Pages

Wednesday, June 20, 2012

PTPTN, penentu undi generasi muda

“KAMI mahu suara anak muda didengari,” kata siswa yang pada awalnya ragu-ragu  untuk berterus-terang.
 “Jika mengundi, kami akan pilih parti yang boleh memberi jaminan kepada anak muda. Kami mahu masalah kami didengari. Kami mahu suara anak muda mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

 Pertemuan spontan di sebuah masjid di sebuah pusat pengajian tinggi yang awalnya membabitkan tiga individu bertambah kepada 10 orang selepas solat Jumaat.

 “Kami tidak menentang mana-mana kelompok. Memadai isu pelajar ditangani. Kami datang dari luar bandar. Ayah bersara. Emak suri rumah sepenuh masa. Kami perlu bantuan kewangan. Apa pun namanya biasiswa, bantuan, pinjaman atau PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), kami tak kisah. Tetapi menghapuskan pinjaman pelajaran membebankan kami. Jika kami dianggap aset negara, kenapa kami dibebankan untuk belajar pada peringkat tinggi?”

 Suara yang hampir sama kedengaran pada majlis dialog di sebuah pusat pengajian tinggi lain seminggu lebih awal.

 Hari ini isu pendidikan dan generasi muda sudah sebati. Mereka pewaris negara. Lebih utama, mereka mungkin sebahagian generasi muda yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

 Kita tidak pasti kecenderungan pengundi muda kepada politik kepartian. Namun mereka generasi Starbucks yang mempunyai budaya yang mungkin berbeza daripada ayah dan ibu sendiri. Mereka membesar dengan media baru, menjadi pengamal setia Facebook dan Twitter, serta tidak mudah menerima pendapat yang dianggap mempunyai ciri-ciri feudalisme.

 Katakan mereka generasi X atau Y yang sukar dijangka, mereka tidak peduli kerana ledakan teknologi maklumat bagai melenyapkan kelompok yang ada di persekitaran mereka.

 Yang mereka pasti ialah jaringan tanpa sempadan dan sumber  maklumat berada di hujung jari. Sebahagian mereka mengakui tidak menganut fahaman politik tertentu, namun tegas mereka aspirasi muda jangan diketepikan.

 Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter sentiasa kritikal dan sinis.

Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi. 

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

 Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza.  Ungkapan Islam Hadhari pun tidak kedengaran lagi apabila  keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

 Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda hari ini sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai  pengundi.

 Sebanyak 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

  Kajian sebuah parti politik pula mendapati 62 peratus pengundi muda tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian.

 Jika banyak isu yang membabitkan kepentingan mereka, ia mungkin menjadi penentu dalam keputusan terakhir di peti undi.

 Justeru, mana-mana gerakan siasah perlu cekap mengambil kesempatan supaya generasi muda berpihak kepada mereka.

 Pada hari  ini pola pengundian hampir boleh diteka. Undi Melayu di luar bandar dan kawasan FELDA lazimnya berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Melayu kawasan urban dan sekitar kawasan pusat pengajian tinggi sukar diramal. Mereka bergantung kepada isu dan kekuatan calon seperti berlaku di kawasan Bangi, Shah Alam, Nilam Puri, Skudai dan Johor Bahru. Generasi intelektual dan terdidik lazimnya mempunyai tanggapan berbeza terhadap kualiti kepartian.

 Pengundi Cina boleh dijangka hala tuju sokongan mereka. Kaum India di kawasan pedalaman masih menjadi misteri. Generasi  muda yang banyak bertwitter dan Facebook kini perlu diberi tumpuan.
Jika hasrat dan keinginan mereka kurang dilayani, kita boleh mengerti arah mana mereka selepas ini. - Berita Harian, 20 Jun 2012

Monday, June 18, 2012

Manifesto BN dalam Harakah?

DEMAM pilihan raya umum menjadikan media sebagai sasaran golongan siasah: Wajarkah manifesto parti didedah menerusi akhbar perdana?

Berpeluangkah pembangkang mendapat ruang di media utama?

Apakah parti pemerintah pula diberi ruang mendedahkan manifesto di akhbar Harakah?
Jika sebelum ini media utama dikaitkan dengan pemerintah dan akhbar sampingan dianggap milik pembangkang,  adilkah tanggapan itu?

Bersediakah akhbar kecil dan portal berita yang mendakwa memperjuangkan kebebasan media menyiarkan berita pembangunan, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan lawatan pemimpin kerajaan ke kawasan pedalaman?
Isu media dan  kebebasan sering diperdebatkan. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), manusia sudah memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi. Media pula muncul apabila hak asasi dan kebebasan dikongsi untuk bertukar pendapat serta menyebarkan maklumat.

Sehingga akhir dekad 1980-an yang dianggap ‘zaman gelap media di dunia ketiga’, kehadiran internet dan teknologi maklumat secara terbuka pada dekad 1990-an memberi ruang kebebasan yang masih boleh dipertikaikan.

Apakah kebebasan media bermakna seseorang boleh mendakwa pihak lain sebagai pembunuh, perasuah dan diktator? Adilkah maklumat yang menyebarkan berita khalwat,  salah guna kuasa dan seksual bebas tanpa sebarang bukti?

Pilihan raya adalah ruang demokrasi yang menuntut kebebasan berhujah dan menyerlahkan   kepemimpinan seseorang tokoh.

Media pula berperanan menyalurkan proses demokrasi dengan penuh wibawa tanpa penyelewengan. Namun demokrasi juga tidak terkecuali diseleweng, seperti juga media yang didakwa berpihak kepada kelompok tertentu, sekaligus menyelar pihak lain.

Bagi yang merasakan demokrasi dan media di Malaysia tidak menepati piawaian dunia, negara manakah yang benar-benar demokratik  dan medianya bebas?

Apakah negara kuasa besar utama memberikan ruang adil kepada calon Republikan dan Demokrat setiap empat tahun menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat?

Bagaimana pula peranan pelobi Yahudi dan pemegang saham yang kebetulan pula Zionis media antarabangsa? Adakah mereka menyiarkan laporan penderitaan bangsa Palestin yang bertahun didera di Tebing Barat Semenanjung Gaza?

Dua wartawan akhbar Washington Post,  Bob Woodward dan Carl Bernstein mendedahkan skandal politik dan media yang membabitkan Richard Nixon ketika menguasai Rumah Putih pada 1972.

Skandal Watergate bukan saja proses intipan terhadap musuh politik, juga peranan media yang bersubahat meyakinkan massa mengenai dasar Amerika di Asia Barat dan pertentangan antara Pakatan Atlantik Utara (NATO) dengan rejim komunis yang menguasai Pakatan Warsaw ketika itu.

Media Barat sepanjang tempoh Perang Dingin tidak menjelaskan isu sebenar pertarungan minda dunia antara Blok Timur dan Barat.

Mereka menjadikan agenda menyerang negara Asia Timur seperti Malaysia yang dianggap tidak demokratik dan kuku besi.

Laporan media tempatan dianggap propaganda kerana kononnya wartawan Barat lebih wibawa. Ahli siasah tertentu menjadi batu loncatan Barat untuk mempersendakan proses demokrasi di Malaysia.

Akhirnya, menjelang pilihan raya umum, isu  penyiaran manifesto pilihan raya disuarakan seolah-olah media utama lebih menyokong pemerintah dan mengabaikan pembangkang.

Jika manifesto pembangkang kurang mendapat sambutan, media akan terus dipersalahkan sebagai berat sebelah, walhal perjuangan sesetengah ahli politik itu sendiri lebih berteraskan kepada kepentingan peribadi dan kuasa. Adilkah media mendapat imej seburuk  itu?- Berita Harian, 18 Jun 2012


Wednesday, June 13, 2012

Politik sastera lahir penulis jahil

PENYAIR Leo AWS baru saja menerbitkan kumpulan puisi ke-23 yang diberi judul Waktu Kaumulakan dan Gurindam Rakyat, memuatkan karya peribadi di samping tokoh lain termasuk Dr Rajiee Hadi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Aladin Mohamad.

 Sebahagian besar karyanya diterbitkan sendiri menerusi syarikat Pustaka Dewan Puisi kerana beliau yakin tiada pihak yang sudi melayani bentuk puisi yang dihayatinya.

 Leo mula berkarya sejak awal 1970-an, namun nama jarang diperkatakan kerana puisinya dianggap ‘asing’ daripada kebanyakan karya tempatan.

 Penyair T Alias Taib menganggap karya Leo sebagai ‘cerpuisi’  kerana adunan puisi dan esei yang agak ketara. Dia berkarya secara prosaik dan santai. Ada ketikanya, ungkapannya tidak melebihkan tanggapan yang ditemui dan menukang bait karya seada-adanya.

 Penyair Zahari Hasib juga sering dianggap prosaik dan menggunakan ungkapan yang dianggap ‘biasa’ sebagai pengucapan seni. Zahari membawa imej realis yang kaya dengan kejutan pada bait akhir karyanya.
 Begitu juga Wadi Leta SA, Hilmi Rindu, Awang Abdullah, Puzi Hadi,  Daeng Ramli Akil, Marsli NO dan Nawawee Muhammad yang menemui gaya tersendiri dalam berkarya.

 Pengalaman bertahun-tahun seseorang penulis boleh mendewasakan mereka, namun suasana di Malaysia berlainan sekali.

 Karya mereka tidak  dianggap besar kerana tabii  seseorang penulis dianggap terhormat apabila berada di Kuala Lumpur,  atau setidak-tidaknya berada dalam lingkaran kelompok yang ada kaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulis yang sering sorak-sorai dengan publisiti.

 Isu politik sastera sudah lama kedengaran. Sejak dekad 60-an, dakwaan kelompok dan kabilah seni sudah kerap kedengaran. Pengkritik Mohd Affandi Hassan  pernah menegur golongan yang menguasai DBP dan grup penulis yang dianggap terbaik walaupun mutu karyanya boleh dipertikaikan.

 Penulis yang dianggap HB Jassin Malaysia, Yahaya Ismail pula  pernah mempertikai   karya  memenangi Hadiah Sastera Malaysia  (kini Hadiah Sastera Perdana)  yang dianggap rendah mutu berbanding sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

 Pada dekad  80-an, sekumpulan penulis muda yang lahir dengan  gaya tersendiri namun asing pada pandangan pengkritik dan pengkaji seni. Nama Marsli NO, Azim Salleh,   Ismaily Bongsu, Pyanhabib, Napie Mat, Lee Cheong Beng dan Awang Abdullah dianggap mewakili kelompok berkenaan. Namun karya mereka jarang diperkatakan secara serius, kerana penelaah sastera lebih mesra untuk memperkatakan generasi  90-an hingga ada yang merasakan sikap luar biasa ini sebagai mengelirukan fakta perkembangan sastera tanah air.

 Kewujudan Minggu Penulis Remaja  sering dikaitkan sebagai landasan untuk memencilkan kelompok 80-an dan pengkritik lebih seronok memperkatakan karya yang kebetulan menjadi anak didik mereka sepanjang Minggu Penulis Remaja.

 Memang diakui Minggu Penulis Remaja berjaya melahirkan bakat baru, namun apabila segelintir pembimbing menjadikan ruang untuk membina kelompok dan kabilah sendiri, semangat melahirkan sasterawan terbaik boleh dipertikai.

 Keadaan ini mendorong suasana politik sastera yang     tidak berkesudahan. Ada sesetengah pembimbing  digelar ‘ayahanda’ yang kononnya jujur membantu generasi baru.  Perasaan saling menghormati antara pembimbing dan bakal penulis menjadikan suasana saling bergantung yang akhirnya ada kelompok penulis dijulang,  pada masa sama meminggirkan grup lain.

 Jangan terperanjat jika sehingga kini kita gagal melahirkan generasi pelapis yang berbobot. Jangan kaget jika majalah yang khusus untuk kegiatan sastera sekadar  2,000 edaran saja. Kenapa karya penulis yang sama disiarkan Dewan Sastera saban tahun?

 Jangan terperanjat jika Indonesia, Thailand dan Filipina lebih  tinggi pengucapan seninya kerana memiliki barisan penulis yang berwibawa dan berdaya tahan.

 Kita sekadar meriah dengan sorak-sorai dan santai seni. Kita meriah dan seronok dengan acara baca puisi dan selingan ringkas yang akhirnya tidak ada apa-apa.

 Ketika segelintir penulis yang  merasakan terpinggir masih mencari karya sejati dalam arena kesusasteraan tanah air, jangan terperanjat apabila kita menemui badut seni yang   melahirkan karya dangkal, jahil  dan daif. Sastera kita kekal lesu dan layu kerana segelintir   golongan seni sendiri yang mahukan keadaan begitu.
 Pengkritik dan sarjana sastera pula bagai tidak melihat masalah sebenar yang melingkari sastera Malaysia. Mereka sekadar mengadunkan teori yang diceduk daripada  buku tanpa melihat realiti permasalahan politik sastera tempatan.

Mungkin kita berbangga mempunyai sedozen Sasterawan Negara dan puluhan pemenang Sea Write Award. Hebat sangatkah karya mereka untuk berdepan kerenah dan politik sastera Malaysia? - Berita Harian, 13 Jun 2012

Monday, June 11, 2012

UMNO, PAS: Siapa jujur?

KEJADIAN rusuhan kaum 13 Mei 1969 memberi kesan langsung kepada perubahan minda bangsa Melayu. Gerakan siasah dan sokongan kepartian tanpa disedari digerakkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula masyarakat.

 Walaupun UMNO ditubuhkan pada 1946 dan PAS terbentuk hasil serpihan daripada golongan ulama UMNO, kedua-duanya mempunyai fungsi besar dalam gerakan siasah peringkat nasional.

 UMNO dan PAS bukan sekadar bersaing merebut pengaruh di kawasan Melayu, juga menjadi penentu survival Melayu yang terhimpit dengan kemasukan imigran Cina dan India pada zaman kolonial.
 Perseteruan secara terbuka melemahkan kuasa Melayu seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum 1969 apabila UMNO dan PAS bersaing sesama sendiri, menyebabkan Perikatan sekadar menang majoriti mudah di Parlimen.

 Persefahaman kemudian terjadi apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang didahulukan dengan kerajaan campuran di Kelantan, seterusnya menjana kuasa politik Melayu yang lebih dominan.

 Kerjasama UMNO dan PAS tidak lama apabila pada era kepemimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertindak mengusir PAS pada 1977 dan UMNO rampas Kelantan menerusi pilihan raya khas selepas rusuhan anti-Kumpulan 20 di Kota Bharu.

 Pada dekad 80-an, UMNO dan PAS bergerak bersendirian dan saling bercakaran  terutama di kawasan dominan Melayu. Tokoh muda PAS seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Abu Bakar Chik dikenali dengan kelantangan luar biasa pada dekad 80-an. Amanat  Hadi pada 1985 dianggap fatwa agung yang merantai masyarakat luar bandar. Ketika itu juga berlaku ketegangan di Memali menyebabkan kematian Ibrahim Libya dan pengikutnya.

 Beberapa tokoh PAS yang dianggap sekular dan fahaman sederhana seperti Tan Sri Asri Muda, Datuk Hassan Adli, Amaluddin Darus dan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad  meninggalkan PAS. Mereka dikatakan tewas kepada puak muda yang lebih tegas dan lantang.
 Isu solat Jumaat dua imam, pulau-memulau dan perceraian membabitkan  politik turut berlaku. PAS bukan saja terperangkap dengan pendirian keagamaan, juga sikap kewilayahan yang luar biasa. Pengikut PAS dari Kedah dan Terengganu dianggap berbeza dengan pimpinan di Kelantan.

 Walaupun PAS berjaya mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999,  bentuk pentadbiran yang diamalkan oleh Hadi kurang mendapat sambutan rakyat  berbanding Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan. Akhirnya PAS hanya bertahan sepenggal sebelum Terengganu dikuasai semula oleh UMNO dan Barisan Nasional pada 2004.

 Sebagai sebuah parti agak tradisional dan pesat di kawasan dominan Melayu, PAS dianggap suara alternatif kepada bangsa Melayu. Komposisi antara pimpinan ulama dan profesional meletakkan PAS sebagai pengimbang suara Islam/Melayu di dalam pakatan pembangkang.

 Jika PAS bergelut antara kelompok sederhana dan pelampau pada dekad 80-an, UMNO juga tidak terkecuali bergelut dengan masalah dalaman. Perebutan jawatan dalam parti menjelang pemilihan UMNO 1987 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi kesan tersendiri. Ahli UMNO bukan saja dipaksa memilih tokoh terbaik untuk memimpin parti, juga berdepan kerenah politik wang dan amalan rasuah dalam parti. Urusan jual beli saham dan kronisme bukan saja menjejaskan imej Melayu dan UMNO, juga menimbulkan prasangka daripada pihak lain.

 Pada dekad 90-an, istilah Melayu baru dan imej kereta mewah, banglo serta syarikat korporat menjadi jenama luar biasa. Melayu baru kononnya sudah berjaya bersaing dengan bangsa lain hasil agihan kek DEB. Bagaimanapun, tidak sedikit Melayu yang terpalit dengan penyelewengan perniagaan dan konflik ali baba yang menjejaskan semangat perniagaan dalam kalangan Bumiputera sendiri.

 Walaupun UMNO dan korporat dua entiti berbeza,  sangkaan umum adalah parti siasah yang menggerakkan peniaga Melayu. Isu saham, kepentingan kuasa dan kronisme menjadi duri dalam daging kepada survival UMNO itu sendiri. Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli UMNO dan menapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam masa singkat, bukan saja menimbulkan keriuhan, juga menyemarakkan pertelingkahan antara kelompok dalam parti.

 Jika dekad 90-an menyaksikan persaingan ulama dan sekular dalam PAS, UMNO juga tidak terkecuali menerima kesan kemasukan ideologi ABIM dan gerakan Islam serantau.

 Hari ini kelangsungan politik kekal dengan sepak terajangnya. UMNO dan BN bukan sekadar menapak menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai kemungkinan, PAS dan pakatan pembangkang juga tidak terkecuali berdepan pelbagai kemungkinan sama. Apakah suara Melayu lebih kukuh selepas pilihan raya umum atau keputusan peti undi bakal memberi natijah lain yang luar jangkaan?

 Jika Pilihan Raya Umum 1969 memberi kesan terhadap jati diri Melayu, mungkinkah suatu hari nanti  isu kaum akan lebih lantang apabila ada pihak mempertikaikan isu Perlembagaan dan Kesultanan Melayu lebih polos? Jangan terperanjat jika Melayu sendiri yang merendahkan bangsanya sendiri!  - Berita Harian, 11 Jun 2012

Wednesday, June 06, 2012

A Samad Said sasterawan rakyat

ADA kenalan yang bertanya saya  mengenai pendirian Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; benarkah beliau diperalatkan, atau menjadi alat pembangkang?

Apakah beliau melacurkan taraf Sasterawan Negara semata-mata kerana taksub perjuangan siasah yang dianggap ‘menentang’ arus perdana?

Tidak kurang juga yang mempersoalkan apakah  perhimpunan haram bakal menjadi budaya baru dalam medan siasah negara?

Saya bersahabat baik dengan Samad sejak dekad 80-an dan beliau banyak mentelaah  karya saya di Berita Minggu  ketika itu.

Nama ‘Imlan Adabi’ bersama Khalid Salleh, Abdulaziz HM, Pyanhabib, Marzuki Ali,  Ladin Nuawi, Zaen Kasturi, Marsli No dan Ismaily Bongsu  turut tercatat pada kumpulan puisi Samad berjudul Balada Hilang Peta yang dianggap generasi baru sasterawan Malaysia pada dekad 90-an.

Beliau juga menjadi saksi pernikahan saya pada 1992 dan namanya tercatat pada sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Karya Samad terpancar nilai intelektual dan kemanusiaan yang melayakkan beliau sebagai Sasterawan Negara dan  tidak mustahil suatu hari nanti meraih anugerah lebih tinggi termasuk Hadiah Nobel.
Karya  Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Cinta Fansuri, Adik Datang dan Lantai T Pinkie bukan sekadar paparan isu semasa,  juga kekuatan teknik penulisan. Samad menerusi Daerah Zeni dan Hujan Pagi meneroka realis magis yang jarang dilakukan sasterawan tempatan pada dekad 80-an.

Sikap, pandangan dan pendirian Samad mengenai politik amat ketara sejak dekad 50-an lagi. Beliau menentang kekejaman politik dan peperangan seperti tercatat dalam Salina. Samad menegur keserakahan kuasa yang mengawal media  menerusi novel Hujan Pagi. Samad mengandaikan wartawan lebih akrab makan hati di samping makan gaji semata-mata bagi  mengisi dapur  untuk   isteri dan anaknya. Lebih fatal, kalangan penulis sentiasa bernasib malang dalam dua dimensi berbeza. Pada era penjajahan, penulis dan wartawan diancam oleh bangsa penjajah, namun selepas merdeka, penjajahan di kalangan bangsa sendiri yang menilai  dan mengekor setiap tulisan di media dengan pelbagai akta yang menguntungkan pihak penguasa. Hujan Pagi bagai menyerlahkan suara sebenar Samad sejak lebih dua dekad lalu.

Mengkaji karya Samad sejak dekad 50-an akan memberi jawapan terhadap apa yang dilakukannya kini. Samad bukan ahli siasah, tidak juga bersuara menentang mana-mana gerakan politik. Beliau hanya menentang golongan kapitalis yang bersekutu dengan kuasa dan menjadikan kuasa sebagai alat untuk menguasai segala-galanya.

Berbeza dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Dr Kassim Ahmad dan Pak Sako yang pernah menyertai gerakan politik, Samad terkecuali dan sebelum ini lebih banyak menyepi daripada bercakap soal kepartian.

Hanya akhir-akhir ini beliau lantang dan hadir di pentas ceramah dengan nawaitu yang masih misteri. Benarkah beliau  sudah berpolitik, atau Sasterawan Negara bersuara kerana seperti kata seniman tersohor Indonesia, WS Rendra: “Sasterawan harus berada di muka, bukan di belakang khalayak!”
Beberapa perbualan peribadi dan khidmat pesanan ringkas kami berdua tidak pernah menyentuh sokongan kepartian. 

Dari segi sejarah, tidak sedikit sasterawan besar yang sentiasa sinis kepada penguasanya sendiri.  Jika Rendra, Hamka dan Sutarji sentiasa sinis terhadap rejim Orde Baru di Indonesia, kita juga tidak kurang dengan suara jerit  seperti   Sasterawan Negara  Datuk  Shahnon Ahmad yang lantang menerusi novel  Shit. 

Beliau juga melahirkan Piem (PM?) yang dianggap kotor dan busuk.   Shahnon juga menghasilkan novel Sutan Baginda yang menggambarkan masyarakat kacau dan manusia lebih mempercayai kerbau daripada sesama insan. Sasterawan Yahaya Ismail yang pernah dianggap sebagai HB Jassin Malaysia juga melahirkan Maharaja Beruk yang dianggap ganas dan menggigit sesiapa saja. Tidak terkecuali suara sinis puisi Dr Kassim Ahmad termasuk Sidang Roh yang menggambarkan masyarakat kacau angkara keteledoran haiwan politik ketika ‘Tuhan sudah mati’.

Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad juga tidak terkecuali dengan Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan yang mengkritik  struktur politik  pada era British dan  pasca penjajahan.

Tentunya Samad akan tetap diperhatikan kerana beliau masih dianggap penting dalam dunia seni Malaysia. Ada pihak yang memberi gelaran ‘sasterawan rakyat’ namun saya anggap beliau lebih mengerti ke mana hala tujunya. Samad  sentiasa kental dengan perjuangannya!- Berita Harian, 2 Jun 2012

Friday, May 25, 2012

Bila debat Najib dan Anwar?




JIKA debat dianggap tradisi baru dalam suasana siasah di Malaysia, pertemuan antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan  Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli  pada 22 Mei lalu boleh dianggap dialog cerdik yang perlu disokong.

Kedua-dua pihak berhujah  mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang melalui Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pendebat mengemukakan fakta dan angka mengenai masa depan pelajar dan ekonomi negara. Rasional mereka ialah pelajar sumber masa depan dan pentadbir siasah perlu merangka pelan jangka panjang bagi membangunkan modal insan generasi pewaris.

 Rafizi berhujah mengenai  rancangan  memberi biasiswa sara hidup RM5,000 kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi awam berjumlah 450,000 orang hanya membabitkan kos RM2.32 bilion setahun.
 

“Dengan menghapuskan RM24 bilion hutang melalui PTPTN pula, kerajaan hanya perlu membayar RM2 bilion untuk tempoh 15 tahun,” tegasnya.
 

Khairy pula  memberi gambaran  negara akan mengalami kerugian dan muflis seperti  Greece sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan dan melaksana rancangan   pendidikan tinggi percuma.
 

“Langkah  menghapuskan hutang pelajar daripada PTPTN  mustahil  dilaksanakan dan akan menelan kos RM30 bilion, bukannya RM24 bilion seperti diuar-uarkan Rafizi,” katanya.

    Tentunya debat dua tokoh muda masih jauh daripada kesempurnaan, apatah lagi mereka bagai mewakili parti politik masing-masing. Sentimen kepartian tetap ada. Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri,  Tun Abdullah Ahmad Badawi turut dipalitkan. Isu kronisme,   bapa mentua dan penyelewengan agihan projek sepatutnya tidak timbul kerana topik debat berkisar soal kewangan dan bantuan untuk pelajar.

Bagaimanapun sebagai langkah awal, debat terbaru boleh dianggap  tradisi yang wajar diteruskan kerana politik Malaysia sudah hampir memasuki era kematangan. Era kerajaan menguasai maklumat sudah berlalu. Zaman ahli politik menyogokkan  propaganda murahan sudah tidak sesuai lagi kerana teknologi maklumat  menjadi perayaan sejagat semua bangsa.

Dialog cerdik dan debat politik wajar diteruskan walaupun ada segelintir hadirin yang masih terperangkap dengan kepompong   lama dan sukar menerima hujah berlandaskan fakta dan angka. Ada yang menjerit dan menyanggah secara terbuka kerana pemikiran mereka tertutup  disebabkan kepompong mereka masih mewarisi era feudal yang tidak relevan lagi.

   Khairy dan Rafizi pernah berdebat di  London pada 29 Januari lalu  pada majlis  anjuran  Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit.    Mereka berhujah, sekali gus mencabar minda mengenai Wawasan 2020. Walaupun kedua-duanya mewakil dua kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut kebebasan berhujah dan menyuarakan  pendapat, sinis terhadap Akta Mesen Cetak, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri  serta pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.
 
  Richard Andrews  dalam bukunya Argumentation in Higher Education menyatakan  penghujahan atau debat ialah 'urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh bukti'. Ia membabitkan  aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain. Pemikiran kritis dan penghujahan berada di  tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional.

 Pendapat ini hampir dicapai dalam debat dua tokoh muda itu kerana tradisi intelektual tidak datang secara bergolek. Ia memerlukan proses panjang mengenai penghujahan dan bagaimana hujah boleh meyakinkan pendengarnya. Golongan yang antidebat adalah kelompok yang enggan berfikir dan segan mewaraskan otak.

Jika sebelum ini debat menerusi twitter dan facebook banyak diperkatakan, kehadiran dua insan berdebat  secara   terbuka memberi ruang kepada hadirin melihat kepetahan hujah dan menduga minda.

Tentunya tidak ada pemenang mutlak antara kedua-dua pendebat, kerana yang menang adalah semangat dialog cerdik itu sendiri yang mengajar lebih berimbang ketika bersuara dan lebih menimbang ketika mendebat hujah yang   tidak dipersetujui.

Kita berharap pada masa akan datang tradisi debat diteruskan membabitkan   tokoh lebih kanan dalam   gerakan siasah di Malaysia..

Kita pernah menyaksikan debat antara Anwar dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, juga antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.  Kita juga tentu mengharapkan tradisi debat diadakan ketika pemilihan dalam sesebuah parti politik atau perebutan calon sama ada pada peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada  setiap kali pilihan raya umum.  Tentunya acara debat   lebih memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan memilih wakil mereka ke peringkat yang lebih tinggi tanpa sebarang prasangka! - Berita Harian, 25 Mei 2012

Sunday, May 20, 2012

Ceroboh parkir OKU perkara biasa

SEORANG pemandu orang kelainan upaya (OKU) menegur pengendali parkir di Anjung Perdana, Putrajaya kerana ‘bersubahat’ membiarkan petak OKU diceroboh: “Kawasan OKU sepatutnya untuk OKU, bukan pemandu normal!”

Bagaimanapun teguran itu sekadar angin lalu kerana tiada jaminan orang awam memahami masalah OKU, apatah lagi   meletakkan kenderaan di kawasan yang ditanda dengan lambang kerusi roda.
Masalah sikap, alasan terdesak dan tiada ruang parkir menjadi helah  kawasan yang sepatutnya untuk kenderaan OKU diceroboh. Bukan saja di Putrajaya, malahan di kawasan rawat dan rehat  lebuh raya  utama juga diceroboh sesuka hati.

Saya sokong tindakan tegas bahagian keselamatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang bertindak  merantai kenderaan dan kompaun pemandu  degil di kawasan hospital itu. Tindakan ini  perlu dikuatkuasakan di tempat lain kerana masalah OKU bukan sekadar mencari kawasan letak kenderaan, juga isu kesihatan, keselamatan dan keselesaan.

Isu ini sudah lama diperkatakan namun tiada tindakan tegas. Lebih malang, tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghukum sikap kurang timbang rasa pemandu  ceroboh petak parkir OKU.

Jika kita mahu percaya, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung yang  akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mewartakan petak  khas bagi OKU di kawasan masing-masing, perlu disokong.

  Sentral, sisipan Berita Harian pada 10 Mei lalu melaporkan   peraturan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemandu tidak prihatin yang ‘merampas’ petak yang dikhaskan untuk  OKU.

 Chee Heung berkata, perbincangan itu akan menjurus kepada mewujudkan undang-undang atau peraturan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pemandu yang menceroboh petak  OKU.

Sehingga ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengesahkan tiada peruntukan bagi pihaknya bertindak dalam Kaedah-Kaedah Isyarat Lalulintas (Saiz, Warna dan Jenis) 1959.

   Difahamkan, PBT lain juga tidak mewartakan petak kenderaan  OKU menyebabkan kemudahan berkenaan tidak diendahkan pemandu normal.

Isu kemudahan OKU sudah klise. Ketika Malaysia bersama masyarakat  dunia meraikan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) pada 1981, pelbagai janji dibuat oleh kerajaan dan agensinya. Jaminan keselamatan dan kemudahan awam diperkatakan. Peluang berniaga dan kemudahan melanjutkan pelajaran turut dibincang. Sektor swasta pula pernah berjanji untuk menawarkan peluang pekerja kepada OKU yang layak. Namun hasilnya sampai kini sekadar janji kosong.  Tidak banyak peluang pekerjaan untuk OKU, apatah lagi jika berangan-angan untuk kenaikan pangkat!

Yang kerap bertukar sekadar istilah. Dulu orang cacat, kemudian golongan istimewa, orang kurang upaya dan kini orang kelainan upaya. Pertukaran istilah dan sebutan tidak mengubah apa-apa.

Justeru, tidak menghairankan    90 peratus daripada OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000  sebulan. Angka ini mengesahkan mereka di antara golongan berpendapatan rendah, walaupun kononnya pelbagai projek prihatin sudah dilakukan oleh kerajaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu  (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai  pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bilangan  OKU yang berdaftar di  JKM) pada 2011  berjumlah 325,189 orang berbanding 283,512  pada 2010.

 Peranan kementerian dan jabatan yang diharapkan membantu golongan malang  tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu. Seorang OKU mengadu pelbagai kerenah birokrasi apabila bertemu pegawai JKM di Lembah Klang. Dia bukan saja sukar memperbaharui kad OKU yang sudah lusuh, bahkan berdepan pelbagai pegawai yang sentiasa sibuk dan tidak sempat melayani, apatah lagi menyelesaikan masalah OKU.

 Kita sudah ada  Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya yang ditubuh  di bawah Akta OKU   yang  dianggotai beberapa kementerian bertujuan menentukan dasar  untuk membantu golongan berkenaan.

     Sehingga kini kesannya tidak ketara dan  nasib OKU terus samar  seperti juga isu parkir yang tidak dapat diatasi sampai kini. - Berita Harian, 19 Mei 2012


                

Tuesday, May 15, 2012

Mahathir diktator atau pejuang?

BARANGKALI insan bernama Dr Mahathir hanya seorang di dunia ini, walaupun nama Mahathir mungkin ribuan di Malaysia, India, Pakistan dan Bangladesh.

Insan bernama Dr Mahathir juga mencipta mitos dan legenda tersendiri -- sebagai negarawan, pejuang bangsa, suara dunia ketiga, atau bagi musuh politiknya, beliau seorang diktator, ultra Malay, mahafiraun, mahazalim dan entah apa lagi.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sebutan umum bukan kerana mentadbir negara selama 22 tahun (1981-2003), juga tulisannya yang sentiasa mencabar minda, sesekali mengundang kontroversi.
Sebagai insan perjuangan, Dr Mahathir kekal bersuara  selepas  sembilan tahun meninggalkan jawatan Perdana Menteri dan setia lantang mengulas pelbagai isu semasa dengan pandangan bernas, sesekali radikal dan kritis.

Bukunya  The Malay Dilemma (1970) pernah diharamkan kerana dianggap tidak Islamik dan radikal. Ia hanya beredar di pasaran selepas beliau menjawat Perdana Menteri.

Buku Menghadapi Cabaran menjadi bualan ramai kerana nilai murni dan budaya kerja yang ditekankan. Dr Mahathir mengkritik kelesuan Melayu dalam sektor ekonomi kerana salah tanggap terhadap  ajaran Islam.

Tahun lalu beliau menerbitkan A Doctor In The House sebagai wadah memori peribadi ketika dalam pentadbiran kerajaan, pramerdeka dan pasca penjajahan.

Terkini buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr  Mahathir Mohamad berada di pasaran yang tentunya menjadi bacaan umum dengan tanggapan pelbagai.

Pengalaman peribadi sebagai Perdana Menteri keempat bermula  16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003 tentunya menarik dikenang. Beliau berjaya  mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai  sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara 'Harimau Ekonomi Asia'.

Dr Mahathir juga  membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 apabila  menolak cadangan dan juga dana bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dianggapnya boleh  memburukkan lagi krisis.

Dr Mahathir  bersifat vokal berhubung  isu antarabangsa sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Beliau menyokong sistem ekonomi pasaran terkawal sebagai alternatif kepada sistem ekonomi persendirian dan secara amnya menolak pasaran bebas (laissez-faire).

Kelantangannya tidak disenangi negara Barat. Ketika menghadiri Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Harare, Zimbabwe  pada 1991, Dr Mahathir dinasihatkan tidak berucap panjang untuk mengelak kritikan pedasnya.

“Pegawai istana Buckingham dan pegawai Sekretariat Komanwel bersusah payah memaklumkan kepada saya bahawa Ratu Elizabeth II akan membuat ucapan ringkas, jadi eloklah kalau saya membuat ucapan pendek,” tegasnya.

Dasar Pandang Ke Timur dan penerapan nilai Islam berjaya melonjakkan Malaysia sebagai kuasa baru di Asia Tenggara. Dr Mahathir boleh dianggap arkitek terhadap jiwa klise Melayu yang sebelumnya berlatar belakang sektor pertanian kepada bidang perusahaan.

Kelahiran Melayu baru dan persaingan ekonomi terbuka menjadikan Malaysia lebih kompleks, apatah lagi sesekali diancam suasana siasah yang kurang sihat. Pemilihan UMNO dan politik wang menjadikan parti umat Melayu tercabar. Pertandingan 1987 antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi kesan besar -- UMNO diharamkan, penubuhan Semangat 46 dan Operasi Lalang pada Oktober 1987 yang menggugat suhu keamanan.

Sebagai pemimpin yang datang dari kampung pinggir bandar dan latar belakang kumuh, Dr Mahathir memberi   variasi tersendiri dalam sistem politik negara. Jika tiga perdana menteri sebelumnya dari golongan bangsawan, Dr Mahathir adalah citra  rakyat yang melihat saki baki sekular dan feudal masih menular dalam masyarakat.

Dr Mahathir mengakui dirinya Melayu walaupun ada yang mempertikai asal usulnya. “Saya akui ada darah India atau lebih tepat Asia Selatan mengalir dalam tubuh saya,  tetapi dari bahagian mana di benua India tidaklah saya ketahui.

“Orang Melayu pada zaman silam tidak peduli keturunan mereka walaupun yang berdarah Arab boleh mengesan asal-usul mereka ke Yemen dan tahu pula dari keluarga mana mereka datang,” tegasnya.

Ada ketika Dr Mahathir mengutamakan pemikiran lateral dan melihat Malaysia dari pentas global. Projek  berprofil tinggi tidak terkecuali menerima kritikan. Namun pembinaan   Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang menjadi saksi angan-angan si kecil yang pernah berjalan kaki ke sekolah menjadi pemimpin berjiwa besar.

Dr Mahathir tentunya tidak membesar sebagai pemimpin secara spontan. Pengalaman kezaliman Jepun dan penghinaan penjajah British di depan mata mendorong dia bangkit sebagai wira dunia ketiga. Tentunya Doktor Umum perlu dikaji sebagai karya besar bangsa Malaysia untuk melihat hitam dan putihnya! - Berita Harian, 15 Mei 2012


Thursday, May 03, 2012

Kedai buku bagai stor bahan binaan

SAYA tertarik dengan ungkapan  ‘Buku: Dunia Tanpa Sempadan’ yang   menjadi tema Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-13 pada  27 April  hingga 6 Mei  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ungkapan tersebut mengiktiraf kewujudan dunia tanpa sempadan dan buku wahana terbaik melahirkan manusia cerdas dan berminda.

Bagaimanapun sejauh mana kedai buku menyediakan zon selesa untuk pengunjungnya?

Berbanding negara Barat yang menyediakan kafe, sofa, ruang mesyuarat, sudut diskusi dan ruang tempahan  buku baru, kedai buku di negara kita bagai stor barang binaan yang lesu dan kurang menarik.

Hanya kulit buku yang warna-warni dan pendingin hawa membantu pengunjung ke kedai buku, itu pun seolah-olah dalam keadaan terpaksa. 

Seorang pengunjung ditegur pengurus jualan sebuah kedai buku ternama kerana terlalu lama membelek sesebuah buku  yang dianggap ‘sekadar membaca, bukan membeli’.

“No free reading!” teguran yang menyakitkan telinga pengunjung di sebuah kedai buku di kompleks beli-belah di Lembah Klang.

Petugas di kedai buku lazimnya sibuk menyusun bahan bacaan di rak dan tiada masa memberikan senyuman, apatah lagi menegur pengunjung. Jika ditanya judul sesebuah buku, mereka sekadar berpaling sesama sendiri, atau menjawab: “Buku tersebut sudah habis!” Tiada upaya untuk menyemak daftar stok jualan, atau   bertanya kepada pihak lebih atasan.

Sesekali terfikir juga layanan di kedai gunting rambut lebih mesra dan santun berbanding kedai buku. Bukan saja kerana petugas   gunting rambut membabitkan amoi dan lelaki lembut, tapi cara mereka menegur pelanggan lebih hormat dan mesra.

Di negara kita tradisi kedai buku bukan sehari dua. Sejak dekad 60-an, Pustaka Aman Press, Pustaka  Antara dan Pustaka Abas Bandung sudah lama menyediakan bahan bacaan bermutu dan mendapat kunjungan ramai.

Kini kedai buku mengalami perubahan pesat. Bukan saja pendingin hawa dan susun atur rak yang menarik, lokasi premis jualan juga menjadi kunjungan ramai.

Malangnya, suasana yang ada di dalam kedai buku   kurang mesra pelanggan. Sesetengahnya memiliki pengawal keselamatan warga Nepal yang begitu tegas dan serius.  

Petugas di celah-celah rak pula sekadar menyusun buku dan  kurang memahami dunia tanpa sempadan yang sepatutnya menjadi idaman ramai.

Di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain,  kedai buku dianggap ruang tamu kedua bagi seseorang pengunjung. Kedai buku menyediakan ruang seminar untuk membolehkan pencandu buku berbincang mengenai tradisi keilmuwan secara santai. Sudut kafe disediakan bagi membolehkan  pengunjung bersantai sambil memilih buku yang sesuai.

Lazimnya sasterawan dan penulis  ternama menemui peminat dan bakal pembeli di kedai buku. Di situ juga diskusi dan majlis pelancaran buku baru diadakan tanpa membabitkan banyak kerenah.

Suasana santai dan murni ini perlu dilaksanakan di negara kita kerana ungkapan dunia tanpa sempadan   tidak bererti jika buku dan kedainya tersisih daripada tumpuan ramai.

Pesta buku pula menjadi budaya baru sejak lebih dua dekad lalu. Ribuan  judul  buku dijual atau sekurang-kurangnya dipamer dengan pelbagai lay out  menarik.

Pada tahun ini  Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan menerbitkan 14 lagi judul  karya asli.
Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron berkata penerbitan buku tersebut adalah sebahagian daripada  sasaran ITBM untuk menerbitkan 70 judul buku pada tahun ini.

"Penerbitan 17 judul itu juga selaras dengan sasaran ITBM untuk menerbitkan buku dalam tempoh tiga ke enam bulan selepas ITBM menerima manuskrip buku," katanya  selepas majlis pelancaran tiga  buku   Menjelang 77 tahun Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Majlis tersebut disempurnakan   Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Sebanyak 14 judul buku tersebut dipilih daripada  jumlah keseluruhan 150 manuskrip yang diterima ITBM dan kini dalam proses cetakan.

 Bayangkan tempoh 10 tahun mendatang apabila buku yang diusahakan ITBM memenuhi pasaran, tidak termasuk penerbitan swasta dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bayangkan juga suasana di kedai buku tempoh 10 tahun mendatang; apakah kita berada di luar sempadan yang ada sekarang atau kedai buku kekal kaku dan bisu selama-lamanya? - Berita Harian, 3 Mei 2012

Tuesday, April 24, 2012

Mampukah BN rampas Kelantan?

PAS   mentadbir Kelantan selama 22 tahun sejak 1990. Bukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berusaha menawan semula Negeri Cik Siti Kembang, namun pelbagai usaha dilakukan sebelum ini gagal.
BN sebelum ini gagal menawan minda rakyat Kelantan walaupun pelbagai projek pembangunan dilakukan untuk memajukan negeri yang lebih 90 peratus penduduk berbangsa Melayu dan Islam.

Kelebihan PAS pula adalah menggunakan unsur psikologi, tradisi Islam dan sistem pondok  yang  bertebaran sejak abad 19.

UMNO Kelantan pula tidak ketandusan pemimpin berwibawa. Sejak era Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail, UMNO dan BN menampilkan Tan Sri Hussein Ahmad, Tan Sri Mohammad Yakub,  Tan Sri Annuar Musa  dan terkini Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun kegagalan memahami minda dan kehendak rakyat menyebabkan PAS  kekal bertapak.
Sebagai sebuah negeri yang berada di Pantai Timur dan jauh dari kepulauan Indonesia, Kelantan boleh dianggap negeri yang kurang asimilasi keindonesiaan berbanding negeri lain. Tidak banyak keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Minangkabau, Banjar dan Rawa. Jika ada pun sekadar membabitkan penghijrahan kecil sejak dekad 60-an yang gagal mengubah suai corak pemikiran dan budaya tempatan.

Keunikan ini memberi kelainan kepada penduduk Kelantan. Kelainan ini juga menyebabkan ramai yang kurang memahami pemikiran mereka, menyebabkan sukarnya BN pusat memahami  apa yang diingini oleh pengundi Kelantan itu sendiri.

Dalam beberapa siri pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, isu pembangunan dipergunakan secara meluas seolah-olah hanya BN yang memperjuangkan nasib rakyat.
Lebih parah apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang ke Kota Bharu menjelang Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, menaikkan sepanduk ‘18 tahun padan doh!’ yang seolah-olah memperlekehkan undi rakyat Kelantan selama ini.

Tindakan keterlaluan itu menyebabkan pengundi atas pagar menyuarakan bantahan menerusi peti undi yang mengekalkan kerajaan PAS sehingga kini.

Bagi  politikus yang cerdas, pemikiran dan naluri pengundi perlu diambil kira. Penduduk Kelantan tidak mengamalkan sikap kenegerian. Mereka boleh bersatu menerima  sesuatu isu yang dianggap rasional dan menolak pendapat lain yang dirasakan tidak wajar. Dalam konteks politik, sebahagian mereka bukan ahli UMNO kekal, tidak juga cekal bersama PAS. Mereka boleh menyokong PAS dalam sesuatu pilihan raya dan mengundi UMNO pada tempoh yang lain.

Mereka lebih memihak kepada logik semasa ketika proses pembuangan undi. Mereka tidak terikat kepada dogma dan ideologi semata-mata tetapi lebih kepada kehendak semasa.

Hakikat ini boleh dilihat punca PAS berkuasa sejak 1990 kerana tidak banyak pemimpin UMNO yang berusaha menawan hati rakyat. Ada juga tokoh yang hidup mewah menyebabkan penyokong berpaling tadah.

Kekurangan lampau disedari pucuk pimpinan BN Kelantan sekarang  untuk mendekati rakyat pelbagai peringkat. Gelombang Merah diadakan di beberapa jajahan yang membabitkan ribuan rakyat. Kempen penerangan juga diadakan bagi membantu BN berkuasa semula.  Timbalan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yakin gerakan kempen penerangan dapat membantu memberi penjelasan kepada rakyat  mengenai pelbagai isu berbangkit.

"Kita akan bergerak sebagai satu keluarga besar seperti  diputuskan pada mesyuarat BN Kelantan yang dipengerusikan   Mustapa,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan peti undi Melawi, Bachok, baru-baru ini.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata antara isu yang akan diberi tumpuan termasuk kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan PAS membekalkan air bersih kepada rakyat, ketidakadilan projek Ladang Rakyat dan penggadaian tanah rizab Melayu.

Ramai pemerhati melihat perkembangan di Kelantan  sekarang adalah seimbang. UMNO dan PAS mendapat tempat di hati rakyat. Pihak yang dapat memanfaatkan peluang bakal meraih kejayaan.
Dari segi sejarah, rakyat Kelantan pernah memberi peluang  kepada UMNO dan PAS menerajui kerajaan negeri. Mereka mentadbir untuk beberapa penggal sebelum dihukum oleh pengundi sendiri.  

Dalam pilihan raya  27 Julai 1955,   Perikatan (Gabungan UMNO, MCA dan MIC)  diberi mandat penuh, tetapi dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS pula diberi mandat  menerajui kerajaan  apabila menang besar dengan memperoleh 28  daripada 30 kerusi  dipertandingkan.
  Pada pilihan raya 1978 pula BN berjaya mendapat mandat kali kedua menerajui kerajaan negeri dengan PAS hanya mampu bertahan di  Sering dan Manek Urai.

 Isu rasuah dan balak membabitkan individu PAS tertentu menyebabkan BN menguasai Kelantan.
 Bagaimanapun, pada pilihan raya 21 Oktober 1990, sekali lagi pengundi  mengambil sikap mengubah kepemimpinan kerajaan negeri daripada BN kepada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada PAS dan Semangat 46.

Kini kedua-dua pihak menumpukan fokus untuk menerajui Kelantan. Tentunya   yang menang adalah proses demokrasi itu sendiri kerana rakyat Kelantan bukan pengundi  fanatik. Mereka pilih parti yang terbaik, bukan sekadar propaganda murahan! - Berita Harian,  24 April 2012

Tuesday, April 17, 2012

Skrip bodoh: Mangsa rogol kena cari peguam

 SEORANG gadis yang dirogol oleh hartawan kampung tidak dapat membuat aduan polis kerana tiada peguam yang boleh membantunya.

]Walaupun gadis itu mempunyai bukti kukuh serta mengumpul beberapa rakan yang juga pernah menjadi mangsa rogol oleh lelaki yang sama, dia gagal membuat laporan  kerana anggota polis enggan menerima aduannya.  Alasannya, tiada peguam, maka tiada aduan yang boleh dikaitkan dengan siasatan, apatah lagi proses pendakwaan di mahkamah.

Bagi gadis kampung yang miskin kewangan dan pengalaman hidup, dia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali pasrah dan menyalahkan takdir.

Bayangkan sebuah skrip drama yang agak daif tapi berulang kali ditayangkan di sebuah stesen televisyen kita.
Saya menonton drama ini beberapa kali kerana mahu menilai skrip dan mutu lakonan Datuk Rahim Razali, Fasha sandha dan Fauzi Nawawi. Pelakon hebat tidak semestinya menggambarkan mutu sesebuah drama kerana  lemah skrip dan mutu pengarahannya. 

Di negara kita, industri drama TV, seperti juga filem dan teater,  masih dianggap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana kekangan modal dan skrip yang bagus. Kita mungkin mempunyai beberapa pelakon yang berwatak  tapi kita masih kurang mutu skrip yang baik. Kita hampir tiada penulis skrip drama yang bermutu  dan berilmu  walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pusat pengajian tinggi yang menyediakan kuliah penulisan kreatif. Kenapa?

  Penulis skrip seperti juga genre lain memerlukan bakat, ilmu dan pengetahuan mengenai isu yang bakal dipaparkan.

Mereka juga perlu tahu proses undang-undang walaupun bukan prasyarat dalam penulisan skrip. Lazimnya kes rogol disiasat  mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tidak  timbul seseorang mangsa perlu mendapatkan peguam untuk membuat aduan polis kerana kes jenayah membabitkan pendakwa dan pembela. Mangsa hanya berhak mengadu dan menjadi saksi kes. Kejahilan penulis skrip boleh menimbulkan salah anggapan terhadap proses keadilan di negara kita.

Isu skrip drama sudah lama diperkatakan. Sejak era drama Potret Pekerti  dan Opah tayangan TV1 pada dekad 60-an dan 70-an, skrip drama TV kita tidak banyak berubah. Klise dan isu remeh masih berulang kali ditayangkan. Tema, persoalan dan jalan cerita masih berpaksi di landasan yang sama.   

Seorang penulis  mengakui kelemahan skrip drama TV kerana berpunca isu bayaran di samping sikap penerbit yang lebih mementing jalan singkat dalam penerbitan mereka.

   “Bayaran untuk sesebuah skrip tidak berubah sejak 20 tahun,” akuinya. Dia kesal penulis skrip tidak menerima bayaran lebihan walaupun sesebuah drama diulang tayang berulangkali di kaca TV.

“Stesen TV mendapat untung berlipat ganda apabila  telemovie atau drama bersiri  diulang siar. Penajaan iklan untuk drama yang siarkan  tidak mengambil kira hasil kreatif penulis skrip,” tegasnya.

Sehingga kini tiada  surat perjanjian antara stesen televisyen, penerbit dengan penulis skrip. Dalam situasi ini, kerap  terjadi nama penulis asal skrip drama TV dipadamkan terus dan diganti dengan nama penulis lain sewenang-wenangnya.

“Kami tidak ada tempat untuk bela diri dalam hal sebegini. Hak cipta untuk skrip tak ada,” tegas penulis skrip itu.

Bayaran  untuk skrip drama TV tidak pernah naik sejak   1990-an lagi. Bayaran  sesebuah  telemovie sekitar RM4,000 hingga  RM5,000  saja. Drama episod membabitkan  satu  episod  (30 minit) sekadar RM700  hingga RM1,000  dan drama episod 60 minit   hanya RM1,500 hingga RM2,000.

Kadar bayaran yang rendah ini dijangka kekal selama-lamanya kerana tiada badan yang memperjuangkan nasib penulis skrip walaupun  stesen TV mengaut untung penyiaran iklan ketika drama ditayangkan.
Penulis skrip juga menghadapi masalah sistem pitching yang diamalkan oleh stesen TV sekarang. Produser tidak bayar proposal yang mesti disediakan oleh penulis skrip sebelum karya lengkap diterbitkan. Jika proposal lulus,  skrip penuh  ditulis.

“Jika sebaliknya, idea dan proposal  akan hangus,  sedangkan untuk sediakan proposal penulis  kena kerja lebih awal mencari bahan mentah tanpa sebarang bayaran. Bayangkan jika proposal seseorang penulis skrip dicedok oleh syarikat penerbitan dan drama tersiar tercatat nama penulis lain? Hal ini   kerap berlaku dan penulis skrip drama sekadar menelan liur dengan perasaan sakit hati,” katanya.

Sehingga kini nasib penulis skrip bagai telur di hujung tanduk. Tiada agensi atau badan khusus yang membantu mereka walaupun ada Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM)  yang hingga kini masih misteri matlamat penubuhannya. - Berita Harian, 17 April 2012

Wednesday, April 11, 2012

Media dan tamadun kebebasan



TAMADUN berkembang seiring perkembangan media. Bayangkan Malaysia atau Tanah Melayu tanpa Jawi Peranakan? Bayangkan alam Melayu tanpa Abdullah Munsyi  yang menghasil karya pertama pada   1830 bertajuk Syair Singapura Terbakar. 
 
Bayangkan tradisi intelektual Melayu  tanpa      Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu Dalam Segala Negeri (1837),     Dawai-Kulub (1838),    Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838),    Hikayat Abdullah (1843),    Kisah Pelayaran Abdullah ke Jedah (1854),    Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Kelantan (1838),    Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Mekkah (1858-9),    Syair Singapura Terbakar (1843) dan     Syair Kampung Gelam Terbakar (1847).

Karya Abdullah Munsyi dianggap asas awal ciri-ciri kewartawanan Melayu sebelum lahirnya Jawi Peranakan pada 1876 yang dianggap akhbar pertama di Tanah Melayu. Pelbagai tuduhan sinis dihadapkan kepada Abdullah  -- tali barut penjajah, anti-Melayu, karya dongeng atau apa  lagi. Namun dia sudah membuktikan karyanya berpijak di alam nyata merangkumi ciri-ciri  bila, di mana, bagaimana dan siapa yang terbabit.

Bayangkan dunia kewartawanan ketika itu. Tanpa kemudahan komputer, laptop, internet, ipad dan faksimili, media lahir dalam kehidupan masyarakat yang akhirnya mencetuskan semangat kebangsaan untuk anak bangsa sendiri.

Jawi Peranakan lahir di tengah pergolakan  yang tidak sunyi daripada permasalahan bangsa dan harga diri warga tempatan. Perasaan, pemikiran dan naluri massa menyemai ke arah kebangkitan perjuangan yang merakyat. 

Ketika  Perang Dunia Kedua, sebanyak  157  akhbar  bahasa Melayu dalam tulisan jawi diterbitkan. Selepas Perang Dunia kedua,   ia meningkat  melebihi 321  akhbar sehingga 1968.
Media pada separuh abad lampau hampir tidak sinonim dengan iklan. Media merakyat, menyalurkan pandangan dan aktiviti desa. Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi banyak mencatat perkembangan yang berlaku pada zaman penjajahan dan pasca merdeka. Wartawan ditindas, dibawa ke rumah pasung dan ditahan oleh penjajah jika  dianggap merosakkan pemikiran  massa. Pada era pasca merdeka, media tidak terkecuali menerima nasib yang sama  dilakukan oleh penjajah minda  di kalangan anak bangsa sendiri.

Peristiwa mogok di kalangan  wartawan Utusan Melayu pada 1961 mendedahkan realiti baru. Media bukan lagi berperanan sebagai juara rakyat tetapi menjadi suara propaganda gerakan siasah.  Wartawan dicengkam dengan pelbagai akta dan sabitan. Media akhirnya tunduk kepada kepentingan kuasa dan terkini kepada pemilik saham.

Kejadian   pada 27 Oktober 1987 hampir membuktikan hakikat ini.   Operasi Lalang dan penggantungan permit penerbitan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh mengesahkan  kuasa siasah boleh melakukan apa saja. Seramai  106  ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan aktiviti sosial dikawal rapi.
  
Hari ini peranan media turut berubah seiring perkembangan teknologi maklumat. Penyebaran berita bukan lagi hak eksklusif mana-mana pihak. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui realiti baru yang penuh persaingan. "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu," cetusnya ketika berucap pada majlis Malam Kewartawanan Malaysia dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 di Kuala Lumpur  pada 30 Mac lalu.

Najib mengakui  Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dibentangkan di Parlimen pada sesi   sedang berlangsung bersama  undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

 Selain   memansuhkan keperluan pembaharuan lesen secara tahunan, kerajaan juga  mengkaji secara komprehensif terhadap keperluan kewujudan akta sedia ada dengan mengambil kira kemajuan sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT).

"Kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mempunyai 'double standard' (memberi layanan berbeza) dalam peraturannya terhadap media cetak dan media digital," katanya.

Najib berkata langkah-langkah yang kerajaan laksanakan barang kali digemari pihak 
antarabangsa sehingga menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia pada 2011 bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. Di kalangan 178 negara yang dipantau organisasi Wartawan Tanpa Sempadan, Malaysia kini berada pada tangga 122 berbanding 141 pada 2010, naik 19 anak tangga.

"Di   Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar," tegasnya.  

Kerajaan turut menyambut baik usaha  peneraju pengarang media cetak untuk menubuhkan   Majlis Akhbar Malaysia yang bertindak sebagai badan pengawas untuk mengukuhkan tahap profesionalisme industri berita di negara ini.

Najib berkata, di bawah persepakatan itu,  editor bersetuju untuk menyediakan satu kod etika yang memperincikan  prinsip kewartawanan untuk dijadikan  panduan dalam  tugas pengumpulan dan penerbitan maklumat bagi dijadikan hasil kewartawanan.

"Saya menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas yang  dibentuk oleh  pengarang  untuk menghasilkan kod etika yang boleh digunakan dan dilaksanakan sepenuhnya.
"Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkaitan  profesionalisme kewartawanan. Kerajaan akan menerima apa juga cadangan yang dikemukakan dengan hati dan fikiran yang terbuka," katanya.

Bagi pengamal media, kenyataan Najib amat disokong kerana realiti semasa memerlukan perubahan total. Era media  tradisional  menguasai massa sudah berlalu. Maklumat sudah menjadi hak sejagat. Kebebasan minda adalah hak asasi yang tidak boleh dinafikan.
Ketika media cetak semakin diasak dan mengendur edarannya, masyarakat masih memberi harapan untuk membaca akhbar dan majalah yang lebih adil dan telus pemberitaannya. Zaman propaganda era wayang pacak Jabatan Penerangan pada dekad 60-an sudah berlalu. Media tradisional perlu sedar kenyataan baru jika mahu terus bernafas.

Nama Kajai, A Samad Ismail. Said Zahari dan  Mazlan Nordin sesekali menngingatkan kita kepada perjuangan dan etika yang diperjuangkan. Wartawan perlu kekal bersama rakyat, bukan alat siasah! - Berita Harian, 4 April 2012
 

Monday, April 09, 2012

Kereta mewah, rumah banglo di Kelantan



PENERBANGAN dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu hampir menggambarkan suasana yang ada di Kelantan. Enam penumpang pesawat memakai jersi The Red Warriors. Ada pula yang berketayap dan berjubah di samping bercakap soal politik Islam.

Di Kota Bharu, poster parti politik hampir mendominasi bumi Kelantan. Lambang PAS dan Barisan Nasional (BN) bertebaran di beberapa tempat, seolah-olah musim pilihan raya umum sudah tiba. 

Bagi kebanyakan rakyat Kelantan pilihan raya dan politik sebahagian daripada budaya kehidupan. Mereka boleh berada di kedai kopi untuk beberapa jam semata-mata bercakap soal politik kepartian yang disokong. Mereka boleh bergaduh sesama sendiri semata-mata pegangan politilk. Sebelum ini pernah berlaku kes perceraian kerana kepercayaan siasah yang berbeza. Majlis ceramah dan pertemuan politik kerap dilakukan saban malam.

Jika mahu dikaitkan dengan keunikan,  cara orang Kelantan berpolitik amat  unik. Mereka boleh menyokong sesuatu pihak untuk tempoh tertentu dan boleh mengubah sokongan jika  orang  yang disokong bertindak korup dan menyeleweng. Berbeza dengan negeri lain yang mempunyai penyokong UMNO yang setia dan pengikut PAS yang tegar.

Rakyat Kelantan tidak kekal menyokong PAS seperti  juga tidak cekal bersama UMNO dan BN. Mereka hanya melihat calon terbaik untuk disokong dan boleh mengubah kerajaan negeri jika tokoh yang dipilih sebelumnya gagal melaksanakan amanah yang diberi. Sejarah membuktikan Kelantan sudah beberapa kali menukar kerajaan negeri. Dalam pilihan raya pramerdeka pada 27 Julai 1955, parti Perikatan diberi mandat penuh, tetapi dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959, PAS pula diberi mandat  menerajui kerajaan   apabila menang besar dengan memperoleh 28  daripada 30 kerusi  dipertandingkan.
 

   Pada pilihan raya 1978 pula, Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat mandat kali kedua menerajui kerajaan negeri dengan PAS hanya mampu bertahan di dua kerusi, Sering dan Manek Urai. Isu rasuah dan balak membabitkan  individu PAS tertentu menyebabkan BN menguasai Kelantan.
 

   Bagaimanapun, pada pilihan raya 21 Oktober 1990, sekali lagi orang Kelantan mengambil sikap mengubah kepemimpinan kerajaan negeri daripada BN kepada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada PAS dan Semangat 46.  Faktor Tengku Razaleigh Hamzah memainkan peranan penting kerana pimpinan UMNO pusat yang mengambil sikap anti-Kelantan mendorong PAS berkuasa selama 22 tahun hingga kini. Faktor Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak terkecuali kerana kesederhanaan peribadinya.
 

   Semangat berpolitik orang Kelantan ini jugalah menyebabkan pelbagai parti politik lahir  seperti Berjasa, Hamim, Semangat 46 dan Akim. Tokoh politik pula lahir dengan pelbagai latar belakang menarik. Walaupun Kelantan didominasi penduduk Melayu dengan kadar 90 peratus, sikap kenegerian tidak wujud dan mereka boleh menerima tokoh luar yang dilihat dapat mewarnai suasana politik di Negeri Cik Siti Wan Kembang.  Tokoh seperti   Mohamad Sabu dari Pulau Pinang, Dr Daeng Sanusi Mariok  (Johor), Nasharuddin Mat Isa  (Negeri Sembilan), Dr Mohd Hatta Ramli (Selangor), Sallehuddin Ayub (Johor) dan Saifuddin Nasution (Kedah) melangkah masuk ke Dewan Rakyat melalui pemilihan rakyat Kelantan. 

Proses ini akan berterusan apabila sikap sederhana dan relevan membenarkan hukum politik kenegerian digerakkan oleh tokoh tempatan dan luar Kelantan.
 

 BN kini banyak menggerakkan jentera kempen bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Banyak gerakan anak muda menyuarakan sokongan ke arah perubahan siasah demi masa depan ekonomi dan kerjaya masing-masing.

Bagi masyarakat luar, isu kemiskinan dan  projek pembangunan  hampir sinonim dengan Kelantan. Bagaimanapun jika berada di negeri Pantai Timur itu, dakwaan itu bukan lagi isu kerana soal kemiskinan berlaku di mana-mana saja negeri di Malaysia. Kelantan tetap menikmati projek pembangunan, jalan raya sempurna dan kemudahan asas seperti di negeri lain. Hanya bekalan air bersih yang masih menjadi mimpi di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Banyak  kediaman bertaraf banglo dan kereta mewah di segenap daerah di Kelantan membuktikan hakikat ekonomi tempatan. Ia kontradik dengan isu kemiskinan yang dijaja di peringkat pusat.
 

  Lebih menarik lagi apabila  hampir setiap kawasan di Kelantan ada kuda. Dianggarkan jumlah keseluruhan kuda di Kelantan melebihi 1,000 ekor. Kebanyakannya dibela  masyarakat kampung untuk mereka bersukan pada waktu petang atau pada  masa lapang. Kos membela kuda amat tinggi dan memerlukan ringgit yang cukup. Apakakah mitos kemiskinan masih boleh dipertahankan? - Berita Harian, 9 April 2012