Pages

Tuesday, August 20, 2013

Citra Melayu tercabar sepanjang Aidilfitri

Tradisi rumah terbuka era sekarang berbeza
 sambutan dalam masyarakat Melayu tradisional.
Klise Melayu yang diulang tayang setiap Syawal - bermaaf-maafan, bersalam-salaman dan balik kampung untuk beraya bersama keluarga dan sahabat handai.  Setiap lebaran menjelma, cerita balik kampung sentiasa menjadi bualan. Seolah-olah tiada raya jika tak balik kampung. Lebih utama  bagi wanita, raya tidak sah jika kuih raya tidak banyak ditempah, langsir tidak berganti.

  Bagi lelaki pula persoalan paling utama adalah bajet servis kenderaan, minyak kereta, bayaran tol dan pelbagai langkah keselamatan jika berlaku kecemasan di perjalanan. Kemeriahan raya diraikan bersama telefon pintar yang belum tentu kepintaran dimiliki penggunanya.

  Tidak salah balik kampung ketika perayaan, begitu juga bermaafan sesama insani pada hari yang mulia. Ramadan dan Syawal adalah detik untuk menginsafi dan merapatkan hubungan manusiawi. Balik kampung adalah mengembalikan detik lampau dan kesegalaan yang ditinggalkan sepanjang pengembaraan usia. Tradisi bermaafan adalah mendekatkan diri pada yang jauh dan melupakan sengketa silam bagi memurnikan hubungan insani.

  Pada era yang serba tangkas sekarang, sikap toleransi dan bermaafan hampir pupus. Tidak banyak ungkapan maaf dihulurkan, hatta dalam kesibukan trafik di jalanan  kerana masing-masing mahu cepat dan tergesa. Jarang yang mengucapkan terima kasih kepada pemandu lain yang memberi laluan kepada kita ketika kesesakan.

  Jarang juga yang mengucapkan terima kasih pada hal yang dianggap remeh seperti kepada penjaga lif yang memberi laluan kepada kita menggunakan kemudahan awam. Jarang juga yang melontarkan senyuman kerana kesibukan moden menjadikan individu semakin kaku dan lebih terurus kepada kerjaya. Jarang juga kita mengenal wajah jiran di kawasan perumahan, apatah lagi mengenali nama mereka untuk saling menghulur juadah berbuka puasa  atau menjadi tamu pada penghujung  Syawal.

  Apakah jiwa kita semakin lembut dan pasrah pada hari raya saja? Apakah kemaafan dan saling bersalaman hanya untuk Syawal dan kita kembali kaku, bisu dan menjadi robot  apabila Aidilfitri berlalu?

  Tradisi balik kampung begitu ketara sejak empat dekad lalu. Kejadian 13 Mei 1969 mengundang penghijrahan Melayu secara besar-besaran untuk meneruskan kehidupan di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dasar Ekonomi Baru (DEB) membawa Melayu membentuk kawasan urban, sekali gus menceburi bidang yang tidak pernah difikirkan oleh moyang sendiri.

  Pada dekad 1980-an, istilah Melayu baru muncul dengan kepelbagaian tafsiran. Sektor korporat dan politik saling membantu sekali gus membentuk citra Melayu baru yang walaupun mempunyai wajah yang serupa dengan mereka di desa, tapi mempunyai cita-cita dan kecenderungan berbeza. Melayu baru mengundang kehidupan berlainan dan kota menjadi desa mereka dengan segala suka dan dukanya.

  Di kota, Melayu bernostalgia zaman lampau, sekali gus merangka tradisi balik kampung menjelang lebaran. Di kota juga mereka mula memahami erti gotong-royong yang kian terpinggir dan pengertian kemaafan yang kian menjauh.  

  Kini minggu kedua Syawal yang disulami majlis rumah terbuka Aidilfitri. Ia menjadi budaya baru di bandar besar apabila tetamu dirai dengan juadah dan hubungan dimesrakan dengan salam perkenalan yang erat. Secara luarannya ia mengambil tradisi lama yang sudah wujud dalam masyarakat Melayu tradisional apabila kunjung mengunjung berlaku secara rela bagi merapatkan silaturahim.

  Malangnya majlis terbuka di kota besar berubah wajah apabila tetamu yang diundang saja boleh menghadiri sesuatu majlis. Tanpa undangan, majlis berkenaan bukan milik anda. Semangat dan setia kawan yang dimiliki Melayu lampau dicabar oleh suasana baru apabila kelas sosial menjadi pendinding yang menghalang hubungan murni.

  Tanpa disedari  majlis rumah terbuka yang ada sekarang lebih bersifat mengutamakan insan yang dirasakan paling dekat dan menjauhkan mereka yang kurang diperlukan. Kepentingan peribadi diutamakan. Falsafah rumah terbuka yang wujud pada zaman lampau sudah diberi tafsiran baru apabila ia lebih mengutamakan tetamu yang diundang semata-mata.

  Keadaan ini tidak memeranjatkan kerana tradisi  diubah oleh persekitaran dan keperluan semasa. Melayu baru yang dicetuskan di pentas siasah mengubah citra kehidupan, sekali gus mencabar nilai sebenar konsep kemelayuan.

  Justeru, tradisi balik kampung dan klise salam kemaafan sekadar nostalgia kepada zaman yang sudah tiada. Kampung halaman juga sudah berubah dan mustahil untuk kita mengekalkannya seperti era lampau. Perubahan waktu dan keadaan memaksa kita lebih merindui sesuatu yang tidak mungkin dimiliki lagi.  Aidilfitri sebahagian daripada citra kerinduan Melayu kepada warisannya yang semakin terhakis. - Berita Harian, 20 Ogos 2013 

No comments: