Pages

Thursday, May 30, 2013

Pegawai perhubungan politik masih samar

Perlukah jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor? Persoalan ini menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli PAS yang bimbang tindak-tanduk PKR seolah-olah mahu menguasai ‘segala-galanya’ di negeri  paling maju itu.

  PAS sejak awal lagi curiga dengan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menjadikan Selangor sebagai taklukannya. Banyak keputusan yang membabitkan kepentingan ramai tidak dibincang bersama PAS kerana PKR dan DAP lebih selesa menentukan keputusan bersendirian.

  Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)   5 Mei lalu,  PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, sementara PKR pula hanya  14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Dari segi status demokrasi,  ahli PAS atau DAP wajar diberi peluang menjadi Menteri Besar berdasarkan kerusi majoriti yang mereka menangi. Bagaimanapun wakil rakyat DAP tidak layak kerana kekangan undang-undang tubuh negeri yang memperuntukkan jawatan berkenaan kepada bangsa Melayu dan beragama Islam. Dari segi Perlembagaan, wakil rakyat PAS layak dilantik Menteri Besar. Persefahaman politik yang sepatutnya dihormati bersama membolehkan wakil rakyat PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

  Sehingga kini cadangan jawatan pegawai perhubungan politik di Selangor masih menjadi misteri. Fungsi dan matlamat jawatan berkenaan  dipersoalkan. Apakah ia untuk kepentingan politik pakatan pembangkang atau agenda peribadi pihak tertentu bagi mengaut keuntungan ekonomi di Selangor? 

 Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang disebut bakal menyandang jawatan berkenaan  dijangka  bertemu  Abdul Khalid  minggu depan   bagi mengetahui status pelantikan.

   Anwar  pada Kongres Nasional PKR ke-9 hujung minggu lalu mencadangkan supaya Saifuddin diamanahkan berperanan sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu. Antara peranannya meliputi usaha merapatkan jurang antara PKR dan parti politik lain di Selangor dan memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat.

  Bagaimanapun, cadangan pelantikan itu mendapat reaksi PAS Selangor apabila ADUN Chempaka, Iskandar Samad turut menuntut  jawatan sama  diberikan kepada wakil PAS. PAS juga mencadangkan salah seorang daripada Naib Presidennya turut dilantik bagi memantau perkembangan politik.

  Kebimbangan PAS ada alasan kerana sepanjang lima tahun pentadbiran PKR di Selangor, banyak jawatan utama tidak diberikan kepada ahli parti berkenaan. Jawatan penting pada peringkat kerajaan tempatan hanya dibolot oleh PKR dan DAP. Tugas PAS sekadar portfolio agama dan istiadat Melayu, sedangkan pelaksanaan program ekonomi dilaksanakan oleh pihak lain yang berkepentingan.

  PAS juga mempersoalkan cadangan Anwar seolah-olah untuk memberi jawatan kepada Saifuddin yang tewas  pada PRU-13. Beliau kecundang   di tangan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Barisan Nasional) di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

 Sehingga kini pentadbiran negeri masih dilihat berperanan seperti biasa. Pengalaman Abdul Khalid di sektor korporat sebelum terbabit politik menjadi aset meneruskan agenda pembangunan di Selangor.

  Bagaimanapun kemajuan Selangor ada kaitan dengan faktor sejarah dan geografi. Kedudukan Selangor sebagai ‘jiran’ Kuala Lumpur dan Putrajaya membantu ledakan ekonomi yang luar biasa sejak dekad 1970-an.

  Fokus pembangunan pasca peristiwa 13 Mei 1969 menjadikan Selangor tumpuan pentadbiran, kegiatan ekonomi dan pelaburan. Proses urbanisasi yang pesat serta pertumbuhan prasarana pendidikan dan kemudahan awam menjadikan Selangor lebih ke depan berbanding Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

  Bagaimanapun persaingan kehidupan dan pertumbuhan kawasan urban menjadikan polarisasi kaum semakin meledak. Walaupun ramai ahli siasah yang bermantera mengenai muhibah dan perpaduan kaum, namun isu pendidikan dan peluang kewangan menyebabkan ada pihak   yang gemar bermain api perkauman. Hal ini diterjemahkan menerusi dua  pilihan raya umum terakhir menyebabkan BN hilang banyak kerusi di  bandar besar dan kawasan urban.

  Pengundi Melayu di kawasan pedalaman  di  Selangor masih mengharapkan politik pembangunan dan BN menjadi tumpuan. Ia bukan jaminan kekal kerana situasi akan berubah pada masa akan datang. Dalam hal ini peranan   pegawai perhubungan politik  masih samar, adakah  untuk pupuk perpaduan kaum atau meneruskan legasi pakatan pembangkang di Selangor? - Berita Harian, 30 Mei 2013

No comments: