Pages

Sunday, September 09, 2012

Hasihin dedah nasib sebenar OKU

Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini.  Dia bukan  Datuk  Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

 Kecekalan, semangat dan harapan  Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya  pemanah  orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.

 Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas  terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir  di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

 Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.

 Bagaimanapun  Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.

 Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang  nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.

 Hasihin  disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada  kerajaan. Jika Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan)  di samping pelbagai ganjaran kewangan lain, dia sekadar mengintai dari  jauh. Hasihin hanya boleh berbangga menatap pingat perak yang seakan-akan tidak memberikan apa-apa makna bagi mengubah nasib masa depannya.

 Kerajaan hanya bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan  demi masa depan  Hasihin.

 Pada hari ini nilai RM200,000 terlalu kecil.  Apakah demikian nasib seseorang OKU  yang berjasa untuk negara tetapi sumbangan terlalu kerdil untuk dinilai?

 Apa yang berlaku kepada Hasihin  hampir sama dialami  2.8 juta  OKU lain. Mereka hanya  warga kecil yang jarang diperhatikan dalam apa bidang sekali pun. Malah, sebahagian besar mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan walaupun negara sudah 55 tahun merdeka. Sebanyak  90 peratus OKU  mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Nasib mereka tidak berubah walaupun kerajaan sentiasa berbangga pencapaian ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

 Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  mudah dimengertikan: kurang minat menghargai pencapaian atlit OKU. 

 Walaupun Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri, masyarakat berhak mempersoalkan  bentuk layanan terhadap atlit normal dan OKU. Tidak mungkin Hasihin  boleh dianggap setanding  Chong Wei, Pandelela  atau Datuk Nicol David, tetapi apa salahnya jika kerajaan juga melihat Hasihin sebagai rakyat yang berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di Kota London. Apa pun pertimbangan yang disebut oleh seorang menteri, masyarakat masih meyakini keadaan tidak wajar sengaja ditimbulkan.

  Hasihin sekadar dijanjikan  menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit  paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas. Jika keadaan ini berterusan, tindakan holistik, kemanusiaan dan profesional perlu dilakukan.

    Hasihin mungkin lima tahun lagi tidak aktif kerana faktor  usia dan kesihatan. Kita tidak pasti apakah ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.

Ketika pelbagai pihak mendesak kerajaan  mewujudkan skim bayaran pencen untuk atlit paralimpik,  Ahmad Shabery sekadar berjanji: “Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlit paralimpik.”

 Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan  negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlit paralimpik.

 Kita tidak pasti sejauh mana nasib atlit OKU di negara lain terutama Australia tetapi yang kita pasti, kerajaan mereka menyediakan dana kebajikan OKU walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan bertaraf dunia. Kebajikan, jaminan masa depan dan skim insurans disediakan  kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Tidak adil membandingkan ganjaran di Malaysia dengan negara lain kerana peluang prasarana juga berbeza.

 Apa yang berlaku sekarang membuktikan Hasihin berjaya menyelongkar isu sebenar nasib OKU di Malaysia. Penghargaan, simpati dan peluang sekadar ungkapan. Tindakan lebih manusiawi perlu dilakukan selaras slogan Janji Ditepati yang berulang kali disebut  menjelang sambutan kemerdekaan ke-55.  - Berita Harian, 8 September 2012

Friday, September 07, 2012

Legasi Pak Samad untuk wartawan muda

 Hari pertama menjemputnya di sebuah banglo di Petaling Jaya, Tan Sri Abdul Samad Ismail menyinga: “Kenapa lambat sangat? Kamu sepatutnya tiba jam 9 pagi. Kelas bermula 9.30 pagi!”

 Kami tidak boleh menjawab. Kesesakan trafik dan sukar mencari lokasi kediaman beliau di Petaling Jaya menyebabkan kami terlewat 10 minit daripada temu janji sepatutnya.

 Esoknya, kami berazam untuk tidak menerima ‘kemarahan’  insan yang kami sebut Pak Samad itu. Kami tiba 10 minit sebelum jam 9 pagi. Kami lega kerana Samad tidak tercegat di pintu pagar seperti hari sebelumnya. Sebaik saja masuk ke halaman rumahnya, Samad meninggikan suara: “Kenapa awal sangat? Aku tak sempat pakai baju!”

 Dia kelihatan serius. Kami serba salah. Kemudian dia tergelak. Dan kami mula mengetahui hati budi insan yang dikenal Tokoh Wartawan Negara itu. Samad sentiasa kelihatan serius. Bagi insan yang kali pertama mengenalinya, Samad seorang sombong, bengis, tegas dan kurang tolak ansur.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi muridnya hampir setahun, Samad seorang guru yang penyayang, bertimbang rasa, kerap bercerita soal perjuangan dan menyeludup senjata ketika era konfrontasi.  Samad juga tidak lokek memasak sendiri bamia daging yang dicelup dengan roti keras di rumahnya. Kami kerap ke rumahnya kerana Samad bagai memaksa: “Jangan tak datang, aku masak bamia!”

 Kami  harus berterima  kasih kepada  Operasi Lalang pada 27 Oktober  1987 bagi mengawal suhu politik negara ketika itu. Seramai 106 individu ditahan dan tiga permit akhbar digantung kerana dikaitkan unsur perkauman.

 Keadaan politik yang tidak menentu memberi peluang kami berguru dengan Samad mengenai kewartawanan selama setahun. Beberapa  muridnya ketika itu kini bertugas  di Berita Harian dan Harian Metro  termasuk Zulkofli Jamaluddin, V Ashok, Azahar Md Taib, Abdul Wahab Aziz dan penulis. Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga berguru dengan Samad sebelum  bertugas di Universiti Malaya.

 Sebagai wartawan, pejuang kemerdekaan, sasterawan dan intelektual Melayu, Samad mempunyai reputasi tersendiri dalam khazanah sejarah negara. Beliau  pemimpin dalam dunia kewartawanan, tapi dia juga pengkritik seni yang sentiasa ‘marah’ kepada karya pasca modenisme.

 Samad pernah menegur penulis kerana menyiarkan cerpen yang disifatkan terlalu gila kerana tiada plot dan tiada watak. Samad bagaimanapun, sedia menerima penjelasan mengenai seni jika beliau sendiri kurang arif mengenai sesuatu genre.

 Hari ini kita mungkin tidak menemui lagi negarawan hebat seperti Samad. Pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Samad antara tokoh yang sering berhubung dengan Sri Perdana. Apabila ditanya, Samad sekadar berkata: “Mahathir sayang wartawan, sayang media, tapi dia tidak mahu laporan yang jejas wawasan negara!”

 Pada 4 September lalu, genap empat tahun Samad meninggalkan kita. Media kehilangan wartawan yang komited sepanjang zaman. Wartawan muda pula kehilangan bapa yang sentiasa mengherdik, sekali gus berlawak dengan wajah selamba.

 Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura dan pernah bertugas di  Utusan Melayu, Berita Malai dan menjawat  Pengarang pertama Berita Harian pada  1959.  Pada 1974 Samad dilantik  Pengarang Urusan kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). Beliau dilantik  Penasihat Jabatan Pengarang, NST  pada  1984-1988.

 Dalam bidang sastera pula, Samad adalah  antara Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (PENA ) di Kuala Lumpur.

 Beliau juga terbabit aktif dalam  isu  bahasa Melayu pada  Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai insan  kritis, Samad sentiasa memberikan pandangan bernas dalam isu Melayu dan perjuangan.
Ungkapannya dipetik The Singapore Standard pada 6 Mei 1953: “Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.”

 Kini Samad sebahagian daripada warisan kenangan dunia kewartawanan. Era mesin taip, kopi pekat dan merokok di bilik berita sudah berlalu. Namun semangat Samad untuk wartawan muda sentiasa dikenang.
Kita harus berbangga kerana hingga kini beberapa karyanya tersimpan di perpustakaan peribadi. Kail Panjang Sejengkal (1963), Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967),  Menduga Lautan Dalam dan  Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993)  adalah rakaman perkenalan peribadi kami. - Berita Harian, 7 September 2012
 

Tuesday, September 04, 2012

Kita nikmati karya sampah-sarap

Kita masih terhalang menikmati karya di luar pemikiran perdana. Walaupun ada yang mendakwa 55 tahun merdeka bermakna kita bebas menafsir dan membuat keputusan, tidak banyak karya  yang menduga minda untuk ditonton atau dibaca.

Justeru, kita kekal membaca buku atau novel popular, cinta kecundang atau jodoh tak sampai. Kita sekadar menonton filem gred B yang sekadar aksi  lasak dan cinta tiga segi. Kita jarang diberi peluang membaca buku yang mencabar minda atau menonton filem yang di luar pemikiran sendiri.

  Setiap tahun Hollywood menghasilkan hampir 1,000 filem dan Bollywood pula 1,500  judul. Hanya dua peratus karya mereka dianggap bermutu, berbanding yang berlambak di pawagam kita sekadar adegan ganas, cinta dan hantu. 

  Tiga filem yang paling mendapat sambutan dunia tahun ini bukan karya terbaik. Mission Impossible: Ghost Protocol (kutipan RM87 juta),  Sherlock Holmes: A Game of Shadows  (RM59.7 juta) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (RM49.4 juta). Filem berkenaan sekadar hebat dengan teknologi dan kesan bunyi, bukan mutu dan mesej yang membentuk minda.

  Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan.

  Keadaan berlarutan hingga menyebabkan filem Tanda Putera hanya ditayang pada 15 November. Polemik yang timbul bukan kerana seni analisis tapi hal di luar kesenian itu sendiri. Kononnya filem ini ada unsur perkauman dan keganasan. Ada yang mendakwa kepentingan politik kepartian. Kita sukar merumus tanpa menilai dan mengkaji sesebuah karya.

  Sebelum ini beberapa karya besar dunia dinafikan tayangan di Malaysia. Filem Schindler’s List (1993)  karya Steven Spielberg diharamkan Lembaga Penapis Filem kerana dikaitkan unsur Yahudi. Begitu juga Saving Private Ryan dan The English Patient kerana pengarahnya Yahudi. Kita menjadi tabu dengan Yahudi walaupun pada masa sama kita menerima idea mereka untuk sistem kewangan, teknologi, pengurusan dan politik.

  Begitu juga buku yang mencabar pemikiran dan tradisi turut menjadi mangsa keadaan. The Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan pada 1970 hanya berada di pasaran pada 1981 selepas beliau dilantik Perdana Menteri. Ada yang menuduh Dr Mahathir anti-Islam dan rasis. Selepas buku itu diteliti, dakwaan sebelumnya ternyata meleset.

  Tradisi kesusasteraan tidak pernah sunyi dengan polemik. The Satanic Verses karya Salman Rushdie diharamkan di banyak negara kerana menghina Islam serta memburukkan Nabi Muhammad dan Siti Aishah. Cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin tidak kurang mengundang kontroversi. Karya yang diterbitkan Majalah Sastra, edisi Ogos 1968 dianggap menghina peristiwa israk mikraj.
 
Sasterawan dan cendekiawan, Dr Kassim Ahmad juga tidak terkecuali menerima tempias apabila sajak Sidang Roh dianggap menghina Islam. Dia terpaksa menerima ganjaran mahal apabila ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata dituduh komunis.

  Bagi pengkaji yang jujur menilai, Sidang Roh tidak lebih sebagai karya seni yang mengungkapkan jiwa kacau apabila dunia menguasai minda manusia. Mungkin ‘dosa’ bagi sajak ini kerana ungkapan ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali, hari ini kita dewasa tanpa Tuhan tanpa impian/kerana besok mungkin terlalu lewat/bagi kiamat yang telah ditangguhkan.’

  Karya yang dihasilkan di Petaling Jaya pada Ogos 1960 adalah pengalaman peribadi penulis yang menghadapi cabaran pemikiran dan persekitaran urban.

  Dua buku yang diperdebatkan tahun ini adalah karya Irshad Manji dan Faisal Tehrani. Buku Allah, Liberty and Love diharamkan pengedaran kerana dikaitkan tafsiran bebas terhadap agama. Irshad yang didakwa lesbian pernah mengalami nasib sama di Indonesia apabila majlisnya terpaksa dibatalkan kerana bantahan gerakan Islam. Faisal yang menghasilkan Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang dituduh menyelitkan unsur Syiah dalam karya.

  Dari segi sejarah, novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako diharamkan British sebelum kemerdekaan negara. Mungkinkah selepas 55 tahun merdeka ada novel lain yang diharamkan? - Berita Harian, 4 September 2012

Monday, September 03, 2012

PAS jangan pedulikan Nasharudin

BUKAN menghairankan apabila khutbah Aidilfitri dan tazkirah Ramadan dipolitikkan.  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sepatutnya tidak terkejut kerana amalan demikian sudah wujud 50 tahun lalu. Jika dulu tazkirah dan khutbah dikaitkan serangan terhadap golongan taghut yang antihudud, kini nama pemimpin negara dipersendakan.

  Banyak khutbah mengandungi unsur kecaman terhadap pemimpin dan sistem pemerintahan diperkatakan. Bukan saja di Kelantan, bahkan negeri lain yang dikuasai  pembangkang membawa kecenderungan sedemikian.

  Sepatutnya Mustapa harus terkejut sejauh mana persiapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai Kelantan? Bersediakah strategi  Gelombang Merah menawan Kelantan atau Datuk Nik Aziz Nik Mat yang semakin uzur akan kekal sebagai peneraju Negeri Che Siti Wan Kembang sejak 1990?

  BN sentiasa dilihat mempunyai kekuatan mentadbir Kelantan. Malangnya sikap segelintir pemimpin dan penyokong yang menyebabkan rakyat  memihak kepada PAS sejak 22 tahun lalu. BN harus mengubah pendekatan untuk membangunkan kemudahan asas di Kelantan, bukan tunggu berkuasa untuk membina lebuh raya lebih baik. Royalti minyak sudah jadi tuntutan rakyat, bukan permintaan PAS atau tokoh UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa saja.

  Sepanjang musim perayaan, pembangkang mengatur pelbagai kegiatan untuk meraih undi. PAS Kelantan dan Terengganu meraikan kepulangan perantau untuk mendapat sokongan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula membuat kempen  terbuka di pinggir jalan dan lebuh raya. Mereka menunjukkan sepanduk dan janji populis untuk menurunkan harga kereta jika berkuasa.

  Logik mereka - harga kereta diturunkan memberi manfaat kepada rakyat sebagai pengguna, kerajaan pula mendapat manfaat dari segi keuntungan pertambahan jualan, sekali gus melancarkan aliran tunai dalam masyarakat yang tentunya limpahan ekonomi menguntungkan rakyat dan kerajaan.  Tidak timbul syarikat jualan kereta terpakai akan lingkup jika harga kereta murah!

 Bagaimanapun PAS tidak sunyi dengan masalah dalaman. Kekurangan utama PAS adalah mencari tokoh yang mampu bercakap sesuai kepentingan semasa.

Hampir semua pemimpin PAS bercakap sesedap rasa walaupun merugikan parti. Ada yang  mudah terjebak dengan emosi hingga  masyarakat menilai pemimpin PAS kurang berfikir sebelum meluahkan pandangan. Isu bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, umpamanya diperkata secara terbuka menyebabkan  percanggahan pendapat.

  Nik Aziz dilaporkan meminta Nasharudin keluar PAS tapi kemudian  menyalahkan media yang salah laporan. Tokoh lain pula menjadikan Nasharudin  sasaran terbuka sedangkan Ahli Parlimen Bachok itu bukan seorang pemimpin yang hebat, sama ada di Bachok mahupun peringkat Pusat. Nasharudin hanya menjadi wakil rakyat hasil belas ihsan penduduk Bachok.   Isu sama berlaku kepada Datuk Hasan Mohamed Ali. Bekas pemimpin PAS Selangor itu tiada sejarah cemerlang sebagai ahli politik. Kehadirannya dalam PAS tidak mengubah apa-apa, seperti juga nasib parti itu tanpa Hasan.

  Bagaimanapun apabila ramai yang memperkatakan mengenai Hasan dan Nasharudin seolah-olah meletakkan mereka nama penting dalam politik negara. Mereka hanya ahli yang berani bercakap di luar pemikiran pemimpin PAS.

  Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob tidak perlu meminta Nasharudin membuat pengisytiharan rasmi setia bersama PAS atau tidak. Beliau sepatutnya sedar di mana kecenderungan Nasharudin kini.

  Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menyatakan kepemimpinan tertinggi PAS belum membuat keputusan  isu pencalonan Nasharudin. Sepatutnya kenyataan ini tidak timbul kerana kewujudan Nasharudin sebagai calon PAS tidak relevan lagi.    Begitu juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Mohamad Abduh, yang mempertikai tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud. Beliau tidak sepatutnya bersuara kerana isu hudud tidak akan tercapai kerana PAS dan DAP tidak pernah sepakat. Sandiwara mereka akan terbongkar suatu hari nanti.- Berita Harian, 28 Ogos 2012

Tuesday, August 21, 2012

Perantau penentu politik Kelantan

Hampir 900,000 perantau Kelantan mencari rezeki  terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Sebahagian besar mereka sambut Syawal di Kelantan walaupun terpaksa memandu sehingga 18 jam ke  bumi Cik Siti Wan Kembang.

Kesesakan dan  kesukaran menguruskan hal peribadi sepanjang perjalanan bukan isu lagi. Walaupun ada yang sudah 30 tahun mencari rezeki dan mempunyai kediaman selesa di tempat lain, mereka  meneruskan tradisi balik kampung dengan pelbagai cerita dan kenangan di perantauan.

 Ada juga perantau  yang membayar zakat di negeri Kelahiran, walaupun nikmat hidup di tempat lain. Alasan  selalu diberi: “Tempat kita berbeza negeri lain. Rakyat miskin masih ramai dan perlu dibantu. Negeri kita tak dapat royalti minyak!”.

 Tradisi muafakat, sedekah dan wakaf  masih menebal di kalangan perantau Kelantan.   Jati diri ini akhirnya diterjemah dalam bentuk politik apabila sebahagian besar mereka memilih  mengundi di Kelantan, walaupun bermastautin di tempat lain.

 Ada tiga mitos raya yang sering dikaitkan dengan perantau Kelantan:  Aidilfitri,  Aidiladha dan pilihan raya  umum.  Mereka akan pulang ketika lebaran. Di sesetengah tempat, hari raya korban lebih meriah berbanding Aidilfitri. Masa lampau dan pengalaman merantau menjadi bahan cerita sesama ahli keluarga dan rakan.

Mereka juga lazimnya tidak melepaskan peluang membuat keputusan di peti undi di kampung halaman. Setiap kali pilihan raya umum,  ahli politik  sentiasa berusaha memastikan perantau pulang.

 Pada masa ini ada 15,000 pengundi luar  yang masih berdaftar di Kelantan. Mereka terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan dan akan menentukan hala tuju Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.  Mereka  15 peratus daripada 90,000 pengundi berdaftar di  Kelantan.

 Bagi parti politik yang ingin menguasai Kelantan, selera siasah perantau perlu diambil kira. Lebih 90 peratus dalam kalangan mereka adalah generasi di bawah usia 40 tahun. Mereka tidak terikat dengan politik kepartian.  Selera semasa bakal menentukan aliran pengundian. Pada pilihan raya umum 1999, perantau Kelantan dikaitkan punca kekalahan Barisan Nasional. Isu reformasi dan royalti minyak menjadi bahan kempen.

Kelantan  sentiasa dikaitkan dengan agenda pembangunan. Pihak  berkepentingan sentiasa bersuara mengenai perubahan kepemimpinan demi hala tuju politik masa depan.
Bagaimanapun, tradisi pondok dan perkitaran Pantai Timur yang menghadap Laut China Selatan agak berbeza.  Kelantan sentiasa melahirkan ulama terbilang seperti Tok Kenali. Kelantan pernah dipimpin oleh pemidato hebat seperti Tan Sri Asri Muda.

 Kelantan juga melahirkan Menteri Kewangan berbangsa Melayu pertama, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.  Legenda  bola sepak  Kelantan, Dali Omar menjadi  pemain   profesional  pertama di Malaysia apabila berkelana ke Australia pada awal dekad 70-an.

 Dari segi kesenian dan kebudayaan, Kelantan sentiasa kaya dengan pementasan. Dari bangsal dikir barat, wayang kulit, makyung dan main puteri, tanpa kita sedari mendekatkan tradisi muafakat. Kerjasama dan perpaduan sesama Melayu membentuk fahaman siasah  berbeza dengan negeri lain.

 Sehingga kini tiada kajian akademik yang merujuk punca sebahagian besar anak Kelantan mempunyai fahaman politik di luar pemikiran perdana.   Apakah kerana taksub kepada politikus yang bertopeng agama, atau mereka kecewa dengan isu pembangunan yang tidak banyak membawa perubahan prasarana di Tanah Sekebun Bunga?

Oleh kerana Kelantan dianggap ketinggalan, siapakah yang berhak menanganinya? Apakah golongan berjubah dan berkopiah mampu membawa perubahan atau pihak lain mampu meyakinkan rakyat?
 Persoalan politik sering mengundang polemik. Ketika ada pihak  meyakini pembangunan perlu dipertingkat, isu royalti minyak tidak terkecuali menjadi bualan rakyat. Sentimen kenegerian dan harapan pengundi muda perlu ditangani.

 Pembangunan tanpa pengisian jiwa bakal menjadi ledakan jangka panjang. Ketika ada pihak menubuhkan tabung amanah bagi membiayai pembinaan lebuh raya menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK), ada pula yakin pembinaan secara wakaf tidak bebankan rakyat dari segi kutipan tol apabila beroperasi kelak.

 Lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 73 kilometer itu menelan belanja kira-kira RM1.4 bilion. Ia menjadi bualan ketika sambutan Aidilfitri sekarang. Mampukah PAS menyiapkan lebuh raya? - Berita Harian, 21 Ogos 2012

Friday, August 17, 2012

Lajim cipta sejarah kali kedua?

Perkembangan politik di Sabah mungkin mengembalikan peristiwa dekad 70-an dan 80-an apabila trend meninggalkan parti menjadi budaya.

Dua ahli Parlimen Barisan Nasional  (BN), Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing, bertindak keluar parti dan memihak kepada pakatan pembangkang.

  Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah, manakala Bumburing menubuhkan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front.   Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Maijol Mahap pula mengumumkan keluar UPKO di kediamannya di Kampung Goshen, Kota Marudu  untuk bersama Lajim.

  Perkembangan yang berlaku seolah-olah mengulangi nasib Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membabitkan kejadian keluar parti dan menubuhkan parti baru.

  Tiada siapa pernah menduga USNO boleh tumbang hasil pembelotan ahlinya sendiri. Sejarah membuktikan USNO yang ditubuhkan sahabat karib bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Datu Mustapha Datu Harun, akhirnya tumbang  pada 1976 apabila bekas setiausaha agungnya, Datuk Harris Mohd Salleh keluar parti dan menubuhkan Berjaya.

USNO tumbang kerana segelintir pemimpin dikaitkan dengan rasuah dan balak. Kekuatan Berjaya kerana ramai ahli USNO yang belot dan melompat parti.

USNO terus lemah walaupun menyertai pilihan raya negeri pada 1981, 1985 dan 1990, tapi gagal mendapat sokongan pengundi muda.

  Berjaya hanya lemah apabila Tan Sri Pairin Kitingan keluar parti dan menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1984 dan mentadbir Sabah sejak 1985 hingga 1994. Isu balak dan penyelewengan juga dikaitkan dengan Berjaya.

  Pada 1990, USNO bergabung dengan Berjaya untuk membawa UMNO melebarkan sayap ke Sabah.  Mustapha menjadi pengerusi pertama UMNO Sabah selepas USNO dibubarkan pada 1991.
 Lajim juga mempunyai sejarah tersendiri di Sabah. Beliau pernah menyertai PBS dan menjawat  Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri pada 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dari 17 Mei 1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Februari hingga  Mac 1994.

 Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dianggap berjasa kepada UMNO kerana meninggalkan PBS pada 1994, sekali gus membantu perubahan tampuk pimpinan negeri.
 Kita tidak pasti sejauh mana tindakan ahli BN meninggalkan parti boleh menjejaskan peluang pada Pilihan Raya Umum ke-13, apatah lagi  Lajim sekadar pemain politik yang kurang berfungsi sekarang.  Bagaimanapun dalam gerakan siasah, perkembangan semasa boleh memberikan kesan yang besar.

Apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak perlu dikaji. Pada pilihan raya lalu, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan satu di Labuan. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu, BN kalah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Cina.

 Jika trend itu diambil kira, mungkin tujuh kerusi Parlimen bakal bermasalah di Sarawak. Pelbagai isu tempatan pula dikaitkan sebagai punca pergolakan politik di Sabah.  Isu pendatang dan penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diamalkan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tapi dimansuhkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi bualan setempat.

  Hari ini jumlah pendatang yang didakwa mendapat kerakyatan Malaysia dipolitikkan.      Walaupun kerajaan menubuhkan Suruhan-jaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah, ia masih awal untuk melihat hasilnya. RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kong, diberi tempoh enam bulan dari tarikh tauliah pelantikan untuk menyiasat punca kebanjiran pendatang di Sabah.

Ada yang mendakwa keturunan Filipina dan Indonesia mengatasi jumlah penduduk tempatan.
Lajim, Bumburing dan ramai tokoh tempatan bersuara mengenai isu pendatang. Kita tidak pasti siapa yang terbabit dalam isu kebanjiran pendatang, seperti juga masih misteri apakah pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang selaras peruntukan undang-undang.
 Yang pasti Sabah akan terus mewarnai pentas politik dengan perkembangan yang lebih menarik. Mampukah Lajim mencipta sejarah untuk kali kedua?  - Berita Harian, 17 Ogos 2012 

Tuesday, August 14, 2012

Tradisi balik kampung mungkin berakhir

Jika bernostalgia mengenai  lagu raya dan balik kampung menjelang  Syawal, anak mungkin mempunyai persepsi lain. Apalah yang ada pada  dendangan Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri?

 Apalah yang ada pada Syawal di desa selain makan ketupat, rendang,  tengok sawah, ziarah kubur, duit raya dan jumpa nenek!


 Mereka akan ketawa mendengar lagu raya era 60-an kerana iramanya dikatakan lawak dan mungkin aneh!

Mereka akan hairan memikirkan zaman orang tua  yang sudah semakin sayup dan aneh kedengaran. Kanak-kanak sekarang sudah asing daripada persekitaran orang tua sendiri.

 Mereka tidak tahu bagaimana memikat keciap di sawah atau membakar belalang  dan ubi kayu  ketika bendang semakin kontang.  Ada yang  terperanjat melihat etok direbus dan dikunyah pada petang Syawal.

 Hidup sudah berubah dan zaman  lalu tidak mungkin mengembalikan kesegalaannya.
 Memang benar pengakuan Jane Healy  menerusi Endangered Minds, bahawa kanak-kanak kini semakin kosong dan longlai. Mereka tidak kreatif dan kurang mesra alam. Semuanya berpunca daripada kehidupan moden di kota.

 70 peratus kanak-kanak berada di kota dan kawasan urban. Mereka   mangsa keadaan kerana segala bentuk permainan disediakan, bukan mencari sendiri seperti kita alami 30 tahun lampau. Mereka memadai dengan menekan alat kawalan jauh untuk memilih siaran paling menarik menerusi televisyen satelit.

Mereka dibesarkan dengan Ipad, Ipod dan telefon bimbit pintar. Permainan hanya di hujung jari, berbanding kita yang terpaksa ke sawah, pinggir bukit, menyelam di sungai dan tali air. Kita lasak mencari keseronokan zaman lampau, mereka bergasak menerusi permainan video digital!

 Jangan ceritakan soal makan ubi bakar di kebun getah atau  meratah sotong salai bersama rakan selepas sunat Tarawih, mereka akan ketawa kerana kehidupan kita yang dianggap membosankan.
Mereka menjadi mangsa keadaan, terperangkap dalam jeriji besi untuk tujuan keselamatan. Kanak-kanak kota  sering ditetapkan waktu untuk belajar, bersukan, aktiviti kokurikulum, mahupun  ke pusat beli-belah  bersama keluarga.

 Dunia mereka hanya di rumah dan sekolah. Mereka tidak mempunyai alam lain lagi. Mereka sejak bayi diasuh berada dalam kawalan bagi memastikan keselamatan kerana bandar besar seperti Kuala Lumpur selalu dikaitkan sebagai   ganas, kejam, penuh jenayah dan terancam.

 Golongan muda  generasi Y dan Z menjadi pewaris Starbucks yang sentiasa melihat dunia dengan persaingan, bukan persamaan. Mereka ada hak eksklusif tersendiri untuk memiliki bilik tidur berasingan sesama adik beradik dan kurang mengerti dengan nasib yang dialami oleh jiran.

Mereka jauh berbeza  generasi kita   dulu yang  mungkin lima jam berada di luar rumah  semata-mata untuk mengaji al-Quran, memikat burung atau menjadi ahli dikir  barat peringkat kampung yang tentunya memiliki perasaan kebersamaan   erat.

 Kita dulu menjadi milik masyarakat kampung dan jika pun melakukan kesalahan menghisap rokok di belakang kedai kopi, sesiapa saja berhak untuk mencubit atau menjentik telinga di khalayak ramai.
Keadaan kini sudah jauh berubah. Generasi pasca reformasi 1999  lebih akrab dengan digital, bersendirian ke dunia tanpa sempadan, melontarkan pandangan menerusi Facebook dan Twitter, sekali gus mereka sebahagian daripada empat juta pengundi baru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka mempunyai sikap tersendiri. Tidak terlalu  nostalgik. Mereka menerima propaganda dengan fikiran penuh tanda tanya. Generasi baru yang mungkin kurang kreatif seperti disuarakan Jane Healy  tapi mempunyai sinikal tersendiri. Mereka kurang mengenang budi dan  tidak semestinya berita yang disogokkan, diterima sepenuhnya.

 Apabila timbul isu balik kampung menjelang lebaran, mereka  sering bertanya apakah  ayah dan ibu akan terus balik kampung  jika nenek dan datuk tiada lagi?

Kini, giliran kita pula untuk bertanya kepada diri sendiri; apakah kampung masih ada di hati kita menjelang 2020? - Berita Harian, 14 Ogos 2012

Sunday, August 12, 2012

Royalti minyak bom jangka politik Kelantan

Datuk Seri Najib Razak lawat Kelantan 5 Ogos lalu dan memberi jaminan  kerajaan Pusat sentiasa adil terhadap semua negeri.

 “Kerajaan pusat tidak pernah menafikan hak rakyat Kelantan  termasuk dalam isu tuntutan bayaran tunai daripada hasil petroleum,” katanya ketika  berucap pada majlis berbuka puasa  di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana di Bachok.

Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah   Jawatankuasa Khas yang  dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad  untuk mengkaji royalti minyak.

Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, isu royalti minyak  menjadi api dalam sekam.  Walaupun mereka mungkin ahli UMNO, tapi isu royalti menjadi bahan politik yang sentiasa hangat.

Lebih malang bagi kebanyakan penceramah UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka terpaksa berdepan secara langsung dengan PAS  yang mempolitikkan isu royalti minyak.

Pada hari  ini apa saja laporan media perdana sukar  dipertahankan. Media baru, ceramah politik dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mempunyai daerahnya sendiri di Kelantan. Isu royalti minyak diperdebat secara terbuka, hatta di majlis berbuka puasa, mahupun selepas solat sunat tarawih.
Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mahukan jawatankuasa kuasa khas royalti minyak  menyelesaikan tugas lebih cepat iaitu tiga bulan daripada enam bulan yang dicadangkan Najib.

Mereka  mencurigai tindakan Putrajaya   sebagai langkah untuk BN memenangi pilihan raya umum.
Ahli exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa  mempersoalkan masa penubuhan jawatankuasa khas  dan tempoh enam bulan yang diberikan untuk menyelesaikan kajian dan bertanya apakah ini hanya bertujuan  memberikan kelegaan kepada rakyat Kelantan menjelang pilihan raya  yang semakin hampir.

Jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawatankuasa  membuat laporan dan seterusnya menunggu  pertimbangan Kabinet atas rekomendasi jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan.

Kecurigaan Kelantan terhadap Pusat adalah gambaran krisis dua hala yang tidak akan reda. PAS mentadbir Kelantan sejak 1990. Selama 22 tahun sebahagian masyarakat menganggap  Kelantan dianaktiri dan terlepas daripada projek pembangunan  prasarana.   

Sehingga kini Kelantan  tidak mempunyai rangkaian lebuh raya selesa berbanding negeri lain. Kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK)  sejak  1 Januari 1991  tidak banyak menampakkan hasil.

JPPK  dianggap sebagai agensi Pusat  untuk menyelaraskan projek pembangunan menerusi  pihak tertentu, bukan kerajaan negeri.

Masyarakat menganggap JPPK  mengambilalih  tugas   Pejabat Kemajuan Negeri Kelantan sebagai agensi utama menyelaras dan memantau pelaksanaan  projek pembangunan Persekutuan.
PAS pernah menyertai BN pada 1974   selepas menjalin kerjasama pada 1973. Bagaimanapun hubungan dua hala antara PAS dan UMNO sentiasa membara.    Krisis politik berlaku pada 1977 apabila   berlaku percanggahan di antara Presiden PAS, Tan Sri Asri Muda dengan Menteri Besar,    Datuk Muhammad Nasir. Asri mendakwa Muhammad pro-UMNO dan menjalankan tugas mengikut telunjuk Kuala Lumpur.

Ketegangan memuncak apabila demonstrasi bertukar rusuhan  pada 24 September 1977 di Padang Merdeka, Kota Bharu. Rakyat membantah  kumpulan pro-Asri yang dikenali   ‘Kumpulan 20’. 
  Muhammad  digulingkan daripada  jawatan Menteri Besar menerusi  usul  tidak percaya yang diketuai Datuk  Ishak Lutfi Omar  sebagai   ketua ‘Kumpulan 20’  pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.

 Pada 19 Oktober 1977 satu lagi demonstrasi  berlaku membabitkan  20,000 rakyat  yang berarak  dari Padang Merdeka ke Pejabat Setiausaha Negeri. Perintah berkurung  diisytiharkan  pada jam 3.15 petang dan berterusan selama 24 jam.

Keadaan yang   tidak stabil memaksa Pusat mengisytiharkan perintah darurat. Pentadbiran negeri
digantung dan Majlis Gerakan Negeri (MAGERAN) diperkenalkan di Kelantan  yang memaksa aktiviti politik dibekukan.

Niat Pusat untuk mengamankan keadaan di Kelantan dianggap sebagai rampasan kuasa. PAS tidak dapat mendekati rakyat. Pemimpin PAS dalam Kabinet  Pusat pula terpaksa letak jawatan,  kecuali  Datuk  Hasan Adli memilih untuk kekal mesra BN.

Asri bantah  Akta Darurat  yang dibentangkan  Perdana Menteri  ketika itu, Tun  Hussein Onn di Dewan Rakyat  pada 19 Oktober 1977  yang mengakibatkan  demokrasi digantung dan ditadbir secara ’de facto’   menerusi MAGERAN yang diisytiharkan pada 8 November 1977.

Sehingga kini kesan lama masih diperkatakan di Kelantan. Isu royalti minyak  bukan lagi membabitkan urusan kewangan  dan sempadan, bahkan dianggap medan pertarungan kuasa dua kumpulan siasah.

Pendirian Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa semakin menjadi  perhatian umum. Mereka  tidak mahu  rakyat menjadi mangsa apabila undang-undang diperalatkan. Lebih malang apabila politik membataskan kewarasan.

Tentunya perkembangan di Kelantan akan berterusan. Drama dan intrignya bakal mencorakkan kerancakan  warna politik di kawasan  majoriti Melayu. Najib tentunya lebih memahami kehendak setempat! - Berita Harian 11 Ogos 2012

Tuesday, August 07, 2012

Istana Budaya pinggir karya besar tempatan

Mampukah Datuk Johan Jaaffar mementaskan teater Angin Kering di Panggung Seri, Istana Budaya? Layakkah Dinsman membawa Bukan Bunuh Diri ke premis yang mempunyai keluasan 5.44 hektar serta keluasan lantai 21,000 meter persegi?

Apakah teater Melayu bermutu tidak sesuai dipentaskan di Istana Budaya yang dianggap sebagai panggung pertama di Asia mempunyai mekanisme pentas tercanggih?

Persoalan di atas sukar dijawab kerana sejak kewujudan Istana Budaya, karya bermutu bagai tiada tempat.

Kita mempunyai ramai penulis dan pengarah teater berwibawa. Mana Sikana, Mior Hashim Manap, Marzuki Ali dan Wan Ahmad Ismail di antara jenama  yang menghasilkan naskhah lakonan mencabar. Kita juga mempunyai skrip karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (Wira Bukit) dan Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang (Uda dan Dara).
Teater Melayu tidak kurang hebat dengan skrip menarik. Remang di Lorong Tua,  Tuk Selampit,  Rumah Kedai di Jalan Seladang,  Pentas Opera dan Patah Sayap Terbang Jua sudah berkali-kali dipentaskan di tempat lain, bukan Istana Budaya!

Mampukah karya besar kita ke Istana Budaya? Persoalan ini sukar dijawab kerana Istana Budaya bagai lebih mesra dengan karya kurang hebat. Harapan penggiat teater mementaskan karya ke bangunan yang dikenali The Palace of Culture belum kesampaian. Di mana silapnya?
Sejak dibuka pada September 1999, banyak karya besar tempatan terpinggir. Pentasnya banyak dihiasi karya popular dan kurang bermutu semata-mata tarikan penaja dan penonton. Bintang teater yang hebat hampir dinafikan di premis bernilai RM210 juta itu.

Lebih malang, teater Melayu masih dianggap kelas tiga berbanding teater Inggeris, atau pementasan popular yang membabitkan personaliti terkenal.

Kita hairan bangunan milik kerajaan yang dianggap setaraf Royal Albert Hall di London, masih mengamalkan sistem kasta dan membelakangi karya besar tempatan. Mengikut rekod, sepanjang 2012, Istana Budaya dihiasi pelbagai persembahan. Bermula dengan The White Bat,  Konsert Awie & Ella,  Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh  hinggalah  CUCI The Musical Last Kopek,   Gerimis Mengundang dan  Upin & Ipin The Musical. Karya yang agak mengundang pemikiran penonton adalah Makyung Dewa Indera Indera Dewa.
Kita juga masih menanti Khalid Salleh, A Ghafar Ibrahim, Dinsman, Sutung Umar RS, Rahman Shaari, Puzi Hadi dan Marsli NO tampil membaca puisi di Istana Budaya. Malangnya harapan bagai tiada jawapan kerana sehingga kini premis yang dianggap elitis itu bagai menutup pintu kepada seniman penyair kita.

Ia bercanggah dengan matlamat asal pembinaan bangunan berkenaan.  Sejarah Istana Budaya bermula pada 1964 apabila cadangan pengwujudan Pusat Kebudayaan Kebangsaan diserahkan oleh Kementerian Penerangan dan Penyiaran serta Kementerian Kebudayaan dan Kebajikan Masyarakat.
Istana Budaya diilhamkan pada Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 sebagai wahana seni Malaysia. Pengwujudan didahului dengan penubuhan Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada  1972 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pada 1973, KBN berpindah dari Jalan Ampang ke Kompleks Budaya Negara di Jalan Tun Ismail yang menumpukan kegiatan dalam bidang seni tari dan seni muzik tradisional. Istana Budaya mula dibina pada 1995 bertujuan menaikkan taraf seni pentas, membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni teater, menghasilkan  persembahan teater berkualiti tinggi dan menaikkan minat dan penghargaan orang ramai terhadap seni artistik.

Ia juga bertujuan melaksanakan persembahan berkualiti dalam bidang teater, tari dan muzik pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Istana Budaya mempunyai dewan teater yang dipanggil Panggung Seri boleh menempatkan 1,412 orang pada satu-satu masa. Pentas ini yang pertama di Asia dilengkapi peralatan terkini. - Berita Harian, 7 Ogos 2012

Tuesday, July 31, 2012

Apabila Ramadan menjadi adat Melayu

Kajian sebuah persatuan pengguna mendapati  umat Islam di  Malaysia membelanjakan 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan Ramadan dan Syawal tahun lalu. Kira-kira seorang daripada 10 yang ditinjau mengakui terpaksa menggunakan kad kredit untuk keperluan berbuka puasa di restoran  mewah dan hotel, atau beli-belah. Jangan terperanjat bajet di bazar Ramadan setiap hari membabitkan urus niaga besar - RM10,000 di seluruh negara!

Seperti tahun sebelumnya, isu tangkapan tidak puasa berlaku setiap tahun. Pada minggu pertama puasa tahun ini, beberapa lelaki ditahan di Klang kerana makan di tempat awam.
Pada minggu pertama Ramadan tahun lalu, tujuh  ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)  kerana makan di khalayak ramai. Di Kelantan pula seorang lelaki tua ditahan berjudi dan merokok dalam semak pada hari pertama Ramadan tahun lalu.

Kerajaan Sarawak pula bersedia meminda Seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada umat Islam yang ditangkap tidak berpuasa berikutan jumlah tangkapan meningkat setiap tahun.

Cadangan juga termasuk  mengkaji kemungkinan memperkenalkan hukuman khidmat sosial  kepada pesalah atau meningkatkan  jumlah denda atau tempoh penjara.

Sekitar dua hari  Ramadan tahun lalu, seramai  25 orang ditangkap Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana tidak puasa dan makan di khalayak ramai. Bagaimanapun Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bercadang menaikkan jumlah denda tidak puasa, di samping meningkatkan penguatkuasaan.

Kita tentunya tidak hairan kenapa Ramadan dikaitkan dengan pembaziran atau tangkapan tidak puasa. Lazimnya  Ramadan dianggap bulan rahmat dan kita sepatutnya mendekatkan diri kepada Allah, di samping menunaikan tanggungjawab sosial dengan berzakat dan menderma.

Memang diakui ada yang mendekati masjid dan menunaikan solat Tarawih. Bagaimanapun yang terbabit dengan amalan lain tidak dapat dielakkan kerana ada segelintir kalangan kita yang menjadikan Ramadan sebahagian daripada warisan budaya.

Melayu mungkin berubah dari segi pemikiran, ekonomi dan cara hidup. Tapi masih ramai sukar membezakan amalan agama dan warisan. Kesan langsung Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas insiden 13 Mei 1969 mengubah sebahagian Melayu menjadi penduduk kota dan menikmati peluang prasarana  sempurna.

Kewujudan istilah Melayu baru muncul apabila mereka dikaitkan dengan sektor korporat dan menerajui pelbagai syarikat nau   ngan kerajaan. Budaya baru mencetus persaingan dalam pelbagai sektor.

Kehidupan sebahagian  bangsa Melayu juga turut berubah. Bukan sekadar  pencapaian ekonomi dan taraf hidup, bahkan selera politik dan menanggapi kepentingan kuasa.

Kuasa sering dikaitkan dengan ekonomi dan kewangan. Kehidupan berbeza dari sebelumnya mendorong sikap boros yang akhirnya terpalit kepada pembaziran, termasuk pada Ramadan. Ada pihak yang menjadikan ibadat sebagai adat saja.

Kuasa juga memberi ruang kepada politik wang. Persaingan kuasa membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 memberi kesan tersendiri kepada bangsa Melayu.

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO ketika itu bukan saja membabitkan sebuah parti politik, juga kesannya kepada Melayu. Kuasa beli dan tawar menawar dilihat  jauh berbeza daripada  sebelumnya.
Kita tidak tahu dari mana datangnya politik wang, seperti juga sukar meramalkan siapa yang mencipta istilah Melayu baru dan boros berbelanja untuk mendapatkan pengaruh. 

Namun gerakan kepartian mula ditafsir dalam bentuk baru. Bukan saja UMNO, parti lain juga berkembang dengan cara tersendiri. PAS yang sebelumnya dianggap sekular pimpinan Tan Sri Asri Muda, kononnya lebih  Islamik pada dekad 90-an.

Budaya Melayu baru membentuk sistem siasah dan perbelanjaan seharian. Ramadan bukan saja dikaitkan dengan unsur agama, bahkan ada yang menjadikan tazkirah di masjid sebagai medan menyerlahkan perjuangan siasah. - Berita Harian, 31 Julai 2012

Tuesday, July 24, 2012

Mencari keadilan hubungan raja, rakyat

Sejarah mencatatkan punca utama raja Melayu gagal memungut hasil bumi kerana pegawainya lemah. Ada pembesar istana yang tidak amanah dan mengutip cukai sambil lewa. Ada juga yang kutip cukai, tapi tak diserahkan kepada istana. Ekorannya hasil negeri berkurangan, susut dari setahun ke setahun.

   Pegawai tidak cekap berpura-pura menjayakan misi istana. Mereka sekadar budak raja yang ada masanya bertindak lebih daripada penguasa  istana.

   Ada ketika pegawai istana menggunakan alasan perintah raja untuk menakutkan rakyat.  Mereka bebas daripada hukuman kerana kononnya menjalankan tugas suci bagi pihak istana.

   Mereka menimbulkan cerita kesetiaan dan Hang Tuah adalah wira yang dijelmakan kepada bangsa Melayu kerana kononnya tidak pernah derhaka.

   Pada era Melayu tradisional, hubungan raja dan rakyat sengaja dijadikan mitos. Ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada diperbesarkan. Namun, yang berlaku suara kedua-dua pihak sentiasa terhalang oleh keadaan.

   Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan kelemahan pegawai istana memungut hasil bumi dijadikan alasan untuk pegawai British mengutip cukai lebih tersusun pada awal abad 20.

   Akibatnya hasil negeri bertambah dan Residen British lebih berkuasa dan raja Melayu semakin lemah. Raja hanya berkuasa dalam isu adat dan agama. Hanya peristiwa penentangan Malayan Union menimbulkan kebangkitan suara Melayu.

  Beberapa teks klasik menggariskan hubungan raja dan rakyat yang bukan saja pelengkap institusi, bahkan timbal balik kejadian yang menyuburkan sejarah Kesultanan Melayu.

      Kitab Sejarah Melayu  menggariskan persetiaan ‘waadat’ di antara raja dengan rakyat di Bukit Seguntang. Sang Sapurba yang mewakili raja meminta orang Melayu jangan derhaka kepada anak cucu baginda, sementara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat memohon agar anak cucunya tidak  dizalimi.

 Kisah kezaliman Sultan Mahmud di Melaka hinggalah peristiwa Sultan Mahmud di Johor yang membunuh isteri panglima kerana sebiji nangka menjadi teladan. Laksamana Bentan  menikam raja yang sedang dijulang, sumpahnya dikatakan berkekalan tujuh keturunan.

 Kejadian ini menguji hubungan antara raja dan rakyat. Seperti juga isu  penderhakaan  Hang Jebat, Laksamana Bentan atau Si Bongkok Tanjung Puteri diberikan tafsiran baru. Kecenderungan pemikiran kiri  suatu masa dulu membaca Jebat sebagai hero baru dan kritikan terhadap Hang Tuah.
 Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dan Dr Kassim Ahmad  menegur unsur tidak adil dalam sejarah bangsa Melayu. Pengarah filem, Hussein Haniff menyerlahkan kritikan sosial mengenai suasana tradisional Melayu menerusi filem Hang Jebat, Dang Anum, Istana Berdarah dan   Hutang Darah Dibayar Darah.

   Imej istana, pembesar dan rakyat mendapat dimensi baru sesuai aliran sosialisme ketika era  Perang Dingin dan kini.  Apakah kesetiaan kerana sokongan melulu  dan sanggahan dianggap penderhakaan? Hari  ini sejarah bagai berputar pada paksi sama. Ada rakyat yang sanggup sembah derhaka kepada rajanya sendiri.

   Ketika raja bagai tiada ruang bersuara, ada rakyat memperalatkan proses demokrasi untuk menegur pihak istana apabila sesuatu tindakan yang dianggap tidak berpihak kepada mereka. Isu plat kenderaan secara terbuka dipaparkan menerusi media baru dengan pelbagai reaksi kurang sopan. Malah, kematian seorang sultan pun diperlekehkan dalam sebuah blog!

   Sejak tragedi 13 Mei 1969, kita diperingatkan menerusi Rukun Negara yang antara prinsipnya kesetiaan kepada raja dan negara.      Ketika rakyat dicanang setia kepada raja dan negara, institusi  juga perlu eratkan diri kepada persekitaran yang kian mencabar.

 Tentunya  sistem ciptaan manusia bakal diuji oleh zaman. Ujian sebenar bagi bangsa Melayu adalah menentukan kuasa kekal di tangan mereka. Mampukah Melayu kekal berkuasa jika ada dalam kalangan mereka sendiri yang memilih menjadi si Kitul dengan pelbagai gelagat luar biasa? Banggakah Melayu yang sanggup mencabar  asal-usul sendiri?

   Sesekali teringat juga cerita Singapura dilanggar todak. Apakah masih ada pihak yang segan menerima fikiran budak? - Berita Harian, 24 Julai 2012

Orang solat tak semesti puasa

Seseorang yang bersembahyang lazimnya berpuasa. Yang berpuasa pula tidak semestinya bersolat.

   Prof Dr Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah - 1908-1981) menerusi dua buku yang dihasilkan pada 1939,  Tasawuf Moden dan Falsafah Hidup menjelaskan sikap sebenar segelintir Melayu yang kurang memahami antara budaya dan hukum agama.

   Mereka sering keliru amalan agama, lalu bercampur baur dengan hukum adat, feudalisme dan mitos. Gerakan sekular yang menyerang Nusantara sejak abad ke-19 menjadikan Melayu kian keliru antara zaman lampau dan era moden.

   Ramadan hanya setahun sekali. Justeru, menurut Hamka, ramai   berlapar dan menikmati juadah berbuka puasa pada Maghrib. Orang yang tidak solat pun turut berpuasa kerana amalan masyarakat persekitaran sejak ratusan tahun.

   Golongan yang solat pula tentunya tidak meninggalkan ibadat puasa kerana roh agama yang kental dalam dirinya. Hamka melihat Melayu sebagai masyarakat yang sering diancam perubahan, tetapi masa sama gagal membezakan amalan agama dan adat.

   Analogi amalan agama dan warisan tradisi juga menjadi polemik dalam buku The Malay Dilemma  karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970. Segelintir Melayu bukan saja taksub kepada agama, juga cara beramal dan warisan lama. Pada masa sama mereka tidak diberi peluang melaksanakan agenda lebih besar berasaskan faktor sejarah penjajahan British.

   Ada ketika agama menjadi alat memesongkan pemikiran Melayu. Mitos memburu kebendaan dan membelakangi akhirat menyebabkan ada segelintir  terpesong ajaran Islam dengan menyertai kumpulan berzuhud sehingga pagi dan tidak melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mengukuhkan ekonomi ummah. Mereka memberi alasan mendekati Allah dan meninggalkan unsur keduniaan yang melampau.

   Dari sini lahirlah ajaran sesat yang bukan saja boleh menimbulkan keriuhan dari segi pegangan agama, malah melahirkan sekian banyak Imam Mahdi dan Rasul Melayu.

   Pada hari ini budaya digital dan teknologi maklumat tidak terkecuali memberi cabaran bentuk baru. Melayu terperangkap antara amalan agama, warisan tahyul dan cabaran sekularisme. Media baru tidak terkecuali dengan jaringan tertentu. Jika Hamka menimbulkan kontradiksi antara amalan puasa dan solat, cabaran sekarang adalah bagaimana Melayu menyesuaikan diri dengan persekitaran dunia tanpa sempadan. Cabaran globalisasi bukan sekadar isu puasa dan solat, tapi bagaimana menyesuaikan agama sebagai sumber kekuatan ummah.

   Amalan agama dan tradisi ada masanya saling bercanggah. Dalam amalan Islam, majlis berbuka puasa digalakkan di masjid yang tentunya disudahi dengan solat fardu  dan sunat Tarawih. Masyarakat Melayu luar bandar pula menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah   untuk    golongan miskin menikmati juadah.

   Ia budaya Melayu yang  tidak bercanggah dengan amalan Islam. Bagaimanapun ia menjadi isu apabila sambutan Aidilfitri lebih meriah daripada Ramadan, membabitkan hiburan dan pembaziran.

   Pembentukan Melayu baru pada dekad 80-an menjadikan tradisi Melayu perlu dibaca dengan sifat yang baru. Mereka menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri di tempat eksklusif. Tetamu hanya yang dijemput. Pakaian juga ditentukan dalam kad jemputan; pakaian Barat atau batik.
  Dalam keadaan begini ungkapan agama dan warisan tradisional memerlukan tafsiran semula. Tentunya Hamka tidak sempat mengkaji minda Melayu baru kerana Allah menjemputnya pada 24  Julai 1981, hanya lapan hari selepas pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.  - Berita Harian, 24 Julai 2012

Tuesday, July 17, 2012

Apabila sasterawan di belakang personaliti TV

Kita mempunyai sedozen Sasterawan Negara, puluhan pemenang Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award), ratusan pemenang Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana) dan mungkin ribuan sasterawan yang bernama dan picisan.

Kita juga mempunyai puluhan aktiviti kesenian di seluruh negara dengan pelbagai sorak-sorai, pembentangan kertas kerja, forum, seminar, dialog dan diskusi. Persoalannya: apakah sasterawan kita sudah layak untuk  Hadiah Nobel?

Dalam kalangan sasterawan pula, seakan ada pasaran tersendiri. Penulis yang bernaung dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) dianggap lebih hebat daripada Mamat yang datang dari Kuala Berang.

Penulis muda yang pernah menghadiri Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sering dikatakan lebih berwibawa  daripada penggiat seni yang sekadar belia di luar kota.
Kita tidak tahu siapa yang meletakkan andaian dan pasaran itu. Namun bagi mereka yang mendekati sastera, atau cuba mengenali daerahnya yang dikatakan berseni, terlalu banyak likunya. Terlalu banyak tangan ghaib yang meletakkan pengurus seni sebagai lebih berwibawa daripada yang lain.

Kita mungkin bersikap pasif  menyatakan sastera Malaysia masih terkebelakang berbanding  Indonesia, Thailand dan Vietnam. Jangan bandingkan karyawan kita dengan penulis dari Amerika Latin dan Afrika yang menguasai Hadiah Nobel sejak 30 tahun lampau.

Kita perlu ikhlas dan jujur mengakui sasterawan di Malaysia masih pada peringkat lama –  gah baca puisi, tulis buku dan jual kepada kawan-kawan saja!

Jika kita andaikan 10,000 penulis yang  komited berkarya dan meminati sastera,  kenapa majalah yang diterbitkan khusus untuk menyiarkan sajak, cerpen, skrip teater dan kritikan hanya terjual 2,000 unit saja?

Sehingga kini usaha melahirkan bakat baru masih misteri. GAPENA pernah menubuhkan Sekretariat Penulis Muda GAPENA (SPMG) yang khabarnya untuk mengisi kegiatan bakat baru. Hasilnya tidak kelihatan dan SPMG lenyap begitu saja. Biro Penulis Muda PENA pula masih bersemangat berbincang dan berdiskusi. 

Jika berlapang dada, kita mungkin dapat membezakan  bidang sastera terlalu perlahan dan lembab untuk melahirkan penulis generasi masa depan berbanding kesenian lain. Jika pelakon, penyanyi dan pelawak silih berganti dengan watak yang dominan, sasterawan kita masih berpaksi pada wajah yang sama.

Ketika mengakui majlis mengasuh bakat penulis kerap diadakan, kita bertanya sejauh mana hasilnya?
Banyak bengkel, ceramah dan diskusi bedah karya. Namun ke mana pergi peserta bengkel? Kenapa tak ramai yang berjaya? Adakah berkarya untuk berseronok dan kemudian tidak melahirkan sajak dan cerpen lagi? Apakah bidang lain lebih  baik dan menguntungkan daripada sastera?

Kita mungkin mempunyai ratusan sarjana dan pengkritik sastera. Pelbagai teori kritikan dan seni analisis diperkenalkan. Tapi kita masih ketandusan pengkritik berwibawa. Kenapa lulusan sastera yang didedahkan dengan disiplin kritikan tidak menghasilkan analisis seni terbaik?

Apakah universiti sekadar kilang yang mengeluarkan kertas bernama ijazah dan tugas menulis serta menilai seni tidak penting?

Semuanya persoalan yang sukar terjawab. Seperti sukar juga kita memahami kenapa subjek Sastera untuk pelajar kurang cemerlang di sekolah menengah. Pelajar cemerlang tak layak belajar sastera?  Benarkah sastera untuk kalangan yang suka bernostalgik dan saling merindui?

Apakah penulis seperti Fauziah Ashari, Raja Azmi, Ras Adiba Radzi dan Yahaya Samah dianggap sasterawan kerana melahirkan novel popular? Apakah Ahmad Fedtri Yahya dan Ally Iskandar dianggap penyair kerana muncul di pentas puisi?

Saya agak keliru untuk menjawabnya kerana dunia sastera kita sering mengelirukan! - Berita Harian, 17 Julai 2012

Sunday, July 15, 2012

Audit bahasa Melayu cabaran baru DBP

Syabas Dr Awang Sariyan kerana mengotakan janji yang dibuatnya Februari lalu untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan.

 Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan proses audit bahasa kebangsaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelang akhir tahun ini, dengan menempatkan kakitangan bagi memeriksa dokumen rasmi jabatan terbabit.

 Laporan audit terbabit akan dikeluarkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil dalam usaha meningkatkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di agensi yang dikesan masih belum menepati piawaian ditetapkan.

 Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai Disember, dengan mengaudit semua tindakan dan aktiviti untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

 Untuk tujuan ini, beliau berkata, pelbagai pekeliling dikeluarkan oleh JPA termasuk yang terbaru Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai panduan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

 Kita harap isu bahasa boleh diselesaikan jika kerajaan berazam untuk meningkatkan citra Malaysia. Sebelum ini isu bahasa  bermasalah kerana pimpinan politik tidak tegas. Kita harap ia tidak berulang walaupun pelbagai kempen pernah dilaksanakan. Lebih malang apabila kementerian, jabatan dan agensi kerajaan  sebelum ini tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

  Keadaan ini berpunca sikap  pegawai atasan dan penjawat awam yang  tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

  Memang diakui mengauditkan penggunaan bahasa Melayu tindakan terbaik tetapi mampukah DBP berdepan kerenah birokrasi? Mampukah DBP menegur pemimpin yang bertutur dan menulis dalam bahasa penjajah?

 Sehingga kini DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

  DBP hanya sekadar bersuara, memberi nasihat  dan memantau tanpa kuasa penguatkuasaan, justeru lahirlah  nama taman perumahan berbaur bahasa asing.

  Ketika pembinaan Putrajaya pun, DBP tidak dirujuk untuk menggunakan perkataan ‘presint’ yang langsung tiada kaitan   unsur tempatan.  

  Penulis yakin DBP tidak dirujuk  ketika syarikat kereta nasional ditubuh pada 1985. Justeru, lahirlah  Perusahaan Otomobil Nasional  Sdn Bhd dan  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd  yang menggunakan ejaan ‘otomobil’ bukan automobil.

  Isu pengabaian bahasa Melayu pernah dipersendakan apabila tema Hari Kebangsaan pada 1996 yang bermakna ‘lesu’, ‘longlai’ atau  ‘tidak bermaya’. Ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ menjadi sebutan ramai, walaupun perkataan  ‘kecapaian’   membawa makna negatif.

 Begitu juga slogan sambutan Maal Hijrah  pada tahun sama yang berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ yang langsung tidak menepati konsep hijrah itu sendiri. Bayangkan ungkapan yang salah itu diulang berkali-kali dalam kalangan masyarakat ketika sambutan diadakan. Kasihan murid dan pelajar kerana keliru memahami  ‘kecapaian’.

  Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu bertebaran dari  Asia  Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna  bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China  Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan  pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

 Bagaimanapun kita masih pasrah dengan kesilapan melampau. Apakah masalah sikap atau pihak tertinggi  yang kurang tegas dalam isu bahasa, seperti juga longlai dalam isu novel Interlok angkara hasutan pihak lain? Ada ketika politik mengatasi isu bahasa dan sastera. - Berita Harian, 14 Julai 2012

Tuesday, July 10, 2012

Sekolah urban, mahalnya nilai kasih sayang

Ia tidak pernah diisytiharkan sebagai model 1Malaysia. Ia hanya sebuah sekolah di pinggir kota yang mempunyai lebih 5,000 pelajar. Sebagai kawasan urban, proses kepadatan pelajar amat luar biasa.

Ketika dibuka hampir 10 tahun lalu, pelajarnya sekitar 2,500 orang, kini jumlahnya bertambah 100 peratus. Pelbagai kaum dan etnik mewarnai sekolah itu. Melayu, India, Cina, Siam, Portugis, Iban dan Kadazan mewarnai konsep 1Malaysia.
Justeru, pelbagai loghat seperti Kelantan, utara Semenanjung, Jawa, Bugis dan Aceh juga kedengaran. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah sering bersikap sinis: “Sekolah kami dah capai standard tinggi. Sekolah antarabangsa!”

Kata-katanya mudah dimengertikan. Selain anak penduduk tempatan, pelajar yang ibu bapanya berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Iran, Pakistan dan India juga tidak terkecuali mewarnai konsep kesejagatan. 

Dalam kalangan anak tempatan pula, perangai dan tingkah laku sesetengah mereka setaraf dengan pelajar ‘antarabangsa’. Ada yang menubuhkan kumpulan samseng untuk panjat pagar ke pusat internet. Tidak terkecuali juga yang merokok di kawasan sekolah, atau ketika suhu sedang panas, mereka bergasak   menunjukkan kehebatan masing-masing.

Sebagai kawasan yang padat membangun di Lembah Klang, kawasan urban menjadi tumpuan pelbagai struktur sosial. Kehadiran ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah boleh dilihat darjat masing-masing. Ada yang berkereta mewah, tidak terkecuali sekadar Kancil atau motosikal usang.

Tentunya pelajar dari rumah agam tidak sama dengan kelompok dari kawasan flet dan rumah setinggan. Cara hidup dan perbezaan darjat menimbulkan kejutan sosial luar biasa. Apatah lagi ibu dan bapa mereka sebahagian daripada masyarakat dunia yang sentiasa tekun dan cekal mencari rezeki di pelbagai sektor pekerjaan.

Ramai juga yang bergelar tan sri, datuk seri, datuk, tengku di samping yang sekadar dipanggil encik atau pak saja. Kepelbagaian ini membentuk kelainan sikap dan sifat pelajar itu sendiri. Kelainan juga yang membezakan latar belakang pendidikan dan sosioekonomi keluarga.

Urbanisasi membawa nilai tersendiri dalam masyarakatnya. Percampuran nilai membentuk kepelbagaian cara hidup dan bertindak. Memang diakui sekolah adalah institusi penting dalam menjayakan misi transformasi negara. Sesebuah kelompok dengan kepelbagaian keturunan, agama dan budaya mencorakkan Malaysia dengan segala kemungkinan.

Risiko pelajar di kawasan urban adalah mudah terdedah kepada gejala di persekitaran. Pelbagai pusat beli-belah, kafe siber, pusat snuker dan rumah urut boleh mengundang dugaan yang luar biasa.
Statistik menunjukkan 1,836 kes jenayah membabitkan pelajar sepanjang  2007 di seluruh negara. Pada 2008, kes meningkat kepada 3,383.

Pada tahun lalu angkanya lebih 4,000 orang dan lebih 60 peratus membabitkan kejadian di kawasan bandar dan urban.

Peningkatan luar biasa ini tentunya memerlukan tindakan holistik. Ketika kita bercakap mengenai Malaysia maju menjelang 2020, wajar juga kita melihat dasar masalah yang melingkari masyarakat.
Ada ketikanya anak terasa sepi apabila pulang dari sekolah. Hanya rumah kosong dilengkapi perabot tanpa jiwa ibu dan ayah yang sedang sibuk mencari rezeki. Kesepian ini akhirnya memaksa generasi muda mencari teman sesama mereka.

Alam siber dan kemudahan digital membentuk sikap yang tidak pernah kita fikirkan 20 tahun lalu. Akhirnya mereka terjebak dan kita hanya menyedari apabila anak  semakin jauh daripada ibu bapa.
Tentunya kejadian  di sesebuah sekolah itu tidak berakhir begitu saja. Kesan jangka panjang tentunya menakutkan kita. Proses kemajuan dan urbanisasi terlalu mahal padahnya.- Berita Harian, 10 Julai 2012

Tuesday, July 03, 2012

Faresh Motor ikon OKU

Selepas ini golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Lembah Klang diharap tidak lagi menghadapi masalah memiliki kenderaan sendiri kerana sudah ada syarikat yang menyediakan khidmat kepada mereka.

Wakil pengedar sah PERODUA, Faresh Motor menyediakan khidmat jualan mesra OKU. Bilik pameran pun sesuai untuk golongan cacat anggota kunjungi.

Syarikat dimiliki OKU,  Ahmad Faresh Ahmad Zahid mempunyai 23 pekerja dan sudah menjual 120  unit kenderaan PERODUA.

Ahmad Faresh muncul antara OKU berjaya, di samping ramai yang hidup melarat. Golongan yang kekurangan fizikal bukan sekadar memerlukan bantuan dan simpati. Mereka perlukan  peluang untuk  berdikari dengan bertugas di sektor awam dan swasta, atau menjalankan perniagaan kecil.  Sektor kerajaan menyediakan sedikit ruang  pekerjaan kepada OKU dalam pelbagai bidang. Namun sektor swasta masih pada tahap yang masih misteri. Tiada angka rasmi yang mendedahkan pembabitan mereka di sektor awam dan swasta.

 Media pula kerap menyiarkan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan bulanan daripada kerajaan. Apakah imej OKU mesti terpalit kemiskinan? Tentunya gambaran ini aneh bagi masyarakat Malaysia yang dikatakan penyayang dan berbudi bahasa selama 55 tahun merdeka!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Usaha menangani isu OKU sudah lama kedengaran tapi hasilnya tidak seberapa. Pada 1981, Malaysia bersama masyarakat dunia turut menganjurkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) yang bertujuan menggerakkan usaha menangani masalah OKU. Pelbagai program dianjurkan termasuk baca puisi, panduan nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak cacat dan gesaan pembabitan sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Malangnya usaha membawa OKU ke tengah masyarakat diabaikan. Ungkapan simpati dan bantuan tidak mengubah keadaan. Hasilnya bagai diduga, tidak seberapa!

Sehingga kini pelbagai istilah diguna untuk memberi imej masyarakat prihatin terhadap golongan  itu termasuk orang kelainan upaya, orang kurang upaya, insan istimewa, orang cacat dan entah apa lagi.  

Namun selepas 31 tahun TAOC, nasib OKU tidak banyak berubah. Kajian menunjukkan lebih 90 peratus OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Mereka termasuk dalam kalangan miskin tegar dan sebahagiannya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sehingga kini, OKU yang berdaftar di JKM hanya  325,189 orang berbanding 283,512 pada 2010. Pelbagai program kemahiran disediakan sekadar melatih mereka dalam bidang kemahiran. Walaupun ada OKU seperti Siti Huraizah Ruslan yang mempunyai ijazah cemerlang, sikap prejudis sektor swasta menjadi  penghalang untuk beliau menyumbangkan bakti. Akhirnya Siti Huraizah terpaksa bertugas di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang di luar kepakaran akademiknya.

Pusat pengajian tinggi awam pula bagai tidak mempunyai dasar jelas untuk mengambil OKU melanjutkan pengajian. Kemudahan asas kurang sesuai untuk kegunaan OKU ke dewan kuliah. Tangga tinggi dan laluan bercuram membahayakan mereka. - Berita Harian, 3 Julai 2012

 

Tuesday, June 26, 2012

Indahnya budi bahasa kita...

BENARKAH masyarakat kita berbudi bahasa dan penyayang? Saya sukar menjawabnya kerana beberapa pengalaman peribadi dalam masa tiga minggu bagai menyanggah makna budi bahasa rakyat Malaysia.

Saya mempunyai masalah small bladder. Ketika mendapat rawatan di sebuah klinik day-care, doktor wanita yang saya syak belum kahwin dengan selamba menegur: “Encik dah makan?” Tuturnya sambil melondehkan kain sarung yang saya pakai di bilik pembedahan kecil.

Memang saya tahu tugas doktor terpaksa memeriksa anggota sulit kerana faktor tugas, tapi salahkah kalau minta izin kepada yang empunya diri sebelum bertindak? Mungkin kerana dia terlalu biasa buat macam tu, menyebabkan dia rasa tidak perlu meminta izin kepada pesakit walaupun membabitkan tempat sulit. 

Mungkin sudah banyak kali dia berbuat demikian. Pengalaman memandu di Lebuh Raya Plus ke Alor Gajah cukup memeritkan. Pemandu sewenang-wenangnya menggunakan lorong kanan untuk memecut dan mencelah ke lorong tengah atau kiri untuk memotong jika ada kenderaan lain yang dianggap perlahan di laluannya.

Hebatnya pemandu Malaysia yang bukan saja memecut, bahkan menyalakan lampu dan membunyikan hon jika tidak diendahkan. Berbudi bahasakah mereka?

Pengalaman di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) juga tidak terkecuali menduga ungkapan masyarakat penyayang rakyat Malaysia. Petak parkir yang dikhaskan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dicerobohi.

Pemandu OKU terpaksa parkir tepi simpang semata-mata mahu ke tandas. OKU terpaksa berjalan jauh untuk melepaskan hajat. Mana budi bahasa pemandu Malaysia? Di tempat lain pun keadaan hampir sama. Petak parkir OKU diceroboh, laluan melintas dihadang dengan kenderaan.

Di sebuah restoran makanan antarabangsa pula membawa pengalaman yang hampir sama. Pelanggan Melayu kurang dilayan sebaik-baiknya.

 Saya terpaksa meninggikan suara untuk mendapatkan layanan, itu pun ditanya dalam bahasa penjajah. Hina sangatkah bahasa Melayu jika sekadar mahu pesan kambing panggang, sup cendawan dan air bergas?
Di sebuah syarikat penerbangan pula, kita juga dilayan dengan bahasa rojak walaupun sekadar beli tiket penerbangan tambang murah ke Kota Bharu: “Apakah kamu ada kad kredit?”

Kenapa dia terpaksa guna perkataan ‘kamu’ kepada pelanggan,  bukan ‘awak’, ‘encik’ atau ‘pakcik’.
Bukankah dari segi nilai sosialnya perkataan ‘kamu’ membawa makna yang kasar seperti pertuduhan kes di mahkamah, atau  ungkapan guru disiplin terhadap pelajar nakal di sekolah?

Apakah tiket kapal terbang tambang murah membabitkan status sosial sehingga ditanyakan mengenai kad kredit? Hebatkah kad kredit untuk penerbangan ‘kamu’ balik kampung?

Di sebuah kedai buku di Alamanda, Putrajaya pula, buku berbahasa Melayu diletakkan di rak ceruk dinding bahagian belakang. Buku Melayu yang ada di kaunter depan hanya Doktor Umum - Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin kerana nama Dr Mahathir, maka bukunya di tempat yang selesa.

Apabila ditanya kepada penyelia kedai buku, jawapan dalam bahasa Inggeris yang diterima ialah buku Melayu tak laku! Cara penjelasannya tidak ikhlas kerana matanya ke arah kaunter, bukan melihat wajah pelanggan. Ternyata dia kurang berbudi bahasa.

Isu budi bahasa dan masyarakat penyayang sudah kerap kedengaran. Kita semakin terhakis nilai murni kerana kesibukan sosial. Kita mungkin semakin maju ekonomi dan kemudahan prasarana, tapi kita semakin miskin dengan nilai murni dan perasaan ehsan. Banyak  yang perlu dibantu namun ramai yang tidak sanggup berbuat demikian.

Justeru, tidak menghairankan apabila bekas Ketua Unit Nephrologi dan Transplant Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),  Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor bagai mengeluh kerana di Malaysia terlalu ramai yang  'kasihan' tetapi tidak berbuat apa-apa.

Beliau merujuk kepada kempen derma organ untuk pesakit buah pinggang. “Ramai yang kasihan apabila melihat penderitaan pesakit,  namun tidak sanggup derma organ. Apabila ada yang mahu derma buah pinggang, mereka melarang kerana bimbang penderma organ cepat mati,” tuturnya secara sinis pada suatu majlis.

Lebih malang lagi, bangsa Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India.  Mengikut statistik yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan  Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur pada 2005, sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (8  peratus) dan kaum lain tiga peratus. Pada 2005 juga hanya 10  yang tampil menderma organ.  Tahun lalu angkanya tak banyak berubah.

Bayangkan masyarakat  yang sering dianggap berbudi bahasa dan penyayang tapi sekadar di mulut saja.
Budi bahasa, nilai murni kita semakin terhakis,. - Berita Harian, 26 Jun 2012

Wednesday, June 20, 2012

PTPTN, penentu undi generasi muda

“KAMI mahu suara anak muda didengari,” kata siswa yang pada awalnya ragu-ragu  untuk berterus-terang.
 “Jika mengundi, kami akan pilih parti yang boleh memberi jaminan kepada anak muda. Kami mahu masalah kami didengari. Kami mahu suara anak muda mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

 Pertemuan spontan di sebuah masjid di sebuah pusat pengajian tinggi yang awalnya membabitkan tiga individu bertambah kepada 10 orang selepas solat Jumaat.

 “Kami tidak menentang mana-mana kelompok. Memadai isu pelajar ditangani. Kami datang dari luar bandar. Ayah bersara. Emak suri rumah sepenuh masa. Kami perlu bantuan kewangan. Apa pun namanya biasiswa, bantuan, pinjaman atau PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), kami tak kisah. Tetapi menghapuskan pinjaman pelajaran membebankan kami. Jika kami dianggap aset negara, kenapa kami dibebankan untuk belajar pada peringkat tinggi?”

 Suara yang hampir sama kedengaran pada majlis dialog di sebuah pusat pengajian tinggi lain seminggu lebih awal.

 Hari ini isu pendidikan dan generasi muda sudah sebati. Mereka pewaris negara. Lebih utama, mereka mungkin sebahagian generasi muda yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

 Kita tidak pasti kecenderungan pengundi muda kepada politik kepartian. Namun mereka generasi Starbucks yang mempunyai budaya yang mungkin berbeza daripada ayah dan ibu sendiri. Mereka membesar dengan media baru, menjadi pengamal setia Facebook dan Twitter, serta tidak mudah menerima pendapat yang dianggap mempunyai ciri-ciri feudalisme.

 Katakan mereka generasi X atau Y yang sukar dijangka, mereka tidak peduli kerana ledakan teknologi maklumat bagai melenyapkan kelompok yang ada di persekitaran mereka.

 Yang mereka pasti ialah jaringan tanpa sempadan dan sumber  maklumat berada di hujung jari. Sebahagian mereka mengakui tidak menganut fahaman politik tertentu, namun tegas mereka aspirasi muda jangan diketepikan.

 Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter sentiasa kritikal dan sinis.

Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi. 

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

 Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza.  Ungkapan Islam Hadhari pun tidak kedengaran lagi apabila  keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

 Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda hari ini sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai  pengundi.

 Sebanyak 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

  Kajian sebuah parti politik pula mendapati 62 peratus pengundi muda tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian.

 Jika banyak isu yang membabitkan kepentingan mereka, ia mungkin menjadi penentu dalam keputusan terakhir di peti undi.

 Justeru, mana-mana gerakan siasah perlu cekap mengambil kesempatan supaya generasi muda berpihak kepada mereka.

 Pada hari  ini pola pengundian hampir boleh diteka. Undi Melayu di luar bandar dan kawasan FELDA lazimnya berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Melayu kawasan urban dan sekitar kawasan pusat pengajian tinggi sukar diramal. Mereka bergantung kepada isu dan kekuatan calon seperti berlaku di kawasan Bangi, Shah Alam, Nilam Puri, Skudai dan Johor Bahru. Generasi intelektual dan terdidik lazimnya mempunyai tanggapan berbeza terhadap kualiti kepartian.

 Pengundi Cina boleh dijangka hala tuju sokongan mereka. Kaum India di kawasan pedalaman masih menjadi misteri. Generasi  muda yang banyak bertwitter dan Facebook kini perlu diberi tumpuan.
Jika hasrat dan keinginan mereka kurang dilayani, kita boleh mengerti arah mana mereka selepas ini. - Berita Harian, 20 Jun 2012

Monday, June 18, 2012

Manifesto BN dalam Harakah?

DEMAM pilihan raya umum menjadikan media sebagai sasaran golongan siasah: Wajarkah manifesto parti didedah menerusi akhbar perdana?

Berpeluangkah pembangkang mendapat ruang di media utama?

Apakah parti pemerintah pula diberi ruang mendedahkan manifesto di akhbar Harakah?
Jika sebelum ini media utama dikaitkan dengan pemerintah dan akhbar sampingan dianggap milik pembangkang,  adilkah tanggapan itu?

Bersediakah akhbar kecil dan portal berita yang mendakwa memperjuangkan kebebasan media menyiarkan berita pembangunan, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan lawatan pemimpin kerajaan ke kawasan pedalaman?
Isu media dan  kebebasan sering diperdebatkan. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), manusia sudah memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi. Media pula muncul apabila hak asasi dan kebebasan dikongsi untuk bertukar pendapat serta menyebarkan maklumat.

Sehingga akhir dekad 1980-an yang dianggap ‘zaman gelap media di dunia ketiga’, kehadiran internet dan teknologi maklumat secara terbuka pada dekad 1990-an memberi ruang kebebasan yang masih boleh dipertikaikan.

Apakah kebebasan media bermakna seseorang boleh mendakwa pihak lain sebagai pembunuh, perasuah dan diktator? Adilkah maklumat yang menyebarkan berita khalwat,  salah guna kuasa dan seksual bebas tanpa sebarang bukti?

Pilihan raya adalah ruang demokrasi yang menuntut kebebasan berhujah dan menyerlahkan   kepemimpinan seseorang tokoh.

Media pula berperanan menyalurkan proses demokrasi dengan penuh wibawa tanpa penyelewengan. Namun demokrasi juga tidak terkecuali diseleweng, seperti juga media yang didakwa berpihak kepada kelompok tertentu, sekaligus menyelar pihak lain.

Bagi yang merasakan demokrasi dan media di Malaysia tidak menepati piawaian dunia, negara manakah yang benar-benar demokratik  dan medianya bebas?

Apakah negara kuasa besar utama memberikan ruang adil kepada calon Republikan dan Demokrat setiap empat tahun menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat?

Bagaimana pula peranan pelobi Yahudi dan pemegang saham yang kebetulan pula Zionis media antarabangsa? Adakah mereka menyiarkan laporan penderitaan bangsa Palestin yang bertahun didera di Tebing Barat Semenanjung Gaza?

Dua wartawan akhbar Washington Post,  Bob Woodward dan Carl Bernstein mendedahkan skandal politik dan media yang membabitkan Richard Nixon ketika menguasai Rumah Putih pada 1972.

Skandal Watergate bukan saja proses intipan terhadap musuh politik, juga peranan media yang bersubahat meyakinkan massa mengenai dasar Amerika di Asia Barat dan pertentangan antara Pakatan Atlantik Utara (NATO) dengan rejim komunis yang menguasai Pakatan Warsaw ketika itu.

Media Barat sepanjang tempoh Perang Dingin tidak menjelaskan isu sebenar pertarungan minda dunia antara Blok Timur dan Barat.

Mereka menjadikan agenda menyerang negara Asia Timur seperti Malaysia yang dianggap tidak demokratik dan kuku besi.

Laporan media tempatan dianggap propaganda kerana kononnya wartawan Barat lebih wibawa. Ahli siasah tertentu menjadi batu loncatan Barat untuk mempersendakan proses demokrasi di Malaysia.

Akhirnya, menjelang pilihan raya umum, isu  penyiaran manifesto pilihan raya disuarakan seolah-olah media utama lebih menyokong pemerintah dan mengabaikan pembangkang.

Jika manifesto pembangkang kurang mendapat sambutan, media akan terus dipersalahkan sebagai berat sebelah, walhal perjuangan sesetengah ahli politik itu sendiri lebih berteraskan kepada kepentingan peribadi dan kuasa. Adilkah media mendapat imej seburuk  itu?- Berita Harian, 18 Jun 2012


Wednesday, June 13, 2012

Politik sastera lahir penulis jahil

PENYAIR Leo AWS baru saja menerbitkan kumpulan puisi ke-23 yang diberi judul Waktu Kaumulakan dan Gurindam Rakyat, memuatkan karya peribadi di samping tokoh lain termasuk Dr Rajiee Hadi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Aladin Mohamad.

 Sebahagian besar karyanya diterbitkan sendiri menerusi syarikat Pustaka Dewan Puisi kerana beliau yakin tiada pihak yang sudi melayani bentuk puisi yang dihayatinya.

 Leo mula berkarya sejak awal 1970-an, namun nama jarang diperkatakan kerana puisinya dianggap ‘asing’ daripada kebanyakan karya tempatan.

 Penyair T Alias Taib menganggap karya Leo sebagai ‘cerpuisi’  kerana adunan puisi dan esei yang agak ketara. Dia berkarya secara prosaik dan santai. Ada ketikanya, ungkapannya tidak melebihkan tanggapan yang ditemui dan menukang bait karya seada-adanya.

 Penyair Zahari Hasib juga sering dianggap prosaik dan menggunakan ungkapan yang dianggap ‘biasa’ sebagai pengucapan seni. Zahari membawa imej realis yang kaya dengan kejutan pada bait akhir karyanya.
 Begitu juga Wadi Leta SA, Hilmi Rindu, Awang Abdullah, Puzi Hadi,  Daeng Ramli Akil, Marsli NO dan Nawawee Muhammad yang menemui gaya tersendiri dalam berkarya.

 Pengalaman bertahun-tahun seseorang penulis boleh mendewasakan mereka, namun suasana di Malaysia berlainan sekali.

 Karya mereka tidak  dianggap besar kerana tabii  seseorang penulis dianggap terhormat apabila berada di Kuala Lumpur,  atau setidak-tidaknya berada dalam lingkaran kelompok yang ada kaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulis yang sering sorak-sorai dengan publisiti.

 Isu politik sastera sudah lama kedengaran. Sejak dekad 60-an, dakwaan kelompok dan kabilah seni sudah kerap kedengaran. Pengkritik Mohd Affandi Hassan  pernah menegur golongan yang menguasai DBP dan grup penulis yang dianggap terbaik walaupun mutu karyanya boleh dipertikaikan.

 Penulis yang dianggap HB Jassin Malaysia, Yahaya Ismail pula  pernah mempertikai   karya  memenangi Hadiah Sastera Malaysia  (kini Hadiah Sastera Perdana)  yang dianggap rendah mutu berbanding sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

 Pada dekad  80-an, sekumpulan penulis muda yang lahir dengan  gaya tersendiri namun asing pada pandangan pengkritik dan pengkaji seni. Nama Marsli NO, Azim Salleh,   Ismaily Bongsu, Pyanhabib, Napie Mat, Lee Cheong Beng dan Awang Abdullah dianggap mewakili kelompok berkenaan. Namun karya mereka jarang diperkatakan secara serius, kerana penelaah sastera lebih mesra untuk memperkatakan generasi  90-an hingga ada yang merasakan sikap luar biasa ini sebagai mengelirukan fakta perkembangan sastera tanah air.

 Kewujudan Minggu Penulis Remaja  sering dikaitkan sebagai landasan untuk memencilkan kelompok 80-an dan pengkritik lebih seronok memperkatakan karya yang kebetulan menjadi anak didik mereka sepanjang Minggu Penulis Remaja.

 Memang diakui Minggu Penulis Remaja berjaya melahirkan bakat baru, namun apabila segelintir pembimbing menjadikan ruang untuk membina kelompok dan kabilah sendiri, semangat melahirkan sasterawan terbaik boleh dipertikai.

 Keadaan ini mendorong suasana politik sastera yang     tidak berkesudahan. Ada sesetengah pembimbing  digelar ‘ayahanda’ yang kononnya jujur membantu generasi baru.  Perasaan saling menghormati antara pembimbing dan bakal penulis menjadikan suasana saling bergantung yang akhirnya ada kelompok penulis dijulang,  pada masa sama meminggirkan grup lain.

 Jangan terperanjat jika sehingga kini kita gagal melahirkan generasi pelapis yang berbobot. Jangan kaget jika majalah yang khusus untuk kegiatan sastera sekadar  2,000 edaran saja. Kenapa karya penulis yang sama disiarkan Dewan Sastera saban tahun?

 Jangan terperanjat jika Indonesia, Thailand dan Filipina lebih  tinggi pengucapan seninya kerana memiliki barisan penulis yang berwibawa dan berdaya tahan.

 Kita sekadar meriah dengan sorak-sorai dan santai seni. Kita meriah dan seronok dengan acara baca puisi dan selingan ringkas yang akhirnya tidak ada apa-apa.

 Ketika segelintir penulis yang  merasakan terpinggir masih mencari karya sejati dalam arena kesusasteraan tanah air, jangan terperanjat apabila kita menemui badut seni yang   melahirkan karya dangkal, jahil  dan daif. Sastera kita kekal lesu dan layu kerana segelintir   golongan seni sendiri yang mahukan keadaan begitu.
 Pengkritik dan sarjana sastera pula bagai tidak melihat masalah sebenar yang melingkari sastera Malaysia. Mereka sekadar mengadunkan teori yang diceduk daripada  buku tanpa melihat realiti permasalahan politik sastera tempatan.

Mungkin kita berbangga mempunyai sedozen Sasterawan Negara dan puluhan pemenang Sea Write Award. Hebat sangatkah karya mereka untuk berdepan kerenah dan politik sastera Malaysia? - Berita Harian, 13 Jun 2012

Monday, June 11, 2012

UMNO, PAS: Siapa jujur?

KEJADIAN rusuhan kaum 13 Mei 1969 memberi kesan langsung kepada perubahan minda bangsa Melayu. Gerakan siasah dan sokongan kepartian tanpa disedari digerakkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula masyarakat.

 Walaupun UMNO ditubuhkan pada 1946 dan PAS terbentuk hasil serpihan daripada golongan ulama UMNO, kedua-duanya mempunyai fungsi besar dalam gerakan siasah peringkat nasional.

 UMNO dan PAS bukan sekadar bersaing merebut pengaruh di kawasan Melayu, juga menjadi penentu survival Melayu yang terhimpit dengan kemasukan imigran Cina dan India pada zaman kolonial.
 Perseteruan secara terbuka melemahkan kuasa Melayu seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum 1969 apabila UMNO dan PAS bersaing sesama sendiri, menyebabkan Perikatan sekadar menang majoriti mudah di Parlimen.

 Persefahaman kemudian terjadi apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang didahulukan dengan kerajaan campuran di Kelantan, seterusnya menjana kuasa politik Melayu yang lebih dominan.

 Kerjasama UMNO dan PAS tidak lama apabila pada era kepemimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertindak mengusir PAS pada 1977 dan UMNO rampas Kelantan menerusi pilihan raya khas selepas rusuhan anti-Kumpulan 20 di Kota Bharu.

 Pada dekad 80-an, UMNO dan PAS bergerak bersendirian dan saling bercakaran  terutama di kawasan dominan Melayu. Tokoh muda PAS seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Abu Bakar Chik dikenali dengan kelantangan luar biasa pada dekad 80-an. Amanat  Hadi pada 1985 dianggap fatwa agung yang merantai masyarakat luar bandar. Ketika itu juga berlaku ketegangan di Memali menyebabkan kematian Ibrahim Libya dan pengikutnya.

 Beberapa tokoh PAS yang dianggap sekular dan fahaman sederhana seperti Tan Sri Asri Muda, Datuk Hassan Adli, Amaluddin Darus dan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad  meninggalkan PAS. Mereka dikatakan tewas kepada puak muda yang lebih tegas dan lantang.
 Isu solat Jumaat dua imam, pulau-memulau dan perceraian membabitkan  politik turut berlaku. PAS bukan saja terperangkap dengan pendirian keagamaan, juga sikap kewilayahan yang luar biasa. Pengikut PAS dari Kedah dan Terengganu dianggap berbeza dengan pimpinan di Kelantan.

 Walaupun PAS berjaya mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999,  bentuk pentadbiran yang diamalkan oleh Hadi kurang mendapat sambutan rakyat  berbanding Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan. Akhirnya PAS hanya bertahan sepenggal sebelum Terengganu dikuasai semula oleh UMNO dan Barisan Nasional pada 2004.

 Sebagai sebuah parti agak tradisional dan pesat di kawasan dominan Melayu, PAS dianggap suara alternatif kepada bangsa Melayu. Komposisi antara pimpinan ulama dan profesional meletakkan PAS sebagai pengimbang suara Islam/Melayu di dalam pakatan pembangkang.

 Jika PAS bergelut antara kelompok sederhana dan pelampau pada dekad 80-an, UMNO juga tidak terkecuali bergelut dengan masalah dalaman. Perebutan jawatan dalam parti menjelang pemilihan UMNO 1987 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi kesan tersendiri. Ahli UMNO bukan saja dipaksa memilih tokoh terbaik untuk memimpin parti, juga berdepan kerenah politik wang dan amalan rasuah dalam parti. Urusan jual beli saham dan kronisme bukan saja menjejaskan imej Melayu dan UMNO, juga menimbulkan prasangka daripada pihak lain.

 Pada dekad 90-an, istilah Melayu baru dan imej kereta mewah, banglo serta syarikat korporat menjadi jenama luar biasa. Melayu baru kononnya sudah berjaya bersaing dengan bangsa lain hasil agihan kek DEB. Bagaimanapun, tidak sedikit Melayu yang terpalit dengan penyelewengan perniagaan dan konflik ali baba yang menjejaskan semangat perniagaan dalam kalangan Bumiputera sendiri.

 Walaupun UMNO dan korporat dua entiti berbeza,  sangkaan umum adalah parti siasah yang menggerakkan peniaga Melayu. Isu saham, kepentingan kuasa dan kronisme menjadi duri dalam daging kepada survival UMNO itu sendiri. Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli UMNO dan menapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam masa singkat, bukan saja menimbulkan keriuhan, juga menyemarakkan pertelingkahan antara kelompok dalam parti.

 Jika dekad 90-an menyaksikan persaingan ulama dan sekular dalam PAS, UMNO juga tidak terkecuali menerima kesan kemasukan ideologi ABIM dan gerakan Islam serantau.

 Hari ini kelangsungan politik kekal dengan sepak terajangnya. UMNO dan BN bukan sekadar menapak menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai kemungkinan, PAS dan pakatan pembangkang juga tidak terkecuali berdepan pelbagai kemungkinan sama. Apakah suara Melayu lebih kukuh selepas pilihan raya umum atau keputusan peti undi bakal memberi natijah lain yang luar jangkaan?

 Jika Pilihan Raya Umum 1969 memberi kesan terhadap jati diri Melayu, mungkinkah suatu hari nanti  isu kaum akan lebih lantang apabila ada pihak mempertikaikan isu Perlembagaan dan Kesultanan Melayu lebih polos? Jangan terperanjat jika Melayu sendiri yang merendahkan bangsanya sendiri!  - Berita Harian, 11 Jun 2012

Wednesday, June 06, 2012

A Samad Said sasterawan rakyat

ADA kenalan yang bertanya saya  mengenai pendirian Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; benarkah beliau diperalatkan, atau menjadi alat pembangkang?

Apakah beliau melacurkan taraf Sasterawan Negara semata-mata kerana taksub perjuangan siasah yang dianggap ‘menentang’ arus perdana?

Tidak kurang juga yang mempersoalkan apakah  perhimpunan haram bakal menjadi budaya baru dalam medan siasah negara?

Saya bersahabat baik dengan Samad sejak dekad 80-an dan beliau banyak mentelaah  karya saya di Berita Minggu  ketika itu.

Nama ‘Imlan Adabi’ bersama Khalid Salleh, Abdulaziz HM, Pyanhabib, Marzuki Ali,  Ladin Nuawi, Zaen Kasturi, Marsli No dan Ismaily Bongsu  turut tercatat pada kumpulan puisi Samad berjudul Balada Hilang Peta yang dianggap generasi baru sasterawan Malaysia pada dekad 90-an.

Beliau juga menjadi saksi pernikahan saya pada 1992 dan namanya tercatat pada sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Karya Samad terpancar nilai intelektual dan kemanusiaan yang melayakkan beliau sebagai Sasterawan Negara dan  tidak mustahil suatu hari nanti meraih anugerah lebih tinggi termasuk Hadiah Nobel.
Karya  Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Cinta Fansuri, Adik Datang dan Lantai T Pinkie bukan sekadar paparan isu semasa,  juga kekuatan teknik penulisan. Samad menerusi Daerah Zeni dan Hujan Pagi meneroka realis magis yang jarang dilakukan sasterawan tempatan pada dekad 80-an.

Sikap, pandangan dan pendirian Samad mengenai politik amat ketara sejak dekad 50-an lagi. Beliau menentang kekejaman politik dan peperangan seperti tercatat dalam Salina. Samad menegur keserakahan kuasa yang mengawal media  menerusi novel Hujan Pagi. Samad mengandaikan wartawan lebih akrab makan hati di samping makan gaji semata-mata bagi  mengisi dapur  untuk   isteri dan anaknya. Lebih fatal, kalangan penulis sentiasa bernasib malang dalam dua dimensi berbeza. Pada era penjajahan, penulis dan wartawan diancam oleh bangsa penjajah, namun selepas merdeka, penjajahan di kalangan bangsa sendiri yang menilai  dan mengekor setiap tulisan di media dengan pelbagai akta yang menguntungkan pihak penguasa. Hujan Pagi bagai menyerlahkan suara sebenar Samad sejak lebih dua dekad lalu.

Mengkaji karya Samad sejak dekad 50-an akan memberi jawapan terhadap apa yang dilakukannya kini. Samad bukan ahli siasah, tidak juga bersuara menentang mana-mana gerakan politik. Beliau hanya menentang golongan kapitalis yang bersekutu dengan kuasa dan menjadikan kuasa sebagai alat untuk menguasai segala-galanya.

Berbeza dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Dr Kassim Ahmad dan Pak Sako yang pernah menyertai gerakan politik, Samad terkecuali dan sebelum ini lebih banyak menyepi daripada bercakap soal kepartian.

Hanya akhir-akhir ini beliau lantang dan hadir di pentas ceramah dengan nawaitu yang masih misteri. Benarkah beliau  sudah berpolitik, atau Sasterawan Negara bersuara kerana seperti kata seniman tersohor Indonesia, WS Rendra: “Sasterawan harus berada di muka, bukan di belakang khalayak!”
Beberapa perbualan peribadi dan khidmat pesanan ringkas kami berdua tidak pernah menyentuh sokongan kepartian. 

Dari segi sejarah, tidak sedikit sasterawan besar yang sentiasa sinis kepada penguasanya sendiri.  Jika Rendra, Hamka dan Sutarji sentiasa sinis terhadap rejim Orde Baru di Indonesia, kita juga tidak kurang dengan suara jerit  seperti   Sasterawan Negara  Datuk  Shahnon Ahmad yang lantang menerusi novel  Shit. 

Beliau juga melahirkan Piem (PM?) yang dianggap kotor dan busuk.   Shahnon juga menghasilkan novel Sutan Baginda yang menggambarkan masyarakat kacau dan manusia lebih mempercayai kerbau daripada sesama insan. Sasterawan Yahaya Ismail yang pernah dianggap sebagai HB Jassin Malaysia juga melahirkan Maharaja Beruk yang dianggap ganas dan menggigit sesiapa saja. Tidak terkecuali suara sinis puisi Dr Kassim Ahmad termasuk Sidang Roh yang menggambarkan masyarakat kacau angkara keteledoran haiwan politik ketika ‘Tuhan sudah mati’.

Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad juga tidak terkecuali dengan Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan yang mengkritik  struktur politik  pada era British dan  pasca penjajahan.

Tentunya Samad akan tetap diperhatikan kerana beliau masih dianggap penting dalam dunia seni Malaysia. Ada pihak yang memberi gelaran ‘sasterawan rakyat’ namun saya anggap beliau lebih mengerti ke mana hala tujunya. Samad  sentiasa kental dengan perjuangannya!- Berita Harian, 2 Jun 2012