Pages

Tuesday, December 07, 2010

WikiLeaks dedah kepincangan Rumah Putih pasca Perang Dingin

PASCA Perang Dunia Kedua dikenali sebagai abad Amerika Syarikat (AS) kerana Washington menguasai hampir setiap penjuru dunia dalam pelbagai sektor. Keruntuhan Tembok Berlin dan perpecahan Soviet Union secara langsung mengiktiraf AS sebagai kuasa tunggal dunia. Seluruh benua berpaksikan AS seakan Rumah Putih menjadi pusat penguasaan global.


Pada dekad 60-an hingga awal 80-an, perimbangan kuasa dunia lebih terarah kepada persaingan blok NATO (Pakatan Atlantik Utara) dan Warsaw (gabungan negara komunis di Eropah Timur yang berkiblat kepada Soviet Union). Saingan dan permusuhan antara CIA (Agensi Perisik Pusat) dan KGB menjadikan Perang Dingin seolah-olah bakal pencetus Perang Dunia Ketiga.

Kejatuhan Vietnam, Laos dan Kemboja kepada rejim komunis hampir menjelmakan teori domino di Asia Tenggara hingga menyebabkan pasaran saham dunia terjejas pada dekad 70-an. Isu keselamatan serantau sering menjadi topik perbincangan dan AS dianggap sebagai pelindung negara kapitalis dunia.

Apabila runtuhnya Soviet Union dan beberapa negara di Eropah Timur menyingkir penguasa komunis, AS dianggap penguasa tunggal dan dominan menguasai perdagangan dan politik dunia.

Washington dianggap kiblat kepada dunia moden dan AS segala-galanya yang mentadbir pendapat sejagat. Keadaan ini memberi ruang kepada Rumah Putih melihat dunia dari kaca mata tersendiri hingga menyebabkan mereka tidak segan menyokong sesuatu rejim dan menyingkir rejim yang lain jika dianggap mencabar kepentingan Washington.

AS dengan kerjasama CIA pernah mendaulatkan takhta Shah Iran semata-mata bimbang golongan mullah berkuasa di Teheran. Menyokong raja yang hidup kebaratan boleh dianggap benteng terakhir untuk keselamatan Teluk Parsi yang ada kepentingan dengan rejim Zionis di Tel Aviv. Hanya apabila gerakan massa tidak boleh dibendung, AS terpaksa undur dengan penuh keaiban ketika Shah Iran gagal menggunakan Savak untuk mengekalkan takhta.

AS juga mendaulatkan kekuasaan Ferdinand Marcos di Filipina kerana tidak mahu golongan yang dianggap radikal berkuasa di Asia Tenggara. Cuma apabila gerakan rakyat yang menobatkan Corazon Aquino, AS terpaksa mengalah dan membiarkan tokoh wanita itu berkuasa di Filipina.

Sikap waspada dan prejudis terhadap kerajaan di sesebuah negara mendorong AS sentiasa sinis kepada orang lain. Justeru, tidak menghairankan apabila pendedahan Julian Assange menerusi sesawang WikiLeaks, mendedahkan kecaman AS terhadap hampir semua pemimpin dunia. Bagi AS, hampir seluruh dunia ditadbir oleh pemimpin yang lemah, rasuah, rakus dan tidak berdaya maju.

Hanya AS memenuhi cita rasa sejagat kerana kemampuan menggerakkan demokrasi tersendiri. Sikap ego AS sudah menjadi sejarah yang mengaibkan kerana mereka sendiri gagal membuktikan kekuatan sebenar di Indochina dan ribuan karung mayat tentera AS terpaksa dibawa pulang dari medan perang di Vietnam.

Hari ini, sebut saja AS, dunia tidak mungkin melupakan tangan kotor yang mengorbankan warga Iraq dan Afghanistan. Ribuan warga Dunia Ketiga mati kelaparan, anak kehilangan ayah di medan perang, bantuan senjata sekadar mengekalkan peperangan atas nama perjuangan menentang keganasan.

Pasca Perang Dingin menjadi acuan AS mengekalkan kekuasaan sejagat. WikiLeaks tentunya medium baru untuk menelanjangi kerenah sebenar AS yang sentiasa bergerak songsang di mata dunia.

Sejauh mana WikiLeaks jujur melaporkan, bukan jadi persoalan sekarang. Dunia dengan tenang melihat bagaimana AS melangkah ketika dua Korea sedang hangat dan China pula sedang memerhati penuh minat. Russia juga tentunya tidak melupakan era Perang Dingin dan memerhatikan kelibat AS penuh curiga. - Berita Harian, 7 Disember 2010

No comments: