Pages

Tuesday, August 27, 2013

Kemerdekaan bukan sekadar perayaan tanpa jiwa

Laungan kemerdekaan perlu berlandaskan
kejujuran memartabatkan maruah bangsa.
Hanya empat hari lagi kita bakal merayakan 56 tahun kemerdekaan. Sejak 31 Ogos 1957, sudah banyak yang kita kecapi dan pelbagai pengalaman dialami rakyat Malaysia.

  Persoalannya sejauh mana kita mempunyai perasaan cintakan negara dan menghargai kemerdekaan? Apakah dengan menyanyi lagu Negaraku sudah menggambarkan semangat patriotik? Apakah dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada bangunan dan kenderaan menggambarkan kita amat mencintai Malaysia?

  Hari ini isu kaum dan agama mudah menyentuh sensitiviti massa. Berita murid makan di bilik persalinan sekolah pun sudah mampu mengundang kemarahan sesetengah pihak sehingga ada yang tergamak berkumpul di pintu pagar sekolah. Di manakah nilai kontrak sosial yang selama ini dipersetujui, tiba-tiba sudah ada tangan kotor yang melunturkan?

  Kita mungkin megah menjerit ‘merdeka’ berulang kali. Sambutan kemerdekaan, perarakan kereta berhias, demonstrasi jet pejuang dan ucapan pemimpin yang sudah menjadi klise, sekadar ulang tayang apa yang berlaku sebelumnya.

  Namun, ramai yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Islam perlu dihormati sebagai Agama Persekutuan dan mana-mana pihak tidak wajar mencalar kesucian agama yang diturunkan Allah SWT itu. Tidak wajar menghina agama lain dengan pelbagai citra buruk di media baru.

  Kesabaran kita terus diuji dengan paparan bak kut teh ketika Ramadan lalu serta kalimah Allah yang tiba-tiba mahu disebut oleh penganut agama lain.

Betapa rapuhnya nilai kemerdekaan apabila isu agama dan kaum mudah membawa sengketa sedangkan kontrak sosial menghargai kedudukan Melayu sebagai penghuni asal wilayah ini dan pihak lain sekadar menumpang untuk menyambung hayat.

  Lupakah mereka betapa unsur perkauman boleh mengundang padah dan kesan buruk seperti tragedi 13 Mei 1969 yang tidak wajar diulangi lagi. Malangnya sejak kebelakangan ini usaha mencetuskan ketegangan semakin kerap didendangkan. Lebih malang apabila isu kaum dan agama dibawa ke pentas politik yang akhirnya menular menjadi bara yang menakutkan.

  Kemerdekaan bukan sekadar mengusir penjajah dari tanah jajahan, bahkan menilai sejauh mana bekas tanah jajahan mampu berdikari, berpendapat dan bertindak sebagai bangsa merdeka. Sejak 1511, kita mengalami pengalaman perit dijajah pelbagai kuasa asing. Kita mempunyai pengalaman pahit di bawah pentadbiran Jepun, Inggeris dan ancaman darurat.

 Kita harus bersedia bangkit untuk menilai diri menjadi bangsa maju menjelang 2020. Takrif kemajuan harus dilengkapi kejayaan kerohanian, semangat perjuangan dan kekuatan intelektual.
  Bangsa yang benar-benar merdeka tidak sekadar memiliki kekuatan ekonomi dan kewangan, bahkan mempunyai imej kebebasan yang menyuburkan nilai kemanusiaan. Kita harus mempunyai mentaliti negara maju jika mahu dihargai.

  Pembangunan prasarana seharusnya dilengkapi budaya penyelenggaraan terbaik. Kemajuan fizikal bukan sekadar mendirikan bangunan agam tapi kosong jiwa penghuninya. Lebih penting bangsa merdeka harus mampu membebaskan dirinya daripada cengkaman pihak lain.

  Kita wajar berdikari dari segi kewangan dan perdagangan serta tidak menjadi hamba kuasa besar yang memperkenalkan dasar perlindungan ekonomi untuk kepentingan mereka sendiri. Pelbagai bentuk perjanjian perdagangan yang boleh merugikan perlu dihindari kerana kesilapan kita sekarang memberi kesan kepada generasi akan datang.

  Kepelbagaian agama, bangsa, cara hidup dan sejarah memberi makna terhadap Malaysia. Kemerdekaan yang kita capai sepatutnya dihargai dengan pengorbanan dan perjuangan. Setiap pihak wajar meletakkan kepentingan negara di paksi tertinggi kerana hanya Malaysia yang menjadikan kita dihargai negara lain.

  Perjuangan Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Guru Peramu dan Mat Salleh perlu dikaji dalam usaha membentuk Malaysia merdeka.

  Pejuang yang tidak dikenang dalam sejarah hayatnya perlu dihargai betapa semangat mereka menjadi iltizam demi masa depan Malaysia. Mereka yang berjuang kerana cintakan negara tentunya tidak dapat menerima filem The New Village yang menggambarkan perjuangan komunis di Tanah Melayu.
 Untuk selamanya, kita tetap yakin hari kemerdekaan bukan perayaan tanpa jiwa. Kita merdeka kerana  kebebasan jiwa dan minda. - Berita Harian, 27 Ogos 2013

No comments: