Individu bernama Anwar Ibrahim tentunya amat akrab dengan Jalan Merbok kerana di situlah bermulanya sejarah anak muda di ibu kota sejak 1974.
Jalan Merbok yang tidak jauh dari Bangunan Parlimen dan pusat bandar raya adalah medan siswa bertemu dan melepak kira-kira 40 tahun lalu.
Ada juga pelajar yang terbabit demonstrasi isu Baling melarikan diri ke Jalan Merbok bagi mengaburi tumpuan pihak keamanan.
Jalan Merbok juga tempat seniman bertemu dan melakar karya seni yang berbobot. Pelukis, penyair, pelakon, aktivis teater, penari, novelis dan cerpenis pernah bersatu hati melakar karya, mencurahkan perasaan muda dengan bauran ilmu yang dikutip sepanjang jalan kehidupan.
Di situlah wujudnya Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif yang menjadi medan seniman mengasah bakat. Nama besar seperti Usman Awang, Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh, Abdulaziz HM dan Pyanhabib melahirkan karya besar di Rumah Anak Alam. Johan Jaaffar, Dinsman, Sutung Umar RS dan Ladin Nuawi juga pernah dikaitkan dengan Jalan Merbok.
Mior Hashim Manap dan isterinya Izaidah Khairan pula melatih anak muda dalam bidang lakonan di Rumah Teater Kreatif. Kedua-dua bangunan itu sudah tiada di Padang Merbok walaupun pernah mencatat sejarah sebagai lokasi Perhimpunan Penulis Muda pada 1987.
Kami pernah berkumpul, berbincang dan berdebat bagaimana mengumpul 1,000 anak muda untuk bersatu dalam suasana seni secara santai. Kami juga mengerah keringat mencari jalan mendapatkan dana bagi menampung acara bersejarah itu.
A Samad Said yang dianggap teman anak muda sentiasa membantu memberi nasihat bagi menjayakan Perhimpunan Penulis Muda itu. Abdulaziz HM, Hanafiah Samad, Kumpulan Kopratasa, Azmi Yusof dan Nawawee Mohammad sentiasa memberi pandangan bagi menjayakan majlis bersejarah. Abdullah Tahir, S Othman Kelantan dan Mustaffa Noor sesekali menjenguk aktiviti kami. Mohamad Daud Mohamad, Wanrazuhar, Swanlerd Propoul, Sri Diah dan Roslan Mamat adalah di antara teman yang banyak mengerti impian dan masalah kami menjayakan perhimpunan yang besar itu.
Hari ini sejarah Padang Merbok hampir malap. Tidak kedengaran majlis besar dan bersejarah dianjurkan di situ kerana kawasan berkenaan sebahagian daripada imej kota raya Kuala Lumpur - kaku, konkrit dan lesu seni. Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif hanya tinggalan sejarah yang memeritkan. Janji Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu untuk mendirikan pusat seni tercanggih sampai kini sekadar aling-aling. Tiada apa-apa yang dilakukan seperti juga acara puisi hanya sekadar syok segelintir penyair untuk bersuara dan merintih, tapi akhirnya tiada apa-apa.
Kawan-kawan yang dulunya leka membaca sajak atau jenuh membancuh warna pada kanvas seperti sudah kehilangan seninya. Sudut teater sudah lenyap, malahan aktivis yang dulunya bersorak sorai dari Padang Merbok ke Pasar Benteng sudah bergelar. Ada yang menjadi datuk kerana gelaran, ada juga menjadi datuk kerana bercucu!
Pada era gerakan pelajar, ramai siswa yang menggunakan Jalan Merbok untuk melepak dan menggauli anak seni. Walaupun bukan semua menjadi seniman, pengalaman mereka dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kehidupan.
Kini Padang Merbok menjadi sebutan lagi. Himpunan 22 Jun ini akan menjadi sebutan kerana anak muda bakal menjerit dan bersuara dengan lebih garang. Berbeza dengan kami kira-kira 26 tahun lalu yang galak membaca puisi protes, melukis dan berteater, kini mereka akan menyuarakan bangkangan terhadap proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diyakini tidak telus.
Jika dulu lingkungan seni mengikat anak muda untuk lebih santun, kini suara anak muda di Padang Merbok mungkin membawa nawaitu berbeza. Sekarang sudah ada seruan di media baru supaya berkumpul, duduk dan bantah. Ada ajakan supaya anak muda jadikan jalan raya sebagai medan bersuara apabila pilihan raya tidak membawa apa-apa makna.
Tentunya Padang Merbok bertukar wajah apabila semangat dan sentimen dimainkan pihak tertentu. Jika dulu individu bernama Anwar Ibrahim pernah membaca puisi bersama beberapa teman penyair tanah air, kini beliau mungkin bermantera dengan suara yang lebih nyaring.
Perubahan masa menjadikan seseorang itu semakin berbeza. Pandangan dan sikap berubah apabila kepentingan peribadi menjadi perhitungan utama. Yang tidak berubah adalah Padang Merbok - ruang yang akan sentiasa mencatat setiap peristiwa dan akhirnya memberi tafsiran peribadi. Padang Merbok kini tidak sama 26 tahun lalu! - Berita Harian, 18 Jun 2013

No comments:
Post a Comment