Pages

Thursday, May 02, 2013

Demokrasi pemenang sebenar di Malaysia

Kempen pilihan raya tahun ini amat unik dan berbeza dengan masa lalu. Tiga kejadian letupan bom  berlaku  di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN).

Tiada siapa menduga ada yang  tergamak melakukan keganasan ketika semua pihak berjanji untuk bertindak secara matang dan aman.

Apa yang berlaku di  Nibong Tebal, Sekinchan dan di Jalan Desa Rishah, Buntong, Ipoh tidak  boleh dianggap kes terpencil.

  Tentu ada perancang dan kenapa keganasan perlu dilakukan ketika ada yang berkempen untuk membentuk kerajaan baru yang lebih adil dan telus. Kita bersyukur rakyat bersatu hati mengekalkan keamanan dan kestabilan.

  Majoriti rakyat  Malaysia masih beruntung kerana keganasan bukan budaya kita.  Kita boleh bebas berpendapat, memberi pandangan,  bertekak dan menegakkan hujah, tapi akhirnya kemenangan memihak kepada calon yang jadi pilihan ramai.  Pihak kalah menerima keputusan dengan hati terbuka.

  Di sinilah letaknya nilai demokrasi ala Malaysia. Ia sentiasa unik, dicabar dan diperbaharui tapi pemenang sebenarnya adalah demokrasi. Rakyat menghargai pemilihan bersama untuk membawa Malaysia ke arah kematangan menjelang 2020.

  Hanya tiga hari lagi pengundian bakal menentukan hala tuju Malaysia untuk dekad mendatang. Kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi untuk mencapai 2020. Bagi  negara sedang membangun, status negara maju membawa imej perubahan  fizikal dan mental.

  Tidak perlu membina lebuh raya, prasarana dan perkhidmatan sivil yang lebih baik jika mentaliti kita masih pada peringkat silam. Keseimbangan dalam semua sektor amat perlu kerana kehidupan yang sempurna adalah menepati ciri  proses kehidupan normal.

  Persaingan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan sekadar lambang BN,  pembangkang dan calon Bebas. Ia menterjemahkan harapan, hasrat dan pemikiran rakyat untuk masa depan Malaysia.   Persaingan  antara transformasi dan reformasi menjadikan PRU-13 semakin menarik.

  Seramai 13,268,002 pengundi akan menentukan masa depan Malaysia pada Ahad ini. Di sinilah letaknya sumbangan pengundi sebagai penyemak dasar negara atau menjadi penentu keputusan yang berbeza. Di sini juga bakal menafsirkan pengertian demokrasi yang lebih lengkap, selepas sekian lama polemik kebebasan dan hak asasi tidak pernah menemui penyelesaian.

  Tempoh berkempen 15 hari memberi peluang parti yang bertanding mengemukakan manifesto, aku janji perjuangan dan dasar yang bakal diperkenalkan apabila kekal berkuasa.   Rakyat meneliti  kewibawaan  calon kerana di bahu mereka terletaknya hala tuju negara. Rakyat menyemak latar belakang seseorang pemimpin kerana   kesilapan memilih membawa padah kepada zuriat akan datang.

  Kelangsungan akan datang sentiasa dikaitkan komposisi kaum yang terlalu unik di Malaysia. Sebenarnya tidak pernah wujud istilah negara bangsa di Malaysia seperti yang berlaku di Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, India dan China. Mereka mempunyai bangsa Indonesia, Cina, India dan entah apa lagi. Kita di sini tiada bangsa Malaysia. Kepelbagaian bangsa, etnik, kaum dan kepercayaan menjadikan Malaysia dengan keunikan tersendiri.

  Agenda perkauman sering mendominasi gerakan politik kepartian. Perjuangan Melayu dan kontrak sosial tidak mudah disebut,  tanpa menjadi polemik pelbagai pihak. Agenda sekolah Cina, kebudayaan Tiongkok dan dasar pendidikan sering diterjemahkan sebagai rasis. Agenda pembangunan luar bandar BN yang bertujuan memakmurkan penghuni Melayu juga  sering ditafsirkan berat sebelah.

  Kempen pilihan raya kita masih dalam kepompong Dunia Ketiga.  Masih ada yang bercakap soal pembangunan,  perumahan dan kehidupan sivil, sedangkan di negara maju isu paling dekat dengan  rakyat diutamakan. Kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat menjadi tarikan umum kerana dasar percukaian dan kadar pengangguran yang mendadak.

 Kempen pilihan raya di Singapura mementingkan kualiti alam dan insurans hayat ketika kos kehidupan semakin mencengkam. Ahli politik Jepun mengutarakan isu keselamatan serantau dan pertahanan daripada ancaman Korea Utara.

  Malangnya ada orang  kita yang masih bercakap nak turap jalan, bina pasar malam dan lebuh raya dari bandar A ke bandar B. Di sinilah letaknya kualiti politik kita, mungkin juga betapa uniknya kita untuk capai negara maju! - Berita Harian, 2 Mei 2013

No comments: