Pages

Sunday, July 07, 2013

Seniman kita sekadar warga tak dihargai

 Apakah Malaysia  tiada  falsafah seni? Apakah kemajuan hanya meletakkan karya  sebagai hiburan dan menafikan fungsi  seni  sebagai pengucapan   dalam masyarakat?

Kita hairan apabila seni lebih dilihat sebagai sorak-sorai,  sedangkan jati diri dan sistem nilai dikesampingkan untuk  ekonomi dan siasah.

Kita mungkin berbangga penyanyi K-Pop, Psy membuat persembahan di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, tapi bagaimana nasib seniman kita?

Hari ini kerap kedengaran artis veteran terlantar perlukan bantuan. Seniman Agung, P Ramlee hanya gah berkarya tapi zuriat sendiri hidup menderita. Seniman jalanan pula tidak keruan mencari nasib di Kuala Lumpur. Mereka bergelumang  untuk hidup, mencari rezeki dan mengemis ihsan pihak berkuasa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula  mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) dengan  alasan mengawal tingkah laku mereka. 

 Kuala Lumpur hari ini tidak sama 30 tahun lalu. Kota yang serba gah dan hebat memaksa seniman jalanan dituduh mengotorkan keindahan kota raya.

Dulu ramai yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni. Pyanhabib, Sani Sudin, Ladin Nuawi, Halim Yazid, Imuda, Khalid Salleh dan Kamarul Yusuff memanfaatkan malam minggu dengan membaca puisi di Pasar Budaya dan Jalan Chow Kit.

Pemuzik dan pelukis jalanan memeriahkan  Jalan Bukit Bintang dengan karya ‘segera’ yang jujur menceritakan gelora anak muda di negara sedang membangun.

Hari ini aktiviti kesenian hampir dianggap tabu. Seniman jalanan  bukan saja dipaksa memiliki permit persembahan, bahkan dikenakan bayaran tinggi jika mahu ‘berniaga’ di Pasar Budaya.

Mungkin Kuala Lumpur tidak sama dengan Frankfurt, Bali dan Hawaii dari segi keseniannya. Tapi apa salah membenarkan anak muda berkarya, menghibur dan berceloteh bersama pelancong sebagai medan seni yang interaktif.

Kita harus malu dengan Indonesia kerana membenarkan Bali mempunyai desa budaya di Ubud. Seniman bebas berkarya  tanpa membezakan fahaman siasah dan budaya.   Kampung turis seperti Pengosekan, Penestanan, Padang Tegal dan Tebasaya meletakkan seni di tempat sewajarnya. Kita boleh melihat laman    rumah penduduk dipenuhi kanvas dan pelancong bebas bersantai membancuh warna dan mencalit garis  sketsa.

Kita juga boleh menikmati  pertunjukan legong kraton  di Puri Ubud yang mengembalikan era lampau.

Malangnya kita tidak mempunyai cita rasa yang baik untuk seni. Karya   tradisional seperti dikir barat, makyung, bangsawan, kuda kepang, bagih, main puteri, tari inai, ghazal, dondang sayang, boria dan selampit semakin jauh daripada kita.

Anak-anak hampir tidak mengenali lagi rentak tukang karut dan sang juara, apatah lagi mantera tok dalang yang melagakan patung Rama dan Sita di pinggir sawah.    
         
Kita semakin maju dan mengikut propaganda siasah,  bakal setaraf  Korea Selatan dan Jepun pada 2020. Tapi kedua-dua negara menjadikan seni sebagai asas untuk kemajuan. Tradisi berbudaya dan menghargai bahasa ibunda amat tinggi di Seoul dan Tokyo. Mereka tidak pernah menilai  hanya  bahasa Inggeris sebagai pengucapan utama subjek Sains dan Matematik. Pelajar mereka diajar mengenali kesenian tradisi sebagai asas menjadi manusia kelas pertama.

Malangnya kita mengenali Psy kerana rentak lagu yang pantas  dan terkinja-kinja  tanpa memahami budaya anutannya. seperti juga kita meminati  judo dan  ninja kerana filem, bukan semangat dan falsafah kehidupan di negara matahari terbit itu.

Penggerak pembangunan perlu sedar kemajuan tanpa budaya hanya melahirkan insan tanpa jiwa. Kita tidak mahu menjadi Singapura yang maju pelabuhan dan sektor perkhidmatan, tapi tiada akar umbi.
Kita juga tidak mahu menjadi Taiwan yang terasing di tengah lautan tanpa mempedulikan budaya Tiongkok yang  agung sebelum 1400.

Masanya sudah tiba untuk kita memiliki sebuah kampung seni di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di situlah nanti kalangan seniman berkarya dengan santai dan bebas memenuhi pasaran mereka secara terbuka.

Bukan semua pelancong datang untuk mendongak melihat puncak KLCC apatah lagi  ke Langkawi hanya sekadar melihat ombak dan pasir pantai. Mereka mahu menilai dan menikmati akar umbi kita yang dikatakan santun, penyayang dan berbudi bahasa. Selama ini mereka keliru kerana gagal mengenali kita dengan jelas. Kita pula gagal memberi penjelasan mengenai sejarah Melayu. Kerajaan wajar menyediakan kampung seni yang bakal menyerlahkan jati diri Malaysia dan akar umbi   sejak berzaman. Kampung seni bakal menjadi wahana menilai kewujudan kerajaan Melayu di Asia Tenggara dan kesannya terhadap peradaban, budaya, kesenian dan siasah rantau ini. Mungkin saranan ini sekadar angan-angan! - Berita Harian, 2 Julai 2013

2 comments:

Hyman said...

This is cool!

imlan adabi said...

Itulah nasib penyair, cerpenis dan novelis.