Pages

Wednesday, June 19, 2013

Harap tiada tuala wanita di Parlimen

Sidang Parlimen Ke-13 selepas majlis angkat sumpah 222 Ahli Dewan Rakyat Isnin ini bakal menarik perhatian masyarakat. Pertambahan kerusi pembangkang dan pelbagai kerenah politik yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) boleh mendebarkan pemerhati politik. Isu dakwat kekal, polarisasi kaum dan beberapa insiden yang mencabar kewibawaan tokoh tertentu boleh menguji semangat demokrasi berparlimen ala-Malaysia.

 DAP yang memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen  ditandinginya pada PRU-13, mempunyai niat tersembunyi apabila sekali lagi mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang. Kenapa mereka tidak mencalonkan Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng sebagai ketua pembangkang?

 Dengan memenangi 38 kerusi Parlimen membuktikan kekuatan DAP berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang sekadar rakan kongsi tidak bermaya dalam pakatan pembangkang. Reputasi Kit Siang menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) terutama di Johor membuktikan sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang berbanding MCA dan GERAKAN.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap sebaik saja BN kembali berkuasa pada pagi 6 Mei lalu menyifatkan tsunami Cina menjadi punca gabungan parti mentadbir kerajaan kalah di beberapa kerusi kawasan bandar.

 Pada 2004, BN memperoleh 198 kerusi Parlimen berbanding pembangkang  hanya memiliki 21 kerusi. Keadaan berubah ketika era pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada PRU-12, 8 Mac 2008 apabila BN hanya menang 140 kerusi Parlimen berbanding pakatan pembangkang 82 kerusi.

Pada PRU-13, BN hanya menang 133 kerusi Parlimen berbanding  pembangkang 89 kerusi. UMNO pula menang 89 kerusi daripada 121 kawasan yang ditandingi. Walaupun UMNO mendakwa semakin mendapat sokongan, hakikatnya kerusi BN kian merosot dan realiti ini perlu dikaji dengan jujur.
 MCA yang selama ini menjadi mitos parti kaum Cina terpaksa berdepan realiti betapa mereka tidak diperlukan lagi dalam kancah siasah di Malaysia.

 Sokongan kaum Cina terhadap MCA merosot sejak PRU-10 apabila hanya menang 14 daripada 140 kerusi Parlimen ketika itu. Pada 2008, MCA hanya menang 15 kerusi Parlimen dan menjunam kepada 3.3 peratus pada PRU-13 apabila hanya menang tujuh kerusi. GERAKAN pula menang satu kerusi Parlimen iaitu di Simpang Renggam.

 Isu perkauman kian banyak diperkatakan walaupun lebih sebulan PRU-13 berlalu. Pelbagai tindak-tanduk termasuk kenyataan dua ahli korporat Melayu yang lupa jati diri menjadi bualan hangat ketika ini.

 Kempen pembangkang yang cuba menganjurkan perhimpunan haram di ibu kota pada 21 Jun ini bakal memanaskan sidang Parlimen nanti. Hingga kini isu setia kawan dan kesetiaan kepada negara kurang ditekankan ketika debat di Parlimen. Sudah sampai masa Parlimen membuat garis panduan lebih tegas agar wakil rakyat tidak menyalahgunakan masa persidangan dengan membuat kenyataan berupa tohmahan. Sekarang bukan masa lagi menimbulkan isu ‘bocor’ dan tuala wanita.

Speaker perlu mendaulatkan Parlimen dengan ucapan bernas dan memenuhi kepentingan awam. Lebih penting etika berbahasa perlu diutamakan kerana pada sidang lalu ada kenyataan kesat yang tidak sewajarnya dilafazkan.

 Sejak merdeka, tidak ada garis panduan penggunaan bahasa Melayu yang standard digunakan ketika persidangan. Telatah  wakil rakyat yang menggunakan bahasa pasar ketika membahaskan titah diraja sepatutnya tidak wujud lagi. Selepas 56 tahun merdeka tidak sepatutnya ada lagi individu tidak fasih berbahasa Melayu. Meremehkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat adalah kecenderungan untuk mempertikai bahasa lingua franca yang menjadi tradisi asal usul rakyat Malaysia.

Sidang Parlimen Ke-13 menjadi penanda aras kesedaran berpolitik. Ketika pelbagai kehangatan dan riuh-rendah skandal siasah diperdebatkan, kita mengharapkan ada wakil rakyat  masih waras dan mengutamakan kepentingan rakyat di dewan mulia itu. Bawalah suara dari akar umbi untuk diperdebatkan, dikemukakan dengan saksama kerana lima tahun mendatang rakyat akan menilai seseorang Ahli Parlimen berfungsi untuk mereka. Wakil rakyat yang menjelajah pedalaman ketika berkempen jangan lupakan asal usul  dan nawaitu perjuangan. Parlimen medan menguji setia kawan perjuangan, bukan untuk melobi jawatan dalam parti! - Berita Harian, 19 Jun 2013

No comments: