Pages

Tuesday, March 27, 2012

Muhammad Zainal Ariff ikon remaja bermasalah

HIDUP tidak selalu indah dan  tidak juga terlalu kejam. Muhammad Zainal Ariff Mat Zain sudah membuktikan kesilapan lampau boleh ditebus dengan usaha yang gigih. Dia berazam  memulih zaman lampau yang celaru dan keliru.

Kehidupan dalam penjara menginsafkan dan dia sedar  hanya ilmu yang mampu mengubah jalan hidupnya.
Dia  tekad menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2010 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Dia dibebaskan dari Penjara Kajang Oktober lalu  selepas  dipenjarakan sejak 2008 kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.

Walaupun  tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu kerana desakan hidup, memperoleh keputusan 6A, 1B dan 1E dalam SPM lalu amat membanggakan.

Kini nama Muhammad Zainal  disebut kerana dia  antara sembilan pelajar cemerlang SPM di Selangor menerima keputusan peperiksaan daripada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus pada 21 Mac lalu. Menjadi resam manusia memuji kepada yang berjaya, sekali gus mencela insan yang dianggap hina.

  Muhammad Zainal  yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan pengurusan di pusat pengajian tinggi tempatan.

Kisah hidup   Muhammad Zainal  bagai naratif fiksyen yang menarik perhatian. Dia pernah gagal, kecewa, putus asa,  terlanjur,  terperap dalam penjara, dinafikan hak belajar, akhirnya menjadi wira kerana kejayaan dalam SPM.

Mungkinkah Muhammad Zainal menjadi  ikon belia dan sejauh mana kementerian terbabit dapat memanfaatkan kejayaan remaja ini sebagai model contoh rakan sebaya yang bermasalah?

Ada ketikanya masyarakat terlalu zalim menghukum. Masyarakat terlalu kejam meletakkan warna hitam terhadap seseorang yang dianggap sampah tanpa membiarkan insan terbabit membela diri atau menebus kesilapan lampau.

Muhammad Zainal mungkin berpeluang melanjutkan pelajaran setinggi mungkin.  Namun apakah dia bakal diterima ‘sepenuhnya’ dalam masyarakat?

Apakah ada majikan yang sanggup menerima bekas banduan bekerja?  Apakah ada jabatan dan agensi kerajaan yang benar-benar telus dan tulus membantu segelintir anggota masyarakat yang luar biasa perjalanan hidupnya?

Saya mengutarakan pelbagai persoalan di atas kerana mempunyai kenalan yang pernah dipenjara selama enam tahun kerana kesalahan dadah. Dia dituduh  mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dikaitkan mengedar dadah. Dia bernasib baik kerana kes dipinda kepada ‘memiliki dadah’ dan dipenjarakan di Sungai Buloh, Kajang dan Seremban. Setiap kali menziarahinya, dia akan menangis kekesalan kerana mengikut nafsu muda yang salah memilih kawan.

Selepas keluar penjara, dia bukan saja berdepan cercaan masyarakat, juga menghadapi masalah untuk memulakan hidup baru. Orang ramai sukar menerima bekas penghuni penjara hatta di kawasan masjid sekali pun. Dia melamar pekerjaan demi pekerjaan, namun nombor MyKadnya menghalang segala-galanya. Majikan tidak sanggup risiko mengambil bekas banduan bekerja. Lebih fatal, dia gagal mendapatkan pasport antarabangsa  kerana  jabatan terbabit melarang bekas banduan ke luar negara.

Kini hidupnya berubah apabila menamatkan kursus pelayaran dan memperoleh pasport antarabangsa apabila bertugas di sebuah syarikat perkapalan. Dia juga mendalami agama, berwirid dan berzikir. Hidup terperap dalam penjara selama enam tahun menginsafkan. Dia merasakan dirinya lebih beruntung kerana berpeluang mendapat pendidikan akhlak dan agama di penjara.

Bagi masyarakat di luar penjara, mata sinis sentiasa menghukum seolah-olah mereka bebas daripada dosa masyarakat.

Bagi yang bersedia belajar, kehidupan sentiasa berliku. Likuan itulah yang mematangkan seseorang kerana setiap daripada kita tidak mungkin menjalani episod hidup yang sama. Kehidupan dan ilmu bukan saja kerana kertas bernama sijil dan ijazah, juga rentak dan cabaran di pusat tahanan. Muhammad Zainal  tentunya tidak bersendirian menghadapi dugaan sedemikian kerana  resam dunia sentiasa kaya dengan cabaran dan dugaan. - Berita Harian, 27 Mac2012

Monday, March 19, 2012

Pengundi muda perangkap misteri

SEJAUH mana generasi muda penentu undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Apakah mereka memihak kepada pembangkang yang sentiasa mendakwa ‘aspirasi  muda’ atau  menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)  bagi mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan masa depan negara?

  Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini.  Mereka adalah  generasi X dan Y yang membesar bersama budaya komputer dan media baru. Mereka bukan generasi yang mudah terpengaruh dengan slogan propaganda selaras perubahan  cara hidup  yang meletakkan maklumat di hujung jari.

Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat  siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter  sentiasa kritikal dan sinis.  Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi. 

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

Saya menghadiri tiga majlis yang dikaitkan dengan politik pada masa terdekat ini.  Majlis Bekwoh Anak-Anak Kelate anjuran  Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan  di Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi generasi muda. Hampir 10,000  hadirin  yang sebahagian besarnya generasi muda melaungkan azam untuk membantu kemenangan BN di Kelantan.

Sebahagian besar mereka siswa menyuarakan hasrat gelombang merah untuk mengubah suasana siasah di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Penulis juga  menghadiri ceramah PAS di Taman Cheras Jaya yang membabitkan bekas pelawak Bob Lokman yang mendakwa dirinya sudah berhijrah dalam perjuangan siasah. Tidak kurang 100 hadirin  dengan separuh daripadanya  golongan berusia bawah 40 tahun.

Suasana di sebuah dewan  berhawa dingin di Kuala Lumpur pula dihadiri 200 tetamu yang sebahagian besarnya generasi  muda dan pelbagai kaum. Panel pula di kalangan elit massa yang mengemukakan pandangan mengenai generasi muda dan penentu masa depan siasah negara. Isu hak asasi, kebebasan media, media baru dan  sistem kehakiman dibincang secara polos.

Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai  pengundi.

 Sebanyak  3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

  Suatu pendekatan drastik perlu dilakukan agar kempen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftar pengundi berjalan lancar.

Kajian secara  demografi  juga perlu dilakukan bagi menilai tahap sokongan generasi muda terhadap sesebuah gerakan siasah. Bersuara  mengenai isu semasa bukan gambaran seseorang memihak  parti pemerintah mahupun pembangkang. Ada masanya, isu ditimbulkan membabit kepentingan umum yang tidak relevan dengan sokongan siasah.

Sepanjang minggu lalu  generasi muda menerusi media baru bersuara menentang cukai perkhidmatan  talian telefon prabayar. Mereka mendesak kerajaan bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan syarikat telekomunikasi yang kononnya akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Bangkangan isu cukai perkhidmatan telefon tiada kaitan politik, tetapi akan menjadi barah jika tidak ditangani secara saksama.

Ada mitos mengaitkan   pengundi dewasa terikat   sentimen mengenang jasa dan kepartian, berbeza  pengundi muda yang dilihat lebih bebas  menentukan sokongan. Sokongan pengundi dewasa lebih untuk jangka masa lama, pengundi muda  lebih bersifat jangka pendek apabila  mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa.  Kredibiliti calon menjadi fokus generasi muda berbanding golongan lama yang mempunyai pandangan berbeza.

Kajian sebuah badan bebas mengandaikan pengundi muda luar bandar  memberi  fokus  isu tempatan seperti  membantu golongan nelayan dan petani, pengundi bandar pula lebih fokus kepada isu semasa dan pentadbiran  kerajaan, pelaksanaan   ekonomi, dasar luar dan cara menangani  isu sosial. 

Kajian  sebuah parti politik pula  mendapati  62 peratus pengundi muda  tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian. Jika andaian ini benar,  pengundi muda masih kekal misteri sokongan mereka! - Berita Harian, 19 Mac 2012

Tuesday, March 13, 2012

Malangnya pesakit buah pinggang

BAYANGKAN hidup bersabung maut dan masa depan terlalu samar. Bayangkan juga rutin harian berubah dari sebelumnya -- terpaksa mendapat rawatan setiap bulan, menjalani   dialisis, CAPD   (Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis),  kerap demam serta pelbagai komplikasi lain.

Jika sebelumnya mereka menjalani kehidupan normal, atau sesekali menyertai aktiviti lasak, kini segala-galanya tinggal kenangan yang mengusutkan. Kualiti kehidupan tidak sempurna lagi.

Bagi pesakit buah pinggang peringkat akhir  (ESRF), masalah  anemia, hipertensi dan osteoporosis seiring jalan. Mereka tiada pilihan untuk menolak, malah terpaksa pasrah menerima keadaan.

Penderitaan, kesakitan dan harapan bagai episod hidup tidak berpenghujung. Anemia terjadi apabila badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup bagi menampung keperluan oksigen untuk semua sel. Pesakit sentiasa  kelesuan. Kesan    lain adalah semput, pening, rasa berdebar, kulit  pucat serta tidak boleh berfikir dengan jelas dan rasional.
Penyakit ginjal boleh menyebabkan berlaku paras rendah hormon erythropoietin dan zat besi dalam badan.

     Seorang kakitangan awam terpaksa meninggalkan jawatan yang disandang selama  30 tahun apabila tidak mampu meneruskan kerjaya. Dia  terpaksa mengalah kepada takdir yang menimpa semata-mata kerana ginjal tidak berfungsi. Dia hanya mampu berharap ada penderma yang ‘menghadiahkan’ buah pinggang, walaupun amat mustahil. Dia terus menanti dan menanti dengan harapan yang samar ketika negara menyambut Hari Ginjal Sedunia pada 8 Mac lalu.

Seorang pesakit lain pula dalam dilema untuk menjalani pembedahan di luar negara. Dia bimbang kualiti pembedahan dan pemindahan organ di India. Apakah ginjal sebahagian daripada objek perdagangan era moden?

Bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir bertambah daripada  40 orang pada 1980 kepada  lebih 12,000 kini.

Mereka  terpaksa menunggu lebih lama bagi menjalani pemindahan organ  kerana jumlah  yang berikrar menjadi penderma jauh lebih sedikit berbanding pesakit.

Sejak 1997 hingga Februari lalu  hanya 4,318 orang berikrar sebagai penderma berbanding lebih 12,000 pesakit.

   Pakar nefrologi percaya jumlah pesakit yang berdaftar tidak mencerminkan bilangan sebenar pesakit buah pinggang di negara ini kerana kemungkinan terdapat mereka yang menderita secara senyap disebabkan kekurangan kemudahan.

Dari segi perbandingan, sebanyak  90 kes baru bagi  setiap sejuta penduduk atau antara 2,000 hingga 3,000 kes setiap tahun.

Kerajaan sentiasa peka dengan isu kesihatan dengan  memperuntukkan RM171.1 juta dalam bentuk subsidi rawatan hemodialisis kepada  badan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh 10 tahun (2001-2010) dan 'geran modal' berjumlah RM20.15 juta kepada pusat dialisis bagi pembelian mesin hemodialisis baru pada  tempoh  sama.

Dianggarkan 23,390 pesakit   mendapat manfaat hasil daripada inisiatif kerajaan itu.
Bagaimanapun dialisis bukan penyelesai masalah buah pinggang. Pesakit memerlukan organ untuk ‘mengembalikan’ kehidupan mereka. Malangnya, pendermaan organ bukan tradisi di kalangan rakyat Malaysia. Hanya  0.6 peratus iaitu  188,147 rakyat  yang menderma organ.

 Walaupun rakyat Malaysia mendakwa sebagai prihatin dan masyarakat penyayang, minat untuk membantu pesakit amat minimum.

Rakyat  Sepanyol mencatat jumlah penderma organ tertinggi di dunia iaitu sebanyak 25 peratus daripada jumlah penduduk, manakala Singapura mencatat jumlah lima peratus daripada jutaan penduduk di negara itu.
 Kita pula lebih banyak sorak-sorai dan ungkapan simpati tanpa menyedari setiap minggu ramai pesakit buah pinggang  yang pergi untuk selama-lamanya tanpa sempat menjalani rawatan sepatutnya. Bayangkan betapa kejamnya penyakit bagi seseorang insan! - Berita Harian, 13 Mac 2012

Sunday, March 04, 2012

Zahari Hasib dan kejamnya politik sastera


SERULING

Anak muda itu

terlalu pandai ia menyusun kata-kata
memujuk dengan setangkai bunga
di bawah pohon rendang.

Lalu rebahlah seorang puteri

mengemis dengan bibir basah
minta isikan dahaga
dengan anggur bernama nafsu.

Maka

angin pun meniupkan seruling
dan bulan
mengintai di hujung daun.

Ah, seorang gadis

seorang perempuan
di sini ia bermain dengan ombak
ia bermain dengan api
untuk pada suatu ketika
dia akan menangis
dan tersedu!

ZAHARI HASIB
Teluk Intan

 

SAYA tidak akan menerima panggilan telefonnya lagi. Dia juga tidak akan menghulur kumpulan puisi atau bertanya kenapa karyanya tidak tersiar. Saya pernah menerima gula-gula darinya, selain seberkas kenangan lampau ketika aktif dalam dunia persajakan tanah air.

Zahari Hasib sebuah nama yang tidak asing lagi. Dia penyair prolifik  yang karyanya tersiar di akhbar mingguan hampir setiap minggu sejak awal dekad 70-an. Sajaknya juga termuat setiap bulan di pelbagai majalah  -- dari majalah serius seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya hinggalah majalah ringan seperti URTV, Mingguan Wanita, Utusan Filem dan Fesyen, Variapop dan banyak lagi.

Mendapat khabar kematiannya pada  26 Februari lalu cukup mengharukan; kami sempat bersembang panjang menerusi telefon pada malam tahun baru. Dia tidak bercerita mengenai angin ahmar,  seperti juga sebelumnya dia berahsia hal-hal peribadi. 

Dia kerap telefon ke rumah terutama pada malam minggu dan  anak saya amat kenal suaranya. “Boleh bicara dengan Saudara Imlan Adabi...!” Mendengar suara itu anak akan mengenal  empunya diri, juga cara ungkapannya,  sudah 20 tahun kedengaran di corong telefon rumahku. Dia juga mengenal nama semua anak saya kerana kekerapan panggilannya setiap bulan.

Kesilapan saya ialah tidak menelefonnya walaupun sepatutnya Zahari menghubungi saya pada awal Februari. Kesilapan ini  memberi kesan kerana kami pernah berjanji untuk bertemu di desa kelahirannya di Kampung Selboh, Parit, Teluk  Intan.

Kami akrab sejak awal dekad 80-an apabila menggerakkan majlis baca puisi di sekitar Lembah Klang. Sekumpulan penulis muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Perkumpulan Penyair Mutakhir bergabung dengan pengelola media tabloid mengadakan acara seni saban minggu di Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa.

 Majlis yang awalnya kecil, akhirnya bersejarah apabila Perhimpunan Penulis Muda kali pertama diadakan pada 1987 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Ramai sasterawan muda ketika itu bergabung menjayakan pertemuan sastera yang bersejarah. Zahari Hasib, Abdulaziz HM,   Abdullah Tahir,  Khalid Salleh, Nawawee Mohamad, Azmi Yusof, Wanrazuhar, Pyanhabib, Zaen Kasturi, Ladin Nuawi, M Hanafiah Samad dan ramai lagi  memeriahkan acara seni dengan pelbagai karya yang boleh dipertanggungjawabkan.

Zahari dianggap penyair paling popular sekitar 80-an. Puisinya merakyat, menyentuh isu semasa dengan cara tersendiri. Unsur pancungan   pada bait akhir memeriahkan karyanya yang agak prosaik. Zahari tidak peduli kepada teguran pengkritik seni, kerana baginya puisi adalah curahan nurani kehidupan penyairnya.

Bagi Zahari, kerja penulisan adalah milik peribadi kerana setiap penulis   berhak untuk bersuara dengan caranya sendiri. Tugas pengkritik pula adalah mengkritik dan menganalisis karya seni.

Pertembungan antara penulis dan pengkritik tanpa disedari menjadi politik sastera yang luar biasa di Malaysia. Bagi kebanyakan penulis, isu sastera sama hebatnya dengan masalah politik tanah air, cuma tidak disedari umum kerana hak kesenian seringnya terselindung untuk segelintir penanggap sastera itu sendiri.
Isu sastera tanah air sering dianggap mempunyai kabilah dan kroni tersendiri. Zahari,   seperti juga Suhaimi Haji Muhammad dan Leo AWS bagai dipinggir karya mereka. Keunikan, iltizam dan roh  sesebuah karya jarang diperhatikan. Yang muncul dan sering diutamakan adalah sorak-sorai sastera hingga menyebabkan isu sebenar karya tempatan tidak diperkatakan.

Kini Zahari sudah tiada walaupun ratusan sajaknya kekal bersama kita. Tentunya saya terkilan kerana tidak sempat menziarahinya yang meninggal dunia ketika  azan Maghrib berkumandang  dari Masjid Nurulhuda yang  terletak di depan rumahnya.

Lelaki berusia 65 tahun ini tentunya pergi untuk selamanya selepas menderita  angin  ahmar di rumahnya di Lorong lntan 3, Taman lntan  Emas, Jalan Padang Tembak.   Jenazahnya   dikebumikan di Tanah Perkuburan lslam Jalan Sultan Abdullah.  Al-Fatihah - Berita Harian, 6 Mac 2012

Tuesday, February 28, 2012

Bakar al-Quran bukan isu baru

SEKARANG abad Amerika Syarikat (AS).

Apa saja boleh berlaku kerana AS penguasa tunggal. China dan Russia hanya kuasa kecil yang sekadar berdehem di sisi AS.  Jepun dan Jerman sudah lama rebah bersama berkuburnya era Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun selepas  gagal mendapat mandat   mengganyang Syria menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  tentera  AS menunjukkan sikap sebenar mereka dengan membakar al-Quran.

Apa yang berlaku   di Bagram, Afghanistan bukan kes terpencil. Sudah banyak kes  AS dan sekutu mereka -- NATO (Pakatan Atlantik Utara)  melakukan perbuatan    menghina umat Islam. Tahanan Islam di Iraq  pernah  dilarang mengerjakan solat  dan  tawanan di Guantanamo Bay  dipaksa makan babi. Hanya selepas mendapat bantahan daripada beberapa negara Islam, AS berlembut dan mendakwa kegiatan  itu  kes terpencil yang  dilakukan oleh anggota tentera yang tidak memahami arahan Rumah Putih. 
Apa yang berlaku di Afghanistan minggu lalu bukan kali pertama. Perbuatan tentera AS membakar al-Quran sudah banyak kali berlaku sejak bekas Presiden George  Bush mengadakan kempen memerangi keganasan di Kabul sejak 2001.
Isu al-Quran dibakar dan tentera NATO menembak tentera serta pesawat  kerajaan Afghanistan dan Pakistan sudah menjadi klise. Mereka sekadar memohon maaf apabila dibantah, kemudian mengulangi pada tempoh yang lain.
Bayangkan jika PBB memberi mandat kepada AS dan NATO menyerang Syria pada Januari lalu. Barangkali kini perang terus memuncak dan regim baru bertukar di Syria walaupun tanpa jaminan keamanan dan demokrasi bakal pulih. 

Selepas era Perang Dingin, AS muncul sebagai kuasa tunggal yang memperagakan keangkuhan dan penguasaan tunggal. Kremlin tumbang dan Tembok Berlin hanya mainan sejarah. Sejak 1990-an, AS menggunakan dasar ketenteraan di  Iraq, Afghanistan dan terbaru di Libya untuk menentukan penguasaan di Asia Barat dan Afrika. Matlamat utama adalah menentukan keamanan rejim haram Israel di samping mengekalkan kerajaan Arab yang pro-Barat. 

AS perkenal  falsafah  NeoCon sebagai dasar baru Washington  selaras kepentingan imperialis  Zionis.
 NeoCon dikaitkan Project For the New American Century (PNAC). Abad sekarang dianggap  projek AS  kurun baru  yang menguasai  urus niaga mata wang,  media,  saham dan minyak dunia.  

PNAC memungkinkan AS menyerang Iran sebagai landasan menguasai Asia Barat dan Teluk Parsi. Pelbagai alasan dicari dan Teheran berdepan  pelbagai sekatan ekonomi semata-mata untuk melumpuhkan kerajaan Mahmoud Ahmadinejad   yang dianggap pencabul hak asasi rakyat.

Kini Syria dipilih sebagai sasaran kerana negara sosialis itu dianggap satelit kepada Iran. Kejatuhan Syria sebagai cermin kejatuhan Iran yang mempunyai tentera terkuat di Asia Barat, selain persenjataan moden dan nuklear yang boleh mengimbangi AS dan Israel.

Gerakan rakyat yang dinamakan prodemokrasi dipergunakan di beberapa negara Arab. Isu kemanusiaan, hak asasi, perdagangan bebas dan persefahaman ekonomi menjadi lontaran terbaik AS di Asia Barat.

Syria menjadi mangsa mainan politik yang dicetuskan Barat. Isu demokrasi dan hak awam diterjemahkan sebagai konsep liberalisme selaras prinsip persamaan. Persamaan dikaitkan dengan suara rakyat menentang diktator. Inilah piagam AS kurun baru yang membentuk fikiran massa.  Justeru,  isu bakar al-Quran hanya citra sikap sebenar AS yang pro-Zionis dan Islam sekadar alat untuk menghalalkan cara! - Berita Harian, 28 Februari 2012

Tuesday, February 21, 2012

DAP alat PAS, MCA alat UMNO?

ADA banyak  persamaan antara  Datuk Seri Chua Soi Lek dan  Lim Guan Eng. Mereka berasal dari Batu Pahat, berpendidikan Inggeris dan fasih berbahasa Mandarin. Mereka juga memimpin dua parti terbesar kaum Cina, iaitu   Presiden MCA dan  Setiausaha Agung DAP. Persamaan lain yang kurang diperhatikan ialah gaya rambut kedua-dua tokoh ketika menghadiri debat  politik di Kuala Lumpur 18 Februari lalu.

Mereka pintar berhujah, mahir menggunakan bahasa kiasan dan pepatah klasik Cina. Mereka profesional Cina yang menjadi tumpuan bakal pengundi tidak lama lagi.

 Debat    ‘Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua parti menjadi sistem dua bangsa?' memberi peluang kepada dua tokoh mengemukakan hujah, mencabar dasar pihak lain, sekali gus mempertahankan diri dari serangan politik kem berbeza.

Bagaimanapun suasana di  Hotel Berjaya, Kuala Lumpur yang dihadiri 600 orang itu boleh dianggap petanda awal untuk meneruskan tradisi debat dan dialog siasah secara terbuka.

Pada 1991, Guan Eng dan  bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berdebat isu  yang hampir sama -- hala tuju kaum Cina, politik dan kepentingan pendidikan Mandarin serta dasar pemerintah yang dianggap sisa kek pada setengah golongan.

Debat politik juga pernah menjadi perhatian umum  pada 15 Julai  2008 apabila  Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan (ketika itu) Datuk Ahmad Shabery Cheek  berdebat di Kuala Lumpur.

Pada 29 Januari lalu di London, debat membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan  Pengarah Starategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli  berlangsung dalam suasana intelektual yang menyerlahkan kematangan tokoh muda kita.  Malangnya debat dianjurkan di London dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar.

Tradisi debat secara terbuka wajar dihargai sebagai ruang untuk menilai kemampuan seseorang tokoh mengemukakan idea, sekali gus  membuktikan kewibawaan peribadi mereka.

Bagi kebanyakan negara maju, debat sebahagian daripada  prasyarat sistem demokrasi itu sendiri. Wakil Demokrat dan Republikan bukan saja berhujah untuk merebut tempat ke Rumah Putih di Amerika Syarikat (AS), bahkan debat dalaman sesama perwakilan parti tidak kurang hebatnya.

Dari segi sejarah, debat antara Presiden Gerald Ford  dan calon Demokrat  Jimmy Carter di  Philadelphia's Walnut Street Theater  pada 23 September 1976 dianggap terbaik setakat ini. Mereka mengemukakan hujah kesan Perang Dingin dan Perang Vietnam terhadap kehidupan di   AS  sendiri. Masyarakat diberi  peluang menilai tokoh yang bakal menerajui AS pada dekad 70-an dan awal 80-an.  Seramai 40 juta menyaksikan debat mereka secara langsung di kaca TV dan skrin layar besar.  Edaran akhbar meningkat 80 peratus keesokan harinya semata-mata kerana berita debat dianggap terpenting untuk rakyat.  

Pada 15 Oktober 1992,  Presiden George HW Bush berdebat dengan calon Bebas,  Ross Perot dan  Bill Clinton mengenai kesan ekonomi global dan masa depan AS sebagai penguasa tunggal ekonomi dunia. Sekali  lagi, dunia terpaku melihat hujah mereka, seperti juga kita kaget bagaimana Bush dan anaknya  menjelajah Iraq dan Afghanistan semata-mata atas lesen keamanan sejagat.

Mereka menguasai dunia kerana kemahiran berdebat dan pandai mengambil kesempatan untuk meraih sokongan di peti undi

 Bagaimanapun majlis membabitkan  Soi Lek dan Guan Eng sukar mengelakkan isu emosi, terutama di kalangan hadirin.

Sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, isu kaum Cina dan gerakan siasah di Malaysia amat menarik diperhatikan. Tanggapan Cina memihak kepada pembangkang kerap kedengaran. Keputusan beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya Sarawak tahun lalu hampir membuktikan dakwaan itu.

Soi Lek menggunakan ruang debat untuk menyatakan DAP alat kepada PAS untuk melaksanakan hudud. Guan Eng pula menerjah dengan soalan; apakah MCA bukan alat UMNO?

Tidak memeranjatkan isu sedemikian timbul kerana tradisi debat masih belum matang di Malaysia. Kita melihat isu kaum dan agama sebagai halangan perpaduan. Lebih fatal, apabila sentimen etnik dijadikan landasan untuk meluaskan jurang siasah.

Tentunya debat dua tokoh tidak mempunyai pemenang mutlak, seperti juga isu politik yang sentiasa ada pro dan kontra. Yang menang adalah kebebasan bersuara itu sendiri kerana kedua-dua pihak diberi peluang berhujah, walaupun sekadar  dongeng politik yang kaya dengan sentimen, tohmahan dan sindiran. Tentunya selepas ini diharapkan debat membabitkan tokoh lain diadakan, termasuk pimpinan utama Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat! - Berita Harian, 21 Februari 2012

Wednesday, February 15, 2012

Awang Sariyan dan maruah DBP

    Ketua Pengarah baru diharap mampu hapus kerenah

PELANTIKAN Timbalan  Ketua Pengarah (Dasar),  Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP), Dr Awang Sariyan  sebagai Ketua Pengarah  DBP  berkuat kuasa, 1  Februari lalu, amat dialukan.
Beliau bukan saja  pejuang bahasa  berwibawa, juga insan akademik yang sentiasa peka terhadap isu kebahasaan serantau.

      Awang, 59, ialah Penyandang  Pertama Kursi Pengajian Melayu di Foreign Studies University  Beijing, China (Januari 2008 hingga Julai 2011). Beliau pernah menjawat  Pengarah  Jabatan Bahasa, DBP; Profesor  Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti  Putra Malaysia; serta Profesor  Bahasa di Akademi Pengajian  Melayu, Universiti Malaya.

     Beliau pernah dua kali menjawat  Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.
   Beliau turut dilantik  Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak  1992 dan  membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand).
   Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah. Beliau pernah menjawat  Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).
  Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperoleh termasuk Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP,  Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun memimpin DBP tidak semudah menjadi pengerusi persatuan belia daerah. DBP sentiasa kaya dengan kerenah dan cabaran. Masyarakat melihat DBP sebagai ejen mengembangkan bahasa dan sastera. DBP dianggap penggerak dan penegas bahasa kebangsaan.

Sebelum ini DBP pernah cemerlang pada era Tan Sri Syed Nasir Ismail dan Datuk Hassan Ahmad. Mereka tokoh yang lantang memperjuangkan bahasa dan sastera.

Malangnya, pimpinan selepas itu dilihat longlai dalam memperjuangkan isu yang membabitkan kepentingan bahasa, sastera dan penulis. DBP, seperti dianggap Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sekadar  birokrat seni yang ‘kurang rasa, kurang visi dan kurang reti.’

DBP bagai longlai  perjuangan apabila berada di bangunan baru yang dilihat lebih birokrasi dan meminggirkan insan berwibawa.

Jika masyarakat mengenal DBP yang sinonim dengan nama Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Sasterawan Negara Keris Mas, Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal  Abdullah (Kemala), Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Datuk Johan Jaaffar, Dr Ahmad Razali, Suhaimi Haji Muhammad, Sutung Umar RS, Dinsman, Jaaffar HS dan ramai lagi, kini DBP sudah tandus nama besar dalam bidang persuratan. Malang, sebuah agensi yang sepatutnya   mempunyai ahli bahasa dan sastera, kini dihuni oleh ‘pegawai’ yang kurang arif isu bahasa dan sastera itu sendiri.

Awang perlu mengembalikan maruah DBP sebagai badan yang berwibawa. Isu bahasa dan novel Interlok sudah acap kali menguji imej DBP sebagai badan yang dihormati. Malangnya  DBP kerap lemah dan longlai di bawah telunjuk  orang  politik. DBP lebih selesa mendiamkan diri ketika ramai yang kecewa novel Interlok dicencang, kemudian ditenggelamkan atas pertimbangan politik. DBP juga sudah karam dalam isu bahasa rojak. Baik papan tanda, sepanduk, mahupun ucapan tokoh negara di khalayak ramai, bahasa Melayu yang betul dan tepat sudah terpinggir. Nama taman perumahan dan kondominium semakin asing di telinga kita. Aneh!

 Majalah terbitan DBP pula tidak terkecuali menerima kritikan. Bukan saja isu pengedaran yang sentiasa tergendala, malahan Dewan Sastera dianggap majalah elit yang sekadar menyiarkan karya penulis yang sama  hampir setiap bulan. Siapa panel yang menilai karya untuk diterbitkan? Editor atau pihak lain? Ke mana pergi ratusan penulis tanah air yang kian menjauhkan daripada penerbitan DBP?

Sejak diterbit pada 1971 yang digerakkan oleh Usman, Baha  Zain dan A Lattif Mohiddin,  Dewan Sastera mengalami perkembangan pesat. Banyak penulis yang mendewasa bersama majalah itu. Bagaimanapun ia makin merudum apabila majalah dijadikan milik kelompok tertentu. Penyakit ini perlu disedari oleh Awang agar  kewibawaan penerbitan DBP dapat dipulihkan.

Badan Budaya DBP yang diasaskan oleh  Usman, Baha Zain,  Ismail Dahaman,  Dinsman, Othman Haji Zainuddin, Zakaria Ariffin, Salamiah Ismail dan A Ghani Abdullah semakin longlai.

Tidak banyak kegiatan teater dan kesenian seperti diketahui umum sejak 1967. Apakah acara kesenian makin longlai di Menara DBP? Awang perlu melihatnya demi  wibawa dan imej DBP sendiri sebagai badan  tunggal yang mesra pementasan.

Apa pun, Awang perlu diberi masa menjayakan idea dan melaksanakan tugasnya. Beliau  harapan kita semua!   - Berita Harian, 15 Februari 2012

Wednesday, February 08, 2012

Membudayakan dialog intelektual, debat politik

KITA sering mendengar mengenai keterbukaan dan percambahan minda, tetapi kita sering gagal mengikuti dialog cerdik, mahupun debat politik yang berlan-daskan fakta, bukan emosi dan sentimen kepartian.

Di pusat pengajian tinggi tempatan pula, ramai siswa yang merungut mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Sehingga kini bertele-tele sama ada ia perlu dihapuskan atau dipinda. Sejak demonstrasi pelajar pada 1974 yang melahirkan pemimpin pelajar seperti  Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali dan Hishamudin Rais, AUKU  bagai perangkap samar yang menyekat kebebasan bersuara dan hak siswa itu sendiri.

Ketika banyak pihak mempertikaikan siswa sebagai golongan penuh emosi, ada pihak yang lain pula berasakan pusat pengajian tinggi tempatan sentiasa kurang mesra kepada program dialog cerdik yang membabitkan pelbagai isu semasa.

Di Dewan Rakyat pula, ada ketikanya  ucapan seseorang Ahli Parlimen boleh dianggap remeh dan tumpul daya intelektual. Ada wakil rakyat yang menggunakan masa berucap semata-mata untuk berlawak mengenai  ‘wanita bocor', lebih malang pula seorang yang sudah beberapa penggal di Parlimen  berucap mempertikaikan sidang pada waktu malam.  

Bayangkan, betapa ruginya pengundi yang memilih wakil mereka ke Parlimen yang sepatutnya membahaskan isu besar membabitkan  program transformasi untuk rakyat, tetapi dipenuhi ucapan dan hujah dangkal.
Sebagai sebuah bangsa yang lebih separuh abad merdeka, kita sepatutnya sudah membudayakan dialog cerdik dan debat politik yang berdaya maju. Pusat pengajian tinggi pula menjadi wahana memimpin dan mendidik pemimpin pelapis. Aktor politik dan sosial pula memberi wacana kepada pembentukan budaya baru kerangka siasah masa depan negara.

Sudah sampai masanya dialog cerdik dan debat politik membudayakan kehidupan kita. Apa yang berlaku di London pada 29 Januari lalu perlu dihayati pelbagai pihak. Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit menyerlah kematangan berhujah dan berdebat tokoh muda kita.  

Debat membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan  Pengarah Starategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian.

Mereka berhujah, sekali gus mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal lapan tahun lagi.

Khairy berhujah mengenai prospek dan masa depan negara. Rafizi menyanggah mengenai keterbukaan ruang demokrasi dan sistem yang diguna pakai.

Sesekali hadirin bertepuk tangan apabila Ketua Pemuda UMNO mengakui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kurang relevan. Rafizi yang banyak membuat kajian mengenai hak dan kebebasan awam sependapat dengan Khairy mengenai ruang pemikiran dan kebebasan berpendapat.

Walaupun kedua-duanya mewakil dua kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut kebebasan berhujah dan menyuarakan pendapat, sinis terhadap Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.

Mereka boleh dianggap suara generasi muda yang bukan saja mengharapkan pemikiran kritis, tetapi juga berhujah berlandaskan fakta. Mereka menonjolkan kematangan dan serius ketika menyampaikan idea, berbeza dengan kebanyakan ahli Parlimen dan perwakilan UMNO serta PAS  yang menghadiri sidang dengan penuh emosi dan sentimen kepartian.

Malangnya debat Khairy dan Rafizi diadakan di London, bukan di Kuala Lumpur. Lebih malang lagi majlis dianjurkan dalam bahasa Inggeris dan  kita hanya dapat mengikuti  hujah mereka menerusi laman YouTube.
Beberapa pusat pengajian tinggi tempatan pernah disaran membuka ruang lebih banyak untuk dialog cerdik dan debat politik. Apa salahnya jika tokoh seperti Datuk Seri Shahrizat  Abdul Jalil, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Datin Paduka Marina Mahathir, Pang Khee Teik, Karim Raslan, Zainah Anwar dan Datuk Zaid Ibrahim diundang berwacana di pusat pengajian tinggi?

Richard Andrews  dalam bukunya Argumentation in Higher Education menyatakan  penghujahan ialah ‘urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh bukti’. Ia membabitkan  aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain. Pemikiran kritis dan penghujahan berada di  tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional.

Kehadiran tokoh dan dialog cerdik di universiti bakal membuka ruang minda lebih luas. Hendaknya ruang debat antara Khairy dan Rafizi diperluaskan. Izinkan generasi muda mendapat manfaat daripada dasar terbuka kerajaan sekarang. Orang cerdik tidak pernah takut kepada hujah dan kebenaran! - Berita Harian, 7 Februari 2012

Tuesday, January 31, 2012

The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue

 THE Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium,  Casa Prima dan   Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.

Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah  kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu.

Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam.

Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan   separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.

Kawasan urban dan elit  lebih mesra menggunakan nama aneh,  mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020.

Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur  atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman.

Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan. Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian.  PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng  bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.

Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan  yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh,
Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa  Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precinct’  di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA,   kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.
Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘presint’ bermaksud ‘ruang   yang berpagar (di  gereja),  batasan sesuatu daerah’.
Pedulikan  maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan   'Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju'.  

Barangkali demi memenuhi  impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki  berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang  1.173 kilometer dikaitkan dari aras  concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?

Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling  mengambil ungkapan asalnya  ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut  Kuala Lumpur Sentral,  Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall,  Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market  dan bermacam lagi.

Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt!

Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah  mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah  wajah kita yang terkini! - Berita Harian, 31 Januari 2012

Thursday, January 26, 2012

Kuala Lumpur Yap Ah Loy punya?

KUALA LUMPUR  serba kaya dengan keanehan dan kemungkinan. Ia juga bandar raya sempurna untuk mereka yang bercita-cita  bertaraf dunia.

Sebagai ibu kota penting di Asia Tenggara, Kuala Lumpur sejak diisytiharkan  Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974 membangun seiring pertumbuhan ekonomi semasa. Justeru, tidak menghairankan ramai cendekiawan, akademia, teknokrat, profesional dan pekerja pejabat menjadi penghuninya. Tidak terkecuali juga seniman jalanan, penyangak, buruh kasar, pendatang haram, pengemis dan kutu rayau di jalan belakangnya.

Sejak 38 tahun lalu, Wilayah Persekutuan berjaya membentuk imej moden di Kuala Lumpur.   Penghuninya sekitar   1.6 juta penduduk pada  2006  tidak pernah mempersoalkan  nasib yang mereka alami di kota besar ini.

Mereka juga tidak pernah mempertikai sebuah wilayah Melayu yang dikaitkan pembukaannya oleh seorang pendatang bernama Yap Ah Loy. Mereka seakan akur dengan pendapat  J Kennedy di dalam buku A History of Malaya. Apakah tiada Melayu yang layak membuka penempatan sebelum kehadiran British dan bangsa lain?  Mereka juga tidak memperinci siapa Yah Ah Loy: pelabur atau kuli kontrak?

Namun keanehan ini menjadi misteri yang kekal hingga kini. Kerana warga Kuala Lumpur jarang melihat masa silam. Mereka lebih akrab  merenung masa depan atau menjalani kehidupan dalam lingkaran masa yang amat pantas dan tergesa.

Sebahagian besar warga Kuala Lumpur setiap hari terperangkap antara kesesakan lalu lintas dan kehangatan suhu ekoran pemanasan global. Mereka tidak merungut kerana kota besar tidak pernah melayan sebarang rungutan  penghuni bawahannya. Malah,  sebahagian  besar warga Kuala Lumpur sudah reda membayar tol setiap pagi atau petang semata-mata untuk menempuh kesesakan jalan raya yang tiada penyelesaian.

Kuala Lumpur kota rezeki.  Keluaran Dalam negara kasar (KDNK)  dianggarkan bernilai RM73,536 juta pada  2008 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 4.2 peratus. KDNK per kapita untuk Kuala Lumpur pada  2008 ialah RM48,556, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 5.9  peratus. Jumlah tenaga kerja di Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 838,400 orang. Sektor perkhidmatan merangkumi kewangan, insurans, hartanah, khidmat perniagaan, pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, pengangkutan, simpanan dan komunikasi, utiliti, khidmat peribadi dan khidmat kerajaan, membentuk paling ramai tenaga kerjanya iaitu 83 peratus  daripada jumlah guna tenaga. Sebanyak  17  peratus  yang selebihnya berada dalam sektor perkilangan dan pembinaan.

Kejayaan ekonomi   hasil kerja sama rakyat yang tidak pernah melihat perbezaan kaum, agama dan ideologi politik sebagai penghalang. Kejayaan ini juga  melahirkan generasi X dan Y  lebih mesra dengan media baru. Mereka saling menyanggah dan tidak terikut dengan lingkungan yang ada. Mereka yakin Kuala Lumpur masih ada masa depan walaupun suhu ekonomi dunia sentiasa merudum.

Bagi mereka wilayah seluas         243.65 kilometer persegi sebagai tempat selesa untuk lebih satu juta penduduknya. Mereka juga tentu bangga  51 bangunan sudah diwartakan sebagai Tapak Warisan Kuala Lumpur di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.  Bangunan Lama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Panggung Coliseum, hotel dan restoran Jalan Tuanku Abdul Rahman, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bangunan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM), Gereja St Mary, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) dan sebagainya menjadi khazanah seni bina bangsa yang akan kekal.

 Selebihnya, warga Kuala Lumpur tetap berharap  pembangunan semula pasar Chow Kit  bakal memberi imej tempatan. Ketepikan  Chow Kit daripada imej pendatang haram, pelacur, kutu rayau dan penagih dadah.
Kuala Lumpur tentunya sukar mengekalkan  imej nasional yang berteraskan budaya tempatan. Apa pun Kuala Lumpur tetap kekal di hati penghuninya, bersama mimpi dan harapan yang jarang tercapai! - Berita Harian, 26 Januari 2012

Monday, January 16, 2012

Kita masih tidak banyak membaca

MUNGKIN kita berbangga   pencapaian fizikal  dengan  deretan bangunan pencakar langit, profesional dalam pelbagai bidang dan graf ekonomi seiring pencapaian siasah yang memberangsangkan.

Kita mungkin juga boleh mendabik dada kerana melahirkan  angkasawan negara, memiliki dua syarikat kereta nasional dan  industri berat membabitkan kepakaran anak tempatan.

Bagaimanapun mungkinkah kita berpuas hati dengan pengisian minda rakyat Malaysia?  Sejauh mana budaya membaca menjadi cara hidup kita? Apakah industri buku setanding dengan 28 juta jumlah penduduk? Buku yang tahap mana dibaca oleh anak Malaysia?  Karya popular dan picisan atau ilmiah dan informatif?
Kita harus terima hakikat negara yang maju ekonomi seiring kemajuan ilmu dan intelektual. Buku adalah pelengkap kemajuan.

Di  rumah jiran, kediaman kenalan dan ruang tamu sendiri, apakah buku berada di depan mata?
Lazimnya  sebahagian daripada  kita menghias rumah tamu dengan perabot mewah -- sofa dari Itali atau kerusi kayu jati dari Indonesia, sistem teater rumah dan High-definition television (TV HD) berjenama.  Buku tiada di rumah tamu, atau barangkali tersorok di bilik tidur sekian lama.

Budaya membaca belum lagi menjadi rutin di kalangan kita. Kajian membuktikan ramai yang membaca untuk dapatkan sijil dan ijazah, meninggalkan bahan bacaan apabila sudah berkerjaya.

Cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara maju walaupun kita sering klise dengan Wawasan 2020.

 Kita ada pesta buku setiap tahun namun budaya membaca masih rendah. Berbeza  pesta tahunan  di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan saja membabitkan jualan buku terlaris, juga mengekalkan suasana pembacaan.  Mereka juga mesra buku terpakai,  karya  terbuang yang dibaik pulih.

  Pesta Buku Edinburgh tidak pernah sunyi dengan  maklumat   'Bookstart' iaitu kempen pembacaan untuk kanak-kanak. 'Bookstart'   adalah  kempen  diiktiraf oleh organisasi perbukuan seperti International Board On Books For Young People (IBBY).   Ia  diguna pakai dipelbagai negara untuk melatih dan menggalakkan ibu bapa mendidik  anak  membaca  sejak usia bayi. Kita kurang  usaha sedemikian.

Mereka juga mempunyai  Oxfam --  peruncit buku lama yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta  buku setiap tahun. Ada 750  kedai Oxfam di seluruh United Kingdom menjual buku dan lebih  100 buah daripadanya   kedai buku atau kombinasi kedai buku dan muzik. Buku yang dijual adalah hasil derma  orang ramai. Petugasnya pula tenaga sukarela!

Di Jepun pula budaya membaca sehangat sukan judo dan bola sepak  di kalangan rakyatnya. Di mana-mana saja buku menjadi teman sejati termasuk dalam tren selaju 250 kilometer sejam.

  Budaya membaca diamalkan seawal kanak-kanak di   ‘Hoiku-en’ atau ‘Yochi-en’ (tadika).  Mereka disogokkan dengan buku cerita yang dilengkapi halaman khas (lazimnya di  kulit  belakang)    dipenuhi gambar yang berulang  sebagai info ulangkaji kanak-kanak awal persekolahan. Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarah mewarna gambar sebagai latihan minda.

Bagaimanapun  rakyat  Malaysia masih dikategorikan sebagai masyarakat yang kurang membaca. Mengikut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM),  kita  secara purata hanya membaca dua  buku setahun.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan  PNM, sebanyak 16, 044  buku diterbitkan pada 2008 berbanding 10 310  judul pada 2005.

Kajian  Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 pula  menunjukkan  secara purata, rakyat membaca hanya dua   buku setahun. Kajian  pada 2009 menunjukkan purata rakyat  berumur 10 tahun ke atas membaca sembilan hingga 12  buku setahun. Sebanyak  56,676  mendaftar sebagai ahli perpustakaan tempatan di seluruh negara pada 2010. Sebanyak  776,347 buku  dipinjam di PNM pada tempoh sama.  Bagaimanapun angka tersebut masih rendah kerana  lapan tahun terakhir  menjelang 2020, kita masih merangkak dan segan ilmu berbanding bangsa lain di Asia Timur. Di mana silap kita? - Berita Harian, 16 Januari 2012

  

Wednesday, January 11, 2012

Media cetak bakal berkubur?

SEKUMPULAN siswa yang pada awalnya tenang tiba-tiba lebih serius apabila isu media baru dan penerbitan tradisional diperdebatkan. Benarkah media baru bebas dan media perdana ejen propaganda?
Apakah jangka hayat media cetak akan berakhir kerana internet  lebih mesra pengguna, relevan dan akrab Generasi Y dan X?

Seorang siswa pula  sinis mencelah: “Kami hormati  media, tapi kami mahu ruang menyalurkan suara generasi muda, politik kampus, bukan berita pesta konvokesyen dan pelantikan naib canselor saja!”

Isu media dan gerakan massa sudah lama diperkatakan.  Justeru, bukan luar biasa seminar media dan kebebasan di sebuah pusat pengajian meluaskan fokus kepada peranan pujangga  istana, sasterawan, seniman,  ulama  juga cendekiawan Melayu  menjulang tradisi berdialog, berhujah dan berdebat secara waras.

 Apabila akhbar Melayu pertama Jawi Peranakan lahir pada penghujung Abad ke-19, bermulalah tradisi persuratkhabaran yang membuka jendela baru pemikiran   Melayu. Kelahiran Al-Iman adalah  wahana ilmuwan Muslim progresif pada  1906. Walaupun isu Kaum Muda-Kaum Tua mendominasi ketika itu, namun wartawan, kolumnis dan penulis  memanfaatkan penerbitan massa untuk tujuan berinteraksi. Tradisi inilah yang melahirkan  Berita Harian, Berita Minggu atau sebelumnya Utusan Melayu.

Penulis seperti Rahim  Kajai,  Tan Sri A Samad Ismail, Datuk Usman Awang, Pak Sako, Said Zahari dan Datuk Melan Abdullah antara ikon dunia kewartawanan tempatan.

Mereka lahir bersama kemelut masyarakat. Mereka mendekati massa untuk menyemarakkan  semangat kemerdekaan ketika era penjajahan dan mengisi kemerdekaan selepas 1957.

Merekalah pendesak dan pengukir wacana bangsa. Mereka yang membentuk jiwa perpaduan dan menegur pemerintah ketika era konfrontasi, insiden 13 Mei 1969 dan pasca Dasar Ekonomi Baru. Mereka juga berperanan sebelum negara merdeka.

 Era penjajahan memberi ruang kepada petugas media menyemarakkan pemikiran massa dan menentang  kuasa imperialis Barat. Tidak sedikit wartawan yang menerima kesan penderaan seperti dialami Samad dan Said Zahari. Mereka dipenjara dan dihina,  namun akhirnya menjadi ikon kebebasan bermaklumat!

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi secara sinis memaparkan kemelut kewartawanan yang mengalami era prasangka sepanjang zaman. Wartawan dan media dicurigai ketika era penjajahan, namun menghadapi tekanan menerusi pelbagai akta dan hukum selepas negara merdeka. Mereka dicurigai oleh bangsa sendiri!

Kehadiran media maya secara langsung mencabar sejarah dan tradisi media cetak pada 1998. Perkembangan politik dan isu moral seorang pemimpin mula bertebaran menerusi media baru. Blog, portal berita, e-mel, Facebook dan Twitter wadah yang memeranjatkan. Setiap berita tersebar hanya beberapa saat dan semua pihak bebas untuk memberi pandangan, menyokong atau menentang.

Dunia  hampir pasti berterima kasih kepada  pengasas Facebook,  Mark Zuckerberg  kerana membuka dimensi  baru  proses komunikasi sejagat.

 Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala,  Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan.

Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Belum pun sesuatu kes disebut di mahkamah,  media baru sudah meledak  dengan pelbagai maklumat, lengkap dengan pertuduhan dan pendakwaan.  Sesiapa saja berusaha menjadi hakim. Sesiapa jua berhak mendakwa ‘rakyat hakim negara’.

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet. Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia.

Teknologi maklumat secara   langsung menguji kewujudan media tradisional.  Ketika penduduk Malaysia   24.6 juta orang pada  2000, pengguna  internet  3.7 juta  dengan  kadar penembusan  15  peratus. Bagaimanapun pada 2010,  dengan 26.12 juta penduduk,     pengguna internet meningkat 16.9 juta orang dan      kadar penembusan  64.6 peratus. Ini menunjukkan     pertumbuhan pengguna internet tempoh  10 tahun meningkat  356.8 peratus.

 Perkembangan ini memberikan gambaran saingan media baru dan  tradisional semakin sengit. Hanya kewibawaan dan etika yang menentukan sesebuah media kekal! - Berita Harian, 11 Januari 2012

Wednesday, January 04, 2012

Dari Derita Bangsa: Politik yang gila?

SUATU hari Sasterawan Negara Datuk Usman Awang menghubungi saya meminta beberapa puisi  bertemakan kemanusiaan dan hak asasi.

“Abang mahu karya yang polos dan jujur mengenai bangsa yang berkemelut,” tuturnya dengan nada lemah. Kesihatannya ketika itu semakin meruncing.

Saya menghormati beliau kerana hubungan rapat dan pernah terbabit membaca puisi bersama penyair Indonesia, WS Rendra di Kuala Lumpur.

Kami juga pernah menjelajah  Eropah Timur ketika penghujung era pasca Perang Dingin.
Saya  tidak  menduga sesebuah karya yang dihasilkan boleh dikaitkan dengan politik kepartian.
Bagaimanapun apabila beberapa puisi saya termuat dalam kumpulan Dari Derita Bangsa yang diterbitkan pada 1998,  pelbagai persoalan mula melingkari. Apakah saya sudah menjadi sebahagian makhluk politik kepartian yang menyokong sesuatu pihak dan mengganyang  pihak yang lain?

Perlukah sasterawan memihak atau menjadi alat  kepada elitis politik?
Suasana politik pada 1998 amat menguji survival bangsa Melayu.  Ramai yang keliru antara fakta dan tohmahan. Ramai juga yang menduga Melayu bakal musnah ekoran pertelagahan yang membabitkan isu undang-undang, moral, siasah dan cita-cita peribadi.  Ada juga sanggup menjadi hakim, sekali gus pendakwa  untuk menentukan kesahihan sesuatu kes mahkamah.  Ada ketikanya perbicaraan di luar mahkamah dan internet lebih hebat serta hangat, kaya dengan drama dan intrignya!

Kumpulan puisi Dari Derita Bangsa (Pustaka RBHI; ISBN: 983-40691-0-3)  turut memuatkan karya 20 penyair tersohor tanah air termasuk  Dinsman,  Datuk Dr  Kemala, Prof Dr Muhammad Haji Salleh dan Dr Siti Zainon Ismail.

Usman juga pernah terbabit dalam gerakan massa ketika membantah usaha merendahkan bahasa Melayu sebagai medium utama.

Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita, adalah karya yang jujur mengenai kedaulatan bahasa dan bangsa  yang kian tercabar. Ramai penulis menganggap makhluk politik sukar dijangkakan dan pertimbangan mereka lebih terarah kepada kepentingan kuasa dan peti undi. Buku ini  diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada  2002 selepas   himpunan tulisan berbentuk stensilan pada  1968 yang  memperingati ulang tahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Ia  menceritakan  detik  penentangan  pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan  Pustaka (DBP).

Sejak berzaman, sejarah sastera dan politik tidak pernah reda. Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad pernah melahirkan Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila -- karya  satira politik yang tidak diiktiraf oleh bangsa Malaysia sendiri. Malang!

Bagaimanapun karya  Sasterawan Negara Datuk  Shahnon Ahmad yang berjudul  Shit menggemparkan pentas politik tanah air. Shahnon  dengan lantang mengkritik tokoh yang memperalatkan kuasa, undang-undang dan ekonomi untuk mengekalkan pengaruh.   Karya yang secara polos dan tidak berselindung ini amat mudah dimengertikan  apatah lagi diterbit dan edarkan ketika suasana hangat 1998.

 Shahnon juga menulis cerpen Piem yang tersiar dalam Dewan Sastera pada 1988  dan menyebabkan seorang editor DBP bertukar jabatan!

Penulis Yahya Ismail  menghasilkan cerpen Maharaja Beruk yang mengisahkan pertarungan dalaman  sebuah parti politik pada 1987. Karya   satira   ini melonjakkan jualan  Dewan Sastera.

Sepanjang 10 tahun terakhir ini,  karya sastera dan politik tidak banyak yang menimbulkan kesan siasah.

Novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain bukan karya politik, tapi dipolitikkan oleh golongan yang hanya menang  empat kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Interlok menjadi mangsa percaturan kuasa walaupun karya itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa  menentukan suasana siasah negara.

Timbul persoalan  apakah sastera dan politik saling bersengketa, atau  saling memberi ilham untuk orang politik lebih berwatak dan sasterawan menjadi pencatat zaman yang curiga?

Persoalan ini sukar ditelaah kerana 2012 akan memaparkan pelbagai latar, watak dan plot yang sukar diduga. Sastera dan politik tentunya akan kekal sepanjang zaman! - Berita Harian, 4 Januari 2012
  

Sunday, January 01, 2012

Newt Gingrich penerus agenda Zionis

JANGAN terperanjat jika Newt Gingrich terpilih sebagai  Presiden Amerika Syarikat (AS) menggantikan Barack Hussein Obama yang semakin kurang sokongan Yahudi.

Berbeza tiga tahun lalu Obama mendapat sokongan Yahudi kerana sikap mesra Israel, kini Gingrich lebih keyahudiannya. Gingrich memuji Yahudi sebagai manusia suci dan negara  Palestin tidak wujud.
Ketika kempen merebut pencalonan Presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan,  Gingrich memberi jaminan AS akan terus membantu Israel sebagai  negara berdaulat dan selamat daripada ancaman pengganas Islam.

Kenyataan tersebut meskipun mendapat bantahan pemimpin Islam   seluruh dunia,  Gingrich tetap bertegas bagi merintis laluan ke Rumah Putih.  

Televisyen kabel Amerika, The Jewish Channel, menyiarkan kenyataan Gingrich: “Ingat, negara Palestin tidak pernah wujud, ia sebahagian empayar Uthmaniyah.”

Gingrich sengaja memainkan isu Yahudi ketika Obama semakin kurang disenangi di Tel Aviv. Kenyataan Obama mengenai penempatan Yahudi di Tebing Barat menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

 Pelobi Yahudi dari Virginia, Robert Copeland yang sebelum ini menyokong Obama mempertikaikan dasar AS yang kurang memihak kepada rejim Zionis.

Obama yang tertekan bagi menghadapi pilihan raya Presiden tahun depan terpaksa mengarahkan penasihat Yahudi, Penny Pritzker   menambah dana kempen.

  Beliau pernah melantik  Debbie Wasserman-Schultz sebagai Ketua Jawatankuasa  Nasional Demokrat (DNC) bagi meraih populariti  bangsa  Yahudi.  

Bagaimanapun Gingrich tidak keseorangan kerana media bertaraf  dunia memberi ruang terbanyak untuk menempatkan beliau ke Rumah Putih. Seperti lazimnya, pilihan raya Presiden AS sering ditentukan oleh kaum yang paling kecil jumlahnya (14 juta bangsa Yahudi) tapi paling berpengaruh di dunia. Mereka pelobi dan pendesak paling berkuasa hingga menentukan peralihan kuasa bukan saja di AS, juga perkembangan politik dan gerakan demokrasi di negara Arab sejak Disember  2010.

Sesiapa saja menyokong Yahudi bakal mendapat manfaat politik dan ekonomi.  Dunia berada di telapak kaki Yahudi.

Alan Symons   menulis buku The Jewish Contribution To The 20th Century  menyenaraikan 1,000  Yahudi  berpengaruh di dunia. Symons tidak saja menggariskan tokoh ilmuwan, diplomat, politikus, ahli ekonomi, sasterawan  serta budayawan tetapi juga samseng  terkenal seperti Bugsy Seigel dan Lois Buchalter. Tidak terkecuali  Michael Milken, peniaga ‘junk bond’ yang menyebabkan beberapa institusi kewangan New York hampir muflis.

Yahudi  terbabit secara langsung mencorak pemikiran massa.  Boris Pasternak, Joseph Brodsky, Albert Einstein,  Henry Kissinger, Milton Friedman,  Sigmund Freud,  Gary Kasparov, Peter Drucker,  Steven Spielberg, Harrison Ford, Paul Newman, Carl Bernstein,  Rupert Murdoch dan Larry King mempunyai pengikut yang besar.  Mereka ikon sepanjang zaman.

Pentadbiran AS sebelum ini mempunyai rekod  Zionis yang luar biasa. George W Bush yang memperkenalkan perang menentang keganasan dikaitkan dengan Yahudi. Beliau dibantu  Paul Wolfowitz, Elliot Adams, Douglas Feith, Dov Zekheim, Marc Grossman dan Richard Harris -- semuanya mempunyai pengaruh besar ke atas dasar Bush mengenai Israel, Afghanistan dan Iraq.

Kekuatan mereka dipelajari Gingrich. Justeru, kempen menyokong Zionis dilakukan secara terbuka bagi mencapai cita-cita siasah. Gingrich tentunya tidak keseorangan kerana selepas ini ramai lagi politikus di AS akan menggunakan isu Yahudi bagi meraih undi.

Tanpa Yahudi,  cita-cita politik seseorang akan terbantut. Begitu juga di Malaysia, apabila ada kalangan kita yang bersekutu dengan Zionis atas nama kebebasan, kedaulatan undang-udang dan hak asasi! - Berita Harian,  28 Disember 2011

Monday, December 19, 2011

Susahnya MPKj layan aduan rakyat

BAYANGKAN hujan lebat selama dua jam dengan kadar purata 80mm yang menyebabkan banjir sedalam 1.5 meter di  Kajang pada 2 Disember lalu berulang. Bagaimana nasib penduduknya?

Bayangkan juga hujan lebat berlaku serentak  di tempat lain dengan kadar penurunan  luar biasa. Mungkin bagi pihak berkuasa  tempatan (PBT)  senang bercakap ‘kami bersedia menghadapi bencana pada bila-bila masa.’ Klise! Bayangkan apa akan jadi jika aliran sungai tersekat, kawasan lurah dipenuhi sampah dan longkang tersumbat. Ke mana arah aliran air?

Apa yang berlaku di Kajang pada petang Jumaat itu mendedahkan banyak teladan. Fenomena alam bukan kawalan manusia, tetapi pengurusan alam menjadi tanggungjawab semua.
Kita sebagai pengguna perlu mesra alam. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu bertindak pantas setiap aduan penduduk.

Bagaimanapun penulis ada pengalaman yang cukup aneh apabila membuat aduan ke pejabat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Pada 10 Ogos lalu penulis mengadu sebuah syarikat  menambak tanah di pinggir lebuh raya Balakong -  Seri Kembangan  tidak jauh dari simpang masuk ke Taman Cheras Jaya.  Syarikat tersebut menimbus kawasan lembah untuk dijadikan premis jualan. Longkang tersumbat. Kayu dan batu memenuhi kawasan aliran air. Bayangkan jika hujan lebat, kawasan perumahan dan kilang akan ditenggelami.

Aduan diberi nombor rujukan 0361/08/11-(1) dan MPKj mengirim surat  pada 27 Oktober  mengucapkan terima kasih dengan ungkapan ‘Selesa, Selamat, Maju & Aktif’.

MPKj memaklumkan; “hasil siasatan yang dijalankan pihak Majlis didapati kontraktor kawasan telah diminta menjalankan kerja pembersihan pada 18/8/11”.

Bagaimanapun selepas tiga bulan keadaan tidak banyak berubah. Kawasan tambakan tidak diruntuhkan dan longkang kekal tersumbat. Bayangkan jika kadar hujan yang berlaku di bandar Kajang 2 Disember lalu berulang di Balakong!

Moral ceritanya ialah rakyat ada tempat mengadu tapi  tidak dipeduli,  walaupun kerajaan sudah menyediakan agensi yang sepatutnya mengambil tindakan untuk menjaga persekitaran.

Kita tidak tahu ke mana pergi wang rakyat yang membayar  cukai taksiran setiap enam bulan. Keadaan yang dipaparkan di sini bukan berlaku di Kajang saja, malah di merata tempat, Masalah longkang tersumbat  seiring dengan aduan penduduk mengenai sampah  jarang  dipungut  atau banyak kereta buruk tersadai di kawasan kediaman tanpa sebarang tindakan. Ia berlaku di merata tempat.

Bagaimanapun disebabkan Kajang mengalami banjir kilat yang luar biasa, isu MPKj menjadi tumpuan   menyebabkan Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Hanapi Mohamad Noor,  bersuara mengenai pengurusan alam di Kajang.
Beliau kesal  penangguhan   projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlaku banjir kilat di bandar itu.
Katanya,  projek tebatan banjir itu tertangguh ekoran kegagalan  MPKj memindahkan 21 premis kedai yang beroperasi di tebing sungai itu.
"Setahun lalu kita memulakan  kerja membina tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang namun projek itu terpaksa dihentikan separuh jalan kerana terdapat 21 kedai sementara beroperasi di kawasan kira-kira 200 meter dari tapak projek di tebing sungai itu.

"Pihak MPKj  dimaklumkan untuk memindahkan  kedai terbabit.  Namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memindahkan kedai yang berstatus sementara itu," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran persidangan antarabangsa mengenai pengurusan sungai di Pulau Pinang, 6 Disember lalu.

  Aliran air tersumbat  ketika  kedudukan jambatan yang menjadi penghubung Sungai Jelok hanya setinggi  dua meter daripada  paras air, membahayakan penduduk. Air  melimpah merosakkan  jambatan.
Sebagai daerah yang pesat membangun, pentadbir Kajang perlu  prihatin pelbagai kemudahan asas selaras perkembangan penduduk  yang kini dianggarkan 300,000 berbanding  189,400   pada  2001.

Isu bencana sering dianggap petaka yang menakutkan. Kita perlu belajar pengalaman Jepun dan Korea Selatan mengurus fenomena alam untuk mengatasinya. Bencana bukan rungutan, tapi pendorong untuk kita lebih melestarikan alam!  - Berita Harian, 20 Disember 2011

Tuesday, December 06, 2011

Media baru dan 'kejamnya' Khairul Fahmi


JIKA kita mahu bersimpati, barangkali apa yang menimpa Khairul Fahmi Che Mat boleh dianggap suatu penderaan yang luar biasa. Beliau bukan saja dijulang sebagai penjaga gol terbaik dalam Skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda yang raih pingat emas di Sukan SEA di Jakarta baru-baru ini, juga  bintang pasukan Kelantan yang menang Piala Liga Super dan Piala Sumbangsih tahun ini. 

Selebihnya, Khairul Fahmi dipalit dengan pelbagai masalah peribadi. Media baru atau  media sosial menjadi pendera paling zalim. Dia dikaitkan dengan  putus tunang, menghadiri majlis sosial  dan gambar  bersama Nor Hashidah Harmi tersebar di internet.

Bagi orang kebanyakan, isu peribadi perkara biasa dan tidak perlu dihebohkan. Tetapi apabila membabitkan seorang idola sukan, beritanya menggemparkan, juga mengghairahkan!

Sama ada  Khairul Fahmi  bersalah atau tidak, bukan perkara pokok. Media baru sudah menjalankan tugas melaporkan kisah peribadi dengan drama  dan intrig yang cukup mengaibkan.

Ketika orang bercakap kehebatan beliau di padang bola sepak, media baru pula lebih bercakap soal   peribadi tanpa memberi peluang pemuda  yang dilahirkan pada 7 Januari 1989 di Kota Bharu  membela diri.

Apalah yang mampu dilakukan oleh seorang penjaga gol apabila dirinya dikaitkan dengan skandal dan media baru bagai tanpa ampun terus menghukumnya.

    Khairul Fahmi senasib dengan ‘mangsa’ yang lain apabila menjadi tumpuan media baru setiap kali dia melangkah. Jika sebelum ini ahli politik dan artis menjadi lensa pihak tertentu, dia harus mengenal langkahnya sendiri tanpa perlu mengaibkan nama orang tua sendiri. Malangnya dia sendiri tidak tahu apa yang bakal dilakukan, akan dipalitkan dengan pelbagai  kontroversi lain.

Pada hari ini sesiapa saja boleh menjadi pelapor  di media baru. Ada 600,000  blogger di Malaysia yang sebahagian besar menulis cerita peribadi, isu politik, sosial, sastera dan kesenian.  Ada juga blogger yang ghairah memaparkan cerita seks, gambar intim dan dakyah siasah.

Sesiapa saja boleh diserang oleh blogger dan pada bila-bila masa saja cerita serta  gambar seseorang boleh terdedah tanpa izin.

Dunia maya pada hari cukup menakutkan. Seseorang blogger bukan saja sebagai pelapor paling berani dan kebal undang-undang, juga boleh menjadi hakim sekali gus pendakwa yang boleh menuduh orang lain sebagai korup, pembunuh, hidup mewah, tauke lembu dan penindas.
Bayangkan rumah seorang bekas Menteri Besar yang didakwa berharga RM24 juta. Bayangkan juga pembelian kondo mewah dan kereta Mercedes yang dikaitkan dengan projek lembu. Masyarakat lebih cenderung mempercayai kerana tabii media baru sering mengajak orang ramai meyakini penulisnya. Mereka juga aktif di laman sembang  Facebook yang  kini mencecah  12 juta orang di Malaysia, dengan kadar penembusan 69.91 pengguna internet.

 Laman SocialBakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia.

Bayangkan kita juga bakal menjadi Khairul Fahmi apabila tidak disenangi pihak lain dan orang ramai akan lebih cenderung mempercayai sesuatu yang belum teruji kesahihan berbanding media arus perdana.
Realiti dunia tanpa sempadan cukup menakjubkan di Malaysia. Ketika  populasi penduduk pada 2000 berjumlah 24.6 juta orang,     pengguna internet  3.7 juta orang.

Bagaimanapun  populasi penduduk pada 2010 berjumlah   26.12 juta orang, membabitkan pengguna internet  16.9 juta orang.     Kadar penembusan jalur lebar  meningkat 64.6 peratus.     Pertumbuhan pengguna internet   meningkat 356.8  peratus dalam tempoh 10 tahun.

Justeru, tidak menghairankan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menggesa  blogger dan generasi muda menjadi pejuang baru parti bagi menyaingi suasana siasah yang tidak seimbang.

Menguasai media baru tentunya  perang bentuk moden  amat mencabar. Ia juga tanpa simpati kerana laman web, portal berita dan blog jarang memikirkan kesan penyampaian. Yang mereka fikirkan bagaimana maklumat disebar dan reaksi masyarakat untuk menghukum seseorang yang sudah dimangsai! - Berita Harian, 6 Disember 2011

Tuesday, November 29, 2011

Bekwoh, Gelombang Merah dan mimpi

                                                                                                                                                                                                                               
STADIUM  Putra Bukit Jalil hampir dipenuhi warna merah pada 26 November lalu. Justeru, tidak menghairankan apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek   yang baru pulang bersama kontinjen Sukan SEA  di Indonesia berjenaka; “Saya rasa gerun masuk stadium kerana terkenangkan suasana di Jakarta ketika pasukan Harimau Muda berentap dengan Garuda Muda. Lautan merah. Semuanya baju merah dan kelihatan ganas.

“Tapi di Bukit Jalil ini  puak kita. Himpunan merah. Gelombang Merah anak Kelantan di perantauan,” jenakanya dalam loghat Kelantan.

“Kami kumpulan yang makan budu dan keropok lekor,” celahnya lagi. “Anak Kelantan dan Terengganu berentap di padang bola, tapi mempunyai hati yang sama.  Justeru, orang Terengganu akan sokong Kelantan untuk menjayakan pembangunan,” tutur Shabery  yang turut memberi keizinan stadium digunakan untuk Majlis Bekwoh Anak-Anak Kelate anjuran  Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan.  Beliau juga menaja basikal untuk cabutan tiket bertuah.

Majlis yang dihadiri hampir 5,000 orang termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan   Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek
Hussin.

   Turut hadir tokoh kelahiran Kelantan termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin;  Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan   Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

‘Bekwoh’ dalam loghat Kelantan bermaksud kenduri,  lazimnya diadakan secara terbuka membabitkan pelbagai anggota masyarakat.

Dalam konteks tradisional, bekwoh dianjurkan secara muafakat dan hadirin pula tidak terbatas kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun dalam konteks majlis di Stadium Bukit Jalil  anjuran ahli UMNO, tentunya  kehadiran 5,000 orang belum mencukupi untuk menandakan Gelombang Merah bakal melanda Kelantan. Dianggarkan tidak kurang 80,000 perantau Kelantan di Lembah Klang. Kenapa yang datang terlalu kecil bilangannya? Apakah kerana jamuan makan gulai kawah percuma yang tidak cukup, persembahan  nyanyian Jay Jay yang masih setia dengan Rindu Bayangannya? Apakah kerana persembahan Halim Yazid dengan dikir ‘anak tupai’ dan jenaka Sabri Yunus ketika persembahan tinju Siam?

Semuanya sukar ditelaah. Dilaporkan   Gelombang Merah semakin terserlah di Kelantan. Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Negeri Cik Siti Wan Kembang memberi petanda positif.  Rakyat Kelantan berbaju merah dengan rela hati menyambut pemimpin mereka di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

 UMNO Kelantan akan bekerjasama dengan UMNO Terengganu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang  pada Pilihan Raya Umum ke-13 selepas 21 tahun diperintah PAS.

 Mustapa  berkata, keupayaan BN Terengganu merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 daripada PAS perlu diteladani.

     “BN akan buat perubahan besar di Kelantan jika menang pilihan raya umum nanti. Kita akan selesaikan masalah air yang sehingga kini belum dapat diatasi walaupun kerajaan Pusat sudah menyalurkan RM550 juta pinjaman tanpa faedah kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan itu,” katanya.

 Bagaimanapun politik Kelantan terlalu kaya dengan drama dan intrignya. Isu cah keting dan dalang di kalangan ‘rakan’ sendiri sering berulang pada paksi yang sama.
Sejak 1990 PAS mentadbir Kelantan dengan selesa kerana kalangan ahli UMNO sendiri yang mencipta masalah.

Apakah Gelombang Merah bakal mengubah suasana politik Pantai Timur atau  sejarah 21 tahun kekal berputar di atas  paksi yang sama?

Majlis  anak Kelantan di perantauan perlu dipergiatkan tanpa campur tangan politik. Bagi orang kebanyakan, politik sering menyulitkan, apatah lagi terlalu banyak ucapan propaganda dan bombastik! - Berita Harian, 29 November 2011

Wednesday, November 23, 2011

Rumah usang itu menceritakan segala-galanya

RUMAH kayu yang dibina pada akhir dekad 50-an masih teguh berdiri, walaupun tiang dan lantai kerap bertukar  dimamah waktu dan gigitan anai-anai.

Terletak di pinggir jalan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, rumah kayu yang ruang tamunya mampu memuatkan 60 orang bersila di lantai pernah mencatat sejarah kelahiran UMNO Cawangan Batu Lapan di kawasan Parlimen Nilam Puri  yang dikuasai PAS sejak puluhan tahun.

Nama Tan Sri Asri Muda sebagai Ahli Parlimen Nilam Puri,  Presiden PAS, Menteri Besar Kelantan dan Ketua Pembangkang di Parlimen cukup menggerunkan sesiapa saja untuk menubuhkan cawangan UMNO, apatah lagi berdepan risiko kafir mengkafir. Sesiapa saja yang bercita-cita menubuhkan cawangan UMNO di kubu kuat PAS pasti dianggap menerima bala. Ada majlis kenduri ahli UMNO tidak dihadiri pihak lawan. Ada juga kes kematian diboikot ketika pengebumian jenazah.

Pada dekad 60-an, ramai yang percaya PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS. UMNO  musuh PAS, sekali gus didakwa musuh Islam.

Ketika atuk bersara sebagai sarjan polis dengan nombor anggota 932 menjelang Januari 1969, tidak ramai yang setuju hasrat menubuhkan cawangan UMNO kerana dirasakan usaha itu sia-sia.

Bagaimanapun rumah kayu yang   ruang tamunya mempunyai dua meja panjang dan 16 kerusi  menjadi saksi bersejarah.  Di situlah penduduk kampung bermesyuarat. Di situ juga tempat membincangkan kempen  pilihan raya atau persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

 Rumah kayu itu pernah menjadi saksi kehadiran tokoh negara menjelang Pilihan Raya Umum 11 Mei  1969. Ruang tamu itu juga menyambut  kedatangan Tan Sri Khir Johari, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Ghazali Jawi dan Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail  untuk berceramah dan mengajak penduduk Nilam Puri melihat masa depan lebih cerah.

Keputusan pilihan raya tentunya tidak memihak kepada UMNO dan Perikatan kalah teruk di Kelantan kerana pelbagai faktor tempatan ketika itu. Namun bagi ahli kecil  UMNO, perjuangan parti perlu diteruskan.
Ketika PAS menyertai Barisan Nasional pada 1973, rumah kayu itu juga menyaksikan kehadiran ramai ahli PAS untuk bertukar fikiran bersama ahli UMNO tempatan. Asri dan Presiden Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad juga pernah singgah pada tarikh berlainan.

Bagi ahli kecil, peluang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur  bagaikan menyambut lebaran. Ramai yang seronok  kerana setiap tahun akan dapat melihat wajah tokoh negara seperti Tun Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman  dan Tan Sri Ghazali Shafie. Ramai yang juga yang teruja untuk menemui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam yang dianggap tokoh muda UMNO ketika itu.
Bagi ahli biasa, naik bas selama 12 jam dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menerusi hutan dan pantai di Pahang dan Terengganu cukup menyeronokkan. Ketika itu belum ada  laluan Kota Bharu ke Gua Musang yang kerap diserang hendap pengganas komunis.
Justeru, apabila tiba di Kuala Lumpur dan ditempatkan di hotel tiada bintang di Jalan Chow Kit tentunya melelahkan. Bukan saja bilik hotelnya kecil dan tandas di luar kamar, tetapi bilangan penghuninya 10 orang di ruang yang sempit.
Pada dekad 60-an dan 70-an, tempat persidangan UMNO bukan di dewan gah seperti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).  Ibu pejabat UMNO di Medan Tuanku   agak kecil dan tercorot.  UMNO hanya bersidang di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan segala kesederhanaan, ahli UMNO dari kampung  tetap bersemangat menghadiri persidangan. Bagi pemerhati pula, peluang ke Kuala Lumpur dianggap durian runtuh kerana dapat melihat pemimpin  berucap atau kalau lebih bernasib baik, dapat bergambar. Lazimnya pada malam akhir persidangan, perwakilan dan pemerhati diundang menghadiri majlis makan malam  sama ada anjuran presiden parti mahupun  ketua perhubungan UMNO di kediaman mereka.
Ketika itu isu korporat, politik wang, suaka siasah mahupun perebutan jadi  calon belum ketara. Bagi ahli  kecil dari desa, memadai UMNO kuat, maka Melayu juga kuat.

Namun hari ini, selepas 11 Mei 1946 berlalu begitu jauh,  alur dan arus UMNO  juga semakin kencang. UMNO kini berada di tengah laluan globalisasi yang menuntut ahlinya bersikap matang dan lebih terbuka. Bagaimanapun UMNO jangan sampai melupakan naluri desa yang pernah membantunya menjadi parti yang cemerlang sejak 1946.

Hari  ini amat sedikit perwakilan UMNO yang naik bas ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri persidangan. Mereka naik pesawat atau memandu kereta mewah ke PWTC. Mereka tidak lagi tidur di hotel tanpa bintang di Jalan Chow Kit. Mereka menginap di kamar mewah.

Sesekali ketika pulang ke  Kelantan, rumah pusaka yang pernah menjadi tempat berkumpulnya ahli UMNO sejak 1969 terasa menghidupkan zaman lampau. Sayangnya masa sudah berubah dan atuk sudah lama dipusarakan di Madinah.  Hanya lambang UMNO termasuk sebuah jam lambang parti yang masih ada di ruang tamu. Di sisinya dua meja panjang dan 16 kerusi tempat bermesyuarat dulu kekal bisu. Apakah segala-galanya sudah berubah? - Berita Harian, 23 November 2011

Sunday, November 20, 2011

PPSMI: Jangan biarkan kesilapan berganti kesilapan

KETIKA calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertungkus lumus mentelaah pelajaran, masih ada yang berdegil mempertahankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Terbaru   mereka berkumpul di Melaka pada 12 November lalu dengan alasan ‘mempertahan kepentingan dan masa depan pelajar berbahasa Inggeris’.

Perhimpunan   yang bermula pada jam 8 pagi itu diadakan di pekarangan Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit, Melaka,  diketuai oleh  Mak Chee Kin.

"Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menangguhkan pelaksanaan (pengajaran sains dan matematik) dalam Bahasa Malaysia untuk beberapa tahun lagi,” tuturnya sambil berharap kerajaan menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini.

Hampir  1,000 orang menghadiri perhimpunan secara aman itu.  Ada yang   kononnya bersimpati kepada masa depan kanak-kanak  jika  tidak mempelajari subjek  Sains dan Matematik dalam bahasa penjajah. Ada juga yang dengan lantang mengugut  kerajaan jika  tidak meneruskan  PPSMI. 
Semuanya membuktikan kesilapan mereka menanggapi keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang wujud ribuan tahun di wilayah nusantara ini.

Beberapa pertubuhan lain pula mula mengadakan kempen secara terbuka  mempertahankan PPSMI. Ada yang mengirim memorandum kepada pembesar negara tanpa melihat masalah sebenar yang dihadapi di sekolah.

Seorang pendidik mengadu banyak masalah ketika pelaksanaan PPSMI. Kekurangan tenaga mahir mengajar dua subjek penting dalam bahasa Inggeris begitu ketara.

“Masalah murid dari latar belakang  berbeza juga menjadi penghalang. Sepatutnya  pengajaran subjek bahasa Inggeris dipertingkatkan,  bukan mencabul Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” tegasnya. 

Kajian pula menunjukkan PPSMI memberi kesan buruk kepada pelajar di luar  bandar  sejak 2003.
 Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003, sementara mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

Kajian sebuah universiti tempatan pula menyatakan murid senang mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan SJK Tamil.

Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2008  merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi subjek   Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) pada Februari 2009  terhadap 553   guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli, banyak mendedahkan sesuatu yang terselindung sebelum ini. Ramai guru belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, apabila 39.3 peratus guru (74) sekolah rendah dan 25.3 peratus guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris. Apakah guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris mampu menggunakan bahasa itu  ketika mengajar dua subjek penting?

Bayangkan betapa silapnya dasar yang diperkenalkan sebelum ini!
Jika masalah dan halangan sudah begitu ketara, amat nyata PPSMI tidak perlu wujud dan wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara. 

Malangnya ada kalangan Melayu sendiri yang masih jahil   mempertahankan dasar memudaratkan generasi muda kita.

Sepatutnya isu pendidikan dibincang dan dikaji menerusi saluran akademik, sarjana bahasa dan ilmuwan. PPSMI sudah menjadi   titik hitam dalam sejarah pendidikan negara. Kesilapan yang dilakukan oleh pembuat dasar negara sebelum ini sewajarnya diperbetulkan, bukan meneruskan kesilapan dengan kesilapan yang lain.

Jika negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Russia boleh berbangga dengan pencapaian subjek  Sains dan Matematik menerusi bahasa mereka sendiri, kita perlu mencontohi mereka dan bukannya dengan sinis menyatakan bahasa Inggeris diperlukan untuk sebuah dunia tanpa sempadan.

Sebagai bangsa yang sudah setengah abad merdeka, kita sepatutnya mempunyai kemerdekaan untuk berfikir dan bertindak supaya memberi kesan positif kepada generasi masa depan. Meminggirkan bahasa Melayu bukan saja kesannya dari segi pendidikan, malahan sejarah kewujudan bangsa Melayu di rantau ini. Mahukah kita seperti Red Indian yang bahasa ibundanya diperlekehkan oleh bangsa sendiri? - Berita Harian, 19 November 2011
   

Sunday, November 13, 2011

Kelantan, ulama, krisis air dan kerenah pengotor

Isu bekalan air bersih belum berkesudahan, sikap pengotor jadi budaya masyarakat
 
KELANTAN tidak pernah reda dengan isu. Hujan lebat, tengkujuh akhir tahun, pengambilan tanah rakyat, Bazar Tok Guru, krisis bekalan air tercemar dan kemelut politik, cukup menjanjikan  polemik pelbagai pihak.

Bagi mereka yang mahukan kelainan suasana, Kelantan atau Tanah Serendah Sekebun Bunga sentiasa dilihat dari dua sisi berbeza. Negeri Serambi Makkah dan tanah budaya. Kelantan ada banyak pondok pengajian agama dan  ulama tersohor. Kelantan juga  kaya dengan warisan dikir barat, wayang kulit, mak yong, menora, bagih, wau bulan dan tari inai. 

Kelantan berjaya melahirkan seniman tersohor seperti Seman Wau Bulan, Dollah Baju Merah, Khatijah Awang dan Sasterawan Negara Dr S Othman Kelantan.

Kelantan juga mempunyai peminat bola sepak  fanatik  yang  sanggup berhabis duit menempah tiket perlawanan  di tempat lawan membabitkan  pasukan Red Warriors. Ada juga yang sanggup membawa mercun ke stadium semata-kata fanatik kenegerian.

Anak Malaysia  pertama yang menjadi pemain bola sepak profesional di Australia berasal dari Kelantan. Nama Dali Omar tercatat sebagai striker tersohor pada zamannya.

Bagi negeri yang mempunyai penduduk  1,313,014 dengan  95 peratusnya berbangsa Melayu, Kelantan dianggap wilayah Melayu yang paling kukuh strategi politiknya.  Mendominasi perhatian di wilayah seluas  14,922 kilometer persegi dianggap kejayaan.  Berjaya menguasai tampuk kerajaan negeri dianggap sebagai penguasaan wilayah Melayu yang dominan, sekali gus menerajui negeri yang kaya dengan sejarah ulama dan sistem pondok.

Pendidikan Islam bermula pada akhir abad  ke-18 dan Syeikh Abdul Halim muncul ulama terpenting.  Muridnya terdiri daripada penduduk tempatan dan ada dari  luar Kelantan termasuk Thailand dan Kemboja. Masyarakat  Islam Nusantara banyak berhijrah ke Kelantan untuk mendalami ilmu agama hingga menimbulkan istilah serambi  Makkah.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewu judkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820  oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti  Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat  (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908),  Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai  Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan  Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad  Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.
 Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh  Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam  yang terkenal di dunia Melayu.

Bagaimanapun isu pondok dan ulama sering dipolitikkan.   Ada   yang tidak dapat membezakan  antara ibadat dan fahaman kepartian.  Akhirnya yang rugi adalah rakyat apabila fahaman siasah menjadi medan perseteruan menjejaskan   pembangunan prasarana.
Hari ini isu bekalan air  bersih belum berkesudahan. Air keruh, bekalan terputus dan tidak dirawat sempurna menjejaskan kehidupan rakyat.

Ada yang menggelarkan air keruh yang keluar menerusi batang paip sebagai ‘air tok guru’. Perdebatan dan cadangan sudah lama kedengaran namun tiada penyelesaian. Justeru, tidak hairan  apabila 30 peratus penduduk Kelantan  masih bergantung kepada  sumber  air bawah tanah seperti telaga tiub tidak dirawat, berdepan risiko bahaya.

Syarikat utiliti juga menggunakan 40 peratus daripada sumber berkenaan untuk disalurkan kepada pengguna, manakala selebihnya hak milik persendirian. 

Ketika tengkujuh melanda Pantai Timur sekarang, takungan air di kawasan awam dan parit semakin ketara. Longkang tersumbat dan aliran tersekat berpunca sistem perparitan tidak dirawat. Banyak sampah yang menghalang aliran air, sekali gus menakung air di tanah lapang.  Sikap pengotor dan membuang sampah di merata tempat tidak sepadan dengan negeri yang dikaitkan dengan serambi Makkah. Apakah Islam membenarkan sikap pengotor?

          Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr  Ng Yen Yen yang juga berasal dari Kelantan  pernah menegur tandas awam di negeri itu kotor. Tentunya teguran itu tidak memeranjatkan, kerana sikap pengotor  masih menjadi budaya sebahagian besar penduduk. Kenapa ulama dan ustaz yang kerap berceramah tidak tarbiah penduduk supaya bersikap bersih rohani dan jasmani? - Berita Harian, 10 November 2011