Pages

Tuesday, November 26, 2013

Apabila tidak berkarya lagi

Penulis silih berganti kerana karya sastera tidak pernah mati. Yang mati adalah semangat untuk terus menghasilkan sajak, cerpen, naskhah teater dan novel.

  Bagi sesetengah penulis, perubahan zaman mengubah perwatakan mereka. Jika dulu aktif menulis dan menghidupkan acara seni, sekarang tanggungjawab kekeluargaan lebih diutamakan. Ada yang mati tanpa karya mutakhir, ada juga yang  tidak mati tapi tidak berkarya lagi.

  Mereka terpaksa melihat satu demi satu penulis baru yang muncul dengan pelbagai rencam. Mereka terpaksa akur era seni dirinya sudah lama berlalu kerana karya tidak pernah menanti seseorang untuk tempoh yang lama.

  Perubahan masa bagai daun berguguran, seperti juga bait yang menghidupkan karya seni. Masa datang dengan pengalaman  yang akhirnya menggerakkan seseorang untuk berkarya dan pada masa yang lain, akan mengundur dan menyendiri tanpa karya.

  Seperti kata Chairil Anwar (26 Julai 1922–28 April 1949), masa muda kaya pancaroba, justeru usia muda membawa seseorang mencipta nama yang hebat dalam kehidupan.

  Seperti Chairil yang mati muda ketika usia 26 tahun, dia sudah membariskan karya berbobot yang sehingga kini masih menjadi kajian sarjana.
Digelar sebagai ‘Si Binatang Jalang’ yang diangkat daripada karyanya ‘Aku’, Chairil menulis 96 karya, termasuk 70 puisi. Bersama Asrul Sani dan Rivai Apin, dia dinobatkan oleh HB Jassin sebagai pelopor Angkatan 45, sekali gus pejuang puisi moden Indonesia.

  Ulama dan sasterawan tersohor Hamka (Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah) yang pernah berpengalaman mendekati Chairil sekadar menyatakan kekaguman terhadap penulis berkenaan.

  Dalam bukunya ‘Kenangan-kenangan hidup -  autobiografi sejak lahir 1908 sampai 1950’, Hamka mencatatkan Chairil manusia aneh, hebat dan tiada siapa yang mampu tinggal serumah dengannya pada waktu yang panjang.

  Kekaguman dan kekuatan seseorang mungkin kerana usia mudanya. Usia tuanya akan mematangkan karya atau tidak menghasilkan karya lagi.

Ada polemik yang mengatakan Chairil mungkin tidak menulis pada usia 50 tahun kerana cita rasa sudah berubah, keperluan kehidupan harus  mengikut zaman dan mungkin puisi hanya sebahagian daripada tinggalan lampau kehidupannya.

  Banyak penulis Malaysia yang melahirkan karya malar segar pada usia muda tidak mampu mengulangi ketika era tuanya.

  Baha Zain tidak lagi mampu melahirkan kumpulan  puisi sehebat  ‘Perempuan dan Bayang-Bayang’ atau ‘Dari Kertas Catatan Tengah Malam’ yang menjadi perhatian panel sastera sejak dekad 1970-an. Keadaan sama juga dialami A Latiff Mohidin yang dianggap melahir puisi alam menerusi ‘Sungai Mekong’ dan Kembara Malam’, tapi kini puisinya semakin menyepi.

  Kita mempunyai ramai karyawan besar sejak dekad 1950-an. Usman Awang jika masih ada mungkin gagal melahirkan ‘Uda dan Dara’ atau ‘Pak Utih’ ketika situasi semasa yang tidak mengizinkan. Pak Sako mungkin tidak lagi  mampu melahirkan karya sinikal ‘Anak Mat Lela Gila’  atau A Samad Said secara jujur harus mengakui betapa ‘Daerah Zeni’ dan ‘Hujan Pagi’ tidak sehandal ‘Salina’ yang dianggap karya malar segar Malaysia.

  Banyak penulis yang datang dan pergi. Pada dekad 1980-an, karya Moechtar Awang menjadi sebutan kerana dua kali memenangi Anugerah Puisi Putra. Kumpulan puisi ‘Pasrah’ dan ‘Qaf’ melonjakkan namanya sebagai sasterawan pelapis yang penting.

  Kehadiran Awang Abdullah, Marsli NO, Ujid Darmawan, Swanlerd Propoul, Nawawee Muhammad, Gunawan Mahmud dan Daeng Ramli Akil memberi gambaran mereka di antara karyawan penting yang bakal memeriahkan situasi sastera mutakhir.

  Malangnya sehingga kini hanya Marsli yang masih bertenaga dan yang lainnya semakin terpinggir atau meminggirkan diri.

Dalam kalangan generasi 1990-an, hanya nama Rahimidin Zahari, SM Zakir dan beberapa rakan mereka yang masih menjadi tumpuan massa. Yang lainnya kian terpencil atau memencilkan diri.

  Sehingga kini tiada kajian yang boleh memuktamadkan punca seseorang penulis boleh meninggalkan bidang yang mereka perjuangkan ketika usia mudanya.

  Paling pasti karya sastera tidak banyak mendatangkan rezeki berbanding genre lain. Penyair A Ghafar Ibrahim (AGI) ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Perdana, Shah Alam mengeluh: ‘Nasib pelukis mengatasi penyair. Karya mereka bernilai ribuan ringgit. Harga sebuah puisi terlalu rendah!’ Beliau merujuk kepada Razak Abdullah yang kebetulan berada di bilik kuliahnya. Razak pelukis berjaya dan nilai lukisannya ribuan ringgit! - Berita Harian, 26 November 2013
 

Wednesday, November 20, 2013

Filem, lagu segan berbahasa Melayu



Seorang sarjana bahasa yang sudah sedekad tidak menemui penulis menegur: “Lama kita tak jumpa. Maklumlah sama-sama busy. Jom kita ke cinema, tengok movie, banyak filem latest terutama love story.  After that kita boleh lunch kat food court atau high tea!’

Apabila ditegur penggunaan bahasa rojaknya, dia melawak: “Dont worry, Awang Sariyan (Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP], Datuk Dr Awang Sariyan) tak tahu. Off the record. Be happy. Hanya we all.”

 Penggunaan bahasa  rojak hampir menjadi sebahagian daripada citra rakyat Malaysia. Tiada siapa yang rasa bersalah menggunakan bahasa bercampur aduk dan slanga. Lebih malang tiada peraturan yang melarang penyampai radio dan televisyen menggunakan bahasa yang tidak betul. Justeru, ada personaliti yang menjerit dan melalak dengan bahasa slanga dan rojak. Anehnya mereka menjadi pujaan rakyat Malaysia dan dianggap ikon generasi muda.

Ada sebuah filem yang bertemakan kehidupan bobrok dan  samseng menggunakan bahasa yang tidak senonoh. Pelakon wanita sambil membonceng motosikal menjerit: “Gua punya sukalah. Dia balak gua!”
Ungkapan ‘balak’ membawa konotasi yang tidak wajar. Menjijikkan apabila gadis menyebut secara terbuka sambil menambah “Balak tu dah banyak kali tonggeng gua, apa lu kisah!”

Hari ini ungkapan balak, lu,  gua, cilok, sempoi, antoo dan macam-macam  lagi bukan suatu keanehan. Ungkapan yang entah dari mana hampir menjadi pengucapan segelintir anak muda. Ia tidak memeranjatkan apabila banyak filem yang kononnya mahu menarik perhatian generasi muda memilih tajuk yang tidak wajar. Filem  Aku Kaya The Movie,  Remp-It , Antoo Fighter,  Azizah The Legend,  Cinta U-Turn,  Cintaku Forever,  Driving School,  Geng The Movie,  Gadoh, Baik Punya Cilok,  Boss  dan  Gerak Khas The Movie pernah singgah di panggung atau ruang tamu rumah kita. Ketepikan soal nilai atau bahasa. Mereka lebih utamakan sasaran iaitu generasi muda. 

 Banyak juga filem dan drama Melayu yang menggunakan bahasa rojak dan Inggeris seperti  I'm Not Single,   Los Faun, Mr Cinderella dan    Sayang You Can Dance.

Persoalannya, kenapa filem tempatan membelakangi bahasa kebangsaan dan mengutamakan identiti asing. Berapa ramai rakyat asing yang menonton filem Melayu? Golongan manakah yang paling banyak menonton filem Melayu di pawagam dan ruang tamu?   

Lebih malang penerbit pula tidak mempedulikan penggunaan bahasa yang tepat dan sesuai dengan naluri tempatan. Mereka lebih mengutamakan keuntungan terutama sasaran kepada generasi muda.

Tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengusaha filem mengutamakan bahasa Melayu yang tepat. Kita yakin DBP tidak dirujuk bagi mengolah sesebuah skrip atau tajuk filem. DBP dianggap tidak penting dan program audit bahasa hanya dianggap untuk sektor kerajaan semata-mata.

Lebih malang DBP tiada kuasa penguatkuasaan. Agensi berkenaan hanya boleh menegur dan memberi pandangan. Tidak ada tindakan undang-undang bagi mana-mana pihak untuk menidakkan penggunaan bahasa Melayu yang sesuai. 

Kes yang sama juga berlaku dalam industri muzik tempatan.  Dakwaan penyanyi hip hop  menggunakan bahasa slanga tidak boleh dipandang ringan.   Penggunaan bahasa rojak termasuk kecenderungan pencipta mencampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris dalam lirik lagu  mencemar kedaulatan  bahasa kebangsaan.

Walaupun karya  berkenaan  popular dan enak didengar bagi sesetengah pihak, ia memberi kesan kepada generasi muda yang menjadi peminatnya. Bayangkan jika bahasa yang salah itu digunakan di dewan peperiksaan!  
 DBP pernah diundang  stesen televisyen swasta untuk menggunakan bahasa yang betul bagi  memartabatkan bahasa dan menjadi  rujukan awam. Kesannya masih menjadi rahsia umum.

Bagaimanapun kehadiran segelintir golongan yang mempertikaikan keunikan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan.  Bukan saja kalangan pemuzik dan artis, malah ada negarawan yang secara terbuka meragui kemampuan bahasa Melayu untuk subjek Sains dan Matematik.
Jika dulu isu pengantar subjek Sains dan Matematik dianggap selesai, kini timbul kembali. Moral cerita, bahasa Melayu masih dipersendakan walaupun Malaysia sudah 56 tahun merdeka.

Ramai dalam kalangan kita masih meragui jati diri dan nilai ekonomi bahasa Melayu. Justeru, tidak memeranjatkan apabila model kereta nasional menggunakan nama yang begitu asing kepada moyang kita sendiri. Bahasa Melayu sentiasa menerima cabaran di persekitarannya sendiri. - berita harian 19 november 2013

Tuesday, November 12, 2013

Audit bahasa perlu gerakan menyeluruh

Syabas kita ucapkan kepada  empat kementerian iaitu  Kementerian Pendidikan;  Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan Kementerian Kewangan kerana mencapai  tahap 80 peratus penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

  Pengumuman  Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  Datuk Dr Awang Sariyan selepas Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Melaka di Ayer Keroh, membuktikan bahasa Melayu boleh menjadi wahana penting dalam kehidupan moden jika kita sendiri ikhlas untuk berbahasa kebangsaan secara rasmi.

  Isu yang berlaku sebelum ini kerana sebahagian  pembesar Melayu sendiri yang tidak ‘seronok’ berbahasa kebangsaan sehingga meminggirkan jati diri bangsa. Lebih malang ada pihak yang mendakwa bahasa Melayu kurang sesuai untuk forum bertaraf global, sekali gus memberikan nilai ekonomi kepada bahasa Inggeris.

  Kita tidak boleh mengharapkan sektor swasta terutama milik bukan Melayu untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Mereka sengaja menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin yang kononnya mempunyai ciri-ciri budaya niaga. Bahasa Melayu hanya boleh dimartabatkan jika kerajaan sendiri yang mendaulatkannya. Kita sokong program audit bahasa  yang diperkenalkan DBP bagi memastikan kedaulatan lingua franca tempatan.

  Hasil audit bahasa  menunjukkan Jabatan Perkhidmatan Awam juga memperoleh pencapaian yang sama iaitu berada pada skala empat.   Semua kementerian dan jabatan perlu mencapai skala lima atau 100 peratus memandangkan negara sudah  mencapai kemerdekaan selama 56 tahun dan bahasa kebangsaan adalah maruah negara.

  DBP menjalankan audit selama tiga tahun terhadap semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bertujuan mengangkat bahasa kebangsaan ke tahap tertinggi, meningkatkan komitmen penjawat awam untuk mengutamakan bahasa kebangsaan serta melakukan transformasi penggunaan bahasa kebangsaan secara menyeluruh.

  Audit bahasa  menilai dua aspek utama iaitu tahap penggunaan bahasa kebangsaan dan mutu bahasa membabitkan  ejaan serta tatabahasa dalam  dokumentasi, surat atau secara bertulis.

  Program  audit bahasa   akan diperluas ke peringkat negeri selepas selesai   peringkat Persekutuan dengan Perlis  negeri pertama yang menawarkan untuk diaudit. Penekanan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan pentadbiran tidak membataskan penggunaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris,  sebaliknya kedua-duanya boleh digunakan dalam dokumentasi atau surat menyurat berdasarkan keperluan dan tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan.  

 Malangnya sejak beberapa dekad, bahasa Melayu sering dipermainkan, hatta penamaan jalan dan bangunan awam pun masih terpalit dengan bahasa asing. Hari ini tidak lagi menjadi perdebatan apabila disebut  ‘presint’ yang merujuk jalan di Putrajaya berbanding 15 tahun lalu.  Dulu ada persatuan penulis dan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum membantah perkataan berkenaan. Kini bantahan sudah tiada kerana kebanyakan dalam kalangan kita  sudah reda dengan   ‘presint’.

  Kita juga hairan apabila Pudu Sentral, KL  Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menggunakan bahasa rojak. Apakah tiada ungkapan Melayu yang sesuai untuk menggambarkan perhentian pengangkutan awam di Pudu, pusat bandar raya dan Bandar Tasik Selatan?

  Masalah utama penggunaan bahasa Melayu adalah sikap kita sendiri. Apabila Melayu tidak menghargai warisan yang dimiliki moyang mereka, bahasa Melayu menerima cabaran hebat di persekitarannya sendiri. Banyak yang memperlekeh dan bahasa asing menjadi keperluan utama dalam pelbagai sektor.

  Hari ini suara pejuang bahasa tidak lagi sehangat dekad 1960-an. Jika dulu Keranda 152  merujuk kepada perarakan bantahan  pejuang bahasa Melayu yang kesal apabila  bahasa kebangsaan tidak dilaksanakan  sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman, kini masih banyak yang perlu diperjuangkan dalam bentuk berbeza.

  Bahasa Melayu masih tidak menjadi keutamaan di syarikat swasta bukan kepunyaan Bumiputera. Bahasa rojak dan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi cabaran baru. Globalisasi dan media baru menambahkan ancaman terhadap kemurnian berbahasa. Semuanya perlu ditangani secara saksama. Mustahil DBP dan Dr Awang boleh bergerak secara bersendirian.

  Sudah sampai masanya diwujudkan Kementerian Bahasa Kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan dan pendaulatan bahasa Melayu dilaksanakan segera. Pelantikan Ahli Dewan Negara (Senator) dalam kalangan pejuang bahasa dan sasterawan perlu disegerakan jika kita mahu mendaulatkan jati diri bangsa Melayu. - Berita Harian, 12 November 2013

Tuesday, November 05, 2013

Ismail Embong khazanah seni bangsa Melayu

Karya Ismail Embong memerlukan pentafsiran intelektual.
Ismail Embong membuktikan dirinya seniman yang mampu memperagakan bakat menerusi ilmu dan pengalaman. Kehidupan lampau yang pelbagai dan masa kini yang kian mencabar mendorong pelukis kelahiran Kuala  Terengganu ini  kekal berkarya ketika semakin banyak seniman sepenuh masa  mengundurkan diri.

Justeru, Anugerah Penggerak Budaya dan  Warisan yang diterima sempena  Konvensyen Dunia  Melayu Dunia Islam   (DMDI) ke-14 di  Banda Hilir, Melaka  tepat pada waktunya.
Ismail bukan sekadar pelukis, bahkan pencatat sejarah yang menggali akar tradisi bangsa  menerusi lukisannya.   Beliau melihat wajah bangsa yang tercalar menerusi karya dan cuba menggali kekuatan makna kemelayuan yang wujud sejak era Kesultanan Melayu Melaka.

 Membezakan karya Ismail dengan pelukis lain adalah citra yang dihayati  daripada  mitos dan legenda Melayu. Ismail memberi makna peradaban Melayu dalam konteks semasa. Justeru, karya beliau terutama   yang diangkat daripada Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka secara jelas mencermin citra siasah dan peradaban masa lampau.

Ismail  yang menerima pendidikan di Kolej Seni dan Rekaan, England dalam bidang seni bina pada awal 1970 hanya mula bergiat secara aktif sebagai pelukis  pada pertengahan 1980-an.
Selepas menamatkan pengajian, beliau mulanya berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA ) pada 1982, namun  mengambil keputusan menamatkan khidmatnya untuk mengabdikan diri dalam dunia lukisan.

Sepanjang berkarya, beliau menghasilkan ratusan karya dan semuanya berkisar mengenai sejarah dan identiti Melayu.  Sebagai seniman yang bergerak sendirian dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi, Ismail komited berkarya tanpa mempedulikan suasana persekitaran. Beliau pernah menjadikan halaman Rumah GAPENA sebagai lokasi berkarya dan sesekali menyaksikan acara baca puisi bulanan di Rumah PENA  sebagai medan merapatkan hubungan sesama insan. Kesenimanannya terserlah menerusi karya dan bicara. Pemikirannya dihargai kerajaan dengan mengiktiraf hasil seninya.

Sebagai arkitek, Ismail adalah di antara tokoh yang merekabentuk Rumah Karyaneka di Jalan Raja Chulan pada awal 1980-an. Seni bina Melayu menjadi ukuran kekuatan sesebuah bangunan di Nusantara.

Ismail selalu bercerita mengenai keunikan bangsa Melayu membina penempatan. Arah angin, cuaca dan bentuk muka bumi menjadi ukuran utama. Paling unik, seni bina Melayu tradisional  tidak menggunakan paku, sebaliknya menggunakan pasak dan baji sebagai pengikat atau penyambung komponen utama bangunan.

 Penulis berpengalaman membantu Ismail menyiapkan model Rumah Karyaneka sebelum diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada awal 1980-an. Ketika itu kami tinggal di Jalan Melati, Shah Alam dan waktu kerja tidak menentu. Ismail berbeza dengan kebiasaan insan lain. Beliau bekerja, melukis dan menggarap karya walaupun pada awal pagi.  Beliau petah berhujah dan komited.

Ada ketika pada malam Ramadan kami berbuka puasa dan bersahur di tapak pembinaan Rumah Karyaneka semata-mata untuk memastikan proses pembinaan mengikut pelan ditetapkan.
Kejayaan sebagai arkitek dan kini pelukis meletakkan Islam berbeza dengan kebanyakan karyawan lain.  Ismail dipilih Tokoh Malaysia (2012), Tokoh Seniman - lukis (2012) dan Pelukis Negara pada 1999. Beliau juga pakar Rujuk Seni Negara pada 1993.

 Namun anugerah dan penghargaan bukan segala-galanya. Karya seni Ismail sentiasa menjadi tumpuan massa. Ketika Perhimpunan Agung UMNO sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad, lukisan beliau dipamerkan di Bangunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Wajah bekas presiden UMNO dilakar dengan sempurna. Ismail tidak segan mencurahkan warna dengan kritikan sosial terhadap Melayunya sendiri.

 Ismail juga  mencurahkan harapan untuk mengangkat sejarah Hang Tuah sebagai etos bangsa.
Kita yakin usaha berkenaan akan tercapai kerana Ismail  pelukis yang komited dan sentiasa mencari akar peribadi bangsanya sendiri.

Malangnya di Malaysia sehingga kini proses dokumentasi hasil seni kurang terserlah. Pelukis, seperti juga penyair dan budayawan kurang dibahaskan karya mereka secara ilmiah. Paling banyak sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

Kekurangan ini perlu atasi bagi memastikan Malaysia bukan sekadar maju ekonomi menjelang 2018, juga memperkasakan hasil seni sebagai citra negara. Ismail sudah membuktikan beliau di antara khazanah seni yang perlu dinilai ketika ini. - Berita Harian, 5 November 2013 

Tuesday, October 29, 2013

Selamat tinggal Lloyd's List

USIA media terancam dengan kehadiran digital.
Jeff Jarvis  dalam  buku  What Would Google Do? menyatakan:  ‘Model akhbar yang lama sudah mati.  Tapi  berita tidak mati’.

Ia  menjadi cabaran media masa kini sama ada  akhbar,   televisyen mahupun laman web  kerana berita tidak mati. Yang mati hanya hayat sesebuah media itu sendiri apabila tidak lagi mendapat sokongan pembaca atau penonton.

Tamadun dunia menjadikan media sebagai aset penting dalam kehidupan. Peranan media dalam bentuk akhbar semakin dicabar oleh laman sosial dan portal berita yang dianggap lebih mesra pengguna.

Persaingan agensi penyiaran menjadikan pengguna lebih bijak memilih, sama ada media rasmi yang dianggap propembangunan atau warta sampingan yang menyediakan laporan alternatif.

Organisasi media sering dikaitkan dengan kuasa dan bagaimana kekuasaan digunakan bagi mempengaruhi massa. Peranan ini berkekalan kerana pengaruh media dianggap boleh menjatuh atau menaikkan seseorang atau kelompok tertentu.

 Bill Kovach dan Tom Rosenstiel menerusi  The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and The Public Should Expect menghujahkan perkara yang sama.  Manusia menyampaikan berita dan cerita sejak zaman batu, caranya mungkin berbeza tetapi asasnya sama — mengenai  pentingnya mempertahankan kredibiliti dan perlunya sesuatu berita disahkan,  menegakkan kebenaran dan antara yang paling penting, kesetiaan media adalah kepada rakyat.

Kehadiran media baru lebih memberi pilihan kepada pembaca.    Apple  memperkenalkan iPad pada April 2010 membolehkan maklumat mudah diakes di mana-mana saja.  Pasaran akhbar mula goncang. Bagi sesetengah orang, membaca berita di iPad terasa lebih mengghairahkan berbanding menyelak   halaman demi halaman akhbar. Internet terus jadi sumber utama penyaluran berita.

  Kesannya, operasi syarikat akhbar terpaksa dikaji, unit baru khusus untuk mempersembahkan berita dalam format multimedia dibentuk dan kelompok baru wartawan serta pengarang diambil bekerja.
 Itulah yang berlaku di New York Times pada 2008 yang memperkenalkan Page One -- media digital dan sekali gus menjadi ikutan syarikat akhbar lain di seluruh dunia.

 Akhbar tertua dunia, Lloyd's List yang diterbitkan sejak 279 tahun lalu sebagai catatan pemberitahuan yang ditampal  di dinding sebuah kafe di London, kini jadi tinggalan sejarah. Akhbar berkenaan  boleh dibaca menerusi dalam talian (online) mulai akhir tahun ini.  Kajian  mendapati hanya 25 orang  membaca naskhah bercetak akhbar itu.

 “Ini hanya sebahagian daripada perkembangan dan evolusi akhbar ini,” kata pengarang kanan  Llyod’s List, Richard Meade yang dipetik Perbadanan Penyiaran Britain.

Beliau berkata perkembangan terbaru ini hanya memberi sedikit perubahan sejak akhbar itu diterbitkan pada 1734, dalam bentuk notis yang ditampal di dinding kedai bagi memberi maklumat keluar masuk kapal di pelabuhan kepada pedagang.

“Kami tidak banyak berubah, tetapi sekarang pelanggan boleh mengakses akhbar ini dari mana-mana kedai kopi di seluruh dunia.

 Meade berkata, walaupun syarikatnya masih mempunyai nostalgia terhadap akhbar bercetak, pelanggan kini hanya perlu membayar sedikit wang untuk mengakses Llyod’s List  dan tidak perlu menunggu kiriman melalui pos.

Di negara kita pula ada media yang dulunya jadi tumpuan pelabur tapi diedarkan secara percuma kepada orang ramai. Akhbar berkenaan hidup kerana iklan, bukan  edarannya.

Moral cerita yang boleh garapkan di sini adalah berita tidak mati. Yang terjejas adalah pasaran dalam bentuk konvensional. Era digital menjadikan seseorang pelanggan memadai melayari internet yang lebih mempunyai pilihan.

Pembaca tiada masa lagi untuk membuka helaian akhbar kerana keterbatasan ruang dan waktu.
Laman sembang dan khidmat pesanan ringkas (SMS) hampir menjadi media walaupun tidak lengkap sepenuhnya.

Apa yang lebih menarik generasi Starbucks lebih meyakini media baru yang dianggap cepat dan bermaklumat. Tanggapan ini tentunya cabaran kepada media tradisional   yang sebelum ini dianggap wadah arus perdana. - Berita Harian, 29 Oktober 2013

Monday, October 28, 2013

Penduduk rayu bersihkan Kota Bharu

Seorang penduduk yang tinggal berdekatan Sekolah Kebangsaan Islah, Kota Bharu, mengadu mengenai tahap kebersihan yang mendukacitakan di kawasan itu.

  Penduduk yang mengirimkan e-mel ke ruangan Forum BH,  berkata kawasan kejiranan Kampung Paya Bemban kotor  kerana  Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan masalah pemungutan sampah.

  “Dulu ada tong sampah besar diletakkan di sebelah Sekolah  Kebangsaan Islah, tetapi kini tiada lagi. Penduduk terpaksa membuang sampah di tepi jalan, menyebabkan kawasan persekitaran kotor dan berbau busuk. Walaupun ada papan tanda yang melarang pembuangan sampah, penduduk tiada pilihan,” kata penduduk yang menamakan diri sebagai Husaini Paya Bemban.

  Pengirim berkenaan mengakhiri e-mel dengan ayat “Berubahlah Demi Islam”  - ungkapan sinis kepada kerajaan Kelantan yang kononnya melaksanakan sistem pentadbiran Islam, tapi masih gagal menunaikan janji yang ditabur sejak 23 tahun lalu.

  Kebersihan, kejujuran dan amanah sebahagian daripada prinsip Islam yang dipraktikkan sejak era Rasulullah SAW. Islam mengutamakan suasana bersih. Malangnya pentadbiran PAS tidak banyak mengutamakan kebersihan di Kelantan. Pelancong ke Kota Bharu sering mengeluh kerana keadaan yang kotor, masjid berbau, Pasar  Siti Khadijah tidak terurus  dan papan tanda sudah lusuh serta perlu diganti.

  Dalam konteks semasa, kekotoran di Kelantan tidak banyak beza dengan negeri lain. Menjadi kelaziman bagi sesetengah  penduduk bersikap pengotor walaupun ada yang mengutamakan kebersihan. Yang menjadi isu sekarang ialah PAS yang mendakwa Islamik sepatutnya menjadi model kepada kebersihan. Kelantan yang ditadbir lebih dua dekad sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain yang kononnya diperintah golongan sekular.

  PAS Kelantan wajar melancarkan kempen kesedaran menjaga kebersihan agar selaras dengan amalan Islam. Kebetulan pula tarikh 22 Oktober lalu genap 23 tahun pentadbiran PAS di negeri berkenaan.

  Kita akui kota Rom tidak terbina dalam masa sehari, apatah lagi  Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi sentiasa menjadi medan penting perjuangan politik Melayu, bukan saja di Pantai Timur, bahkan Malaysia. Minda penduduk perlu diperkasakan, pemimpin pula perlu fokus untuk  menerima idea pembaharuan selaras dengan situasi semasa.

  Dengan penduduk berjumlah  1,313,014 orang  dan 95 peratusnya berbangsa Melayu, tentunya Kelantan menjadi tumpuan, khususnya dalam konteks survival  Islam.

  Sejak beberapa tahun lalu gimik politik mengenai Lebuh Raya Rakyat yang kononnya boleh dibina dengan kos hanya RM14 juta menjadi perhatian ramai. Mustahil lebuh raya sejauh 70 kilometer boleh dibina dengan harga yang murah  kerana membabitkan kawasan yang luas dan penempatan penduduk. Bayangkan jumlah pampasan pengambilan tanah penduduk yang terpaksa dibayar.
Tentunya kos RM14 juta tidak logik, mungkin RM14 billion atau lebih.

  Bagaimanapun dalam konteks politik, isu yang tidak logik boleh diwaraskan kerana kepentingan utama bagi penggerak siasah adalah mendapat sokongan dan bukannya menyuarakan kebenaran.

  Sehingga kini pembinaan stadium yang kononnya boleh menempatkan masjid yang boleh menampung ribuan jemaah  di Bukit Merbau, masih lagi menjadi persoalan umum. Bagi penduduk Kelantan, lebih baik menonton perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV yang sudah uzur berbanding kompleks sukan yang belum tentu wujud.

  Sebagai negeri yang  menghadap Laut China Selatan, Kelantan mempunyai pakej pelancongan yang lengkap jika prasarana diutamakan. Pantai Seri Tujuh di Tumpat, Pantai Irama dan Pantai Tok Bali mempunyai pasir yang putih dan landai sesuai untuk acara kekeluargaan. Pembinaan pusat peranginan yang dilengkapi kemudahan aktiviti pantai perlu disegerakan jika kerajaan negeri berhasrat membangunkan sektor pelancongan.

  Tanah Tinggi Lojing yang sebelum ini sekadar dikenali kerana isu pembalakan haram boleh dimajukan sebagai pusat pelancongan pergunungan. Jika Pahang berbangga dengan Cameron Highlands, Genting Highlands dan Bukit  Fraser, kawasan pergunungan di selatan Kelantan boleh dimajukan bagi meningkatkan ekonomi,  sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

  Dalam hal ini Kelantan perlu bantuan kerajaan Pusat bagi mempromosi negeri berkenaan ke peringkat dunia. Pelaburan asing dan pengusaha pelancongan perlu diundang untuk menilai dan mengkaji keperluan membangunkan Kelantan ke tahap yang lebih baik.

  Tidak salah untuk seketika meredakan kepentingan politik demi pembangunan Negeri Cik Siti Wan Kembang agar setaraf negeri lain. Paling penting rungutan penduduk mengenai kekotoran  perlu diutamakan.  PAS sepatutnya mengerti mesej yang disampaikan oleh penduduknya sendiri.

Wednesday, October 23, 2013

Maklumat peribadi lepasan sekolah terdedah

Jangan terperanjat jika tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada  orang yang tidak dikenali.
“Kami dari unit pengambilan pelajar. Anak encik mendapat tawaran belajar di xxx!” atau ada yang bertanya: “Anak encik  belajar di mana sekarang?”

Pertanyaan dan sapaan daripada individu yang kononnya mewakili institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan isu baru. Ramai ibu bapa yang anak mereka lepasan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerap menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali. Matlamatnya hanya satu, untuk menawarkan pengajian di sesebuah IPTS yang kononnya menjalankan kerjasama dengan beberapa universiti awam tempatan dan luar negara.

Ramai juga yang mempersoalkan mengenai maklumat peribadi mereka yang bocor. Pemanggil telefon boleh mengenal nama ayah dan ibu bekas pelajar SPM dan STPM. Posmen pula bagai rutin harian, membawa surat tawaran menghadiri temu duga di sesebuah IPTS yang kononnya relevan dengan keperluan semasa.

Ada ketika seseorang lepasan sekolah menerima tidak kurang lima surat tawaran belajar di IPTS setiap hari walaupun mereka tidak pernah membuat sebarang permohonan sebelum ini.
Persoalannya, di manakah mereka mendapat maklumat peribadi lepasan sekolah? Dari mana mereka ketahui alamat penuh, nombor MyKad dan nombor telefon kediaman seseorang pelajar serta mengetahui nama ayah dan ibu seseorang?

Kita hairan bagaimana maklumat peribadi seseorang boleh terdedah kepada pihak yang tidak dikenali.

Apakah ada sindiket menjual maklumat kepada pihak berkepentingan sebagai sumber pendapatan sampingan  mereka?

Gejala kacau ganggu lepasan SPM dan STPM sudah lama berlaku. Ramai yang mengeluh kerana bimbang maklumat peribadi seseorang boleh diperoleh pihak lain tanpa izin mereka.

Bayangkan jika maklumat peribadi  disalah gunakan untuk kegiatan lain termasuk membuat pinjaman peribadi daripada  institusi kewangan yang akhirnya memerangkap  dengan bebanan hutang.
Isu ini perlu ditangani segera kerana boleh membawa kesan buruk kepada lepasan sekolah yang mula mengenal kehidupan. Mereka wajar diberi pilihan untuk melanjutkan pengajian tanpa dipujuk rayu mana-mana pihak.

Setiap tahun hampir 80,000 memohon melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Sama ada IPTA atau IPTS, bakal pelajar wajar membuat pilihan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran yang mahu diceburi.

Malangnya tindakan pendedahan maklumat peribadi seseorang boleh mempengaruhi seseorang remaja membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka.

Ada juga IPTS yang membuat tawaran pengajian yang tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kemampuan pusat pengajian berkenaan.

Ada pelajar yang kononnya menerima tawaran belajar sains angkasa lepas, tapi apabila meninjau premis pengajian yang diedarkan ke alamat kediaman, ia hanya sebuah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai beberapa pintu saja. Mampukah IPTS berkenaan menyediakan bidang pengajian yang memerlukan kepakaran dan kemudahan asas luar biasa?

Penipuan berkenaan boleh menjejaskan harapan dan keyakinan masyarakat kepada IPTS tempatan walaupun kononnya mereka menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia.

Kita juga hairan bagaimana dewan tertentu di sesebuah universiti tempatan dibenarkan untuk menjalankan temu duga kemasukan IPTS. Apakah ada individu yang berkepentingan memainkan peranan bagi meraih keuntungan jangka pendek?

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menyiasat punca pendedahan maklumat peribadi seseorang pelajar. Mungkinkah ada  guru di sesebuah sekolah berperanan mendedahkan maklumat pelajar mereka kepada pihak luar?

Kejadian ini perlu disiasat kerana mustahil alamat, nombor telefon dan MyKad pelajar terdedah kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Kementerian Pendidikan juga wajar memantau aktiviti IPTS kerana bukan semuanya mengikut landasan yang betul. Kita masih ingat kes penjualan ijazah di sebuah pusat pengajian swasta tahun lalu hingga mencabar maruah sektor pendidikan di negara ini.

Kita bimbang aktiviti tidak berlandaskan kepentingan akademik berlanjutan sehingga menjejaskan imej IPTS keseluruhan. - Berita Harian, 22 Oktober 2013 

Monday, October 21, 2013

UMNO masih berwajah lama

Gabungan tokoh berpengalaman, wanita  dan muka baru sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjadi cabaran untuk memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi situasi  politik untuk tempoh 2013 hingga 2016.

  Paling ketara jawatan pada peringkat Pusat, negeri dan agensi kerajaan  memberi kelebihan kepada seseorang tokoh  untuk  mengungguli  pemilihan Majlis Tertinggi.

 Pemilihan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan  undi terbanyak memang diduga kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya dalam Kabinet dan parti. Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sudah menunjukkan kewibawaan untuk merampas semula negeri berkenaan yang ditadbir PAS sejak 1990. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Barisan Nasional (BN) berjaya menambah enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tentunya berkait rapat dengan kewibawaan beliau mendampingi rakyat Kelantan.

  Begitu juga dengan pemilihan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Ahli Majlis Tertinggi. Perwakilan melihat perlunya ada tokoh agama dalam parti bagi memastikan UMNO kekal relevan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu di luar bandar.

  Tokoh lain yang terpilih termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Idris Haron, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana latar belakang mereka yang disenangi perwakilan. 

  Pemilihan Datuk Abdul Rahman Dahlan,  Datuk Hasan Malek,  Datuk Seri Shahidan Kassim,  Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Jamaludin Mohd Jarjis,  Datuk Razali Ibrahim,  Datuk Seri Mahdzir Khalid,  Tan Sri Annuar Musa,  Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin,  Dr Mohd Puad Zarkashi,  Datuk Tajuddin Abdul Rahman,  Datuk Seri Azalina Othman Said,  Datuk Abd Latiff Ahmad  dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah,  membuktikan UMNO memerlukan individu yang boleh bekerja dalam satu pasukan.

  Paling penting mereka boleh berperanan membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk menjayakan program transformasi, sekali gus membantu  UMNO mendepani cabaran menjelang 2020.

  Selain itu, kehadiran  Datuk Ab Aziz Kaprawi,  Datuk Bung Moktar Radin,  Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Sohaimi Shahadan menunjukkan keragaman dalam UMNO. Parti memerlukan gabungan insan yang matang, vokal dan boleh bekerja keras bagi menjayakan aspirasi rakyat.

Paling penting cabaran yang bakal dihadapi UMNO tidak mudah ketika prestasi BN dalam dua pilihan raya lalu tidak memberangsangkan.

  Sokongan daripada 191 bahagian di seluruh negara bukan bermakna rakyat yang bukan menjadi ahli parti menyokong mereka. Di sinilah letaknya cabaran sebenar untuk Ahli Majlis Tertinggi membuktikan bahawa mereka menjadi harapan rakyat pelbagai kaum yang masih mengharapkan pembelaan UMNO.

  Keadaan ini membuktikan akar umbi UMNO mementingkan tokoh yang boleh bekerjasama dengan pucuk pimpinan parti dan kerajaan bagi menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.

  Kehadiran semula Annuar dalam Majlis Tertinggi membuktikan ahli mahukan tokoh veteran yang lantang  berganding dengan muka baru.  Begitu juga kemasukan tokoh muda seperti Reezal Merican menggambarkan proses peralihan berjalan lancar.

  Kehadiran tokoh wanita seperti Azalina dan  Rosnah  membuktikan UMNO sentiasa mengutamakan perjuangan kewanitaan ke peringkat nasional. Gabungan dua  serangkai dijangka menyuarakan hasrat wanita yang masih memerlukan pembelaan pada peringkat parti dan kerajaan.

  Kepelbagaian pengalaman  yang dimiliki Ahli Majlis Tertinggi  membuktikan UMNO kekal relevan dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama. Paling penting pengalaman  mereka boleh digunakan untuk mendekati rakyat, terutama penduduk luar bandar yang masih memerlukan tumpuan pembangunan.

  Bagaimanapun, tersingkirnya penyandang  Datuk Saifuddin Abdullah tidak memeranjatkan. Perkembangan yang berlaku pada  peringkat bahagian dan tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan menyukarkan beliau  mendapat perhatian perwakilan. Apa pun  barisan Majlis Tertinggi yang dipilih diharap  mampu menggerakkan jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

  Pemilihan kali ini  memberi peluang kepada ahli   membuat keputusan  berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009 ke arah menjadikan UMNO  lebih telus, demokratik dan membasmi gejala politik wang.  Sejak ditubuhkan 11 Mei 1946, UMNO membuktikan pertubuhan berkenaan sebagai pejuang demokrasi tulen. Amalan mengutamakan kepentingan akar umbi menjadikan parti berkenaan lebih unik dan mantap.

   Kira-kira 146,000  ahli akar umbi diberi hak menentukan pimpinan peringkat bahagian dan saf tertinggi kepemimpinan parti itu berbanding sebelum ini yang hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis Tertinggi ketika  perhimpunan agung parti di ibu negara.

 Di sinilah letaknya keunikan dan kelebihan UMNO yang sentiasa mendahului kepentingan ahli kerana membenarkan mereka membuat keputusan menentukan pucuk pimpinan.

  Kita yakin cara pemilihan ahli Majlis Tertinggi dan Naib Presiden  yang dijalankan serentak di seluruh negara kelmarin  mencapai sasaran untuk mendahului suara rakyat mengikut prinsip demokrasi. 

  Walaupun sistem pemilihan tidak mencapai kesempurnaan seratus peratus, namun UMNO sudah membuktikan parti berkenaan bersedia berubah bagi memastikan ia kekal relevan dengan situasi semasa.

  Ahli sudah memilih tokoh terbaik untuk memimpin UMNO, kini terpulang kepada mereka menentukan hala tuju perjuangan. Kemenangan jawatan dalam parti bukan menggambarkan kekuatan di peti undi pada PRU-14. Inilah cabaran sebenar yang perlu diperhatikan sekarang. - Berita Harian, 2013

Sunday, October 13, 2013

Selamat bertugas Mas Ermieyati Samsudin

Pemilihan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO  bagi penggal 2013 hingga 2016 tepat pada waktunya ketika sayap berkenaan memerlukan pimpinan dinamik bagi menguatkan jentera parti.


Mas Ermieyati yang juga  Ahli Parlimen Masjid Tanah,  Ketua Puteri Melaka serta Pengarah Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Puteri mendapat sokongan besar menewaskan  Jamilah Hanim Othman.

Keputusan yang dibuat oleh 191 bahagian  di seluruh negara semalam membuktikan proses peremajaan dalam Puteri UMNO berjalan lancar dan mereka memilih individu terbaik bagi membantu menjayakan transformasi politik dalam parti.

Mas Ermieyati yang berpengalaman dalam bidang perundangan dan pentadbiran  mampu mengisi kekosongan  ditinggalkan  Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang terpaksa    melepaskan jawatan  atas faktor melepasi had umur.

Beliau aktif menggunakan media baru untuk menyalurkan kegiatan politiknya, sekali gus dilihat oleh generasi muda sebagai rakan sosial yang berwibawa.

  Zahida Zarik Khan  terpilih menjawat naib ketua selepas menewaskan dua pesaingnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin  Norsabrina Mohd Noor dan Ketua Puteri Tawau,  Nazliah Ali.

Zahida yang juga  Ketua Puteri Pandan dan Pengerusi Biro Kesihatan Puteri menjadi gandingan kepada Mas Ermieyati bagi memacu kecemerlangan Puteri UMNO khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mereka terkenal dengan kegiatan kemasyarakatan serta turun padang bagi mendekati akar umbi parti.  Gabungan kedua-dua tokoh muda berkenaan dianggap pasangan mantap yang  mampu membawa perubahan dalam Puteri UMNO yang sebelum ini pernah didakwa sebagai  penyeri dalam parti semata-mata.

Mereka terkenal vokal dalam isu nasional terutama membabitkan kepentingan wanita. Ramai pemerhati meyakini suara Puteri UMNO akan lebih kedengaran selepas ini bagi membantu kekuatan bangsa dan agama dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Kepemimpinan Mas Ermieyati  juga boleh menjadi penggerak kepada 20 Exco yang terpilih dengan  pelbagai latar belakang kerjaya.

Ramai yang meyakini mereka bakal menjadi  penggerak wanita muda untuk mengembalikan semula kecemerlangan UMNO bagi menghadapi cabaran menjelang 2020.

Pemilihan mereka membuktikan sayap UMNO semakin mantap apabila tokoh muda berpendidikan dan berpengalaman dalam pelbagai sektor dipilih menggerakkan Puteri UMNO bagi tempoh tiga tahun.  

Sejak  ditubuhkan  pada 3 Ogos 2001 ketika era kepemimpinan Tun  Dr Mahathir Mohamad, Puteri UMNO dianggap sayap khas untuk generasi muda wanita yang berperanan mendapat sokongan pengundi baru.

 Dalam beberapa pilihan raya umum dan kecil, Puteri UMNO bukan sekadar dianggap penyeri aktiviti politik, malah berperanan meraih undi di kawasan penempatan Melayu.
 Ketua Puteri UMNO yang pertama ialah Datuk Seri Azali  na Othman Said, diikuti  Datuk Noraini Ahmad (2004).

Kita yakin  barisan kepemimpinan baru Puteri dianggap gabungan mantap untuk menguatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka juga sudah membuktikan sudah bersedia mengisi kepemimpinan Wanita suatu hari nanti sesuai dengan proses peralihan kuasa mengikut prinsip  demokrasi yang menjadi amalan UMNO sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Peralihan kuasa yang berjalan lancar dalam Puteri UMNO membuktikan parti berkenaan tidak pupus dengan kepemimpinan baru. Walaupun penyandang ketua dan naib ketua sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan kerana faktor usia, kehadiran muka baru menjawat jawatan penting itu membuktikan UMNO sentiasa bersedia menyediakan tokoh masa depan, terutama dalam kalangan wanita.

Jika pembangkang selama ini mendabik dada kerana mempunyai tokoh wanita yang dikenali ramai, Puteri UMNO membuktikan mereka juga masih mampu berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.

Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan masa depan Puteri UMNO sebagai sayap penting
parti selepas Wanita dan Pemuda.

Kita yakin Mas Ermieyati sedang memikirkan langkah terbaik kerana politik tidak pernah statik dan Puteri UMNO memerlukan proses penambahbaikan untuk kekal relevan. - Berita Harian, 14 Oktober 2013 

Tuesday, October 01, 2013

Chin Peng sekadar tinggalan sejarah keganasan

CHIN PENG ...komunis yang mati tanpa negara.
Berakhirnya Perang Dingin menjelang 1990 menjadi penamat kegiatan komunis di seluruh dunia. Soviet Union berpecah kepada beberapa negara kecil yang sehingga kini mengalami pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Kecuali Russia yang masih dianggap kuasa besar kerana menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, negara lain hanya sekadar kesan sejarah era Perang Dingin.

  Banyak parti komunis berkubur dan komunisme bukan lagi menjadi penghalang kepada kegiatan ekonomi bebas dan sistem demokrasi berparlimen.

  Parti Komunis Malaya (PKM) hanya catatan sejarah yang semakin dilupakan kecuali disebut semula berikutan kematian Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua  pada  16 September lalu di Bangkok.

  Sejak beberapa tahun lalu, isu kesihatan Chin Peng kerap disiarkan media baru dan kematian pada Hari Malaysia dianggap oleh sesetengah pihak sebagai detik bersejarah untuk rakyat.

  Tanggapan demikian kurang tepat kerana sejarah kekejaman lelaki berusia 90 tahun itu terlalu banyak. Dosanya tidak mungkin diampun walaupun filem The New Village mempunyai kecenderungan mengangkat darjat wira era Darurat di Malaysia.

 Tidak timbul di mana dan ke mana mahu dibawa abu mayat orang yang pernah memberikan catatan berdarah dalam sejarah Malaysia. Chin Peng bukan rakyat Malaysia, tidak pernah memohon kerakyatan dan tidak meminta maaf berikutan keganasan PKM sejak dekad 1940-an.

  Walaupun kemerdekaan negara dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, PKM masih enggan meletakkan senjata dan terus membunuh, mencederakan dan mencacatkan ribuan rakyat  dan anggota keselamatan walaupun penjajah British sudah lama meninggalkan negara kita.

  Fakta sejarah ini perlu dikaji ketika ada pihak yang meminta tindakan berlembut terhadap seseorang yang sudah meninggal dunia. Mustahil rakyat   boleh mengampunkan tindakan ganas PKM diketuai Chin Peng yang berjuang semata-mata untuk menubuhkan kerajaan komunis di Malaysia. Rakyat arif dia menolak demokrasi dan anti-Islam.

  Lebih menghairankan ada media baru yang mula mempelopori gerakan mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara. Ada yang mencadangkan diberikan gelaran ‘Tun’ kononnya menghargai jasa pejuang kemerdekaan.

  PKM hanya bersetuju menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan kerajaan Malaysia selepas menyedari kekuatannya semakin lemah dan ideologi komunisme merosot. Dunia ketika itu melihat komunis semakin lebur apabila banyak negara di Eropah Timur berlaku pemberontakan dan pertukaran rejim.

  Sistem komunis dan sosialis mula dipersoalkan. Yugoslavia berpecah kepada beberapa negara. Albania, Jerman Timur dan  Poland mula menerima sistem ekonomi bebas.

  Di Asia pula, pengaruh komunis di Vietnam, Kemboja dan Laos merosot. Walaupun sosialis kekal berkuasa, mereka menerima sistem pasaran bebas untuk menyesuaikan diri dengan suasana perdagangan dunia. Korea Utara dan China yang sehingga kini masih ditadbir komunis tapi mula mengamalkan ekonomi terbuka. Hanya dari segi ideologi yang memaksa dua negara berkenaan bertegas bagi memastikan perimbangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan isu kewujudan dua China berikutan kehadiran Taiwan sebagai kuasa ekonomi Asia Timur.

  Perkembangan ini menjadikan PKM tidak lagi relevan untuk terus mengangkat senjata. Mereka menandatangani perjanjian damai kerana tidak lagi mampu berjuang. Rakyat sedar kelemahan sistem komunis dan slogan yang kononnya berjuang membela golongan tertindas sekadar ungkapan kosong. PKM ditolak oleh rakyat Malaysia dan hanya golongan tua berjuang di hutan.

  Kesedaran Islam yang memuncak pada dekad 1970-an memberi kesan terhadap gerakan komunis. Penubuhan Angkatan Belia Islam (ABIM) dan gerakan siswa Islam di pusat pengajian tinggi berjaya menjadikan komunisme tidak relevan lagi.

  Perubahan politik di Iran apabila Mohammad Reza Shah Pahlavi (1919-80) ditumbangkan oleh gerakan rakyat menjadikan PKM tidak disebut lagi. Imej Ayatollah Khomeini yang dikaitkan sebagai Islamik menjadi ikon,  menghakis pengaruh komunis di beberapa negara.

  Dekad 1980-an dan 1990-an memberi kesan terhadap perimbangan kuasa dunia. Runtuhnya Tembok Berlin bermakna komunisme di penghujung jalan. Golongan yang masih bermimpi mengenai Chin Peng harus terima hakikat komunisme hanya tinggalan sejarah. Rakyat Malaysia melihat masa depan lebih gemilang, bukan bernostalgia kepada perjuangan yang tersasar. - Berita Harian, 1 Oktober 2013    

Tuesday, September 24, 2013

Kuala Lumpur perlu Muzium Sastera

 PENYAIR  A Ghafar  Ibrahim  (AGI) bertanya bilakah Muzium Sastera akan dibina? Beliau hairan isu pembinaan Muzium Sastera di Kuala Lumpur  yang pernah dilontarkan tokoh negara sejak dua dekad lalu sudah berkubur.

Persoalan sama kerap diperdebatkan sesama teman seni kerana Muzium Sastera yang ada di Melaka sekarang masih perlu dipertingkatkan sebagai medan rujukan, kajian dan ikon kesusasteraan negara.
Dulu ada cakap-cakap  yang mahu memperkasakan sastera Melayu dan perlunya sebuah muzium sebagai pusat rujukan global. Kini yang tinggal hanya program transformasi yang   tiada kaitan dengan seni, budaya dan kesusasteraan.

Program mengembangkan seni dan budaya juga bagai pinggiran apabila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan lebih mengutamakan usaha menarik pelancong, sekali gus mengabaikan perkembangan kebudayaan dan kesusasteraan sebagai wadah pengucapan dan warisan intelektual bangsa Malaysia.

Lebih malang tiada program memperkenalkan sastera  kepada pelancong   kerana warga asing yang melawat Malaysia akan dibawa mendongak bangunan Menara Berkembar Petronas,  belayar sepanjang Tasik Putrajaya atau berjemur  di pasir pantai Langkawi yang tiada unsur budaya.

Sejak awal lagi ada pihak  yang meragukan kewujudan  kementerian yang menggabungkan  pelancongan dan  kebudayaan. Ia tidak wajar dan tiada iltizam kerana pelancongan lebih mengutamakan material berbanding kebudayaan sebagai santapan minda.

Malangnya hal ini dibiarkan berterusan hingga mendorong pihak  yang sepatutnya menggunakan unsur budaya sebagai tarikan pelancongan lebih mengutamakan  sorak-sorai yang jauh daripada persekitaran tempatan.

Jika negara lain berbangga dengan karya sastera dan budaya, kita lebih ghairah bercakap  industri pelancongan sekadar melawat kawasan gunung, pantai, pencakar langit, pusat beli-belah dan Batu Caves. Jika  berada di luar negara, kita kerap  mendengar penerangan  mengenai seni  termasuk  mengunjungi  rumah kelahiran penulis tersohor  atau pusat pengajian yang mendidik mereka.

Muzium Sastera akan memaparkan karya sebagai rujukan kehadiran sasterawan besar sesebuah bangsa. Ramai pelancong menghargai apa yang dilakukan  di Scotland dan Ireland, tapi tidak di Malaysia!

 Di Edinburgh misalnya, stesen kereta api utama dinamakan Edinburgh Waverly Station. Waverly adalah nama novel karya Sir Walter Scott, pengarang besar Scotland yang turut menulis  Ivanhoe. Lebih menarik lagi, novel Waverly boleh dibeli di mana-mana kedai buku sekitar Edinburgh, hatta di kedai runcit.

 Di Lake District, sebuah daerah Barat Laut England,  sastera menjadi  tarikan  apabila nama Samuel Taylor Coleridge, Beatrix Potter dan William Wordsworth  dipaparkan sebagai The Lakeland Poets. Ramai sasterawan Malaysia yang ke sana tidak melepaskan peluang menikmati karya besar Inggeris. 
Muzium penulis yang dinamakan  Dublin Writers Museum menjadi tarikan di Dublin. Ia menyimpan karya    selain  bahan peribadi penulis seperti mesin taip, pena, manuskrip,  buku serta  alat yang berkaitan dengan penulis  George Bernard Shaw, Oscar Wilde, James Joyce dan  WB Yeats.

Begitu juga  Stratford-upon-Avon yang amat sinonim dengan Shakespeare atau rumah Charles Dickens di London atau alamat 221B Baker Street, London yang menjadi kediaman watak Sherlock Holmes karya  Sir Arthur Conan Doyle atau latar tempat di Bath, England yang diabadikan oleh Jane Austen di dalam novel Persuasion dan Northanger Abbey.

Malangnya karya A Samad Said, Anwar Ridhwan, Usman Awang dan  S Othman Kelantan tidak diketahui pelancong, selain pengkaji seni   Barat.  Dalam hal ini peranan Muzium Sastera bukan sekadar mempamerkan karya, juga membawa pelancong mendekati karya tempatan. Agensi pelancongan pula perlu  mencatatkan  kunjungan ke Muzium Sastera  yang serba lengkap  sebagai satu daripada rangka lawatan pengunjung ke Malaysia.  Muzium  yang terletak di bangunan lama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) masih  jauh daripada kesempurnaan, apatah lagi untuk membawa pelancong melihat karya besar tempatan. Muzium berkenaan menyimpan  sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal --  Cerita-cerita Rakyat, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah dan beberapa karya moden.

Bagaimanapun banyak karya yang sepatutnya ditempatkan tiada dalam senarai termasuk karya pemenang penulisan Asia Tenggara dan  pemenang Hadiah Sastera Malaysia.

  Kita akui  muzium berkenaan menyimpan bahan pameran utama termasuk  lukisan yang menggambarkan  peristiwa penting berdasarkan petikan Sejarah Melayu dan  bentuk hukuman yang dilaksanakan menurut Hukum Kanun Melaka menarik perhatian pengkaji. Tapi tercicirnya beberapa karya  penulis penting sejak dekad 1950-an hingga kini sepatutnya tidak berlaku. - Berita Harian, 24 September 2013

Thursday, September 19, 2013

Ancaman ombak tak kenal benteng politik

Pantai Cahaya Bulan sudah hilang seri.
Tiada lagi puisi dan lagu. Hakisan ombak membadai gila.
Pantai yang dulunya tempat kami berpuisi  sudah hilang seri. Tiada lagi pohon kelapa dan ru rendang. Tiada lagi ombak tenang dan jemari kecil membina istana pasir. Keadaan sudah berubah seperti perubahan  nama Pantai Cinta Berahi kepada  Pantai Cahaya Bulan (PCB).

 Hakisan ombak menjadikan tepian pantai ini kelihatan muram.  Bagi pengunjung, PCB sudah kehilangan tarikan. Ombak semakin laju menerjah pantai. Tempat untuk bersantai dan berenang  tiada lagi. Hanya tinggal beberapa gerai makanan laut  yang kehilangan pengunjung. Peniaga mengeluh kerana PCB tidak lagi menjadi destinasi pelancongan  hujung minggu. Dulu pantai ini sering menjadi medan pertemuan seniman Kelantan. Abdulaziz HM dan Grup Teater Malini sering bersantai, membaca puisi dan berlatih teater.

 Beberapa kilometer dari PCB letaknya Kem Kijang yang menjadi tempat bersejarah penganjuran Hari Sastera Nasional dan Hari Puisi Nasional. Nama Moechtar Awang muncul sebagai pemenang kedua Anugerah Puisi Putra menerusi kumpulan puisi Pasrah pada 1980. Karya itu  ada kaitan dengan nasib nelayan dan petani Kelantan yang pasrah dengan terjahan ombak dan monsun yang ganas.

 Kini segalanya sudah berlalu kerana PCB bukan lagi tempat sesuai untuk dikunjungi.  Pada Oktober tahun lalu, lapis lindung batu hanya separas dada  bagi mengelak  ombak kuat  Laut China Selatan. Keadaan berubah  ketika penulis  tiba di PCB pada  2 September  lalu.  Lapis lindung batu semakin tinggi dan hampir melenyapkan pandangan terhadap laut.

Jika ke pantai tanpa melihat alunan ombak, tentu tidak bererti bagi pengunjung.  PCB dan  Pantai Sabak di Kelantan  mengalami hakisan paling serius, diikuti Pantai Tok Bali dan Pantai Irama. Ia membabitkan  jarak pantai sepanjang 53.3 kilometer yang mengalami hakisan teruk. Empat lokasi itu memerlukan tindakan segera bagi mengelak rumah penduduk dan harta awam hanyut ke laut.

 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah melakukan beberapa usaha, namun Laut China Selatan sentiasa mencabar. Permukaan muka bumi yang berbeza di antara Pantai Timur dan Selat Melaka memerlukan tindakan lebih drastik. Pantai Timur dipenuhi pasir yang memutih dan senang dibawa ombak ke laut. Pantai Barat pula dipenuhi lumpur dan terjahan ombaknya tidak kuat kerana dihadang oleh Sumatera. Perbezaan muka bumi menjadikan Pantai Timur mengalami hakisan ombak yang luar biasa.

 JPS sudah  membina lapis lindung batu di sebahagian pantai PCB  terutama berhampiran muara Sungai Semut Api. Bagaimanapun, Kerajaan Pusat tidak boleh lepas tangan.  Kita yakin kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tidak mampu mengawal hakisan ombak. Masalah kos dan kelengkapan menjadikan usaha menghalang hakisan sentiasa terbantut. Kerajaan Pusat perlu membantu  melaksanakan tanggungjawab demi kebajikan rakyat walaupun di negeri ditadbir pembangkang.

 JPS Kelantan wajar  menyediakan laporan  masalah berkenaan untuk dibawa kepada Kerajaan Persekutuan. Ia antaranya merangkumi panjang kawasan  pantai terbabit serta jumlah peruntukan bagi membaik  pulih.

 Di Bachok umpamanya, hakisan sudah menghampiri  kawasan Masjid Jajahan Bachok, manakala benteng yang  dibina Kerajaan Pusat dengan kos jutaan ringgit roboh  dilanda ombak tahun lalu. Laporan itu penting bagi  membolehkan kerja membaik pulih  dilaksana segera. Kerajaan negeri juga perlu membuat laporan secara rasmi kepada Pusat dan bekerjasama bagi mengatasi masalah.
Ketepikan perbezaan politik kerana ancaman dari Laut China Selatan tidak pernah mengenal makna siasah. Beberapa tahun lalu, ombak menerjah ke pekan Bachok dan menjejaskan aktiviti perniagaan. Masalah ini perlu diatasi. Jadikan politik untuk menunaikan kebajikan kepada rakyat. Bayangkan betapa hibanya perasaan penduduk  Pantai Sabak, Pengkalan Chepa apabila melihat batu nisan keluarga mereka dihanyutkan ke Laut China Selatan.

 Bayangkan juga nasib Kota Bharu pada masa akan datang jika hakisan ombak secara rakus dan berterusan melenyapkan sebahagian bumi Kelantan. Isu alam sekitar bukan cerita takdir atau nasib. Manusia berhak melestarikan alam   bagi memastikan hakisan tidak berlaku. Gelombang yang kuat pada musim tengkujuh akhir tahun ini dijangka mengubah pesisir pantai. Kita tidak mahu  perbezaan politik dan sikap rakus manusia menyebabkan kawasan kunjungan ramai lesap ditelan ombak.
 Tentunya PCB  tidak seperti kira-kira 30 tahun lalu. Peniaga sentiasa mengintai pelanggan yang tidak seberapa ketika angin semakin kencang. Hakisan ombak berterusan dan Laut China Selatan semakin tidak simpatik! - Berita Harian, 17 September 2013

Thursday, September 12, 2013

Siapa lawan Mat Sabu?

Siapa bakal cabar Timbalan Presiden PAS,  Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu pada  pemilihan parti  November ini?

Sehingga kini hanya nama  Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kerap disebut layak bertanding jawatan berkenaan berdasarkan statusnya sebagai ulama dalam parti.

  Ada kecenderungan segelintir ahli PAS untuk memilih ulama menjadi regu Datuk Seri  Hadi  Awang untuk sesi 2013 hingga 2015.

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar ulama dipilih menduduki kerusi kedua dalam parti mendapat reaksi berbeza.

  Kalangan veteran dan ulama menyokong kenyataan berkenaan kerana PAS  dianggap parti yang memperjuangkan Islam. Justeru, ulama wajar mengetuai parti bagi memastikan perjuangan PAS tidak diselewengkan dengan agenda lain.

  Pada pandangan mereka jika sesuatu takdir berlaku terhadap Hadi, pengganti bertaraf  ulama juga bakal meneruskan perjuangan parti. Ia jaminan golongan sekular dan sosialis tidak mencemarkan PAS seperti berlaku terhadap parti lain.

  Bagaimanapun pentadbiran Hadi sejak 2003 penuh berliku. Beliau pernah menjulang nama parti apabila membantu menawan Terengganu selama sepenggal (1999-2004). Hadi juga dianggap pemimpin utama yang membantu menyatukan  pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) sejak 1998.

  Krisis UMNO dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Timbalan Presiden UMNO pada 2 September 1998 membuka ruang pergolakan politik tanah air. Hadi bersama Anwar dan veteran DAP, Lim Kit Siang bergabung mewujudkan apa yang dikatakan Pakatan Rakyat bagi menghadapi dominasi politik BN atau sebelumnya Perikatan.

 Bagaimanapun imej Hadi sebagai ulama terjejas kerana PAS gagal menegaskan isu penubuhan negara Islam seperti yang dilaungkan pemimpin terdahulu. PAS hanya melaungkan isu agama dan kalimah Allah untuk pengundi dan penyokong di luar bandar Pantai Timur, tapi bimbang memperjuangkan hukum hudud di depan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

  Ada beberapa pemimpin PAS lebih selesa dengan penubuhan negara berkebajikan  bagi menjamin muafakat  pembangkang. Jika Hadi yang dianggap ulama tidak lagi berani menyebut penubuhan negara Islam, apatah lagi pemimpin lain seperti Mat Sabu  dan Khalid Samad yang sentiasa menjadi bualan umum.

 Nik Aziz menyedari situasi genting yang dihadapi PAS sekarang. Memperjuangkan Islam sebahagian landasan PAS sejak dekad 1950 dan ulama perlu meneruskan perjuangan  parti bagi memastikan gerakan PAS kekal di kawasan Melayu di luar bandar terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

 Dengan menyebut ulama wajar menduduki kerusi kedua parti, beliau  seolah-olah memberi isyarat kepada perwakilan PAS agar tidak lagi memilih Mat Sabu. Persoalannya, mampukah Tuan Ibrahim mencabar tokoh yang ada sekarang? Sejauh mana beliau mendapat sokongan daripada  ahli parti yang bukan ulama seperti Khalid, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Dr Mohd Hatta Ramli?

  PAS kini dalam dilema kerana hala tuju masa depan bergantung kepada perkembangan siasah semasa. Perjuangan agama dan kaum memerlukan pengorbanan tinggi kerana politik Malaysia yang pelbagai bangsa dan kepercayaan sering mempengaruhi pola pengundian setiap kali pilihan raya umum. 

  Memilih tokoh yang dikatakan ulama bukan jaminan PAS kekal relevan kerana situasi politik   menuntut tokoh yang mampu memberi pandangan dan membentuk pandangan umum.

  Tokoh seperti Khalid, Salahuddin, Husam, Mohammad Nizar  dan Dr Mohd Hatta menepati keperluan politik nasional yang memerlukan golongan profesional dan intelektual.

  Bagaimanapun pengaruh PAS di luar bandar perlu diambil kira dan imej ulama kekal berperanan membantu PAS  memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sejak 1950-an.
Jika bukan Tuan Ibrahim, siapa lagi yang mampu cabar Mat Sabu bagi menggantikan Hadi yang sudah 10 tahun memimpin parti?

 Tokoh PAS yang disebut sebagai pencabar jawatan Timbalan Presiden sehingga kini masih belum memberi isyarat jelas, namun Mat Sabu  sudah bertegas untuk mempertahankan jawatan berkenaan. - Berita Harian, 12 September 2013 

Tuesday, September 10, 2013

Raden Galo relevan isu semasa

Gerimis Ahad lalu bukan halangan untuk menonton teater Raden Galo di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Ternyata  berbaloi kerana pementasan hampir 120 minit  mengingatkan penulis kepada naskhah Hikayat Panji Semirang -  klasik Melayu  yang  menjadi  sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan struktur sosial nusantara terutama citra Jawa pada era feudal.

  Hikayat Panji Semirang mengisahkan perihal ketabahan seorang puteri raja yang tidak mendapat perhatian bapanya. Baginda  bertekad meninggalkan istana,  menyamar sebagai  lelaki serta  menghadapi pelbagai rintangan sebelum  bertemu semula dengan keluarganya.

  Penulis pernah  teruja dengan filem klasik  Panji Semerang terbitan 1961 lakonan Seniwati Saadiah dan Aziz Jaafar. Kita yakin teater  Raden Galo adalah  adaptasi  filem Panji Semerang dengan pelbagai improvisasi bagi menyesuaikan dengan suasana pementasan pada malam berkenaan.

  Tahniah Mazlan Tahir kerana berjaya membawa naskhah klasik sebagai projek Diploma Showcase yang dijayakan pelajar Diploma Pengurusan Seni dan Diploma Teater semester 5, Fakulti Filem, Teater & Animasi UiTM. Melalui program ini, semua pelajar akan dinilai oleh pensyarah masing-masing.

  Kesungguhan mereka beraksi hampir melupakan kita pelakon yang berada di pentas adalah pelajar – amatur  yang masih jauh perjalanan seninya. UiTM berjaya menyemai jiwa profesional dalam kalangan pelajar dan pensyarah untuk mengangkat karya besar Melayu dengan dana dan kemudahan terbatas.

  Selama hampir dua jam Raden Galo membawa penonton bukan saja ke zaman lampau, malah memikirkan apa yang sedang berlaku dan mungkin terus berlegar dalam kehidupan manusia.
 
Isu sosial seperti perebutan kuasa, nafsu serakah, kecurangan hubungan suami isteri dan perbuatan sihir – sebahagian daripada mesej yang masih relevan dengan masa kini. Kes pembunuhan dan percubaan menyalahgunakan kuasa menjadikan Raden Galo sebagai karya menarik untuk dinilai.

  Lakonan pelajarnya boleh dianggap mantap dan setanding dengan beberapa artis yang sedang mencipta nama. Rekaan artistik, set, props, kostum, tatarias, kesan bunyi  dan pencahayaan berjaya menghidupkan Raden Galo. Sayangnya saiz pentas yang agak sederhana mengehadkan pergerakan pelakon, bagaimanapun tidak mencacatkan usaha  membuka peluang  kepada pelajar untuk menjayakan pementasan berkualiti.  

  Kemudahan sistem bunyi juga  perlu dipertingkatkan jika UiTM merancang untuk menjadikan Fakulti Filem, Teater dan Animasi sebagai pusat pengajian berdaya saing,  jika berusaha menyediakan artis ala Broadway.

  Memang tidak adil mengharapkan kesempurnaan 100 peratus dalam sesebuah pementasan. Karya teater sentiasa berkait dengan emosi pengarah dan pelakonnya. Proses nilai tambah sentiasa berlaku dan kita yakin Raden  Galo sebahagian daripada upaya yang dimiliki generasi  muda kita.

  Pengalaman berteater di Malaysia tidak banyak berbanding Indonesia dan Thailand. Jangan bandingkan kita dengan Britain, Jepun, India dan China yang sudah dewasa tamadun mereka. Tidak ramai pelajar diasuh berteater sejak kecil.  Jika di Jakarta pengajaran teater diasuh secara terancang di sekolah dasar (rendah), kita hanya menjadikan pementasan sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum di sekolah menengah dan rendah.

  Kita jarang memanfaatkan teater tradisional yang sudah lama membudaya masyarakat Melayu. Tradisi bagih, wayang kulit, makyung, menora, main puteri dan tok selampit sepatutnya dimanfaatkan.

  Kita yakin Raden Galo bukan sekadar pementasan sebagai syarat   untuk mendapatkan diploma, bahkan sebagai upaya untuk menilai perasaan bersama dalam kalangan generasi muda.
 
Kegiatan teater memerlukan persiapan rapi. Dana, pengurusan pentas, skrip, pengarah, pelakon dan pelbagai kepakaran bagi menjayakan pementasan. Ia memupuk nilai bersama, semangat bekerja dalam pasukan serta menghayati watak yang bukan milik peribadi masing-masing.

  Ketika Malaysia semakin jauh daripada menghayati tradisi seni dan intelektual bangsa, kita yakin pementasan di Dewan Seri Budiman selama empat malam berjaya memupuk generasi muda dalam kegiatan kesenian.

  Kita harap berteater bukan sekadar untuk mendapatkan diploma bahkan berusaha menjadikan kesenian sebagai wahana memupuk jiwa murni dan insan berdaya saing pada masa hadapan.
  Raden Galo tentunya memerlukan penerusan lebih baik lagi selepas ini. - Berita Harian, 10 September 2013 

Monday, September 09, 2013

A Samad Said & makna kebebasan

SAMAD komited dengan perjuangan dan
dia harus membayar tinggi demi apa yang diyakininya.
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said secara sinis bertanya: “Apakah peranan akhbar saudara itu pengghairah, pelapor, pendakwah atau pengekor?" -   Hujan Pagi (halaman 124).
 
Sebagai wartawan dan sasterawan, Samad mempunyai kepelbagaian pengalaman menerusi bidang yang diceburi. Justeru, secara sinis Samad berkata:  “Akhbar kita suara rakyat. Hujan Pagi suara keadilan.” (hakhbar berbahasa Melayu yang pertama, Jawi Peranakan diterbitkan pada 1876, peranan media sebagai alaman  281).

Sejak 56 tahun merdeka, peranan media dan wartawan tidak dapat lari daripada masyarakat. Media bukan sekadar pelapor, bahkan penggerak pemikiran massa. Media kekal berperanan menjadi suara daripada  rakyat untuk rakyat dan bukan sebaliknya.

Amat malang apabila media sekadar  melaporkan suasana yang enak  tapi menafikan suara marhaen ketika usaha memaknakan detik kemerdekaan negara.

Sejak  rakan rakyat tidak pernah dipertikaikan. Perjuangan kemerdekaan, gerakan massa yang menyeru perpaduan Melayu dan agenda nasional sentiasa jadi keutamaan.

Jawi Peranakan bukan sekadar revolusi pemikiran bangsa, malah penggerak dan pendesak yang akhirnya membentuk semangat kebangsaan di negara ini.

Bagaimanapun fahaman yang diterapkan oleh Niccolo Machiavelli dalam buku  The Prince, menjadikan media sebahagian daripada agenda pentadbiran. Banyak negara ketiga dan sedang membangun mengawal media menyebabkan  kritikan yang dilontarkan dalam Hujan Pagi menjadi kenyataan.

Samad memberi perbandingan latar belakang perkembangan media sebelum dan selepas kemerdekaan. Zaman penjajahan menjadi titik tolak penindasan penjajah terhadap anak bangsa apabila  ejen British memperalatkan pelbagai sumber untuk mengawasi media. Penjajah, dengan citra  kezaliman, sentiasa berusaha memastikan anak bangsa tidak menyebarkan fahaman kemerdekaan yang boleh menggugat penguasaan mereka menjarah hasil bumi.

Petugas media sentiasa diperhati dan ditahan kerana alasan menggugat ketenteraman awam.   Pak Sako, Tan Sri A Samad Ismail, Ahmad Boestamam dan Said Zahari bukan sekadar berdepan  halangan perjuangan, bahkan membayar harga yang tinggi termasuk dipenjara  beberapa tahun kerana perjuangan yang dianggap bertentangan dengan cita-cita nasional.

Pasca merdeka pula media dicurigai oleh anak bangsa yang mendapat layanan istimewa sebagai penguasa bekas jajahan. Banyak  peraturan, hukum dan akta yang melarang kebebasan menyebabkan media dan wartawan dicabar menyatakan sikap menerusi media baru. Kehadiran blog, portal berita dan laman  sosial sebahagian daripada cetusan yang mahukan kebebasan bermaklumat.

Malangnya kebebasan itu sendiri masih subjektif apabila media baru juga tidak terkecuali dengan  sentimen tertentu. Agenda peribadi dan siasah menjadikan media sosial sebagai medan luahan perasaan yang akhirnya menggugat makna kebebasan itu sendiri.

Sejak peristiwa pemogokan wartawan Utusan Melayu  pada 1961, peranan media sebagai pencetus suara rakyat tidak pernah reda. Said Zahari antara watak yang membantah usaha UMNO menguasai Utusan Melayu kerana bimbang media menjadi alat kepada penguasa. Beliau mahukan media sentiasa kritikal dan tidak bersimpati. Akibatnya beliau dilarang masuk ke Malaya oleh Perdana Menteri,  Tunku Abdul Rahman Putra yang menjawat  Menteri Dalam Negeri.

 Hari ini maklumat dan berita bukan lagi di media tradisional. Sesiapa saja boleh mendapatkan maklumat hatta di dalam poket  mereka kerana kemudahan komunikasi boleh dibawa ke mana saja. Telefon pintar, kemudahan wi-fi dan  pakej data membolehkan  seseorang mengakses maklumat di mana-mana saja.

Dunia perlu berterima kasih kepada  Ronald  Reagan yang menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-40  (1981–1989) kerana memperkenalkan internet kepada awam. Kebebasan maklumat dan jaringan sosial kini menjadi perayaan sejagat. Lebih menghairankan apakah kemerdekaan juga ditafsir secara berbeza di media sosial apabila semangat pejuang  semakin kurang dihargai. Lebih aneh  apabila ada penyangak yang menyanyi lagu Negaraku sebagai Negarakuku. Perbuatan biadab berkenaan dibantah tapi rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemaaf terus memaafkan pelaku berkenaan yang terus menyindir pegawai awam dan menteri menerusi lagu rap di media baru.

Keadaan ini memberi tafsiran betapa media dan kebebasan sentiasa dipolemikkan. Kemerdekaan tidak bermakna jika kebebasan disalah guna untuk merendahkan hak asasi orang lain. Jawi Peranakan, Hujan Pagi  atau sesiapa saja berhak menilai makna kemerdekaan  dalam tempoh 56
tahun ini. - Berita Harian, 3 September 2013

Friday, August 30, 2013

Bashar ulangi nasib Saddam, Gaddafi

Amerika Syarikat (AS) atau Presiden Bashar al-Assad yang melepaskan senjata kimia terhadap pemberontak di Syria?

  AS dan sekutu Barat berkali-kali menuduh rejim Bashar  bertindak ganas bagi mengekalkan kuasa di Syria. Bagaimanapun Russia,  China dan Iran tidak yakin pemimpin Arab berkenaan mampu berbuat demikian kerana teknologi senjata kimia dikuasai Barat dan Israel.

  Lebih menimbulkan keraguan apabila tembakan senjata kimia berlaku di  daerah Douma - kawasan yang dikuasai pemberontak pro-AS sejak beberapa bulan lalu. Kawasan berkenaan juga dipantau pakar senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikatakan akrab dengan AS.

  Timbul keraguan  kawasan yang dianggap ‘milik’ AS boleh disabotaj oleh Bashar  untuk membunuh rakyatnya dengan senjata terlarang.

  Dulu Muammar Gaddafi (Libya) dan Saddam Hussein (Iraq) juga dikatakan menggunakan senjata kimia terhadap musuh mereka. Selepas meninggal dunia  beberapa tahun lalu, dakwaan penggunaan senjata kimia tidak dapat dibuktikan.

  Keadaan ini mungkin terjadi kepada Bashar sebagai alasan untuk menghalalkan pertumpahan darah lebih besar di negara Arab itu. Perkembangan yang berlaku di Douma memberi alasan AS mengganyang Syria seperti yang mereka lakukan di Vietnam, Afghanistan, Iraq dan Libya sebelum ini.

  Diplomat AS  dan sekutunya sudah memaklumkan kepada pemberontak Syria bahawa Barat boleh menyerang negara itu dalam tempoh beberapa hari dan diminta  bersedia untuk rundingan damai. Presiden Pakatan Kebangsaan Syria, Ahmad Jarba dilaporkan menemui wakil  11 negara yang menyokong pemberontak termasuk Duta AS  ke Syria, Robert Ford di Istanbul.

 Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel, mengarahkan  tentera AS di Asia Barat bersedia sementara Washington bersama sekutunya di Eropah dan Asia Barat menyediakan rancangan   menghukum  Bashar yang  didakwa melancarkan serangan gas beracun yang mengorbankan lebih 1,000 orang minggu lalu.

 Hanya China dan Russia yang sedang berusaha membuktikan Bashar tidak terbabit. Bayangkan jika Barat menyerang Syria dan dua kuasa besar komunis berkenaan melakukan penentangan terbuka? Mungkinkah Syria menjadi medan Perang Dunia Ketiga dan Iran yang menganut fahaman Syiah mengambil kesempatan untuk berdiri teguh di Asia Barat?

  Perkembangan di Syria mungkin mengubah percaturan politik dunia ketika Mesir juga belum stabil hingga memaksa rejim haram Yahudi di Tel Aviv meningkatkan kawalan keselamatan.

 Perdana Menteri Britain, David Cameron memanggil  mesyuarat tergempar Parlimen untuk membincangkan isu Syria. Presiden AS,  Barack Obama dan Presiden Perancis,  Francois Hollande berdepan  kemungkinan  serangan udara  dan  bersedia menyerahkan kuasa kepada pemisah Islam yang anti-Barat jika Bashar digulingkan.

  Dalam konteks politik,  Barat sengaja menggunakan alasan untuk menyerang Bashar yang dianggap memusuhi AS dan kuasa feudal Arab pro-Barat. Bashar meneruskan dasar ayahnya Hafiz al-Assad yang terkenal  sosialis ketika era Perang Dingin dan berkiblatkan Moscow sejak dekad 1960-an.

Usaha menggulingkan Bashar sebahagian   program menguasai Asia Barat ketika pemimpin Arab yang lantang seperti  Gaddafi  dan Saddam sudah tiada lagi.

 Perancangan menguasai Asia Barat bermula sejak 1948 apabila negara Arab yang dianggap berhaluan kiri melakukan serangan terbuka terhadap Israel. Barat bimbang Bashar berpotensi menyerang Tel Aviv dengan bantuan China dan Russia yang kini memerlukan perluasan kuasa politik dan minyak untuk perancangan ekonomi pasca 2020.

  Keadaan sama berlaku di Mesir apabila  Mohamed Morsi yang dipilih melalui proses demokrasi digulingkan oleh tentera  pro-Barat dan Israel.

Perkembangan di Syria dan Mesir membuktikan kebenaran  ungkapan ikon generasi muda, Ernesto Che Guevara di  Havana, Cuba  pada  16 April 1967:  “...satu, dua,  tiga... Vietnam!” Ertinya perang terbuka terhadap kuasa imperialis akan berterusan dan gerakan ‘tamarod’ sebahagian daripada inspirasi generasi muda Arab untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman kuasa asing.

  AS atau Bashar mungkin lebih mengetahui siapa menggunakan senjata kimia yang menyebabkan ribuan terbunuh di Syria sekarang! - Berita Harian, 30 Ogos 2013

Thursday, August 29, 2013

Khalid Samad vs Haji Hadi


Pengaruh Anwar dibimbangi ancam golongan ulama PAS.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa difitnah secara terbuka oleh ahli PAS apabila beberapa kenyataan terbuka tidak sehaluan dengan individu tertentu dalam parti.

 Khalid adalah tokoh PAS yang tidak membawa imej ulama seperti beberapa pemimpin di Pantai Timur dan utara Semenanjung. Beliau juga dianggap bayangan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam PAS, sekali gus boleh mencabar imej ulama yang dipertahankan sejak 1950-an.

  Unsur fitnah semakin ketara sehinggakan beberapa ungkapan yang tidak sepatutnya muncul dalam kalangan ahli PAS sendiri. Khalid mendedahkan dalam blog beberapa poster yang menjejaskan wibawa sebagai pemimpin PAS di Selangor.

 PAS sepatutnya lebih aman tanpa kelibat Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini dianggap duri dalam daging kepada parti itu tetapi keadaan sebaliknya berlaku menjelang  Muktamar Tahunan Ke-59 pada 22 hingga 24 November ini di Selangor apabila parti berkenaan terus bergolak.

 Dakwaan percubaan  menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden semakin lantang kedengaran sehingga menimbulkan  persaingan sengit   antara golongan ulama dan profesional dalam PAS.

Walaupun Hasan dan Nasharudin bukan lagi   dalam saf kepemimpinan, parti berkenaan kekal bergolak untuk mencari hala tuju baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

 Lebih memeranjatkan ada individu yang rapat dengan Hadi bimbang Khalid akan menjejaskan reputasi  pemimpin utama  PAS.   Mereka mempersoalkan perlukah PAS masih mendakwa memperjuangkan negara Islam, sedangkan manifesto pilihan raya mereka sekadar memperjuangkan negara berkebajikan.

  Sejak PRU-12 pada 8 Mac 2008, PAS menjaga hati sahabat dalam pakatan pembangkang terutama DAP yang tidak mahu isu negara Islam diperbesarkan. Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terbuka mencabar mana-mana pihak yang cuba memperjuangkan negara Islam supaya melangkah mayatnya terlebih dulu.

PAS juga dituduh menjejaskan kemenangan pakatan pembangkang apabila membabitkan pertandingan tiga penjuru di beberapa kawasan  dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini termasuk di  Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kota Damansara pada PRU-13 lalu. Penyertaan tiga penjuru menyebabkan  calon Barisan Nasional (BN), Halimaton Saadiah Bohan menang 16,387 undi,  manakala calon PKR, Mohd Nasir Hashim  14,860 undi dan calon PAS, Ridzuan Ismail, 7,312 undi.

  PKR dijangka  menang di kawasan berkenaan jika tidak membabitkan pertandingan tiga penjuru. Malangnya  kerana agenda peribadi pihak tertentu dalam PAS, pakatan pembangkang kehilangan kerusi yang dimenangi pada 2008.

 Isu Kota Damansara sehingga kini masih menjadi perdebatan dalam pakatan pembangkang. Khalid secara terbuka mempertikai semangat setia kawan.  Beberapa tokoh dalam PKR juga tidak senang dengan imej ulama individu tertentu yang merugikan perjuangan pembangkang.

 Pengaruh Hadi dalam parti sering dipertikai ahli sendiri, namun mereka tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan bantahan. Sejak menerajui PAS pada 2003,  Hadi sering dibayangi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah, dalam muktamar parti, Nik Aziz sering menjadi rujukan ahli kerana kepakaran siasah beliau mentadbir Kelantan selama 23 tahun.

 Hadi pernah mentadbir Terengganu pada 1999 hingga 2004. Malangnya banyak isu  ditimbulkan di Kuala Terengganu menyebabkan BN kembali berkuasa.

  Sehingga kini imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam masih kabur. Mereka gagal bersuara dalam isu kalimah Allah yang cuba digunakan penganut Kristian  dalam  Bible versi Melayu. 

Sejak 1951, PAS dikenali parti yang komited dengan perjuangan Islam. Pemimpin terdahulu dikenali ramai kerana adunan keilmuan Islam dan tradisi membela Melayu.  Ahmad Fuad  Hassan (1951–1953) bukan sekadar ulama, ustaz, juga pejuang yang ikut berwacana mengenai kemerdekaan.  Dr  Abbas  Illias (1953–1956),  Dr Burhanuddin Al-Helmi (1956–1969),    Tan Sri Mohd Asri  Muda (1969–1982), Yusof  Rawa (1982–1989) dan  Datuk  Fadzil  Mohd Noor (1989–2002) mempunyai sejarah tersendiri dalam perjuangan politik Islam.

 Pemilihan Hadi sebagai Presiden pada 2003 diharap membawa PAS lebih cemerlang. Malangnya polemik kian hangat ketika  semakin  ramai profesional menjadi ahli parti.  Ada ustaz dan tok guru yang rasa terancam dengan kehadiran golongan   dianggap sekular! - Berita Harian, 29 Ogos 2013

Tuesday, August 27, 2013

Kemerdekaan bukan sekadar perayaan tanpa jiwa

Laungan kemerdekaan perlu berlandaskan
kejujuran memartabatkan maruah bangsa.
Hanya empat hari lagi kita bakal merayakan 56 tahun kemerdekaan. Sejak 31 Ogos 1957, sudah banyak yang kita kecapi dan pelbagai pengalaman dialami rakyat Malaysia.

  Persoalannya sejauh mana kita mempunyai perasaan cintakan negara dan menghargai kemerdekaan? Apakah dengan menyanyi lagu Negaraku sudah menggambarkan semangat patriotik? Apakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada bangunan dan kenderaan menggambarkan kita amat mencintai Malaysia?

  Hari ini isu kaum dan agama mudah menyentuh sensitiviti massa. Berita murid makan di bilik persalinan sekolah pun sudah mampu mengundang kemarahan sesetengah pihak sehingga ada yang tergamak berkumpul di pintu pagar sekolah. Di manakah nilai kontrak sosial yang selama ini dipersetujui, tiba-tiba sudah ada tangan kotor yang melunturkan?

  Kita mungkin megah menjerit ‘merdeka’ berulang kali. Sambutan kemerdekaan, perarakan kereta berhias, demonstrasi jet pejuang dan ucapan pemimpin yang sudah menjadi klise, sekadar ulang tayang apa yang berlaku sebelumnya.

  Namun, ramai yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Islam perlu dihormati sebagai Agama Persekutuan dan mana-mana pihak tidak wajar mencalar kesucian agama yang diturunkan Allah SWT itu. Tidak wajar menghina agama lain dengan pelbagai citra buruk di media baru.

  Kesabaran kita terus diuji dengan paparan bak kut teh ketika Ramadan lalu serta kalimah Allah yang tiba-tiba mahu disebut oleh penganut agama lain.

Betapa rapuhnya nilai kemerdekaan apabila isu agama dan kaum mudah membawa sengketa sedangkan kontrak sosial menghargai kedudukan Melayu sebagai penghuni asal wilayah ini dan pihak lain sekadar menumpang untuk menyambung hayat.

  Lupakah mereka betapa unsur perkauman boleh mengundang padah dan kesan buruk seperti tragedi 13 Mei 1969 yang tidak wajar diulangi lagi. Malangnya sejak kebelakangan ini usaha mencetuskan ketegangan semakin kerap didendangkan. Lebih malang apabila isu kaum dan agama dibawa ke pentas politik yang akhirnya menular menjadi bara yang menakutkan.

  Kemerdekaan bukan sekadar mengusir penjajah dari tanah jajahan, bahkan menilai sejauh mana bekas tanah jajahan mampu berdikari, berpendapat dan bertindak sebagai bangsa merdeka. Sejak 1511, kita mengalami pengalaman perit dijajah pelbagai kuasa asing. Kita mempunyai pengalaman pahit di bawah pentadbiran Jepun, Inggeris dan ancaman darurat.

 Kita harus bersedia bangkit untuk menilai diri menjadi bangsa maju menjelang 2020. Takrif kemajuan harus dilengkapi kejayaan kerohanian, semangat perjuangan dan kekuatan intelektual.
  Bangsa yang benar-benar merdeka tidak sekadar memiliki kekuatan ekonomi dan kewangan, bahkan mempunyai imej kebebasan yang menyuburkan nilai kemanusiaan. Kita harus mempunyai mentaliti negara maju jika mahu dihargai.

  Pembangunan prasarana seharusnya dilengkapi budaya penyelenggaraan terbaik. Kemajuan fizikal bukan sekadar mendirikan bangunan agam tapi kosong jiwa penghuninya. Lebih penting bangsa merdeka harus mampu membebaskan dirinya daripada cengkaman pihak lain.

  Kita wajar berdikari dari segi kewangan dan perdagangan serta tidak menjadi hamba kuasa besar yang memperkenalkan dasar perlindungan ekonomi untuk kepentingan mereka sendiri. Pelbagai bentuk perjanjian perdagangan yang boleh merugikan perlu dihindari kerana kesilapan kita sekarang memberi kesan kepada generasi akan datang.

  Kepelbagaian agama, bangsa, cara hidup dan sejarah memberi makna terhadap Malaysia. Kemerdekaan yang kita capai sepatutnya dihargai dengan pengorbanan dan perjuangan. Setiap pihak wajar meletakkan kepentingan negara di paksi tertinggi kerana hanya Malaysia yang menjadikan kita dihargai negara lain.

  Perjuangan Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Guru Peramu dan Mat Salleh perlu dikaji dalam usaha membentuk Malaysia merdeka.

  Pejuang yang tidak dikenang dalam sejarah hayatnya perlu dihargai betapa semangat mereka menjadi iltizam demi masa depan Malaysia. Mereka yang berjuang kerana cintakan negara tentunya tidak dapat menerima filem The New Village yang menggambarkan perjuangan komunis di Tanah Melayu.
 Untuk selamanya, kita tetap yakin hari kemerdekaan bukan perayaan tanpa jiwa. Kita merdeka kerana  kebebasan jiwa dan minda. - Berita Harian, 27 Ogos 2013