan alasan perintah raja untuk menakutkan rakyat.  Mereka bebas daripada hukuman kerana kononnya menjalankan tugas suci bagi pihak istana.

   Mereka menimbulkan cerita kesetiaan dan Hang Tuah adalah wira yang dijelmakan kepada bangsa Melayu kerana kononnya tidak pernah derhaka.

   Pada era Melayu tradisional, hubungan raja dan rakyat sengaja dijadikan mitos. Ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada diperbesarkan. Namun, yang berlaku suara kedua-dua pihak sentiasa terhalang oleh keadaan.

   Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan kelemahan pegawai istana memungut hasil bumi dijadikan alasan untuk pegawai British mengutip cukai lebih tersusun pada awal abad 20.

   Akibatnya hasil negeri bertambah dan Residen British lebih berkuasa dan raja Melayu semakin lemah. Raja hanya berkuasa dalam isu adat dan agama. Hanya peristiwa penentangan Malayan Union menimbulkan kebangkitan suara Melayu.

  Beberapa teks klasik menggariskan hubungan raja dan rakyat yang bukan saja pelengkap institusi, bahkan timbal balik kejadian yang menyuburkan sejarah Kesultanan Melayu.

      Kitab Sejarah Melayu  menggariskan persetiaan ‘waadat’ di antara raja dengan rakyat di Bukit Seguntang. Sang Sapurba yang mewakili raja meminta orang Melayu jangan derhaka kepada anak cucu baginda, sementara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat memohon agar anak cucunya tidak  dizalimi.

 Kisah kezaliman Sultan Mahmud di Melaka hinggalah peristiwa Sultan Mahmud di Johor yang membunuh isteri panglima kerana sebiji nangka menjadi teladan. Laksamana Bentan  menikam raja yang sedang dijulang, sumpahnya dikatakan berkekalan tujuh keturunan.

 Kejadian ini menguji hubungan antara raja dan rakyat. Seperti juga isu  penderhakaan  Hang Jebat, Laksamana Bentan atau Si Bongkok Tanjung Puteri diberikan tafsiran baru. Kecenderungan pemikiran kiri  suatu masa dulu membaca Jebat sebagai hero baru dan kritikan terhadap Hang Tuah.
 Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dan Dr Kassim Ahmad  menegur unsur tidak adil dalam sejarah bangsa Melayu. Pengarah filem, Hussein Haniff menyerlahkan kritikan sosial mengenai suasana tradisional Melayu menerusi filem Hang Jebat, Dang Anum, Istana Berdarah dan   Hutang Darah Dibayar Darah.

   Imej istana, pembesar dan rakyat mendapat dimensi baru sesuai aliran sosialisme ketika era  Perang Dingin dan kini.  Apakah kesetiaan kerana sokongan melulu  dan sanggahan dianggap penderhakaan? Hari  ini sejarah bagai berputar pada paksi sama. Ada rakyat yang sanggup sembah derhaka kepada rajanya sendiri.

   Ketika raja bagai tiada ruang bersuara, ada rakyat memperalatkan proses demokrasi untuk menegur pihak istana apabila sesuatu tindakan yang dianggap tidak berpihak kepada mereka. Isu plat kenderaan secara terbuka dipaparkan menerusi media baru dengan pelbagai reaksi kurang sopan. Malah, kematian seorang sultan pun diperlekehkan dalam sebuah blog!

   Sejak tragedi 13 Mei 1969, kita diperingatkan menerusi Rukun Negara yang antara prinsipnya kesetiaan kepada raja dan negara.      Ketika rakyat dicanang setia kepada raja dan negara, institusi  juga perlu eratkan diri kepada persekitaran yang kian mencabar.

 Tentunya  sistem ciptaan manusia bakal diuji oleh zaman. Ujian sebenar bagi bangsa Melayu adalah menentukan kuasa kekal di tangan mereka. Mampukah Melayu kekal berkuasa jika ada dalam kalangan mereka sendiri yang memilih menjadi si Kitul dengan pelbagai gelagat luar biasa? Banggakah Melayu yang sanggup mencabar  asal-usul sendiri?

   Sesekali teringat juga cerita Singapura dilanggar todak. Apakah masih ada pihak yang segan menerima fikiran budak? - Berita Harian, 24 Julai 2012

No comments: