Pages

Friday, March 08, 2013

Pengundi Kelantan pilih PAS?

Lebih 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, Rabu lalu bertafakur sebagai menghormati lapan anggota polis yang terkorban akibat pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Mereka bersama pemain pasukan Kelantan dan Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives,  membaca al-Fatihah sebelum perlawanan bermula 8.45 malam yang membuatkan suasana sunyi sejenak.
 Sikap mereka membuktikan rasional majoriti rakyat Kelantan terhadap isu semasa. Mereka prihatin dan ada yang menitiskan air mata apabila mengenangkan kesedihan keluarga pahlawan yang terkorban demi kedaulatan negara.

Pengorbanan, perjuangan dan semangat wira bangsa mendapat perhatian ramai. Tanpa mengira sempadan politik dan semangat kenegerian, perasaan kekitaan rakyat Malaysia disemarakkan dengan doa agar negara kembali aman dan berdaulat.

  Dalam konteks sosial, masyarakat Melayu Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan mengutamakan tradisi muafakat sebagai landasan mendekatkan hubungan dengan semua pihak. Mereka boleh menyokong sesiapa saja bertanding dalam pilihan raya walaupun membabitkan calon luar, semata-mata alasan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat Kelantan.

  Kehadiran tokoh luar seperti Mohamad Sabu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Dr Mohd Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Nasharudin Mat Isa membuktikan sikap terbuka penduduk Kelantan. Mereka tidak mungkin menang pilihan raya jika pengundi memilih anak negeri sendiri sebagai wakil rakyat. Keterbukaan mereka membuktikan tiada unsur kenegerian di negeri Cik Siti Wan Kembang.

  Kita yakin sikap rasional ini akan kekal pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Calon yang dikehendaki rakyat akan berpeluang menang walaupun kali pertama bertanding.
 
Sepak terajang politik memerlukan analisis lebih teliti.  Barisan Nasional (BN) Kelantan yang menggerakkan kempen Gelombang Merah tentunya belajar daripada pengalaman silam. Beberapa nama besar tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 kerana tidak disenangi pengundi. Latar belakang sebagai Ahli Parlimen bertahun-tahun atau pernah bergelar Menteri dan Timbalan Menteri bukan jaminan untuk kekal mendapat sokongan.

  Cara terbaik adalah mendekati akar umbi. BN kini mengenal pasti beberapa nama yang sesuai dengan kehendak pengundi tempatan dan wajar dipertaruhkan untuk menjawat Menteri Besar jika berkuasa nanti.

  PAS pula bukan kelompok yang tidak bermasalah di Kelantan. Isu bekalan air, ladang rakyat,  pembalakan dan kewibawaan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai pentadbir, diperkatakan secara terbuka.

  Lebih 20 wakil rakyat PAS sekarang dipalitkan dengan pelbagai isu peribadi termasuk skandal kepentingan peribadi dan kurang mesra rakyat.  PAS memerlukan tokoh muda bagi memastikan keyakinan rakyat berkekalan.

  UMNO sebagai parti dominan perlu mengkaji strategi sesuai. Kesilapan 2008 termasuk tindakan seorang pemimpin Pemuda UMNO hadir majlis di Kota Bharu dan meneriak “18 tahun pade doh”  (18 tahun cukup dah) jangan diulangi. Cara sedemikian tidak sesuai dengan masyarakat Kelantan yang mengharapkan penampilan lebih sopan.

 Beberapa tokoh Pusat juga ke Kelantan dengan pelbagai janji pembangunan yang dianggap penduduk tempatan sebagai ulangan cerita lama. Ketika BN merampas Kelantan pada 1978 ekoran krisis penentangan Kumpulan 20 pada 1977 yang menyebabkan PAS tersingkir daripada gabungan berkenaan, UMNO pernah menjanjikan beberapa program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.  Janji lebuh raya selesa dan Pengkalan Chepa sebagai kawasan industri terbesar di Pantai Timur tidak tercapai sehinggalah PAS berkuasa semula pada 1990.
 
  PAS mungkin boleh berterima kasih kepada Nik Aziz yang dianggap tokoh jujur, alim dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah Subuh di Kota Bharu.

Bagaimanapun mentadbir sesebuah negeri bukan berkaitan dengan kealiman dan kejujuran semata-mata. Kewibawaan seseorang pentadbir dan matlamat menjayakan agenda pembangunan memerlukan tenaga mahir. BN lebih mampu menyediakan modal insan terbaik berbanding PAS.

  Halangan utama BN adalah rakyat Kelantan sendiri. Sejauh mana mereka menerima UMNO bergantung kepada  usaha menarik perhatian massa.   Retorik politik bukan cara sesuai untuk menang pilihan raya. Rakyat mahukan isu royalti minyak diselesai secara saksama. - Berita Harian, 8 Mac 2013 

Thursday, March 07, 2013

Sandiwara pengganas Sulu?

Ada dalam kalangan rakyat yang jarang menghargai keamanan apatah lagi bercakap soal patriotik. Hanya ketika terdesak, baharu menyedari perlunya sebuah negara yang aman, bebas dan berdaulat.
  Ketika berada dalam suasana aman, kita seolah-olah terlupa nilai keharmonian, perpaduan dan saling menyayangi bukan datang sendiri. Ia perlu dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa.

  Apabila sekumpulan pengganas yang menceroboh Sabah di Lahad Datu pada 12 Februari lalu dan Semporna pada Sabtu lalu, tidak ramai yang menduga kesannya berlanjutan sehingga kini, atau mungkin beberapa minggu lagi. Tidak ramai juga yang mempersoalkan soal jati diri dan kedaulatan sesebuah wilayah yang penduduknya dengan rela hati menjadi sebahagian daripada negeri di Malaysia sejak awal dekad 1960-an.

  Malangnya ada kumpulan manusia yang kononnya pejuang rakyat mengaitkan isu Sabah dengan sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka menggunakan majlis ceramah untuk menyebarkan dakwaan sandiwara itu sedangkan ribuan isteri dan anggota keluarga tentera dan polis yang terbabit dalam Ops Daulat menitiskan air mata, pasrah berdoa dan mengharapkan insan tercinta kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

  Apabila lapan anggota keselamatan terbunuh, ceramah politik yang mengaitkan sandiwara masih berleluasa. Dengan nada megah, mereka menyalahkan kerajaan kerana lambat bertindak dan sepatutnya pencerobohan sejak lebih tiga minggu lalu ditangani dengan segera, termasuk menggunakan kekuatan angkatan tentera dan polis sebagai pemantau di luar lokasi bergolak.

  Pada hari ini, ujian sebenar jati diri dan kesetiaan kepada negara adalah sikap menyayangi dan saling menghargai nilai kemanusiaan yang kita pertahankan. Kemanusiaan dan amalan demokrasi adalah sebahagian daripada pengisian kedaulatan negara.

 Perasaan cintakan pertiwi hanya diuji melalui sikap kita menangani soal kenegaraan secara berhemah dan bersatu hati ketika menghadapi saat genting.  Tidak salah kita berpolitik, berhujah, menyelar dan mengkritik sesuatu isu yang dirasakan menjejaskan kepentingan rakyat. Islam sentiasa membenarkan kelainan pendapat dan perbezaan fahaman. Tradisi ijtihad dan percanggahan idea sebahagian daripada ciri kebebasan yang lahir selepas wujud negara berdaulat yang tercetus dalam Piagam Madinah.

  Apa pun perbezaan pandangan, isu kedaulatan negara perlu dipertahan bersama walaupun kita mungkin berbeza ideologi dan cara menanggapi sesuatu keadaan. Kedaulatan negara adalah di tangan kita sendiri, apatah lagi berdepan tindakan haram sekumpulan pengganas yang  menceroboh Sabah.
Cabul kedaulatan negara lain

  Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat jelas melarang mana-mana pihak mencabul kedaulatan negara lain. Prinsip kedaulatan menjadi milik sejagat yang disahkan menerusi Konvensyen Geneva.

  Setiausaha Luar Filipina, Albert F Del Rosario juga mengakui kumpulan berkenaan sebagai pengganas kerana bertindak di luar batasan perundangan.  Mereka bukan saja memalukan negara sendiri  dengan menceroboh kedaulatan Malaysia, bahkan bertindak di luar peruntukan undang-undang Filipina.

  Perlembagaan Filipina melarang mana-mana rakyatnya menubuh atau membentuk pasukan keselamatan sendiri di samping melarang mereka menceroboh wilayah negara lain walau apa pun alasan yang diberikan. Hubungan serantau dalam konteks ASEAN amat jelas melarang mana-mana anggota mencampuri urusan negara lain.

  Sejak ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN sentiasa mengutamakan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam usaha mewujudkan suasana menang-menang dalam persekitaran global yang tidak menentu.

  Kita harus berbangga kerana Malaysia mempertahan prinsip berkecuali walaupun pada ketika tertentu beberapa jiran bergolak dalam isu keselamatan. Ancaman pejuang Islam di selatan Thailand dan Filipina tidak pernah kita campuri, malah Malaysia dilantik sebagai pendamai isu pejuang Moro.

  Apabila isu keselamatan dipolitikkan, semakin ketara penangan politik menghalalkan cara diamalkan pihak tertentu di negara ini. Ketika debaran rakyat menanti keamanan dipulihkan di kawasan bergolak, kerajaan melakukan apa saja bagi memastikan maruah dan kedaulatan dipertahankan.

  Tindakan ketenteraan tidak boleh dianggap kezaliman kerana kita mengharapkan Malaysia yang aman dan berdaulat. Kita wajar berdoa Sabah kembali aman dan maruah Malaysia tidak tercalar. - Berita Harian, 7 Mac 2013
 

Wednesday, March 06, 2013

Ke mana pengundi baru?

 Jika dulu kempen secara terbuka dilakukan menerusi majlis ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah, tetapi Pilihan  Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi ‘pilihan raya media sosial’ pertama di negara ini berikutan peningkatan penggunaan internet sebagai mekanisme berkempen.

 Kesannya boleh dilihat dengan jelas sekarang.  Banyak ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk menyalur pandangan, memberi reaksi  isu semasa dan menyelar musuh politik mereka menerusi media sosial.  Penggunaan blog dan  portal berita  mula ketara   ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada  8 Mac 2008, berbanding 2004.

 Dari segi sejarah, rakyat Malaysia mula memanfaatkan internet sejak 2 September 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat jawatan dalam parti dan kerajaan.

 Ketika itu banyak laman web  mempertikaikan kepemimpinan negara,  lantang menyokong Anwar, seolah-olah individu berkenaan bebas daripada segala unsur rasuah dan isu moral.

 Seruan mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada setiap petang Sabtu tersebar menerusi internet dan Anwar dijulang sebagai wira yang dijatuhkan kerana unsur politik. Malah, isu liwat, mata lebam dan dakwaan kronisme membabitkan pemimpin utama ketika itu diulang siar berkali-kali, seolah-olah   cerita yang tidak benar menemui kebenaran di media baru.
Internet jadi hakim

 Ketika itu internet sudah menjadi hakim dan pendakwa yang berulang kali menuduh dan mendakwa pihak yang tidak disenangi sebagai diktator, sekali gus mengangkat individu yang disokong sebagai pembela marhaen.

 Rakyat Malaysia juga mula mengenal internet sebagai saluran kempen yang luar biasa, menggantikan surat layang dan ceramah umum yang dianggap semakin terhad dan kurang agresif.

 Suasana politik pada 2003 hingga 2009  ketika  era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi diterjemahkan menerusi media sosial apabila  tohmahan  terhadap  pentadbiran beliau secara terbuka.
 Abdullah bukan saja menerima imej antagonis, bahkan menjadi bahan jenaka dalam kalangan penulis blog.

 Kini dengan  17 juta pengguna internet di Malaysia, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka apabila media sosial dimanfaatkan untuk berkempen, menyalurkan pandangan serta memberi gambaran bentuk kepemimpinan pada masa akan datang.

 Justeru, tidak menghairankan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaitkan media sosial sebagai bentuk kempen cara baru yang boleh memberi kesan kepada pengundi.

 Kehadiran pengundi muda yang dianggap aktivis media sosial memberi kesan besar terhadap pola pengundian dan calon yang bakal menerima sokongan nanti.

 Generasi muda berbeza golongan lebih dewasa kerana mereka tidak terikat dengan kecenderungan politik tertentu. Mereka bukan saja kurang memahami perasaan mengenang budi secara kepartian, bahkan sinikal dan kritis dalam isu tertentu termasuk pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam.

Fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur  mendaftar sebagai pemilih.

 Angka ini sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia iaitu 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama.

 Di tangan mereka bakal menentukan nasib 222 kerusi Parlimen yang bakal menentukan pihak mana bakal menguasai Putrajaya tidak lama lagi.

 Media sosial dengan pelbagai suara dan nada mula memberi gambaran calon bagaimana yang bakal dipilih dan parti mana yang bakal disisih.

 Ahli politik yang gagal memahami isyarat media baru bakal berdepan kesukaran apabila media tradisional semakin dicabar.

 Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO.  Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya  berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.

  Perang menerusi media baru  bakal menentukan calon bagaimana akan dipilih. Pengundi hari ini tidak lagi peduli dengan tokoh yang sibuk menabur tar pada jalan becak atau bantuan tandas percuma  menjelang hari pengundian.

 Mereka menilai jati diri dan perjuangan seseorang wakil rakyat selama tempoh perkhidmatan. Wakil rakyat yang gagal memahami  isyarat dari bawah akan berdepan kenyataan pahit di peti undi. Mereka sepatutnya belajar daripada Pilihan Raya  Umum  2008 apabila banyak nama besar kecundang kerana gagal mendapat sokongan pengundi baru terutama golongan atas pagar.

 Media sosial sekali lagi bakal menterjemahkan sejarah baru dalam proses demokrasi di Malaysia! - 6 Mac 2013

Tuesday, March 05, 2013

Saudagar air jampi


Jika menipu boleh dianggap industri paling mudah untuk mendapatkan wang, tentu ramai yang menjadikan penipuan sebagai kerjaya tetap.

 Tanpa memerlukan modal, permit perniagaan dan premis, seseorang boleh menjana keuntungan dengan memperdaya orang ramai  termasuk di ruang saf solat di masjid.

 Dengan hanya bermodalkan air liur dan bahasa tubuh yang meyakinkan, mereka boleh menjanjikan apa saja termasuk   syurga, keberkatan hidup, kekayaan dan panjang umur.

 Sasterawan Marsli NO menerbitkan  kumpulan cerpen  Penipu  (1997) yang secara langsung mengolah kehidupan dunia tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya kepada peribadi dan awam.  

Penipuan hampir menjadi sebahagian   budaya kehidupan moden apabila kita menilai hayat dengan ganjaran kewangan serta kesenangan hidup, bukan dosa dan pahala.

 Hari ini  penipuan diperdagangkan secara terbuka. Ada pihak   menjual air jampi bagi mendapatkan keuntungan lumayan.

 Dengan berbekalkan ayat al-Quran, hadis dan mantera, air jampi dijual secara terbuka kononnya mengelak bala, mudah dapat jodoh, pendinding, cegah santau, pelalau,  gangguan jin dan makhluk halus.

 Penjual air jampi yang lazimnya berjubah, berkopiah dan berjanggut memulakan ‘iklan’ dengan   ayat al-Quran dan memuji kebesaran Ilahi sebagai pendinding  kejahatan yang dihasilkan makhluk halus.

 Ada  yang terpedaya dengan helah penipuan berlandaskan agama, hingga mendorong sesetengah jawatankuasa masjid membenarkan premis  menjadi pusat  jualan air jampi.

Akhirnya agama dikaitkan dengan tahyul. Air jampi, mitos  kesucian dan kebenaran menjadi agenda memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi.

 Kita bimbang apabila agama diperdagangkan, seperti juga penipuan,  menjadi modal untuk meraih pendapatan segera.

 Lebih malang, apabila orang yang bergelar ulama dan lancar menghafaz al-Quran dan hadis, menggunakan nikmat Allah untuk menipu golongan   kurang cerdas.

 Ada pihak yang menubuhkan pusat rawatan Islam kononnya mengubat gangguan makhluk halus dan jin.

Tidak terkecuali juga haji, kiai dan syeikh yang merawat sakit misteri anak dara, janda dan isteri orang kena dakwa di mahkamah kerana mengambil kesempatan ketika menjalankan rawatan cara Islam secara berdua-duaan di dalam bilik. 

 Ada juga tauke restoran yang mempamerkan  ayat al-Quran dan gambar Kaabah  pada dinding kedai makan semata-mata   membuktikan keislaman mereka.

 Lebih memeranjatkan, ada kawasan rawat dan rehat (R&R) dijadikan lokasi menjual air jampi yang kononnya hasil bacaan doa seorang tahfiz sebuah madrasah di Pakistan.

 Tidak memeranjatkan apabila Menteri   Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang  kian berleluasa.

 Isu ini sepatutnya  sudah lama diperdebatkan kerana membabitkan akidah dan penganiayaan awam.
 Dari segi sejarah, perkembangan perubatan Islam berlandaskan al-Quran, hadis dan bacaan doa yang membabitkan pasrah kepada Allah.

Tokoh perubatan seperti Ibnu Sina  (Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina) tidak pernah menjual air jampi untuk menyenangkan hati pesakitnya.

Beliau yang dikenali di Barat  dengan nama Avicenna  seorang pengkaji al-Quran dan sastera sejak remaja sebelum mendalami  bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia dan kosmologi.  

 Sejarah tidak pernah membenarkan penipu menjadi tokoh penting dalam sesebuah masyarakat.
Akal jumud dalam kalangan kita sendiri yang membenarkan penipuan sebagai kegiatan untuk memperdaya orang ramai.

Hari ini ada Melayu   menjadi mangsa perniagaan lembu, lintah, haruan dan kambing yang kononnya mendatang keuntungan lumayan,

 Modus operandi hampir sama – ayat al-Quran, imej jubah dan ketayap dipergunakan untuk menunjukkan kebaikan kepada awam.

 Selagi Melayu masih mempercayai kekayaan segera boleh dicipta sekelip mata, selama itulah bangsa kita kekal terperangkap dengan sihir air jampi yang diperdagangkan    ulama jadian.
 Semangat untuk meraih kekayaan segera menjadi punca Dasar Ekonomi Baru gagal menepati sasaran. Puncanya, Melayu masih bertongkat dalam perniagaan. Air jampi dan dongeng ulama menjadi cabaran usaha membentuk negara berpendapatan tinggi selepas 2020. - Berita Harian, 5 Mac 2013 

Monday, March 04, 2013

DAP utamakan Cina, ketepikan Melayu

Dulu, kini dan selamanya DAP tidak pernah mengutamakan kepentingan bangsa lain kerana lebih mementingkan isu kecinaan. Jika dekad 1970-an mereka memperjuangkan penubuhan Universiti Merdeka yang bertujuan mengetepikan kepentingan bahasa Melayu sebagai pengantar utama, kini mereka masih memperjuangkan isu sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang dianggap tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.

  Mereka sengaja menafikan usaha kerajaan yang sentiasa membuka peluang pendidikan kepada semua kaum, berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan  Filipina.

  Sejak ditubuhkan pada 18 Mac 1966,  DAP lebih mengutamakan isu perkauman dan hak asasi untuk meraih perhatian pengundi kawasan bandar.Parti serpihan PAP di Singapura itu pernah disertai beberapa tokoh Melayu, tetapi akhirnya bertindak meninggalkan DAP kerana tidak tahan kerenah beberapa individu yang menguasai gerakan siasah itu.

  Ramai yang tidak percaya kononnya DAP akan merestui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. DAP akan memilih calon yang boleh mereka kuasai.

  Hasrat DAP mahu bertanding lebih 150 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan mereka akan meletakkan calon Melayu sebagai boneka Perdana Menteri jika berkuasa nanti. Dengan peruntukan kempen perbelanjaan dianggarkan RM15 juta, DAP kini giat turun padang termasuk di kawasan campuran bagi memastikan calon Melayu mereka menang. 

  Pada PRU 2008, DAP bertanding 49 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 63 kerusi DUN.

  Bagaimanapun ramai yang sedar tokoh Melayu dalam DAP adalah alat untuk menutup niat sebenar parti perkauman itu. Bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang pada suatu masa dulu begitu naif berfikir bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum, mengetahui keadaan sebenar apabila menganggotainya.

  Pemimpin veteran DAP Melayu, Ahmad Ton pula menyifatkan DAP akan menghadapi masa depan yang kabur jika pemimpinnya tidak meluaskan konsep Malaysian Malaysia.  Sejak 1969, DAP mempunyai enam ahli politik Melayu yang menang dalam pilihan raya termasuk Ibrahim Singgeh  (Tapah Road, sekarang Air Kuning);  Hassan Ahmad (Si Rusa) dan Fadzlan Yahya (Pasir Bedamar), manakala, Ahmad Nor adalah ahli DAP Melayu pertama terpilih sebagai Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Bayan Baru pada 1990.

  Sasterawan Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud pernah menjadi ahli DAP dan mengambil keputusan keluar parti apabila menyedari parti berkenaan memperalatkan Melayu untuk mengaburi niat sebenar. Keadaan sama juga dialami Datuk Zainal Rampak yang pernah menjawat Timbalan Pengerusi  DAP Selangor pada awal 1990-an.

  Abdul Muluk dalam buku  Antagonis Melayu mendedahkan pengalaman peribadi ketika menjadi ahli termasuk menjawat Timbalan Setiausaha Agung DAP.  “DAP hanya dikuasai individu tertentu,” akuinya.

  Beliau menggariskan faktor DAP tidak mendapat sambutan kerana tidak ada pemimpin Melayu yang konsisten dalam parti.  Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri keturunan Melayu gagal menarik perhatian pengundi Melayu.

Mereka sekadar pengikut kepada pemimpin Cina serta terlalu bergantung kepada kawasan Cina untuk menang pilihan raya.   Buku berkenaan juga mendedahkan surat Abdul Muluk kepada Lim Kit Siang bertarikh 20 November 1999.

  “Kita menentang kronisme dan nepotisme, tapi saudara mengamalkan. Kita mahu kebebasan, keadilan, demokrasi dan kerajaan yang baik, tapi saudara membelakangkan prinsip ini,” tegas Abdul Muluk.

  Beliau juga kesal Melayu hanya didekati oleh pemimpin DAP semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka.   “Kerana prinsip,  saya mempertahankan bahawa pemimpin Melayu dalam DAP hanya layak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
“Saudara menolak saya menjadi calon di kawasan Parlimen Seputeh atas alasan akan kalah kerana majoriti pengundi Cina. Tapi pada masa sama saudara meminta saya menjadi pengerusi cawangan Seputeh,” tegasnya.

  Krisis dalaman DAP mendorong wujud Team A dan Team B. Abdul Muluk dikaitkan rapat dengan Liew Ah Kim, Wee Choo Keong dan Fung Ket Wing.  Beliau juga rapat dengan Fan Yew Teng,  bekas Ahli Parlimen Kampar (1969) dan Menglembu (1974), serta ADUN Petaling Jaya (1975).  Fan meninggalkan DAP pada 1978 dan menyertai Parti Demokratik Sosial (SDP). - Berita Harian, 4 Mac 2013 

Friday, March 01, 2013

Cah keting UMNO Kelantan

Lebih 20,000 hadir pada Himpunan Perdana Anok-Anok Klate di Perantauan 2013 di Stadium Putra,  Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu. Sebelum ini laungan ‘Gelombang Merah’ dan ‘Tukar’ oleh 10,000 rakyat Kelantan, sebagai simbol kebangkitan rakyat di Kota Bharu.Ia secara jelas gambaran sikap penduduk yang mahu perubahan kerajaan negeri pimpinan PAS sejak 1990.

Hampir 23 tahun PAS mentadbir Kelantan dengan pelbagai kerenah dan drama politik yang menarik. PAS berkuasa kerana UMNO lemah ekoran pemilihan dalam parti pada 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden parti.

Pertelagahan dalaman menyebabkan UMNO diharamkan pada 1988 dan usaha memulihkan semula parti berkenaan menghadapi pelbagai rintangan. Tengku Razaleigh dan Tunku Abdul Rahman Putra berusaha memulihkan UMNO asal tetapi gagal. Dr Mahathir berjaya menubuhkan UMNO baru yang dikatakan mewarisi semangat parti asal tetapi ditentang pelbagai pihak terutama veteran parti.

Tengku Razaleigh akhirnya menubuhkan Semangat 46 mengambil pendekatan bergabung dengan PAS dan DAP bagi mencabar kuasa BN pada 1990.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin tewas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990 jika ahli bersatu dan menjadikan perjuangan pembangunan bagi memajukan  Negeri Cik Siti Wan Kembang.

PAS berkuasa di Kelantan kerana UMNO lemah dan kesannya dialami oleh rakyat selama 23 tahun. Hari ini, 500,000 penduduk Kelantan berhijrah terutama di Lembah Klang kerana faktor ekonomi dan keselesaan.

Sebahagian mereka menjadikan tempat asing sebagai ‘Kelantan baru’ tanpa mengubah cara penampilan, loghat dan warisan budaya negeri Pantai Timur.

Bagaimanapun, kesetiaan kepada negeri asal tidak boleh dinafikan. Sebahagian besar perantau kembali ke Kelantan pada musim perayaan dan cuti sekolah. Lebih unik sebahagian besar mereka membayar zakat di Kelantan walaupun mencari rezeki di perantauan.

Dari segi politik pula, ramai anak Kelantan lebih cenderung mengundi di negeri kelahiran. Lebih 150,000 perantau dijangka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Mereka adalah 15 peratus daripada jumlah 900,000 pengundi berdaftar di Kelantan.

Suasana sekarang memihak kepada UMNO jika ahli dan pemimpinnya bersatu. Sikap ‘cah keting’ yang sering diperkatakan wajar dihapuskan demi pembangunan Kelantan  sendiri.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengharapkan rakyat memberi peluang kepada BN.

“Rakyat Kelantan tidak sabar tengok perubahan, tunjukkan kemampuan kita, bersatu dan gegarkan Kelantan, kita boleh bawa kejutan besar,” katanya ketika  berucap di atas lori di depan bangunan UMNO negeri, sempena Pelancaran Konvoi Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (TUKAR) dan Kebangkitan Rakyat.

Harapan Mustapa sepatutnya diterjemah menerusi tindakan. Paling ketara sikap segelintir veteran UMNO masih diragui. Banyak majlis politik dianggap sepi hingga menimbulkan persoalan sejauh mana  ‘cah keting’ tidak berlaku.

Dari segi sejarah, UMNO Kelantan berada di puncak pada era Tengku Razaleigh. Beliau bukan saja menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Kewangan sehingga pertengahan dekad 1980-an, bahkan berjaya menguasai gerakan siasah di Negeri Serambi Makkah itu.

Bagaimanapun, tindakan ‘cah keting’ menyebabkan Tengku Razaleigh tewas dua kali ketika  merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Tun Musa Hitam pada 1982 dan 1984. Ada ahli UMNO Kelantan yang tidak mahu beliau menang jawatan tinggi dalam parti kerana bimbang boleh menjejaskan kepentingan peribadi dengan Pusat.

Pada hari ini, kecenderungan sabotaj parti amat dibimbangi. Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, ada tokoh UMNO yang sepatutnya tidak kalah tapi tewas kepada lawan yang tidak dikenali umum. Hal sama berulang beberapa kali di Kelantan kerana isu ‘cah keting’ akan menular apabila soal pencalonan, agihan projek dan peluang menjadi rebutan.

Mustapa perlu bersedia menghadapi realiti sebenar masyarakat Kelantan. Bukan semuanya bersama beliau pada majlis rasmi akan mengambil pendirian sama pada hari pengundian.

Tokoh tempatan yang dirasakan tidak sesuai lagi bertanding perlu bersedia memberi tempat kepada muka baru. Jika PAS Kelantan berusaha memilih calon muda yang lebih berwibawa pada pada pilihan raya ini, UMNO wajar meletakkan tokoh yang boleh menang.

Usaha menawan Kelantan akan lebih manis jika isu royalti minyak dapat diatasi secepat mungkin. Ramai jentera penerangan UMNO yang mengeluh apabila mereka gagal menjelaskan secara tepat isu royalti minyak ketika berdepan dengan bakal pengundi. - Berita Harian, 1 Mac 2013
 

Tuesday, February 26, 2013

Ke mana Haron Din?

Ada penyokong pembangkang yang menangis kerana bimbang harapan menguasai Putrajaya berkubur begitu saja.

“Kami risau kita kalah sebelum bertanding,” cetus ahli PAS kerana bimbang tindak-tanduk beberapa ahli Majlis Syura Ulama parti boleh menjejaskan hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus menguburkan harapan untuk menang dan membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

 Walaupun pembangkang heboh dengan manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ yang kononnya mengutamakan kepentingan semua pihak, tetapi isu dalaman sukar dinafikan begitu saja.

 Ada beberapa pengikut yang terpaksa solat hajat kerana bimbang Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din keluar parti atau membawa masalah terhadap muafakat pakatan pembangkang.

 Haron dalam beberapa kenyataan kekal mempertahankan kalimah Allah sebagai hak eksklusif umat Islam. Tiada alasan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu seperti yang diperjuangkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini.

 Ramai ahli PAS bimbang dan berteka-teki hasil pertemuan Haron dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu. Mereka bertemu secara sulit, tergesa-gesa dan kemudian memutuskan sebagai rahsia berdua. Ada pihak yang mendakwa Haron memberi amaran untuk keluar daripada muafakat pakatan pembangkang jika isu kalimah Allah tidak selesai dalam tempoh terdekat.

 Sehingga kini  Anwar dan Haron tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan hasil pertemuan empat mata itu. Sikap mereka menimbulkan persoalan   ada rahsia yang perlu diutamakan walaupun masyarakat melihat pakatan pembangkang umpama bom jangka yang bakal meledak tidak lama lagi.

 Sumber PAS memaklumkan ada ulama parti yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan kerana terlalu mengikut rentak Anwar dan pemimpin DAP. Mereka bimbang pakatan pembangkang retak sebelum pilihan raya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melengah-lengahkan tarikh pembubaran Parlimen.

 Ada ahli PAS yang mempertikaikan tindak-tanduk Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,  Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang kononnya membuat isyarat 1Malaysia bersama beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Gambar Nik Muhammad Zawawi bersama  bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr  Chua Soi Lek tersebar dalam kalangan ahli PAS.

 Walaupun ada yang mendakwa tokoh ulama muda PAS itu tidak berniat membuat isyarat 1Malaysia dengan meluruskan jari telunjuk dalam satu majlis, namun persoalan umum masih membimbangkan pakatan pembangkang.

 Nik Muhammad Zawawi sehingga kini tidak menafikan bergambar dengan Dr Chua dan Shahidan, tapi menafikan membuat isyarat 1Malaysia. Ada ahli yang mempersoalkan hubungan Nik Muhammad Zawawi dengan Haron yang dikatakan akrab boleh menjejaskan pandangan ulama lain dalam isu agama dan kepentingan Islam. Jika Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang boleh kerjasama dengan DAP, pandangan beberapa ahli Majlis Syura dianggap berbeza dan boleh menimbulkan masalah.

 Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan celupar Nik Aziz yang mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai memberikan hampas kelapa, padi serta jerami kepada ayam dan lembu. Walaupun ramai ahli pembangkang menuduh BR1M  rasuah politik, ramai juga yang menerima bantuan berkenaan walaupun tidak menyokong BN dari segi kepartian. Mereka tidak setuju dengan cara Nik Aziz bercakap kerana boleh menghakis sokongan pengundi di atas pagar.

 Sejak beberapa tahun ini, kenyataan Nik Aziz tidak disenangi  ahli PAS. Beliau bukan saja gagal mengawal emosi tapi tidak mampu memberi pandangan bernas selaku ulama dan Mursyidul Am sebuah gerakan siasah yang didakwa memperjuangkan Islam sebagai landasan kehidupan.

 Mengenai jawatan Perdana Menteri, masih ada yang mempertikai kemampuan Anwar sebagai tokoh nombor satu negara. Walaupun DAP berulang kali menegaskan Anwar bakal dilantik Perdana Menteri, ramai ahli PAS yang mahukan Hadi kerana mempunyai reputasi bersih sebagai ulama dan tidak mempunyai masalah moral.

Tidak terkecuali juga ada pihak yang menyebut nama Tengku Razaleigh Hamzah sebagai tokoh paling layak. Ia sebahagian daripada cerita jenaka kerana bekas Menteri Kewangan itu masih ahli UMNO walaupun memperjuangkan isu royalti minyak di Kelantan.

 Debaran menanti pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menguji kesabaran dan kecekalan ahli politik. Mampukah PAS menghadapi cabaran berkenaan ketika semakin ramai ahlinya bimbang ada ulama   yang bakal meninggalkan parti. Lebih penting, di mana Haron sekarang? - Berita Harian, 26 Februari 2013

Perkhidmatan awam masih longlai

 Jika ruangan forum dan  surat pembaca  media tempatan dijadikan kayu pengukur, harapan masyarakat terhadap penjawat awam masih tinggi. Banyak ruang yang perlu diisi walaupun kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan sistem penyampaian.

 Saban hari media melaporkan masalah rakyat berdepan kerenah pegawai jabatan, agensi dan kementerian.

 Bukan semua rintihan rakyat dianggap menentang dasar kerajaan. Ia sekadar harapan  penambahbaikan  perkhidmatan kepada rakyat.

 Imej kerajaan sebenarnya bergantung kepada pegawai yang melaksanakan dasar.  Pegawai yang cekap dan mesra pelanggan menaikkan imej kerajaan. Pegawai lemah dan curi tulang hanya merosakkan imej perkhidmatan awam.

 Program transformasi ekonomi dan pentadbiran negara terletak pada bahu 1.4 juta penjawat awam. Kejayaan mereka bererti kesanggupan memenuhi hasrat 29 juta  rakyat. Kegagalan segelintir pihak, sekali gus menimbulkan tohmahan kerajaan lemah dan bagi sesetengah pihak mudah menghukum  - tukar saja kerajaan yang lemah dengan pentadbir yang lebih baik.

 Saban hari media melaporkan  layanan jabatan dan agensi yang tidak memuaskan. Ada talian aduan dan khidmat pelanggan yang tidak berjawab  walaupun berkali-kali panggilan telefon dibuat.  Seorang siswa yang menghadapi masalah pinjaman pembelajaran mengeluh apabila panggilan ke pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah dilayan. Deringan telefon sekadar halwa telinga yang menyakitkan.

 Seorang pemandu yang membuat aduan kepada  Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)  menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tertera pada belakang sebuah lori mengeluh kerana tidak pernah menerima balasan daripada agensi terbabit. Dia kesal ada lori  memunggah  batu secara berlebihan  dan terpercik pada kenderaan menyebabkan cermin depan berkecai. Aduan tidak dapat dibuat kerana SMS tidak pernah mendapat maklum balas. 

 Media juga kerap menerima rungutan  mengenai kerenah jururawat dan kakitangan keselamatan hospital yang didakwa kasar dan tak mesra pelanggan.

 Apabila Forum BH menyiarkan rungutan  pesakit yang menerima layanan tak wajar di sebuah hospital kerajaan dan pengarah hospital pula memberi reaksi yang menafikan tuduhan berkenaan beberapa hari kemudian, banyak pula reaksi daripada pesakit lain yang mempunyai pengalaman tidak menyeronokkan di beberapa hospital di seluruh negara.

Paling banyak menyuarakan perasaan tidak puas hati ialah guru dan bakal pendidik. Guru mengadu bebanan tugas semakin banyak, sedangkan gaji tidak seberapa. Ada yang mendakwa peluang melanjutkan pengajian  pada peringkat ijazah bukan jaminan naik pangkat. Bakal pendidik pula mengeluh terlalu lama menanti penempatan bertugas walaupun sudah tiga tahun menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 Ia menggambarkan isu awam dan rungutan  menjadi masalah bersama di Malaysia. Jika media tidak dianggap sebagai penyambung di antara rakyat dan kerajaan, fungsi media daripada rakyat untuk rakyat sengaja dikaburi. Hal ini perlu dielakkan kerana media tetap kekal bersama rakyat walaupun zaman sudah berbeza dengan era Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Tun Razak Hussein.

 Kakitangan awam di Malaysia memang diakui yang terbaik di dunia. Khidmat mereka sentiasa dipuji.  Bagaimanapun ruang penambahbaikan masih ada kerana perubahan waktu dan bentuk cabaran perjawatan memerlukan pengubahsuaian supaya kekal relevan.

 Dalam tempoh 10 tahun, tidak kurang tiga kali penjawat awam menerima ‘durian runtuh’  kenaikan gaji dan elaun. Pencen bekas penjawat awam juga meningkat 50 peratus sejak 2003.

 Kajian semula gaji kakitangan kerajaan yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa baru-baru ini  adalah berita baik bagi 20 peratus penjawat yang sudah  mencapai paras gaji maksimum. Sebelum ini ramai yang mengeluh  gaji ‘sangkut’ walaupun hampir usia persaraan.
Ubah imej kakitangan awam

 Kita sentiasa menyokong usaha  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memperjuangkan kebajikan kakitangan awam. Kita juga mengalukan usaha menyambung tugas lebih 50,000  kakitangan kontrak kerajaan  pada sektor kritikal.

 Bagaimanapun, kenaikan pendapatan perlu seiring dengan tugasan yang diberikan masyarakat. Kerap berlaku kenaikan gaji penjawat awam tidak setimpal dengan usaha meningkatkan sistem penyampaian dan khidmat terhadap masyarakat.

 Kenaikan gaji lazimnya dilonjakkan juga kenaikan harga barang dan kadar inflasi. Nasib buruh, petani dan nelayan yang tidak menerima kenaikan gaji dibebani kos hidup yang luar biasa.
 Penjawat awam juga perlu melihat cabaran sebenar pada hari ini. Fungsi kakitangan swasta semakin diperhatikan. Malah, dalam beberapa sektor imej swasta dibandingkan  dengan penjawat awam. Perubahan khidmat dan imej perlu berlaku. - 26 Februari 2013

Friday, February 22, 2013

Tauke Cina kebas balak Kelantan

Kenapa isu tebang balak secara berleluasa berlaku ketika PAS mentadbir Kelantan? Krisis politik  1977 yang menyebabkan PAS tersingkir daripada  Barisan Nasional (BN) dan tewas di Kelantan pada 1978 berpunca daripada isu balak  dan penerokaan tanah secara berleluasa.

 Pimpinan kerajaan PAS ketika itu  menyerahkan  hutan balak seluas lebih 300,000 ekar di Gua Musang kepada syarikat  milik tauke Cina dari Singapura, kononnya untuk tujuan pembangunan.

 Helah politik di kampung PAS ialah parti Islam dan menentang golongan yang bersubahat dengan kafir seperti UMNO tetapi pemimpin PAS sendiri tidak salah untuk bersahabat dengan Cina dalam urusan penerokaan tanah secara berleluasa. Jika ada ahli UMNO bersahabat dengan MCA, GERAKAN dan MIC, dakwaan kafir dan taghut berleluasa hingga membingitkan majlis ceramah di kawasan kampung dan pedalaman Pantai Timur.

 Bagaimanapun dalam kes balak, Cina dari Singapura mendapat kawasan pembalakan yang luar biasa luasnya. Kini keadaan hampir sama berulang. Cuma pemimpin yang berbeza. Dulu Tan Sri Asri Muda menjadi Presiden PAS  dan bersahabat dengan Cina dari Singapura.

 Kini Kelantan di bawah pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat  bersahabat dengan tauke balak dari luar Kelantan.  PAS Pusat pimpinan Datuk Seri Hadi  Awang pula lebih selesa bercakap soal negara berkebajikan. Beliau terpaksa melupakan perjuangan menubuh negara Islam kerana bimbang mendapat kecaman tokoh DAP, Karpal Singh.

 Khabarnya, 10,526 ekar tanah diserahkan kepada syarikat luar yang ada kepentingan dengan politik kepartian kerana perkembangan siasah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008.

Isu Ladang Rakyat juga menjadi  bualan  tempatan apabila tanah yang sepatutnya dimanfaatkan untuk aktiviti  pertanian dan perladangan di  selatan Kelantan  dikuasai pihak lain.

 Sejak mentadbir semula Kelantan pada 1990, banyak isu tempatan yang mengocakkan suasana politik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Selain isu  bekalan  air dan agihan pembangunan yang dipolitikkan Pusat, Kelantan sentiasa kaya dengan drama dan intrignya. Isu kepemimpinan sentiasa jadi polemik kerana ada yang mempertikaikan kewibawaan Nik Aziz sebagai pentadbir.

 Mampukah Nik Aziz  mengurus sebuah negeri yang 90 peratus penduduknya beragama Islam dan berbangsa Melayu? Apakah Nik Aziz ulama atau ahli politik atau beliau seorang ahli politik yang mempergunakan imej ulama untuk mendapat sokongan rakyat?

 Sehingga kini imej sebenar Nik Aziz masih diperdebatkan kerana tidak ramai sarjana Islam, ahli sains politik  dan pengurusan yang mengkaji kemampuan beliau sebagai pentadbir, ahli politik dan ulama.

Suasana dan persaingan siasah di Kelantan masih terbuka luas. BN yang melaungkan slogan Gelombang Merah belum tentu mendapat manfaat  jika kurang sambutan daripada ahli sendiri.

 UMNO diakui mempunyai penyokong yang ramai dan jika bermuafakat, boleh menafikan kuasa PAS selama hampir 23 tahun  pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Masalah sebenar UMNO bukan ancaman daripada pembangkang. UMNO sentiasa berdepan dengan gelagat ahli dan pemimpinnya sendiri.

 Tradisi turun padang yang sepatutnya membantu mendekatkan imej BN di negeri pembangkang  sering tergendala. Sebaliknya, isu calon yang lebih diutamakan daripada perjuangan membantu BN di Kelantan. BN perlu memilih calon terbaik dan anak tempatan bagi menghadapi  cabaran PAS. Tokoh lama yang kurang berfungsi dan dianggap kurang mesra pengundi perlu diabaikan.

 Tokoh korporat seperti  Tan Sri  Hamad Kama Piah Che Othman boleh dipertaruhkan di kawasan Parlimen Pasir Putih kerana karisma peribadinya. Presiden dan Ketua Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad itu mempunyai ketokohan dan boleh melonjakkan imej parti jika menyertai pilihan raya umum.

 Kelantan juga mempunyai  ramai sarjana, ahli korporat dan pelapis  yang mempunyai latar belakang profesional. Gabungan mereka dengan veteran UMNO boleh menguatkan harapan BN.

 Ada pihak yang  membayangkan  Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan, Abdullah Samah wajar diletakkan sebagai calon. Hujah beliau dalam isu kalimah Allah boleh dimanfaatkan bagi menghadapi saingan PAS yang terkenal dengan tradisi pondok dan akar umbi di luar bandar.

 Bagaimanapun, saingan sebenar terletak di hati rakyat Kelantan. Dengan pakatan pembangkang menguasai 38 kerusi daripada jumlah keseluruhan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tugas BN bukan mudah. Dengan berbekalkan tujuh kerusi DUN yang dimenangi pada 2008, BN perlu bekerja lebih keras, termasuk memastikan calon sesuai untuk diadili pengundi.

  Belum terlambat BN memasang angan-angan kerana generasi muda mengharapkan perubahan supaya Kelantan tidak statik pembangunannya. - Berita Harian, 21 Februari 2013 

Tuesday, February 19, 2013

Kita jarang bersahabat dengan buku

Tidak banyak kedai buku yang selesa.  Ia lazimnya sesak, padat, panas dan berhabuk. Timbunan buku pada rak pula sekadar tidak jatuh ke lantai. Tiada ruang untuk membuat rujukan, apatah lagi petugas kaunter  lebih lunak bersembang sesama sendiri daripada melayan bakal pelanggan. Ada juga yang melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada menyapa pelanggan.

  Keadaan ini jauh berbeza dengan negara Barat di mana kedai bukunya menjadi ruang untuk membaca, menyemak, berbincang atau tempat perbincangan mengenai karya terbaru dan wadah pertemuan penulis dan penerbit sambil menghirup kopi.

  Dari era Pustaka Antara dan Toko Buku Abas Bandung pada dekad 1970-an hingga kini, banyak kedai buku sekadar menjual dan mengharapkan ada pembeli yang datang. Tiada usaha menjadikan kedai buku sebagai ruang rehat dan bersantai minda.

  Penulis hanya selesa berada di sebuah kedai buku di Alamanda, Putrajaya kerana ruangnya  luas, kemas dan mudah mengesan topik dikehendaki. Sofa juga disediakan untuk kita bersantai menikmati buku baru. Tiada teguran petugas kedai jika kita lama membelek halaman buku. Di sesetengah kedai, ada petugas yang menjeritkan pelanggan: ‘Buku perlu dibeli, bukan baca percuma!’

  Minat rakyat Malaysia terhadap buku semakin meningkat. Mereka membaca purata lapan hingga 12 buah buku setahun berbanding hanya dua  buku  lima tahun lalu.

  Statistik juga menunjukkan 3.8 juta orang berkunjung ke perpustakaan di seluruh negara pada 2008 berbanding 2.1 juta pada 2007. Pengunjung turut bertambah sepanjang 2012. Jumlah pinjaman buku di perpustakaan seluruh negara juga meningkat kepada 19.5 juta pada 2008 berbanding 12.6 juta pada 2007. Ini bukti budaya membaca semakin meluas, walaupun masih misteri buku genre apakah yang  menjadi bacaan umum.

 Jumlah penjualan buku juga menunjukkan peningkatan. Jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2009 mencatatkan RM27 juta berbanding RM22 juta pada 2008. Angka terus meningkat RM29 juta pada 2012.

  Kita wajar berbangga kerana usaha meningkatkan pembacaan awam semakin berhasil. Perpustakaan Negara dan daerah turut menyemarakkan minat membaca. Setiap tahun tidak kurang 8,000 program membaca dianjurkan dengan jumlah penyertaan semakin meningkat.

  Nilai jualan buku yang mencecah RM2.1 bilion sejak 2009 menunjukkan kemajuan industri berkenaan.  Ia membuktikan industri buku menjadi antara bidang  paling ketara kemajuannya di Malaysia sejak empat tahun lalu.

  Perpustakaan Negara pula merekodkan kanak-kanak berusia sekitar 10 tahun semakin minat membaca berbanding rakan seusia yang terdahulu. Mereka membaca di antara lapan hingga 12 buku setahun.

 Bagi peringkat usia 10 tahun hingga 40 tahun pula, rata-ratanya membaca lapan buku setahun, manakala yang berusia 41 tahun ke atas, sekurang-kurangnya enam buku dibaca setahun.
Kedai buku bagai stor

  Malangnya suasana di kedai buku tidak banyak berubah. Suasana kedai bagai stor barang binaan boleh merencatkan minat membaca generasi muda.

Budaya membaca belum pernah wujud di Malaysia. Ramai kalangan kita membaca untuk lulus peperiksaan, atau membaca untuk menilai sesuatu kejadian berdasarkan bidang tugas masing-masing.

  Kita belum pernah mendengar orang membaca semata-mata menjadikan buku sebagai keperluan hidup.

  Klise budaya membaca perlu dijadikan asas bagi pembentukan negara maju menjelang 2020. Warga Jepun membaca paling kurang 45 buku setahun dan purata rakyat Jerman membaca 30 buku bagi tempoh 12 bulan. Kita masih rendah kadar pembacaan kerana buku masih belum membudaya kehidupan di Malaysia.

  Banyak ruang tamu yang kita singgah memperagakan perabot mewah dan set teater yang canggih. Ruang perpustakaan, jika ada pun, hanya di bahagian terpencil rumah yang jarang dilihat oleh anak pemiliknya sendiri. Buku hampir tidak perlu berada di ruang tamu berbeza dengan masyarakat Barat yang mengutamakan bacaan daripada keperluan lain.

  Kita wajar mencontohi budaya membaca Datuk Seri Michelle Yeoh yang boleh menghabiskan bacaan sesebuah buku dalam masa tiga hari. Pelakon James Bond bersama Pierce Brosnan dalam filem Tomorrow Never Dies (1997) itu mengakui membaca pelbagai genre bagi melengkapkan dirinya sebagai artis antarabangsa.

  Ketika membawakan watak ikon pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady, Yeoh merujuk lebih 50 bahan bacaan termasuk biografi, The Perfect Hostage: A Life of Aung San Suu Kyi. Beliau juga menggemari buku Memoirs Of Geisha, selain menjadikan The Times, Newsweek dan National Geographic sebagai rutin harian sejak 30 tahun lalu.
 
Soalnya, bilakah rakyat Malaysia bakal menikmati suasana santai di kedai buku? - Berita Harian, 19 Februari 2013

Sunday, February 17, 2013

Mitos Tahun Ular jatuhkan BN

SIKAP segelintir masyarakat Cina terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pulau Pinang minggu lalu mudah diduga. Mereka hadir majlis terbuka Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN)  untuk menyaksikan persembahan penyanyi K-Pop, PSY, bukan menyuarakan sokongan terhadap  BN.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, mengesyaki ada unsur sabotaj pada majlis berkenaan. Ada hadirin yang memakai baju kemeja-T kuning sebagai melambangkan ‘Bersih’ – perjuangan membentuk kerajaan baru yang  kononnya lebih adil dan telus selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Minggu lalu pemimpin DAP Pulau Pinang menggesa ahlinya memakai  kemeja lambang tertentu pada majlis BN. Aneh, sikap berpolitik ditimbulkan pada musim perayaan, seolah-olah politik lebih penting daripada Tahun Baru Cina.   Sehingga kini sikap pengundi Cina terhadap BN masih kabur. Mereka mengaitkan Tahun Ular sebagai era perubahan. Ada juga yang meramalkan perjuangan berterusan menentang  keburukan.

Ahli nujum Taiwan, Tsai Shang-chi mengaitkan Tahun Ular dengan pergolakan politik. Perjuangan menentang sesuatu rejim belum pasti digantikan dengan pentadbiran yang lebih baik. Wartawan Associated Press (AP), Annie Huang menyatakan dalam dua putaran terakhir almanak Cina (kalendar tahunan yang  memberikan maklumat tentang bulan, air pasang surut dan  matahari) Tahun Ular membawa bencana besar.

Umat Islam tidak dapat menerima hujah berkenaan kerana segala kejadian berlandaskan takdir dan ketentuan Allah. Bukan semua kaum Cina mempercayai ramalan nujum seperti juga kebanyakan Melayu yang menafikan amalan tahyul, syirik dan khurafat.

Secara kebetulan, beberapa kejadian besar berlaku pada Tahun Ular menyebabkan ada pihak meramalkan ia amat tabu untuk ahli politik. Dari segi sejarah, PRU tidak pernah diadakan pada Tahun Ular, justeru tidak pernah kedengaran pihak yang menaruh harapan kepada pengaruh Madam White Snake (Nyonya Ular Putih) semata-mata untuk jadi calon, apatah lagi dipilih wakil rakyat.

Secara kebetulan beberapa kejadian besar berlaku pada Tahun Ular.  Diktator Soviet Union, Presiden Josef Vissarionovich Stalin meninggal dunia pada 5 Mac 1953  ketika berusia 74 tahun. Dia simbol kejahatan pada era pentadbiran komunis dan dikaitkan dengan pembunuhan 30 juta nyawa. Kematiannya dianggap berakhir zaman suram rejim komunis. Bagaimanapun, pelantikan Nikita Khrushchev bukan bermakna Soviet Union pulih daripada dasar penindasan dan isu hak asasi.

Amerika Syarikat (AS) menceroboh Vietnam pada 1965 menyebabkan krisis Perang Dingin di Asia merebak sehingga awal 1990-an.  Perang Vietnam bukan sekadar kerosakan harta benda dan nyawa di Indochina, bahkan menimbulkan persaingan kuasa di Asia Tenggara. Masyarakat Cina Vietnam menganggap Nyonya Ular Putih tidak merestui perdamaian di Indochina apabila kesan perang merebak ke Laos dan Kemboja pada 1970-an.

Deng Xiao Peng menggantikan Mao Zedong sebagai Ketua Parti Komunis Cina  pada 1977. Kebetulan Tahun Ular menyaksikan rejim komunis semakin ganas dan menyekat perjuangan prodemokrasi. Sehingga kini isu kemanusiaan semakin banyak disuarakan di sebalik Tembok Besar China.

 Pada 1989 pula Tembok Berlin diruntuhkan sebagai lambang kejayaan demokrasi mengatasi komunis di Eropah. Namun, perimbangan kuasa dunia kian terjejas apabila AS menjadi polis dunia yang boleh menyerang sesiapa saja dianggap musuh.

Tahun Ular 2001  menyaksikan serangan 11 September yang dikaitkan dengan Al-Qaeda. Sehingga kini masih misteri siapa penyerang  World Trade Center di New York walaupun AS mendakwa aktiviti keganasan umat Islam. Kesannya, Presiden George Bush mengisytiharkan perang ke atas Afghanistan dan Iraq dengan alasan memerangi keganasan.

Pada 2013 juga menjanjikan perkembangan menarik di Singapura. Pada  pilihan raya kecil Ponggol East,  26 Januari lalu, Parti Buruh mengalahkan Parti Tindakan Rakyat (PAP - parti pemerintah). Calon Parti Buruh memperoleh 54.5  peratus  undi. Pada pilihan raya 2011, PAP menang dengan 54 peratus undi.

Kaum Cina meramalkan perubahan drastik berlaku sempena Tahun Ular. Namun, perkembangan siasah di Malaysia berbeza dengan luar negara. Ramalan nujum tidak boleh dipakai kerana pengundi berhak menentukan wakil  mereka berdasarkan prestasi cemerlang sesebuah  parti.

Indeks semasa dan kejayaan menangani saingan politik  adalah penentu sebenar keputusan pilihan raya.  Rakyat lebih memahami bahawa proses demokrasi tetap lancar di Malaysia. Kita berhak membuat keputusan di peti undi berdasarkan kewarasan dan tiada kaitan dengan misteri ular air yang diperkatakan sekarang.  - Berita Harian, 16 Februari 2013

Thursday, February 14, 2013

Wangsa Maju, Kuala Terengganu: Siapa menang?

Wangsa Maju dan Kuala Terengganu adalah dua kawasan Parlimen yang bakal menyaksikan saingan sengit di antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Sehingga kini pemerhati meramalkan peluang memenangi kedua-dua kawasan Parlimen itu masih terbuka berdasarkan sokongan penduduk tempatan, kewibawaan calon dan isu semasa.

  Tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengisytihar menjadi wakil Bebas menghangatkan lagi senario politik Wangsa Maju. Bekas tokoh DAP yang kini dianggap mesra BN dipertikai penyokong PKR yang memberi peluang beliau bertanding menggunakan lambang parti itu pada 8 Mac 2008 dan menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Yew Teong Look.

  Sehingga kini sukar meramalkan nasib Choo Keong  untuk bertanding semula di kawasan berkenaan. PKR dijangka meletakkan calon lain dan BN tentunya memilih tokoh UMNO atau MCA bertanding di kawasan berkenaan.

  Choo Keong  memperoleh 19,637 undi berbanding  Teong Look memperoleh 19,487 undi. Kemenangan tipis 150 bukan sandaran untuk Choo Keong bertanding semula di kawasan berkenaan pada PRU kali ini kerana suasana berbeza berbanding 2008.

  Faktor semasa, pengundi baru dan jentera BN yang semakin mantap memberi peluang kepada perubahan pola pengundian. Imej BN tercalar  pada 2008 kerana isu kaum dan sentimen terhadap kepemimpinan yang dianggap lemah.

   Bagaimanapun keadaan semasa membuktikan BN masih ada peluang di Wangsa Maju jika meletakkan calon Melayu daripada UMNO. Masyarakat Cina dijangka berpihak kepada PKR atau DAP yang memanfaatkan semangat  tahun ular air  untuk membawa perubahan kepada penduduk tempatan.
   
   Dari segi sejarah, Wangsa Maju bukan ‘simpanan tetap’ kepada mana-mana parti politik. Budaya celik ilmu dan kemudahan teknologi maklumat memihak kepada pengundi untuk memilih calon terbaik pada sesuatu masa dan belum tentu calon berkenaan dipilih pada tempoh lima tahun mendatang.

   BN menang kawasan Wangsa Maju pada PRU-11  dengan majoriti lebih 10,000 undi menerusi Datuk Yew Teong. Bagaimanapun  Choo Keong menang tipis pada 2008,  menyebabkan kubu kuat  BN terlepas kepada tangan pembangkang buat kali pertama selepas  persempadanan semula kawasan itu pada 2004. 

   Pemerhati meramalkan saingan tahun ini amat sengit di Wangsa Maju. Parti yang berjaya meletakkan calon disukai pengundi bakal menang dengan majoriti sederhana.

   Tidak salah jika UMNO meletakkan calon di Wangsa Maju kerana banyak kawasan perumahan di situ majoriti pengundi Melayu.

   Sementara itu, saingan di Parlimen Kuala Terengganu juga masih terbuka di antara UMNO yang mewakili BN dengan PAS. Pada  pilihan raya kecil 1 Januari  2009 yang diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen, Datuk Razali Ismail, PAS yang diwakili ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 mengalahkan calon BN,  Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang hanya memperoleh 30,552  undi. Mohd Abdul Wahid  memperoleh 32,883  undi.

   Dari segi sejarah,  Parlimen Kuala Terengganu sentiasa terbuka saingan di antara BN dan PAS.     Unsur propaganda dan sekatan pengaruh media baru sukar berlaku kerana pengundi senang akses maklumat. Peluang masih ada untuk BN menguasai semula kawasan itu jika mampu meletakkan calon  diterima penduduk tempatan.

   Pengundi Kuala Terengganu agak kritikal mengenai peribadi calon seperti yang diterjemahkan pada pilihan raya kecil empat tahun lalu. Peribadi calon  tidak senangi  penduduk tempatan menjadi punca PAS merampas kubu kuat UMNO.

   Parlimen Kuala Terengganu mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam,  Bandar,  Batu Buruk dan  Ladang. Pada  PRU-1990, Datuk Abdul Manan Othman (Semangat 46) memenangi kawasan Parlimen ini kerana pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah yang menggunakan isu menghidupkan semula UMNO 1946. Abdul Manan adalah tokoh negeri yang mempunyai pengaruh kuat pada peringkat akar umbi walaupun Semangat 46 hanya parti yang baru muncul selepas UMNO diisytiharkan pertubuhan tidak sah pada 1988.

   Pada PRU-1999, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS)  memenangi Kuala Terengganu.  Calon BN, Datuk Razali Ismail menang kawasan berkenaan pada PRU-2004 dan PRU-2008. Perkembangan ini membuktikan Kuala Terengganu bukan kawasan selamat kepada mana-mana pihak.   Faktor calon,  jentera kempen dan isu semasa boleh mempengaruhi keputusan.

   Seperti juga Wangsa Maju, peluang masih terbuka di Kuala Terengganu. Bagi mereka yang menaruh harapan, inilah masanya untuk mempamerkan watak terbaik bagi menarik perhatian umum sebelum Parlimen dibubarkan. - Berita Harian, 14 Februari 2013 

Wednesday, February 13, 2013

Malaysia Spring!

Bayangkan sebuah Kuala Lumpur yang kacau dan bayangkan juga aktiviti kehidupan terganggu di seluruh negara apabila masing-masing menjadi hakim jalanan dan menghukum pihak lawan sebagai diktator, korup dan sadis!

 Hari ini bibit yang menakutkan mula kelihatan dengan jelas. Ada yang memberi bayangan jika pilihan raya tidak menentukan apa-apa, “kita turun ke jalan raya!”

 Beberapa ahli politik pula bersedia menjadikan ‘Arab Spring’ sebagai model apabila Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak memihak kepada mereka.

 Sebelum ini beberapa percubaan ‘menawan’ Dataran Merdeka dilakukan secara terancang tetapi berjaya dipatahkan oleh kerajaan. Matlamat mereka hanya satu - menjadikan gerakan massa untuk menuntut kuasa siasah secara drastik. Pengalaman di Dataran Tahrir di Mesir dan gerakan prodemokrasi di Medan Tiananmen, China menjadi ilham kononnya untuk menghidupkan demokrasi di Malaysia.

 Bayangkan keadaan Malaysia ketika itu apabila aktiviti kehidupan semata-mata untuk laungan dan jeritan demokrasi tanpa membenarkan hak asasi awam dipertahankan? Bayangkan rusuhan yang boleh menjejaskan keamanan hampir 56 tahun kita pertahankan!

 Tanpa berselindung, mereka mendakwa proses pengundian tidak telus, pengundi hantu meningkat secara mendadak dan Selangor bakal ditawan Barisan Nasional (BN) secara tidak sah.

 Hari ini bibit penentangan secara terbuka sudah kelihatan. Jentera kerajaan diperlekeh secara luar biasa. Kematian Teoh Beng Hock beberapa tahun lalu dihidupkan semula. Kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) bertindak ganas. Pelbagai tafsiran diberikan untuk SPRM.

  Agensi penguat kuasa diperlekeh begitu hina sekali. Kejadian polis menembak penjenayah berasaskan keselamatan awam diselewengkan sebagai isu kaum. Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diterbalik dan dibakar dalam pesta keganasan di sebuah negeri. Semuanya gara-gara politik sudah membakar nafsu menyebabkan pertimbangan dan  kewarasan semakin terpencil.

 Hari ini  unsur keganasan semakin ketara. Apa yang berlaku di negara jiran mula dipraktikkan secara terbuka di Malaysia. Dengan laungan demokrasi, hak asasi dan reformasi rakyat, pelbagai  gerakan menakutkan sedang berlaku. Media dan tokoh tertentu di luar negara dijelaskan mengenai keadaan Malaysia yang tidak demokratik.

 Amaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai demonstrasi ala-‘Arab Spring’ di Malaysia perlu diambil serius. Ia bukan sekadar kenyataan biasa, tetapi bayangan yang akan berlaku jika keputusan pilihan raya tidak memihak kepada pakatan pembangkang.

 Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya mendakwa  Anwar ada kemampuan berbuat  demikian kerana sudah membuktikan dirinya sebagai ‘juara’ demonstrasi pada masa lalu.

 Dr Mahathir, ketika menjadi Menteri Pelajaran pada 1974, terpaksa berdepan demonstrasi pelajar yang mendakwa kebuluran punca kematian budak lelaki di Baling, Kedah, tetapi tiada demonstrasi serius selama 16 tahun apabila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu menyertai kerajaan.

 “Sebaik saja beliau keluar daripada kerajaan, terdapat demonstrasi setiap minggu. Obsesi beliau untuk menjadi Perdana Menteri akan mendorong beliau mewujudkan ‘Arab Spring’ supaya cita-citanya menjadi kenyataan,” katanya.

 Begitu juga gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini supaya rakyat negeri itu memakai baju berwarna kuning, hijau dan merah ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN kelmarin amat tidak wajar. Kuning sebagai tanda sokongan kepada BERSIH, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang. Perlukah perayaan kaum dikaitkan dengan politik?

  Sejak bertahun tidak pernah perayaan dicemari unsur politik yang luar biasa tetapi kini bayangan jijik begitu ketara apabila kepentingan siasah diperalatkan dan orang ramai bakal dikelirukan dengan unsur warna sebagai isyarat  untuk memihak secara kepartian.

  Lebih menghairankan apabila petugas Majlis Perbandaran Seberang Perai menurunkan kain rentang ucapan Tahun Baru Cina Perdana Menteri di kawasan berkenaan kerana dipasang tanpa kebenaran. Sebanyak 971 kain rentang, termasuk 678 dengan gambar Datuk Seri Najib Razak diturunkan beberapa hari lalu.

  Sementara itu, aktivis alam sekitar Himpunan Hijau, Wong Tack mengancam untuk membakar loji nadir bumi di Gebeng, Kuantan jika kilang berkenaan masih beroperasi selepas pilihan raya umum. Namun, beliau menarik balik ancaman itu selepas dipanggil polis.

  Isyarat yang diberikan pemimpin dan penyokong pembangkang itu amat jelas - huru-hara jika mereka kalah pilihan raya! - Berita Harian, 13 Februari 2013

Tuesday, February 12, 2013

Hidupkan semula wacana di Sudut Penulis

Sudut Penulis di Menara DBP: Canggih tapi sepi.
Pertemuan di sebuah pusat beli-belah mengundang Dr Hanafi Ibrahim bertanya: “Kenapa tak datangDewan (Dewan Bahasa dan Pustaka - DBP) lagi?”
Soalan hampir sama disuarakan Datuk Jaafar Abdul Rahim ketika kami bersarapan di sebuah pusat perubatan: “DBP perlu hidupkan semula ‘Sudut Penulis.’ Ramai penulis merindui ruang untuk berwacana.”

Kami mengenang kisah lama ketika era ‘Sudut Penulis’ memeriahkan acara seni dan budaya di bangunan lama DBP.

Sejak dekad 1960-an, ‘Sudut Penulis’ selain ‘Rumah Anak Alam’ adalah medan percambahan idea di kalangan penulis muda dan berwibawa. Ketika itu secara santai acara seni dan dialog budaya  diadakan pada setiap malam minggu atau petang Sabtu.

Di situlah ruang Usman Awang, Keris Mas, A Samad Said, Baha Zain, Kemala  dan Arenawati berbincang, menyapa dan menegur karya penulis muda.

Pada dekad 1970-an dan 1980-an, sebahagian besar sasterawan terbilang tanah air bertugas di DBP. Nama Johan Jaaffar, Dinsman, Jaafar HS, Suhaimi Muhammad, Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Wan Yusuf Hassan, Salmiah Ismail, Ahmad Razali dan Zakaria Arifin. Mereka mendominasi karya pelbagai genre dan menunjukkan kemampuan berkarya yang luar biasa.

Dari ‘Sudut Penulis’ kami mula mengenal bakat Sabri Yunus, Imuda dan Abon sebagai pelakon teater DBP, sebelum melangkah sebagai pelawak dan pelakon tanah air.

Kami mula mengenal sastera dan kritikan di ‘Sudut Penulis.’ Dr Anuar Nor Arai pernah membingitkan dewan apabila mempertikai sarjana yang bertugas di DBP tidak buat kerja, selain menyusun kertas kerja pensyarah untuk dibukukan dan sekadar berbangga sebagai penyelenggara karya.

Kami mengenal suara tajam Suhaimi Muhammad di ‘Sudut Penulis’ kerana mengkritik sajak yang mudah difahami  sebagai ‘sajak tahi.’

Ketika itu mendorong kami membuka buku kajian sastera untuk mengenal semiotik dan falsafah kesenian apabila Abdullah Tahir membicarakan novel Hujan Pagi karya A Samad Said sebagai realis magis yang banyak dihayati sasterawan Amerika Latin dan Afrika sejak dekad 1960-an.

Kewujudan ‘Sudut Penulis’ amat penting bagi mematangkan karya penulis muda. Kami mengenal sasterawan berwibawa melalui pertukaran idea dan perbincangan di ‘Sudut Penulis.’

Malangnya, ‘Sudut Penulis’ yang ada di bangunan baru sekarang berlainan sekali roh dan semangatnya untuk membantu penulis muda. Sudut Penulis yang asal banyak mendidik kami menjadi sasterawan cekal walaupun ganjaran hasil seni tidak seberapa.

Keadaan berubah pada dekad 1990-an apabila sebahagian generasi sastera meninggalkan DBP, sama ada bersara atau menceburi bidang lain.

Keadaan lebih berubah apabila DBP beroperasi di bangunan baru dengan sebahagian besar kakitangannya bukan kalangan sasterawan dan pejuang bahasa. Semangat dan jiwa ‘Sudut Penulis’ di bangunan lama menjadi lebur walaupun sebuah ruang baru yang lebih  selesa, cantik dan kreatif dibina untuk sasterawan beraktiviti.

Kononnya ‘Sudut Penulis’ di bangunan baru dikhaskan sebagai pusat pertemuan dan interaksi bagi golongan penulis menjalankan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.

 DBP mendakwa  penyediaan ruang ini dapat membantu merangsang daya kreativiti penulis untuk melahirkan hasil kerja yang lebih prolifik, kreatif dan produktif. Ini amat penting kerana persekitaran yang kondusif amat diperlukan dalam berkarya.

Bersesuaian dengan matlamat berkenaan, sebuah ruang di Blok Podium, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dipilih bagi menempatkan ‘Sudut Penulis’ yang baru. Ruang ini kononnya dilengkapi dengan kemudahan asas seperti komputer, kemudahan akses internet tanpa wayar (wi-fi), meja perbincangan, set sofa dan kafe. Semua kemudahan ini disediakan sebagai kemudahan untuk menggalakkan penulis berkarya dan menjalankan penyelidikan khususnya di DBP. 

Bagaimanapun, sehingga kini kita tidak pasti sejauh mana ‘Sudut Penulis’ versi baru memenuhi keperluan penulis. Berapa banyak acara seni dianjurkan? Berapa ramai sasterawan menghadiri majlis di ‘Sudut Penulis’ itu?

Lebih malang, berapa ramai sasterawan menjenguk Menara DBP sekarang. Kita mengharapkan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, bertindak aktif bagi menyuburkan semula kegiatan sastera. Jika dulu teater, baca puisi, forum seni dan dialog sastera kerap diadakan secara berkala dan berselang-seli, kini semakin jarang. Dr Awang walaupun bukan orang seni tapi mempunyai kecenderungan untuk berseni dan mampu menghidupkan era yang ditinggalkan Datuk Hassan Ahmad.

Di samping menjayakan projek audit bahasa yang kini mendapat perhatian Kerajaan, ‘Sudut Penulis’ perlu diberi nafas dan membuka pintu seluas-luasnya kepada sasterawan untuk kembali ke DBP.
Pegawai DBP yang tak kenal sasterawan pula perlu belajar mengenal karyawan seni yang semakin selesa berkumpul di Rumah PENA dan GAPENA sekarang. - Berita Harian, 12 Februari 2013

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Reaksi Mohamad Shahidan, DBP








Kelab Penulis DBP Pemangkin Sastera di Menara DBP

Oleh Mohamad Shahidan



Tulisan Imlan Adabi dengan judul “Sudut Penulis Perlu Bernafas di Menara DBP” dalam Berita Harian, 12 Februari 2013 merupakan harapan seorang penyair yang berada di luar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan agar menyuburkan kegiatan sastera di DBP dengan lebih aktif lagi. Harapannya bertolak daripada imbauannya terhadap DBP pada dekad 1960-an, 1970-an dan 1980-an yang rancak dengan kegiatan sastera dan mengalami kesuramannya apabila berpindah ke bangunan baharu.

Harapan Imlan Adabi sebenarnya mewakili harapan banyak penulis kreatif imaginatif dan pengkritik sastera tanah air. Di samping DBP kembali menjadi pusat pertemuan para penulis untuk berkongsi idea, mengkritik karya-karya penulis dan menjalankan aktiviti sastera, mereka berharap DBP juga mempunyai tokoh-tokoh sastera sehebat Anwar Ridhwan, Kemala, Johan Jaafar, Zakaria Ariffin, Dinsman, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Haji Yussof dan banyak lagi. Dengan adanya tokoh-tokoh seperti ini, maka menjadi daya penarik kepada para penulis untuk berkunjung ke DBP.

Dr. Awang Sariyan menyedari harapan para penulis yang berada di luar DBP dan mencuba memenuhinya. Satu daripada usaha yang dilakukannya adalah dengan menubuhkan Kelab Penulis DBP. Kelab ini mempunyai dua matlamat yang jelas. Pertama, berusaha untuk memunculkan penulis daripada kalangan warga DBP – daripada tenaga teras utama DBP hinggalah kepada pembantu am rendah. Kedua, kelab ini menjalinkan kerjasama dengan para penulis dan persatuan penulis untuk menyuburkan dunia sastera tanah air di DBP.

Matlamat pertama ternyata lebih sukar daripada matlamat kedua. Penulis tidak dapat dilahirkan dalam masa sehari. Banyak faktor yang mendorong kelahiran seseorang penulis. Galakan untuk warga DBP menulis dalam genre yang mereka minati hanyalah satu daripada faktor yang banyak itu.

Galakan untuk melahirkan dan membanyakkan penulis daripada warga DBP sedang diusahakan oleh Kelab Penulis DBP. Dalam jangka masa yang singkat, beberapa wacana sastera secara dalaman, kursus penulisan mengikut genre, peraduan menulis dan kegiatan sastera sedang dilaksanakan di DBP. Tujuannya adalah untuk menghidupkan suasana penulisan dan kegiatan sastera dalam kalangan ahli Kelab Penulis.

Untuk jangka panjang, kursus dan latihan yang lebih sistematik sedang dirancang oleh Kelab Penulis DBP. Kursus dan latihan ini adalah untuk melahirkan bakal penulis kepada penulis. Menguasai disiplin ilmu dengan lebih mantap lagi dan menguasai bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan ilmu tersebut atau retorik penulisan merupakan usaha yang berada dalam perancangan kelab penulis.

Matlamat yang kedua, iaitu menjalinkan kerjasama dengan individu dan persatuan penulis telah pun dan akan dilaksanakan oleh Kelab Penulis DBP. Sejumlah tokoh yang berwibawa dalam teras utama DBP: Bahasa, sastera dan penerbitan serta disiplin ilmu yang lain telah pun dan akan diadakan secara berterusan setiap bulan di Sanggar Tun Sri Lanang. Kerjasama dengan persatuan penulis juga telah dimulakan dengan PENA. Bicara tokoh – dua bulan sekali - merupakan kerjasama yang pertama antara Kelab Penulis DBP dengan PENA. Enam orang tokoh sastera telah dikenal pasti untuk dibicarakan karya mereka di Sanggar Tun Sri Lanang, bermula pada Februari, April , Jun, Ogos, Oktober dan Disember tahun 2013 ini. Sementara kegiatan baca puisi, anjuran bersama PENA, Kelab Penulis DBP dan ITBM telah pun diadakan sebanyak dua kali.

Kelab Penulis DBP senantiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan penulis untuk menyuburkan kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan yang menjadi terus utama DBP. Dengan kerjasama inilah antaranya, maka Sanggar Tun Sri Lanang yang difikirkan lebih sesuai dari sudut penulis dapat memberikan nafas kepada Menara DBP.

Friday, February 08, 2013

PAS diarah pantang 90 hari

Semakin dekat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), banyak pula jenaka, pementasan dan aksi kurang matang dipersembahkan kepada umum.

 Belum pun reda isu kalimah Allah yang menunjukkan percanggahan pandangan dalam kalangan ahli politik, ulama, mufti dan bekas mufti, timbul pula  isu lain yang lebih hebat.

 Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyeru semua pemimpin PAS berpantang selama 90 hari menjaga karektor, mulut atau kata-kata agar tidak tersasar sehingga menjadi isu atau disunting  pihak lawan untuk menghentam parti itu.

 Seruan berkenaan sepatutnya tidak timbul. Ahli politik sepatutnya bercakap dan mengeluarkan pandangan. Menjadi tugas politikus  bercakap dan meyakinkan orang ramai. Berucap dan menyampaikan pidato sebahagian daripada tugasan politik seperti disuarakan Niccolò  Machiavelli dalam bukunya The Prince.

 Malangnya, bukan semua orang yang boleh bercakap dengan baik dan menyampaikan hujah secara berkesan.

 Ada yang bercakap sekadar meluahkan pandangan walaupun bertentangan dengan kelompok siasah diwakili. Lebih malang apabila ada kalangan pemimpin PAS sendiri  bercakap  tanpa berfikir.

 Husam terpaksa memberi pandangan berkenaan kerana ramai pemimpin PAS termasuk yang mendakwa ulama bersikap kurang matang ketika berucap dan memberi pandangan. Isu kalimah Allah umpamanya, menyerlahkan sikap tidak matang pemimpin PAS yang bercanggah pendapat, sama ada setuju atau tidak Bible edisi bahasa Melayu menggunakan ungkapan ‘Allah’ sebagai menggantikan ‘Lord’, ‘Jesus’ atau ‘God’.

 Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang  pula tidak konsisten mempertahankan pendirian parti apabila diasak pemimpin DAP seperti Karpal Singh dalam isu hudud dan penubuhan negara Islam. Hadi akhirnya lebih selesa bercakap negara berkebajikan, walaupun 30 tahun lalu begitu tegas mempertahankan hudud dan sanggup mengeluarkan amanat ‘menghukum’ golongan yang dianggap sekular.

Kelmarin, Husam terpaksa meminta ahli partinya berpuasa 90 hari kerana tempoh pilihan raya semakin dekat.

 Membiarkan orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat bercakap soal hudud atau rasuah bukan menguntungkan PAS. Malah, membawa kesan buruk kepada persahabatan PAS dan DAP yang terpaksa berkawan untuk matlamat yang satu – menjatuhkan Barisan Nasional (BN)!

 Menteri Besar Kelantan itu lebih santai bercakap dan akhirnya boleh memerangkap parti sendiri.
Suasana di Kelantan ketika ini memberi ruang kepada persaingan lebih sengit.

  BN dengan kempen Gelombang Merah masih berpeluang mencabar kekuasaan PAS sejak 23 tahun lalu. Hanya isu calon yang bakal menentukan pentadbir kerajaan negeri untuk tempoh  lima tahun mendatang. Masalah UMNO Kelantan adalah belum tentu veteran keluar mengundi dan generasi muda tidak semestinya menyokong BN.

 PAS pula menghadapi masalah calon. Lebih 20 wakil rakyat sekarang dipalitkan pelbagai isu peribadi. Jika mereka masih bertanding pada PRU-13, peluang BN masih ada dengan syarat meletakkan calon  anak tempatan yang dikenali bakal pengundi sendiri.

 Ramai yang mengenal Husam sebagai pemimpin muda berwibawa. Beliau mempunyai penampilan menarik dan mampu menyampaikan hujah dengan baik.  Bagaimanapun, ramai juga kalangan ahli PAS tidak menampilkan perwatakan menarik.

 Amaran supaya tidak mengeluarkan pendapat kontroversi dalam tempoh menghadapi pilihan raya memang patut dilakukan. Orang seperti Timbalan Presiden PAS,  Mohamad Sabu lebih sesuai sebagai ‘pak lawak’, bukan pemidato politik. Banyak kenyataannya menjadi gurauan dan bahan ketawa termasuk mengajak orang ramai berlenggang-lenggok ke Stadium Merdeka ketika Perhimpunan KL112 pada 12 Januari lalu.

 Seorang tokoh PAS Perak pula dengan angkuh mendakwa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hanya menjadi Menteri Besar untuk tempoh  60 hari lagi. Selepas itu  orang lain akan menguasai kerajaan di Ipoh kerana  BN sudah kalah.

 Kenyataan provokasi berkenaan menggambarkan sikap penutur yang kurang cermat. Tidak salah memberi harapan dan keyakinan untuk berkuasa semula, tapi biarlah berlandaskan hujah yang rasional dan bertanggungjawab.

 Ada juga membayangkan  jika pilihan raya tidak mengubah apa-apa,  kita turun ke jalan raya.
Ungkapan ini sudah banyak kali kedengaran. Semiotiknya, jika kalah pilihan raya, ramai yang akan turun merusuh di jalan  raya sehingga kerajaan yang dibentuk secara sah  ditumbangkan oleh kuasa rakyat.

 Moral ceritanya ialah lawak semakin banyak sekarang. Semakin dekat pilihan raya, semakin banyak jenaka   kedengaran. Semuanya kenyataan semasa kerana rakyat sudah muak  cerita politik.
Orang seperti Husam memahami lawak berlebihan tidak akan menguntungkan PAS. Sebab itulah berpuasa lebih baik daripada lawak  kurang matang! - Berita Harian, 8 Februari 2013

Wednesday, February 06, 2013

Nik Aziz kena jaga mulut

Mendengar  kenyataannya dalam isu pemecatan Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS, Nik Aziz kelihatan terlalu bengis dan kasar. “Itu dia punya pasal. Bila orang kena cerai, dia nak menangis atau apa pun, dia punya pasal.”

   Minggu lalu  Nik  Aziz menyamakan pemecatan itu sebagai perceraian suami isteri dan persatuan sukan.

   “Pelik apanya? Suami isteri lagikan bercerai. Persatuan bola sepak pun ada orang pecat. Jurulatih pun kena pecat,” katanya.

   Sebagai tokoh yang terkenal dengan gelaran ‘tok guru’, Nik Aziz ada ketikanya terlalu lantang bersuara seolah-olah melepaskan geram terhadap musuh politiknya.

   Bagaimanapun, sebagai insan yang dianggap ulama, Nik Aziz wajar berhemah dan mengelakkan ungkapan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

   Kita akui Nasharudin  bukan tokoh besar yang boleh memberi kesan kepada PAS jika meninggalkan parti itu. Kemasukan ke dalam UMNO pun tidak mampu mengubah apa-apa. Nasharudin tidak sehebat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Daim Zainuddin atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh mempengaruhi masyarakat Melayu apabila melakukan sesuatu tindakan.

   Bagaimanapun Nasharudin adalah manusia biasa yang tidak sunyi daripada kecenderungan menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan kelompok yang diwakilinya. Disiplin ilmu yang dimiliki membentuk pemikiran kritis Nasharudin walaupun tidak disenangi rakannya sendiri. 

   Kelainan berpendapat adalah sebahagian daripada realiti politik yang membenarkan ahli bebas menyuarakan pandangan dan tidak perlu disekat reaksi akar umbi.

   Bagaimanapun Nik Aziz seolah-olah meletakkan hukuman tegas kepada Nasharudin – insan yang dipilihnya sendiri menjadi calon dan menjadi Ahli Parlimen Bachok, Kelantan.

   Dari segi pertimbangan politik, Nik Aziz beberapa kali membuat kesilapan dalam tempoh lima tahun ini. Dia silap memilih Datuk Ibrahim Ali sebagai calon Bebas di Pasir Mas pada 8 Mac 2008, yang akhirnya bertindak menentang PAS sendiri dalam beberapa isu membabitkan kepentingan Melayu dan Islam. Seperti silap memilih Nasharudin, Ibrahim juga secara terbuka mencabar kewibawaan PAS sebagai sekutu penting dalam pakatan pembangkang.  Isu kalimah Allah berjaya mendedah PAS  tidak mampu mempertahankan prinsip yang kerap dicabar DAP secara terbuka.

   Nik Aziz jelas tidak merujuk pandangan orang di sekelilingnya ketika memilih calon pilihan raya pada 2008. Ada ahli PAS Bachok dan Pasir Mas yang terkilan kerana pandangan akar umbi diketepikan tetapi Nik Aziz mempunyai kata putus mutlak  dalam soal pencalonan.

  Isu  ladang rakyat  juga menimbulkan polemik di Kelantan. Begitu juga penghijrahan anak Kelantan kerana peluang pekerjaan.

   Bagaimanapun, Mursyidul Am  PAS tetap dipuji sesetengah pihak kerana dikatakan rekod bersihnya sebagai pentadbir Kelantan  hampir 23 tahun.  Antaranya pada 2008, beliau menerima anugerah Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK)  sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah.  Pada  2009, beliau  dianggap antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku The 500 Most Influential Muslims.

   Sebagai  Sarjana Perundangan Islam dari Universiti al-Azhar, Mesir, Nik Aziz  pernah diakui sebagai intelektual Islam yang mampu menangani  isu ummah secara berhemah. Bagaimanapun, cara beliau menjawab soalan wartawan menyebabkan imej Nik Aziz dipertikaikan. Di sebalik ketegasan mematahkan hujah pihak lawan, Nik Aziz menggunakan bahasa yang agak keras.

   Dalam kes pemecatan Nasharudin, Nik Aziz membuat kenyataan Nasharudin bukan  lagi  ahli PAS   sedangkan jawatan dalam Majlis Syura Ulama dan keahlian parti adalah dua isu berbeza.

   Beberapa tahun lalu isu Allah samseng dan mencarut. Musuh politik melihat Nik Aziz sebagai keterlaluan kerana tergamak membuat kenyataan melulu. Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu mengambil sikap membisu sama ada ungkapan berkenaan diucapkan sendiri atau dicetuskan pihak lain.

   Setiap kenyataan dan perbuatan ahli politik sepatutnya dikaji bagi mengelak salah tafsir.  PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam sebagai addin perlu berhemah dan cermat agar imej perjuangan tidak dipertikai. Bagaimanapun, Nik Aziz tetap dengan gaya politik tersendiri. Membuat kenyataan secara santai dan kurang cermat boleh memberi ruang kepada musuh mempertikai keperibadiannya. - Berita Harian, 6 Februari 2013 

Tuesday, February 05, 2013

Dari Asas 50 ke PRU13

Generasi muda sentiasa kaya dengan harapan dan kemungkinan. Jika filem, lagu dan novel dianggap citra zaman, kita harus akui karya kreatif  bertunjang kepada realiti yang wujud sejak era Asas 50 dan perkembangan studio di Jalan Ampas, Singapura.

  Kehadiran filem P Ramlee seperti Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku menggambarkan realiti sosial penentangan anak muda terhadap sistem nilai yang wujud sejak berzaman. Perbezaan kelas, cinta dua darjat dan penentangan anak muda adalah cetusan konflik sosial. Karya Asas 50 dengan slogan ‘seni untuk masyarakat’ jelas memaparkan ideologi sosialis yang menjadi ikutan segelintir generasi muda. 

  Dekad 60-an terlalu kaya dengan pergolakan. Generasi muda melihatnya sebagai era kebangkitan menentang kapitalis yang cuba menjadikan Perang Dingin sebagai medan menghalalkan peperangan di Vietnam, Laos dan Kemboja. Pergolakan di Semenanjung Korea memberi kesan pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union.

  Malaysia pula ketika itu sedang mencari arah di pentas global. Sebagai negara baru merdeka, Malaysia dilihat sebagai satelit imperialis AS dan Britain di Asia Tenggara. Alasan ini mendorong Sukarno melancarkan konfrontasi pada 1962 hingga 1966 kerana membantah penubuhan Malaysia. Ketika itu juga budaya hippie yang bermula di AS dan Barat, tersebar ke seluruh dunia.

  Perkataan ‘hippie’ berasal daripada perkataan ‘hip’ atau ‘hipster’ yang  diperjuangkan kebanyakan remaja kerana pemberontakan politik, sosial dan spiritual yang melanda AS  pada pertengahan dekad 1960-an. Imej Vietnam yang berdarah dipaparkan di skrin besar dan anak muda membantah kenapa AS perlu berperang di bumi asing. Mereka lebih marah apabila 58,195 askar AS maut atau hilang di Vietnam.

  Kebanyakan generasi muda Malaysia melihat  ‘hippie’ sebagai cetusan kemarahan golongan yang membelakangi agama dan menjadikan seks bebas  serta dadah sebagai budaya mereka. Walaupun slogan peace not war banyak diedarkan, belia kita menganggap perjuangan mereka berbeza dengan keperluan di Malaysia.

 Keadaan berubah pada dekad 1970-an apabila gerakan Islam mempengaruhi perjuangan belia tempatan. Persatuan pelajar menjadikan kampus sebagai wadah menyuarakan pandangan dan menegur birokrat yang didakwa tidak mesra demokrasi. Sudut Pidato merancakkan pelbagai pemahaman terhadap gerakan Islam dan sekular. Gerakan belia terutama Angkatan Belia Islam (ABIM) memberi kesan yang besar kepada generasi muda Islam.

  Tunjuk perasaan pelajar pada 1974 yang menggunakan Baling sebagai isu perjuangan mendapat perhatian pihak eksekutif. Pemimpin pelajar termasuk  Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 14 Disember 1974 atas kesalahan menghasut mahasiswa mengadakan demonstrasi haram. Nasib sama dialami Idris Sanusi dan Datuk  Ibrahim Ali. Hishamudin Rais  melarikan diri ke luar negara. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) diperkemaskan.

  Revolusi Iran pertengahan 1977 hingga 1979 bukan saja menyingkirkan Shah Mohammad Reza Pahlavi keluar dari Teheran, bahkan meletakkan imej  Ayatollah Ruhollah Khomeini sebagai idola.
Ada gerakan belia di Malaysia yang taksub dengan Khomeini walaupun dasar pentadbiran belum  terbukti berkesan.

  Dari segi positifnya gerakan Islam berjaya menyemarakkan lagi citra keagamaan di Malaysia. Lebih ramai wanita Malaysia mula memakai tudung. Dekad 1980-an dan awal 1990-an pula merakamkan suasana berbeza. Sikap ekstrem generasi muda agak reda seketika apabila sebahagian mereka menyertai UMNO. Program Rakan Muda yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya membawa belia bersikap sederhana.

  Bagaimanapun keadaan berubah apabila peristiwa politik 1998 menyebabkan generasi muda mempunyai sikap berbeza. Kemajuan media baru menyemarakkan lagi suara belia dengan nada berbeza. Keadaan tidak jauh berubah menjelang Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008. 

  Demografi Malaysia berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70  peratus tinggal di kawasan bandar. Sebanyak 40 peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah. Sebanyak 80 peratus pula berumur kurang 45  tahun. Mereka adalah sebahagian besar pengundi yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Suara mereka sukar diramal. -  Berita Harian, 5 Februari 2013

Monday, February 04, 2013

Bukan mudah tawan Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri  Muhyiddin Yassin melawat Kelantan dalam masa terdekat, membuktikan Pusat menaruh harapan besar untuk membangunkan negeri yang diterajui PAS sejak 1990.

 Najib berjanji menjayakan tujuh projek besar untuk mengubah nasib rakyat yang sebelum ini katakan mundur di bawah pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat. Muhyiddin pula  menegaskan Pusat tidak pernah abaikan Kelantan – sebuah negeri yang lebih 90 peratus penduduknya Melayu dan beragama Islam.

 Kelantan dianggap negeri Serambi Makkah dan tradisi pondok berjaya mempengaruhi pola berfikir rakyatnya. Hal ini membezakan kecenderungan berpolitik di antara Melayu Kelantan dengan Melayu di negeri lain.

 Malah, dalam institusi beraja pun, kesultanan Kelantan sejak dulu dianggap alim, menggerakkan dakwah di istana dan balai besar serta mendekati rakyat menerusi unsur keagamaan.  Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra lbni Sultan lsmail Petra atau dikenali Sultan Muhammad ke-V dianggap tokoh yang menegakkan keislaman menerusi cara hidup sederhana. Rakyat menghormati baginda bukan kerana takhta, bahkan sikapnya yang sentiasa terbuka, berjubah dan berkopiah serta kerap menghadiri majlis keagamaan.  Sikap baginda membezakan dengan kerabat di negeri lain.

 Keunikan dimiliki dalam institusi beraja di Kelantan menjadikan rakyat memahami mengapa mereka mempunyai kecenderungan berbeza dari segi  fahaman siasah.

 Jika mahu menguasai semula Kelantan yang ditadbir PAS selama 23 tahun, UMNO perlu memahami minda rakyat Kelantan. Sekadar berjanji untuk membangunkan negeri yang dikatakan mundur tidak cukup.  UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memahami isu sebenar yang berlaku di Kota Bharu.

 Kita akui PAS bukan parti dominan di Kelantan walaupun ramai  penyokong. Kejayaan PAS memperagakan imej Nik Aziz Nik Mat yang dikaitkan sebagai ulama menjadikan bumi Serambi Makkah tidak sunyi daripada sepak terajang politik.

 UMNO juga tidak sunyi dengan kesilapannya. Sekadar berjanji membangunkan projek tanpa memahami hasrat rakyat tempatan bakal membawa padah. Majoriti rakyat Kelantan mahukan royalti minyak. Tokoh UMNO termasuk Tengku Razaleigh Hamzah juga menyuarakan isu sama. Malah, Tan Sri Annuar Musa juga dikaitkan ada permintaan  sama.

 Membelakangi harapan dan keperluan rakyat bakal menjadikan kempen UMNO tidak ke mana. Walaupun ada tokoh yang mendakwa Kelantan bermasalah dari segi bekalan air bersih, ia tidak membantu kempen politik. Isu air di Pahang hingga kini gagal diselesaikan. Penduduk Seremban dan Nilai mempertikaikan penswastaan air. Malah di Lembah Klang, terutama Selangor, krisis bekalan air dikaitkan dengan kepemimpinan terdahulu.

 Dalam kes Kelantan, BN perlu kaji strategi menawan hati rakyat. Pembangunan perlu diteruskan walaupun belum menguasai pentadbiran negeri. Berjanji untuk menjayakan projek raksasa apabila berkuasa seolah-olah suatu ugutan terhadap rakyat.

 Kita akui PAS tidak berjaya sebagai parti yang mampu membawa perubahan kepada rakyat  Kelantan tetapi UMNO pula perlu membuktikan mereka lebih baik. Jika ada kalangan pemimpin tempatan yang masih menonjolkan cara hidup mewah dan kurang mesra rakyat, harapan untuk meraih sokongan majoriti masih tercabar.

 Pensyarah Geostrategis, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan, mendakwa BN mungkin boleh kembali menguasai Kelantan jika sokongan diberikan rakyat negeri itu terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijadikan sebagai ukuran, tidak semestinya tepat.
 Mengkaji keperluan politik rakyat berbeza dengan sukan bola sepak yang diminati semua kaum. Seluruh manusia di planet bumi menggunakan bahasa hampir sama untuk bola sepak. Mereka menjeritkan ‘gol’ ketika bola  mencecah jaring.

 Ia menggambarkan bola sepak diminati ramai tanpa membezakan fahaman kepartian. Dalam kes The Red Warriors, hampir semua rakyat Kelantan termasuk penghijrah ke negeri lain menyokong pasukan  mereka. Bagaimanapun, kita boleh lihat di mana-mana stadium membabitkan  pasukan Kelantan, bendera PAS dan PKR turut berkibaran di segenap penjuru. Ia membuktikan walaupun Annuar menguasai KAFA, tetapi penyokong tidak semestinya ahli UMNO. Justeru, UMNO perlu lebih memahami kehendak rakyat jika mahu mentadbir semula Kelantan dengan lebih cemerlang.  - Berita Harian, 4 Februari 2013