Sejarah Melayu memberi peringatan hubungan di antara Raja dan rakyat: Maka sembah Demang Lebar Daun; ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak’.
Sejak berzaman waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun menjadi panduan pembentukan tatacara Melayu. Rakyat perlu setia kepada Raja. Raja perlu akur kehendak rakyat dan berada di takhta semata-mata menjalankan tugas mengikut kehendak Allah. Raja yang adil disembah dan Raja yang zalim disanggah.
Mitos Jebat derhaka atau Singapura dilanggar todak sebahagian daripada cerita pedoman bangsa Melayu. Hang Jebat terpaksa menderhaka kerana Hang Tuah setia melulu. Ramai kalangan sosialis dan penganut liberalisme tidak dapat menerima mitos ini. Apakah Hang Tuah tiada akal dan perasaan sehingga sanggup membunuh teman akrab semata-mata kerana kesetiaan?
Hussein Haniff memberi naratif baru terhadap persetiaan Raja dan rakyat. Filem Hang Jebat yang dihasilkan 1961 dan skrip ditulis oleh Ali Aziz menelanjangi kelemahan sistem feudal. Hussein mengangkat perjuangan rakyat menuntut keadilan walaupun suasana di negeri Melayu masih lagi feudal. Hang Jebat dianggap pencetus reformasi sosial ketika itu kerana Raja pernah dianggap sebagai keturunan Sang Sapurba dan mempunyai salasilah Iskandar Zulkarnain. Kitab Sulalatus Salatin menyebutkan semua Raja Melayu ‘diturunkan’, sementara dalam Tambo Minangkabau, tokoh ini disamakan dengan Maharajadiraja pendiri Alam Minangkabau.
Kesetiaan rakyat terhadap Raja kekal sejak berzaman. Pendatang dari China yang berdagang di Melaka menerima adat dan institusi beraja pada era kegemilangan Melayu. Mereka tidak pernah menyanggah titah istana kerana matlamat pedagang mencari keuntungan dan mendapat perlindungan di tanah perantauan.
Keadaan berubah di Perak apabila lombong timah menggamit kemasukan pendatang China yang lebih ramai. Mereka bukan sekadar mencari rezeki dan membina penempatan baru, bahkan menubuhkan kongsi gelap sebagai naungan sesama sendiri. Kewujudan Ghee Hin dan Hai San bukan sekadar pelindung, bahkan kumpulan pendesak yang mahu menguasai Perak dan bumi Melayu.
Mereka bersikap samseng dengan merompak dan membunuh, menggunakan alasan menjaga kepentingan ahli kongsi. Sikap menentang persekitaran yang sudah lama wujud di bumi Melayu mengundang dilema kepada penghuni asal. Penguasaan ekonomi dan perniagaan berkekalan sehingga kini. Perjuangan kecinaan menjadi agenda membentuk kuasa politik baru yang kononnya lebih demokratik. Isu pendidikan, taat setia kepada negara dan perkauman menjadi bara yang menakutkan.
Mitos Jebat derhaka sudah dimiliki pihak lain yang sengaja mempersendakan institusi yang sudah lama wujud. Ada segelintir Melayu bersubahat menyemak semula hukum-hakam kesetiaan semata-mata kepentingan siasah kepartian. Suara mereka terserlah di media baru dengan mempersenda titah dan mempersoalkan ketuanan Melayu kerana tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Agama Islam diperlekehkan dengan menggunakan isu kalimah Allah untuk bible versi Melayu. Mereka sengaja lupa wilayah ini sememangnya milik Melayu berzaman dan mempunyai tatacara kehidupan yang perlu dipertahankan.
Kemerdekaan negara pada 1957 tidak menghapuskan kuasa Raja dari segi Perlembagaan. Pemisahan kuasa tiga cabang utama menjadikan institusi beraja lebih diperkukuhkan. Beberapa peristiwa pasca Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 membuktikan keutuhan institusi beraja. Isu pelantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai Raja.
Selagi semangat waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dipertahankan, hubungan istana dan rakyat terus berkekalan. Paling penting rakyat pelbagai kaum harus menerima realiti sosial di negara ini yang mempunyai Raja Berperlembagaan. Pihak istana pula wajar menghormati hak rakyat menerusi proses demokrasi. Isu kesetiaan dan penderhakaan sekadar mencabar kesabaran pelbagai pihak jika terus dimainkan dengan tafsiran yang pelbagai.
Hari ini, perkembangan siasah sering mengelirukan. Tafsiran baru terhadap mitos Jebat derhaka dengan menggunakan istilah ‘sembah derhaka’ sekadar memberi ruang untuk merosakkan sistem yang sudah lama wujud. Penderhakaan pasti wajar dihukum! - Berita Harian, 11 Jun 2013

No comments:
Post a Comment